Tuesday, August 24, 2010

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2010/05/174-fiqh-menasihati-para-pemimpin.html

Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama'ah Menasihati Para Pemimpin (Pemerintah Negara)

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Daripada artikel/tulisan sebelumnya, telah pun disebutkan dan dijelaskan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin. Sila lihat artikel: Berbilang Pemimpin Dan Wilayah Islam. Maka, pada artikel berikut ini, insyaAllah akan difokuskan kepada persoalan menasihati para pemimpin.

Memahami Konsep Agama Sebagai Nasihat

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Terjemahan: “Agama adalah nasihat.”

Mereka bertanya: “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?”

Beliau menjawab: “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 1/182, no. 82)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat 1182H) berkata:

هذا الحديث جليل قال العلماء إنه أحد الأحاديث الأربعة التي يدور عليها الإسلام

Hadis ini sangat agung dan para ulama menyatakan bahawa hadis ini adalah salah satu dari empat hadis yang menjadi prinsip agama Islam. (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 4/210)

Ibnu Bathal (rahimahullah) berkata:

في الحديث دليل على أن النصيحة تسمى دينا وإسلاما وأن الدين يقع على العمل كما يقع على القول

والنصيحة فرض كفاية يجزىء فيها من قام بها وتسقط عن الباقين والنصيحة لازمة على قدر الطاقة البشرية إذا علم الناصح أنه يقبل نصحه ويطاع أمره وأمن على نفسه المكروه فإن خشي أذى فهو في سعة والله أعلم

Terjemahan: Hadis ini menunjukkan bahawa nasihat juga disebut sebagai diin (agama) dan Islam. Dan bahawasanya diin (agama) digunakan untuk amalan dan perkataan.

Nasihat itu hukumnya fardhu kifayah, sekiranya ada orang yang melaksanakannya, maka yang lain terlepas dari kewajiban tersebut. Dan nasihat adalah suatu perkara yang wajib berdasarkan kemampuan masing-masing. Sekiranya seseorang mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, perintahnya akan diikuti, dan dirinya bebas dari perkara-perkara yang membahayakan dan dibenci, maka ia perlu memberikan nasihatnya. Tetapi, sekiranya ia bimbang akan disakiti maka ia boleh memilih sama ada menasihati ataupun tidak. Wallahu a’lam. (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 2/39. ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 4/211)

al-Khaththabi rahimahullah (W. 388H) berkata:

النصيحة كلمة يعبر بها عن جملة هي إرادة الخير للمنصوح له قال وأصل النصح في اللغة الخلوص

Terjemahan: Nasihat adalah perkataan yang menjelaskan sebahagian besar perkara yang merujuk kepada menghendaki kebaikan kepada yang diberi nasihat. (Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 79)

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin berkata:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ المراد به دين العمل، والنصيحة بمعنى إخلاص الشيء

Dari ad-Diin an-nasiihah, maksud yang dikehendaki di sini: ad-diin adalah diinul ‘amal (agama), manakala an-nasiihah pula adalah membersihkan, memurnikan, mengikhlaskan sesuatu. (Syarah al-Arba’in an-Nawawiyah, hadis no. 7, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17802.shtml)

Prinsip-prinsip di Dalam Menasihati Pemimpin

Garis panduan di dalam menasihati atau menegur kesalahan pemerintah telah pun dijelaskan oleh al-Qur’an, as-Sunnah dan para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.

Di antaranya dapat diringkaskan sebagaimana berikut ini:

1 – Nasihat dan perbincangan dilaksanakan secara rahsia demi menjaga keredibiliti kedua-dua belah pihak. Iaitu tidak membuka ‘aibnya atau memalukannya di khalayak umum.

2 – Dengan perkataan dan bahasa yang baik.

3 – Dilakukan dengan penuh kebenaran, kesabaran, keikhlasan, mengharap kebaikan, dan mengharapkan keredhaan Allah.

4 – Sentiasa mendoakannya dengan kebaikan dan penuh kesabaran
.

Perkara ini adalah sebagaimana yang akan dijelaskan dengan berpandukan kepada perkataan para ulama ahlus Sunnah wal-Jama’ah dari zaman awal Islam, sehinggalah sekarang.

Dr. Khalid B. ‘Ali al-Anbari berkata:

أوجب الشارع الشريف على الأمة توقير الأمراء واحترامهم وتبجيلهم، ونَهى في الوقت نفسه عن سبهم وانتقاصهم والحط من أقدارهم، وذلك لتقع مهابتهم والرهبة منهم في نفوس الرعية، فتنكف عن الشر والفساد والبغي والعدوان النفوس الردية

Terjemahan: Syara’ (agama) telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, kita dilarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan berlakunya kebencian rakyat kepada mereka mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan. (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 203-204)

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (691H-751H) berkata: Nasihat adalah sifat ihsan yang lahir daripada perasaan belas-kasihan semata-mata kerana Allah untuk menanggung akibatnya, cacian yang buruk daripada orang yang dinasihati setelah dilakukan dengan lemah lembut. Sekiranya nasihat untuk meyakinkannya tidak diterima, maka orang yang memberi nasihat tersebut tidak dikira melampaui batas dan dia akan menerima balasan atas usahanya tersebut daripada Allah, di samping merahsiakan (menutup aib) orang yang dinasihatinya dan sentiasa mendoakannya (dengan kebaikan). (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 208)

Imam ash-Shan’ani rahimahullah (1099H-1182H) berkata:

والنصيحة لأئمة المسلمين إعانتهم على الحق وطاعتهم فيه وأمرهم به وتذكيرهم لحوائج العباد ونصحهم في الرفق والعدل

قال الخطابي: ومن النصيحة لهم الصلاة خلفهم والجهاد معهم وتعدد أسباب الخير في كل من هذه الأقسام لا تنحصر قيل وإذا أريد بأئمة المسلمين العلماء فنصحهم بقبول أقوالهم وتعظيم حقهم والاقتداء بهم ويحتمل أنه يحمل الحديث عليهما فهو حقيقة

Maksud “Nasihat kepada pemimpin umat Islam” adalah membantu mereka dalam menegakkan kebenaran, mematuhi mereka dalam apa yang diperintahkan (dalam perkara kebenaran), membantu/memberikan cadangan yang baik kepada mereka, menasihati mereka supaya bersifat kasih-sayang dan ‘adil.

Al-Khaththabi berkata: Di antara bentuk nasihat terhadap pemimpin umat Islam adalah solat di belakang mereka dan berjihad bersama mereka.

Sebab-sebab kebaikan dari setiap pembahagian ini terlalu banyak dan tidak mungkin untuk dihadkan. Ada pendapat yang mengatakan: Sekiranya yang dimaksudkan pemimpin umat Islam di sini adalah para ulama maka cara menasihati mereka adalah dengan menerima fatwa mereka, menghormati dan menjadikan mereka sebagai ikutan. Pemimpin yang dimaksudkan dalam hadis ini mencakupi pemimpin (pemerintah) dan ulama. (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 4/210)
Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهانا كبراؤنا من أصحاب رسول الله، قالوا: لا تسبوا أمراءكم، ولا تغشوهم، ولا تبغضوهم، واتقوا الله، واصبروا؛ فإن الأمر قريب

Terjemahan: Telah dikhabarkan berkenaan larangan daripada para Sahabat Rasulullah, mereka berkata:

Janganlah kamu memaki-hamun pemerintah/pemimpin kamu, menipu mereka, membenci mereka, dan takutlah kamu kepada Allah, serta bersabarlah. Bahawa sesungguhnya perintah itu adalah dekat. (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/69, no. 7523. al-Albani, Dzilalil Jannah fii Takhrij as-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim, 2/217, no. 1015: Sanadnya Jayyid)

Para pemimpin atau pihak penguasa bukanlah maksum, tindakan mereka mungkin benar dan mungkin tidak. Kerana mereka adalah termasuk manusia biasa, sama seperti kita semua. Kita atau pun mereka masih memerlukan nasihat daripada orang-orang yang ikhlas serta tunjuk-ajar daripada orang-orang yang bertaqwa lagi berilmu. Menasihati para pemimpin hendaklah berdasarkan kepada garis panduan syara’, petunjuk agama, dan kefahaman generasi salafush-sholeh (generasi awal umat Islam dari para sahabat, Tabi’in, dan Tabi’ut Tabi’in) dengan tujuan yang murni (ikhlas), diplomasi, lunak, lemah lembut, dan bijaksana supaya hasilnya berjaya dicapai serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tanggungjawab dan kewajiban yang amat besar untuk melaksanakan urusan yang mulia ini terletak di atas bahu para ulama dan para pendakwah yang ikhlas.

Imam Malik B. Anas rahimahullah (93H-179H) berkata:

حق على كل مسلم أو رجل، جعل الله في صدره شيئًا من العلم والفقه، أن يدخل على ذي سلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، ويعظه؛ لأن العالم إنَّما يدخل على السلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، فإذا كان فهو الفضل الذي ليس بعده فضل

Terjemahan: Telah menjadi kewajiban ke atas setiap umat Islam yang dikurniakan oleh Allah di dalam dadanya ilmu dan kefahaman terhadap agama untuk bertemu dengan pemerintah, mengajaknya berbuat baik, mencegahnya daripada melakukan maksiat. Sekiranya ia melaksanakan tugas tersebut, maka tidak ada lagi perkara yang lebih baik dari itu. (al-Qadhi ‘Iyadh, Tartib al-Madarik wa Taqribul Masalik, 1/66)

Disebutkan oleh imam al-Baihaqi rahimahullah (Abu Bakr Ahmad B. Husin al-Baihaqi, 384H-458H) daripada Abu ‘Utsman:

قال أبو عثمان : فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم

و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين

Terjemahan: Berkata Abu ‘Utsman: Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklahlah rakyatnya.

Berhati-hatilah kamu, jangan sehingga mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula. (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/26, no. 7401)

Imam al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Abu al-Faraj ‘Abd ar-Rahman ibn Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Baghdadi al-Hanbali, W. 795 H) berkata:

وأما النصيحة لأئمة المسلمين فحب صلاحهم ورشدهم وعدلهم وحب اجتماع الأمة عليهم وكراهة افتراق الأمة عليهم والتدين بطاعتهم في طاعة الله عز و جل والبغض لمن رأى الخروج عليهم وحب إعزازهم في طاعة الله عز و جل
“Ada pun nasihat untuk para pemimpin umat Islam maka ia adalah cintakan kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di alam urusan berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

Seterusnya beliau menjelaskan lagi:

والنصيحة لأئمة المسلمين معاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وتذكيرهم به وتنبيههم في رفق ولطف ومجانبة الوثوب عليهم والدعاء لهم بالتوفيق وحث الأغيار على ذلك

Dan nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah dengan membantu mereka dengan kebenaran, taat kepada mereka dalam urusan tersebut (kebenaran), mengingatkan mereka kepada perkara tersebut dan menasihati mereka dengan lemah lembut, tidak menentang mereka dan mendoakan mereka dengan taufiq (kebaikan) dan mendorong kepada kebaikan lainnya.” (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 79. Maktabah Syamilah)

Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak umum. Prinsip ini antaranya diambil dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Terjemahan: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia ingat atau takut”. (Surah Thoha, 20: 43-44)

Istidlalnya adalah sekiranya kepada Fir’aun (pemerintah/penguasa yang kafir) pun Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan Nabi Musa ‘alaihis Salam dan Nabi Harun ‘alaihis Salam berbicara secara lemah lembut maka adalah lebih utama lagi kepada pemimpin Islam.

Dr. Khalid ‘Ali al-Anbari berkata:

Dalam satu peristiwa, seorang lelaki telah berkata kepada Sultan Harun al-Rasyid ketika beliau sedang bertawaf:

أريد أن أكلمك بكلام فيه خشونة فاحتمله! فقال الرشيد: لا، ولا كرامة، فقد بعث الله من هو خير منك إلى من هو شر مني فقال: فَقُولاَ لَهُ قَوْلاً لَّيِّنًا

“Aku ingin berbicara dengan engkau secara kasar, oleh itu hendaklah engkau bersabarlah.” Maka Harun al-Rasyid menjawab:

“Tidak! Sekiranya tanpa kemuliaan (cara yang benar). Sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik daripada kamu, iaitu Musa ‘alaihis Salam kepada orang yang lebih jahat daripada aku, (iaitu Fir’aun sebagaimana firman Allah kepada Nabi Musa ‘alaihis Salam dan Nabi Harun):

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut”.” (Dr. Khalid ‘Ali al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 208)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (W. 774H) menjelaskan di dalam tafsirnya:

هذه الآية فيها عبرة عظيمة، وهو أن فرعون في غاية العتو والاستكبار، وموسى صفوة الله من خلقه إذ ذاك، ومع هذا أمر ألا يخاطب فرعون إلا بالملاطفة واللين

Ayat ini memiliki pengajaran (‘ibrah) yang agung (sangat bermanfaat), di mana walaupun Fir’aun adalah seorang penguasa yang sangat zalim lagi sombong, dan Musa pula adalah manusia yang dipilih oleh Allah di antara makhluk-Nya pada ketika itu, akan tetapi Allah melarangnya dari berbicara kepada Fir’aun melainkan dengan perkataan yang sopan lagi berlemah-lembut. (Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 5/234)
Dari Majmu’ al-Fatawa Ibnu Taimiyyah:

إن الله يرضي لكم ثلاثا :أن تعبدوه و لا تشركوا به شيئا و أن تعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و أن تناصحوا من ولاه الله أمركم

Terjemahan: “Sesungguhnya Allah meredhai untukmu tiga perkara, iaitu hendaklah kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada Tali Allah dan jangan kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada orang-orang yang diberi Allah tanggungjawab mengurus urusanmu (para pemimpin).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 35/7. Dari Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 9/109, no. 3236)

Berikut adalah sebuah hadis yang merupakan asas lagi prinsip yang telah dijadikan pegangan oleh para ulama di dalam urusan menasihati pemerintah:

فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
Terjemahan: Maka berkata ‘Iyadh B. Ghanm, wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, 3/102, no. 910. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Zhilalil Jannah, no. 1096. Begitu juga di dalam Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/229)

Di dalam Kitab Dzilalil Jannah (Takhrij as-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim), hadis ini diletakkan di dalam bab:

باب كيف نصيحة الرعية للولاة

Bab: Bagaimana rakyat menasihati penguasa.

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

ولكنه ينبغي لمن ظهر له غلط الإمام في بعض المسائل أن يناصحه ولا يظهر الشناعة عليه على رؤوس الأشهاد بل كما ورد في الحديث أنه يأخذ بيده ويخلو به ويبذل له النصيحة ولا يذل سلطان الله وقد قدمنا في أول كتاب السير هذا أنه لا يجوز الخروج على الأئمة وإن بغوا في الظلم أي مبلغ ما أقاموا الصلاة ولم يظهر منهم الكفر البواح والأحاديث الواردة في هذا المعنى متواترة ولكن على المأموم أن يطيع الإمام في طاعة الله ويعصيه في معصية الله فإنه لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق

“Akan tetapi, sesiapa yang mengetahui kesalahan seseorang imam (pemimpin) di dalam sebahagian urusan, hendaklah menasihatinya tanpa memalukannya di hadapan khalayak umum. Namun caranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui sebuah hadis: “Hendaklah ia mengambil tangan penguasa tersebut dan mengajak berduaan dengannya, mencurahkan nasihat kepadanya, dan tidak menghinakan sultan (penguasa) Allah”. Telah kami paparkan di awal buku as-Siyar bahawa tidak boleh memberontak kepada imam-imam (pemerintah) umat Islam walaupun mereka melakukan kezaliman apa pun selagi mereka masih tetap menegakkan solat dan tidak menzahirkan kekufuran yang nyata dari diri mereka. Hadis-hadis yang diriwayatkan dengan makna seperti ini adalah mutawatir. Namun wajib bagi orang yang dipimpin untuk mentaati imam dalam ketaatan kepada Allah dan mengingkarinya apabila ia mengajak (memerintahkan) bermaksiat kepada Allah. Kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam urusan maksiat kepada al-Khaliq”. (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar, 1/965)

Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali menyebutkan:

وكان السلف إذا أرادوا نصيحة أحد وعظوه سرا حتى قال بعضهم من وعظ أخاه فيما بينه وبينه فهي نصيحة ومن وعظه على رؤوس الناس فإنما وبخه وقال الفضيل بن عياض رحمه الله المؤمن يستر وينصح والفاجر يهتك ويعير

ابن عباس رضي الله عنهما عن أمر السلطان بالمعروف ونهيه عن المنكر فقال إن كنت فاعلا ولابد ففيما بينك وبينه

Terjemahan: Generasi salaf sekiranya mahu menasihati seseorang, mereka akan menasihatinya secara rahsia sehingga salah seorang dari mereka berkata:

“Sesiapa yang menasihati saudaranya secara empat mata, itulah dia nasihat. Sesiapa yang menasihatinya di hadapan manusia (khalayak umum), sebenarnya ia sedang memburuk-burukkannya.

Al-Fudhail B. ‘Iyadh berkata:

“Orang yang beriman menutup ‘aib dan menasihati, manakala orang yang jahat pula dia membuka ‘aib dan memburuk-burukkan.”

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah ditanya berkaitan persoalan mengajak pemerintah kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran. Maka, Ibnu ‘Abbas pun menjawab:

“Sekiranya kamu rasa perlu melakukannya, maka lakukanlah dengan empat mata (secara rahsia).” (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 82. Maktabah Syamilah)

Dari sebuah hadis:

عن أسامة بن زيد قال قيل له ألا تدخل على عثمان فتكلمه فقال أترون أني لا أكلمه إلا أسمعكم والله لقد كلمته فيما بيني وبينه ما دون أن أفتتح أمرا لا أحب أن أكون أول من فتحه

Daripada Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Seseorang berkata kepadanya: “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?”. Maka Usamah menjawab:

“Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku harus memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 14/261, no. 5305)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Ahmad B. ‘Ali al-‘Asqalani, 773H-786H) menjelaskan berkenaan perkataan tersebut:

أي باب الإنكار على الأئمة علانية خشية ان تفترق الكلمة

“Iaitu (maksudnya) membuka pintu mengingkari para penguasa dengan cara terang-terangan (di hadapan khalayak umum), kerana aku bimbang kesatuan umat Islam akan berpecah-belah.” (al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/52)

Imam al-Hafiz al-Quthubi rahimahullah (Abu ‘Abdullah Muhammad B. Ahmad al-Qurthubi, Wafat 671H) menjelaskan:

يعني أنه كان يجتنب كلامه بحضرة الناس، ويكلمه إذا خلا به، وهكذا يجب أن يعاتب الكبراء والرؤساء، يعظمون في الملأ، إبقاء لحرمتهم، وينصحون في الخلاء أداء لما يجب من نصحهم

وقوله: "لقد كلمته فيما بيني وبينه" يعني أنه كلمه مشافهة، كلام لطيف؛ لأنه أتقى ما يكون عن المجاهرة بالإنكار والقيام على الأئمة، لعظيم ما يطرأ بسبب ذلك من الفتن والمفاسد

Terjemahan: (Dari hadis Usamah tadi) Maksudnya adalah beliau menghindarkan diri daripada memperkatakan kemungkaran pemimpin di hadapan orang ramai dan apabila tiada orang barulah dia membuka bicara menegur pemimpin tersebut (secara rahsia). Dan menegur kesalahan pemimpin ini adalah kewajiban tetapi hendaklah memuliakan mereka di hadapan umum (dengan cara yang ma’ruf) bagi menghomati mereka. Dan menasihati mereka adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan.

Dan perkataan “Sesungguhnya aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya)”:

Maksudnya adalah bahawa Usamah radhiyallahu ‘anhu menasihati pemimpin secara lisan dengan perkataan yang lembut disebabkan bimbang (takut-takut) akan membawa fitnah dan kerosakan yang besar sekiranya teguran atau nasihat tersebut dilakukan secara terbuka. (al-Qurthubi, al-Mufham Lima Usykila min Talkhish Kitab Muslim, 21/143-144)

Hadis di atas juga sebenarnya menjelaskan hadis berikut:

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

“Sesungguhnya jihad yang besar adalah kalimat ‘adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim/jahat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Jami’ ash-Shoghir, Shohih Sunan at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Namun dalam masa yang sama, terdapat sebahagian pihak yang memanipulasikan hadis ini untuk membenarkan tindakan mengkritik dan mengaibkan para pemimpin di mimbar-mimbar ceramah atau melalui tulisan-tulisan lalu disebarkan ke khalayak umum. Perkara ini sama sekali tidak tepat. Kerana apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa, bukannya di belakang penguasa, atau di hadapan orang ramai.

Perlu kita fahami bahawa untuk menyampaikan sesuatu kebenaran, tidak boleh dengan cara yang batil. Niat dan tujuan yang baik tidak pernah menghalalkan cara. Maka, untuk menyampaikan kebenaran, perlulah dengan cara dan kaedah yang benar juga. Iaitu sebagaimana yang telah dijelaskan, apabila kita ingin menasihati pemimpin demi untuk menyampaikan kebenaran (kalimat yang ‘adil), maka hendaklah kita pergi terus merujuk kepadanya atau bertemu dan berdepan kepadanya. Bukan sebaliknya dengan menyebarkan aib serta kesalahan para pemimpin kepada orang ramai. Kerana cara tersebut bukanlah nasihat yang syar’i.

Oleh sebab itulah tindakan menyampaikan nasihat kebenaran kepada pemimpin ini disebut sebagai “jihad yang besar” kerana secara realitinya tidak semua pihak (umat Islam) memiliki kemampuan (dari sudut ilmu mahupun keupayaan) dalam menyampaikan sesuatu nasihat atau teguran yang bertepatan dengan kehendak agama. Ini adalah kerana, tindakan menyampaikan teguran kepada pemimpin mungkin saja mampu mengundang pelbagai akibat dan risiko. Dengan itu, hanya mereka yang memiliki sifat sabar, berilmu, beradab lagi berhikmah sahajalah yang berupaya memikul beban dan tanggungjawab menasihati sekaligus mengubah para pemimpin yang zalim atau fasiq ke arah kebaikan.

Penjelasan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Abu al-‘Abbas Ahmad B. ‘Abdul Halim al-Harrani, W 728H):

وَمَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَاجِبٌ عَلَى الْإِنْسَانِ وَإِنْ لَمْ يُعَاهِدْهُمْ عَلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ لَهُمْ الْأَيْمَانَ الْمُؤَكَّدَةَ كَمَا يَجِبُ عَلَيْهِ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالزَّكَاةُ وَالصِّيَامُ وَحَجُّ الْبَيْتِ . وَغَيْرُ ذَلِكَ مِمَّا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ الطَّاعَةِ ؛ فَإِذَا حَلَفَ عَلَى ذَلِكَ كَانَ ذَلِكَ تَوْكِيدًا وَتَثْبِيتًا لِمَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ . فَالْحَالِفُ عَلَى هَذِهِ الْأُمُورِ لَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَفْعَلَ خِلَافَ الْمَحْلُوفِ عَلَيْهِ سَوَاءٌ حَلَفَ بِاَللَّهِ أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ مِنْ الْأَيْمَانِ الَّتِي يَحْلِفُ بِهَا الْمُسْلِمُونَ ؛ فَإِنَّ مَا أَوْجَبَهُ اللَّهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَاجِبٌ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ ؛ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ وَمَا نَهَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ عَنْ مَعْصِيَتِهِمْ وَغِشِّهِمْ مُحَرَّمٌ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَى ذَلِكَ . وَهَذَا كَمَا أَنَّهُ إذَا حَلَفَ لَيُصَلِّيَنَّ الْخَمْسَ وَلَيَصُومَنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ أَوْ لَيَقْضِيَنَّ الْحَقَّ الَّذِي عَلَيْهِ وَيَشْهَدَنَّ بِالْحَقِّ : فَإِنَّ هَذَا وَاجِبٌ عَلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ وَمَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ وَرَسُولُهُ مِنْ الشِّرْكِ وَالْكَذِبِ وَشُرْبِ الْخَمْرِ وَالظُّلْمِ وَالْفَوَاحِشِ وَغِشِّ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَالْخُرُوجِ عَمَّا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ مِنْ طَاعَتِهِمْ : هُوَ مُحَرَّمٌ ؛ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ

Terjemahan: Mentaati para pemimpin dan memberi nasihat kepada mereka di mana dia diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah kewajiban bagi setiap orang, walaupun tanpa perjanjian darinya untuk mereka, dan walaupun dia tidak bersumpah untuk mereka dengan sumpah yang ditegaskan (sumpah rasmi), sebagaimana wajib ke atasnya Solat lima waktu, zakat, puasa, Haji ke Baitullah dan ketaatan-ketaatan lain yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya dia bersumpah padanya, maka perkara tersebut merupakan penegasan dan pengukuhan terhadap ketaatan kepada para pemimpin dan menasihati mereka di mana dia diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Orang yang bersumpah atas perkara-perkara ini tidak boleh melakukan perbuatan yang menyelisihi sumpah yang telah dia tegakkan, sama ada dia bersumpah kerana mentaati para pemimpin dan menasihati mereka yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah wajib walaupun mereka yang berkaitan itu tidak bersumpah atasnya, maka bagaimana sekiranya dia bersumpah atasnya? Dan menentang serta mengkhianati mereka, yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya adalah haram walaupun dia tidak bersumpah atasnya.

Perkara ini sebagaimana seseorang bersumpah hendak solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, atau hendak menunaikan hak yang dipikulnya dan bersaksi dengan kebenaran, semua ini wajib ke atasnya walaupun dia tidak bersumpah untuk perkara tersebut, lalu bagaimana sekiranya dia bersumpah untuknya? Manakala syirik, dusta, minum arak, melakukan kezaliman, perbuatan keji, mengkhianati pemimpin, menolak dari mentaatinya padahal ia diperintahkan oleh Allah, bahawa semua itu dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. Jadi, ia adalah haram, walaupun mereka yang berkaitan tidak bersumpah atasnya, lalu bagaimana sekiranya dia bersumpah untuk perkara tersebut?... (Majmu’ al-Fatawa, 35/9-10)

Imam Muhyiddin an-Nuhhas rahimahullah (W. 614H) berpesan:

Apa yang kami sebutkan di atas berkenaan bab ini (amar ma’ruf nahi mungkar), begitu juga dengan yang sebelumnya adalah bilamana yang mencegah kemungkaran tersebut adalah penguasa, maka tidak seorang pun yang berhak melarangnya untuk memerangi pelaku kemungkaran secara paksa dengan tangan, atau dengan mengangkat pedang (senjata)... ...kerana perkara tersebut akan menyebabkan munculnya fitnah, menimbulkan keburukan (huru-hara), menjatuhkan kewibawaan penguasa di dalam hati rakyatnya, kemungkinan perkara tersebut akan menimbulkan pembangkangan dan menghuru-harakan negara, atau sebagainya.

Adapun menyampaikan nasihat untuk mencegah kemungkaran penguasa dengan cara mencaci-maki dan mengucapkan kata-kata yang kasar, seperti perkataan:

“Wahai orang zalim, wahai orang jahat, wahai orang fasiq, wahai orang yang tidak takut kepada Allah”, dan perkataan kasar lainnya, maka hendaklah ia melihat terlebih dahulu, apabila ia tahu bahawa perkataannya tersebut akan memberi kesan buruk kepada orang lain, maka ia tidak dibenarkan melakukannya, sebagaimana dia juga tidak dibenarkan mengatakannya di hadapan yang lain, tetapi apabila ia hanya bimbang untuk dirinya sendiri (hanya melibatkan dirinya dan penguasa), maka dia dibolehkan untuk melakukannya, malah disunnahkan, kerana perbuatan tersebut akan mendorongnya untuk menjadi seorang syahid.

Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis terdahulu:

Sesungguhnya Syuhada yang paling utama adalah Hamzah B. ‘Abdul Muthalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat, lalu dia memerintahkannya dan melarangnya sehingga dia dibunuh, sesungguhnya jihad yang paling utama adalah menyampaikan kalimat yang benar di hadapan penguasa yang jahat (zalim).

Telah menjadi tradisi kaum salaf (umat Islam terdahulu) di dalam menghadapi segala bahaya, tegas dalam mengingkari sesuatu kemungkaran, tanpa menghiraukan kebinasaan tubuhnya dan hilangnya harta, menghadapi segala bentuk ujian dan siksaan, mempersiapkan diri mereka untuk celaka, memikul segala musibah yang menimpanya, bersabar dengan segala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hanya mengharapkan ganjaran dari Allah.

Allah berfirman ketika menceritakan berkenaan wasiat Luqman kepada anaknya:

“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) melaksanakan kebaikan dan cegahlah (mereka) dari kemungkaran dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah). (Surah Luqman, 31: 17)

Sebahagian kaum salaf telah mewasiatkan anaknya:

“Sekiranya seseorang dari kamu ingin melakukan amar ma’ruf, hendaklah ia mempersiapkan dirinya untuk bersabar, yakin akan pahala yang akan diperolehinya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sesiapa yang yakin dengan ganjaran yang akan diperolehinya dari Allah, nescaya dia tidak akan diganggu. Allah telah menjaga kebanyakkan mereka dari kejahatan orang-orang yang zalim kerana berkat keikhlasan mereka, baiknya tujuan mereka, kuatnya ketaqwaan mereka, dan perkataan mereka hanya semata-mata mengharapkan redha Allah Ta’ala”. (Rujuk: Muhyiddin Abi Zakariya B. Ahmad B. Ibrahim an-Nuhhas, Tanbihul Ghafiliin ‘An A’malul Jahiliin wa Tahdzirus Salikiin, m/s. 112-113, Terbitan/Terjemahan: Pustaka as-Sunnah (Indonesia))

Di lembaran yang lain, beliau menjelaskan lagi:

Mereka yang masuk untuk menemui para pemimpin dan penguasa dengan tujuan mencegah suatu kemungkaran dan untuk memberikan nasihat, maka tujuannya tersebut wajib berlandaskan kepada keikhlasan, semata-mata hanya mengharapkan redha Allah.

Mereka yang melakukan perbuatan ini namun tujuannya supaya dikenali oleh penguasa dan mendapatkan jawatan, atau supaya mendapatkan pujian dari manusia, sehingga orang ramai memuji-mujinya, orang ramai mengucapkan terima kasih atas perbuatannya, sehingga hatinya penuh dengan sanjungan dan pengagungan dari manusia, sehingga orang akan berkata:

“Dia telah berkata tegas di hadapan penguasa dan memberikannya nasihat, dia juga tidak menghiraukan risiko yang akan dihadapinya”.

Sehingga dia menjadi seorang yang begitu hebat dan dihormati oleh manusia, dan dibimbangi perkara tersebut akan diikuti oleh orang-orang yang sepertinya yang memiliki tujuan yang pelbagai dalam perbuatannya. Ini adalah suatu fitnah besar yang wajib dijauhi, supaya selalu diawasi, memperbaiki tujuan sebelum melaksanakan. Jika tidak, mungkin ia hanya mendapatkan kebencian di dunia dan tidak akan mendapat ganjaran apa pun, malah dia adalah seorang yang berdosa dan hina. Kemungkinan perbuatannya tersebut akan menyebabkan kematiannya, sehingga dia terbunuh dalam keadaan maksiat, sedangkan ia menyangka bahawa dirinya adalah Syuhada yang paling hebat, sedangkan manusia dibangkitkan pada hari kiamat nanti berdasarkan niatnya. (Rujuk: Muhyiddin Abi Zakariya B. Ahmad B. Ibrahim an-Nuhhas, Tanbihul Ghafiliin ‘An A’malul Jahiliin wa Tahdzirus Salikiin, m/s. 131, Terbitan/Terjemahan: Pustaka as-Sunnah (Indonesia))

Walau bagaimanapun, di sana terdapat perkataan Imam Ibnu Muflih yang melarang mengungkapkan perkataan yang kasar di ketika pergi menasihati pemerintah walaupun di dalam keadaan yang tertutup. Dan perkara ini disokong oleh dalil al-Qur’an sebagaimana kisah Musa dan Harun yang diperintahkan menemui Fir’aun dengan perkataan yang lemah-lembut.

Fatwa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz rahimahullah (Mufti Saudi ‘Arabia pada masanya):

ليس من منهج السلف التشهير بعيوب الولاة وذكر ذلك على المنابر؛ لأن ذلك يفضي إلى الفوضى، وعدم السمع والطاعة في المعروف، ويفضي إلى الخوض الذي يضر ولا ينفع، ولكن الطريقة المتبعة عند السلف: النصيحة فيما بينهم وبين السلطان، والكتابة إليه، أو الاتصال بالعلماء الذين يتصلون به حتى يوجه إلى الخير، وإنكار المنكر يكون من دون ذكر من فعله، ويكفي إنكار المعاصي والتحذير منها من غير ذكر أن فلانًا يفعلها لا حاكم ولا غير حاكم، ولما وقعت الفتنة في عهد عثمان؟ قال: أنكر عليه عند الناس؟ لا أفتح باب شر على الناس، ولما فتحوا الشر في زمن عثمان وأنكروا عليه جهرة تمت الفتنة والقتال والفساد الذي لا يزال الناس في آثاره إلى اليوم، حتى حصلت الفتنة بين علي ومعاوية، وقتل عثمان وعلي بأسباب ذلك، وقتل جم كثير من الصحابة وغيرهم بأسباب الإنكار العلني وذكر العيوب علنًا، حتى أبغض الناس ولي أمرهم وحتى قتلوه

Terjemahan: Bukan dari manhaj (prinsip) salaf menyebarkan ‘aib para pemimpin dan menghebahkannya di atas mimbar-mimbar kerana ia akan membawa kepada kacau-bilau, perintahnya tidak didengar dan ditaati dalam perkara yang ma’ruf serta membawa kepada kemudharatan dan tidak bermanfaat sama sekali. Adapun kaedah yang dilakukan para ulama salaf adalah:

1 – Menasihati pemerintah secara rahsia (empat mata).

2 – Menulis surat kepadanya, atau

3 – Menghubungi ulama yang dekat/rapat (ada kedudukan) di sisi pemerintah supaya mereka dapat membimbingnya ke arah kebaikan.

Mencegah kemungkaran adalah dengan tidak menyebut nama si pelaku, memadai dengan menegur maksiat yang dilakukan serta memberi amaran dengan ancaman yang benar, tidak perlu mengisyaratkan siapa si pelaku maksiat. Cara begini dilakukan kepada semua orang tanpa mengira sama ada si pelaku adalah dari kalangan pemimpin atau orang awam.

Ketika ditanya berkaitan fitnah di zaman ‘Utsman, beliau menjawab:

(Utsman sendiri berkata): “Aku menafikan fitnah yang berlaku ini adalah dari kalangan rakyat, aku tidak mahu membuka pintu kejahatan terhadap rakyat.”

Namun, apabila masyarakat membuka pintu kejhatan (fitnah) di zaman beliau dan mereka menentangnya secara terbuka, maka berlakulah fitnah, pembunuhan, serta kerosakkan yang mana sehingga sekarang masyarakat Islam masih merasai kesannya, bahkan setelah itu, berlaku pula fitnah di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah. Pembunuhan Utsman dan ‘Ali adalah rentetan dari fitnah tersebut. Begitu juga pembunuhan sebahagian besar dari kalangan sahabat dan yang lainnya. Yang merupakan dengan sebab mengingkari dan membuka keaiban pemerintah di khalayak umum sehingga masyarakat di ketika itu membenci pemimpin dan membunuh mereka. (Lihat: ‘Abdus Salam Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, m/s. 57-58. Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 210-211)

Al-‘Allamah al-faqih Syaikh Muhammad B. Sholeh al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

Nasihat untuk para pemerintah (umara’) dilaksanakan dengan cara:

1 – Meyakini/mengiktiraf keimamahannya (kepimpinannya) serta kedudukan mereka. Sesiapa yang tidak meyakininya, bererti ia tidak termasuk orang-orang yang menasihati mereka. Dengan tidak meyakininya, ia tidak akan melakukan perintah dari mereka dan tidak pula menghentikan larangannya. Maka yang pertama, kita perlu mengiktirafnya sebagai imam atau amir (pemimpin). Sesiapa yang meninggal dunia tetapi tidak memiliki bai’at (ketaatan) kepada pemimpin, maka ia mati dalam keadaan jahiliyah. Dan sesiapa sahaja yang mentadbir/menguruskan hal-ehwal umat Islam, walaupun ia naik dengan cara pemberontakkan, maka bererti ia adalah seorang pemimpin, sama ada dari bangsa Quraisy mahu pun selainnya.

2 – Menyebarkan kebaikan mereka kepada rakyat, kerana perkara tersebut akan menambahkan rasa cinta rakyat terhadapnya, dan sekiranya rakyat mencintainya maka mereka akan lebih mudah untuk diatur dan mengikuti perintahnya.

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh sebahagian pihak yang dengan mudah menyebarkan keburukan-keburukan mereka dan menyembunyikan pelbagai kabaikannya. Ini adalah perbuatan yang zalim dan tidak amanah (tidak bertanggungjawab) di mana mereka menyebarkan satu keburukan tetapi melupakan kebaikan yang telah mereka laksanakan. Perkara tersebut jelas tidak bertanggungjawab.

Melaksanakan perintah dan menjauhi apa yang mereka larang, melainkan apa yang mereka perintahkan tersebut merupakan maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, kerana tiada ketaatan kepada makhluk dalam soal maksiat kepada al-Khaliq (Allah yang Maha Menciptakan). Melaksanakan perintah mereka bukan bererti kita sedang bermain dengan politik, tetapi kita katakan bahawa perkara tersebut termasuk ibadah, dengan dalil bahawa Allah ‘Azza wa Jalla yang telah memerintahkan kita dengan firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)

Allah menjadikan ketaatan kepada mereka (pemimpin) termasuk di antara ketaatan kepada-Nya dan apa yang diperintahkan Allah adalah merupakan ibadah.

Dalam urusan mentaati mereka (pemimpin) tidak disyaratkan bahawa pemimpin tersebut mestilah yang suci dari maksiat kepada Allah. Taatilah perintah mereka (selagi mana yang bukan maksiat), walaupun mereka (pemimpin) bermaksiat kepada-Nya, kerana kamu hanya diperintahkan mentaatinya (dalam urusan yang tidak bertentangan dengan agama), walaupun mereka sendiri melakukan maksiat kepada Allah.

4 – Menutup ‘aib-‘aib mereka (tidak menyebarkannya) dengan sedaya-upaya. Alasannya adalah sekiranya ‘aib mereka anda sebarkan, maka ia bukanlah termasuk bentuk-bentuk nasihat, dan perkara tersebut hanya akan mengakibatkan hati (seluruh rakyat) diselubungi kebencian, kedengkian, dan kemarahan terhadap para pemimpin, dan jika perasaan seluruh rakyat penuh dengan sifat yang tersebut, maka akan muncul pula pembangkangan (protes) terhadap pemimpin yang akhirnya akan menimbulkan keburukan dan kefasadan (kejahatan) yang hanya Allah yang mengetahuinya.

Menutupi ‘aib mereka bukanlah bermaksud kita membiarkan ia begitu sahaja, tetapi kita wajib menasihati pemimpin secara langsung (sekiranya mampu) atau melalui perantara para ulama atau sesiapa sahaja yang memiliki kedudukan. Berkaitan dengan ini, Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu mengingkari ucapan suatu kaum yang mengatakan:

“Kamu belum melakukan apa pun dan belum menasihati khalifah (pemimpin).”

Kemudian beliau menjawab: “Adakah kamu mahu aku menceritakan kepada kamu setiap apa yang aku perkatakan kepada khalifah?” Sudah tentu ia tidak perlu.

Maka termasuk perbuatan yang bijak, sekiranya kamu menasihati pemimpin dan kamu tidak menceritakan kepada sesiapa pun kerana perkara tersebut hanya akan menimbulkan keburukan yang parah.

5 – Tidak melakukan pemberontakkan dan penentangan (gerakkan membangkang) terhadap mereka. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak memberikan keringanan (tidak membenarkan) melakukan pembangkangan, melainkan sebagaimana yang beliau katakan:

“Kamu melihat ia melakukan kekufuran yang nyata, di mana kamu memiliki keterangan yang nyata dari Allah dalam perkara tersebut.” Iaitu dengan dalil yang jelas/pasti.

Kemudian, sekiranya perkara tersebut adalah jelas dengan syarat tersebut, adakah bererti kita boleh terus memberontak begitu sahaja? Kerana di sana terdapat perbezaan dalam perkara ini.

Dan jawabnya:

Kita tidak dibolehkan terus sahaja dengan serta-merta memberontak, walaupun telah jelas darinya kekufuran yang darinya memiliki dalil dari Allah (yang boleh dipertanggungjawabkan) melainkan sekiranya telah jelas padanya memiliki kemaslahatan (kemampuan/keupayaan). Tidak termasuk maslahat sekiranya hanya kelompok yang kecil dengan senjata yang tidak seberapa untuk menghadapi sebuah kuasa negara yang lengkap dengan bala tentera dan persenjataannya. Ini adalah kerana ia hanya akan mengakibatkan pertumpahan darah dan menghalalkan yang haram (membunuh jiwa yang tidak berdosa), tanpa mendatangkan hasil. Padahal pada awalnya, mereka menghendaki keburukan penguasa diubah, sebagaimana pemberontakkan yang dilakukan kaum khowarij di zaman Khulafa’ur Rasyidin radhiyallahu ‘anhum. Sehingga zaman ini. Di mana yang terhasil hanyalah keburukan dan kehancuran yang tidak diketahui seorang pun melainkan oleh Allah, Tuhan para makhluk (hamba).

Namun, sebahagian pihak tetap menyalakan api kebencian di hati-hati mereka, kemudian mereka melakukan pelbagai jenis aksi/tindakkan yang buruk hasilnya. Ini adalah kesalahan yang besar.

Lalu kita bertanya, sekiranya demikian, apa ukuran kekufuranm kerana sebahagian kelompok menganggap kafir tetapi sebahagian yang lainnya tidak?

Jawabnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberikan peringatan yang penting dalam perkataannya, iaitu “Kuffran Bawwahan” (kekufuran yang jelas nyata) yang tidak lagi dapat ditakwil dengan maksud yang lain, seperti contohnya kamu melihat mereka sujud kepada patung, mendengar secara langsung dia mencela Allah atau Rasul-Nya atau yang seumpamanya (walaupun hujjah telah ditegakkan – pent.). (Rujuk: Syaikh Ibn ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7, dari website beliau: http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17802.shtml)

Sebenarnya, pengalaman umat Islam di sepanjang zaman yang berlalu menguatkan hujjah bawa mengkritik para pemimpin secara terbuka sehingga membawa kepada berkumpulnya orang ramai adalah perkara yang sangat-sangat membawa fitnah. Mencaci, memaki-hamun, dan menghina pemimpin adalah perbuatan yang bertentangan dengan agama dan akhlak umat Islam, bahkan akan membawa kepada nyalaan api fitnah yang besar.

Perlu kita fahami bahawa perbuatan mencegah kemungkaran adalah suatu perkara yang diwajibkan oleh agama, namun caranya juga perlulah dengan apa yang dijelaskan oleh agama. Mereka yang meninggalkan garis panduan tersebut lalu menggantikannya dengan cara-cara yang lain, sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka sendiri kepada dosa dan termasuk perbuatan mengubah-suai kaedah-kaedah agama. Dan mungkin, dosa perbuatan mereka tersebut adalah lebih besar berbanding dosa golongan yang hanya berdiam diri. Ini adalah disebabkan mereka bertindak dengan menyalahi kaedah syara’ yang dengannya hanya mengakibatkan kerosakkan yang lebih besar, jauh sekali untuk meraih kebaikan.

Sekiranya Pemimpin Tidak Mahu Menerima Nasihat

Seringkali kita mendengar alasan bahawa nasihat dan amar ma’ruf nahi mungkar telah dilaksanakan ke atas para pemimpin. Namun, mereka masih tetap tidak berubah dan tidak menjadi baik. Maka dari itu, mereka punya mengajak kita supaya bertindak menghebahkan keburukan para pemimpin supaya rakyat mengetahuinya lalu meninggalkan pemimpin dan sekiranya berpeluang, kita perlu menjatuhkan mereka.

Wallahu a’lam, sebagaimana yang telah diterangkan dengan begitu jelas di atas di mana kita dilarang menghebahkan keburukan para pemimpin selagi mana mereka masih seorang muslim. Berikut kami bentangkan perkataan para ulama sebagai pencerahan.

Imam Abu Zakaria Yahya B. Sharaf an-Nawawi rahimahullah (Wafat 631H-676H) ketika menjelaskan hadis:

إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِيْ أَثَرَةً فَاصْبِرُوْا حَتَّى تَلْقَوْنِيْ عَلَى الْحَوْضِ

“Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemegang amanah (pemimpin) yang tidak memenuhi amanahnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985. Muslim, 5/291, no. 1758)

Katanya:

فيه الحث على السمع والطاعة وإن كان المتولي ظالماً عسوفاً، فيعطي حقه من الطاعة، ولا يخرج عليه، ولا يخلع، بل يتضرع إلي الله – تعالي – في كشف أذاه، ودفع شره، وإصلاحه

“Di dalam (hadis) ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan dirinya. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan/siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Imam an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 12/232)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Taqiyuddin Abu al-‘Abbas Ahmad B. ‘Abdul Halim al-Harrani, wafat 728H) turut menjelaskan:

وَقَدْ ذَكَرْت فِي غَيْرِ هَذَا الْمَوْضِعِ أَنَّ مَصِيرَ الْأَمْرِ إلَى الْمُلُوكِ وَنُوَّابِهِمْ مِنْ الْوُلَاةِ ؛ وَالْقُضَاةِ وَالْأُمَرَاءِ لَيْسَ لِنَقْصِ فِيهِمْ فَقَطْ بَلْ لِنَقْصِ فِي الرَّاعِي وَالرَّعِيَّةِ جَمِيعًا ؛ فَإِنَّهُ " كَمَا تَكُونُونَ : يُوَلَّى عَلَيْكُمْ " وَقَدْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى : { وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا } وَقَدْ اسْتَفَاضَ وَتَقَرَّرَ فِي غَيْرِ هَذَا الْمَوْضِعِ مَا قَدْ أَمَرَ بِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ فِي غَيْرِ مَعْصِيَةِ اللَّهِ ؛ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَالصَّبْرِ عَلَيْهِمْ فِي حُكْمِهِمْ وَقَسْمِهِمْ ؛ وَالْغَزْوِ مَعَهُمْ وَالصَّلَاةِ خَلْفَهُمْ وَنَحْوَ ذَلِكَ مِنْ مُتَابَعَتِهِمْ فِي الْحَسَنَاتِ الَّتِي لَا يَقُومُ بِهَا إلَّا هُمْ

Terjemahan: Aku telah menyebutkan di tempat/tajuk yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman/pemimpin bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129)

Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di selain tempat ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mereka tidak dalam bermaksiat kepada Allah, (bertindak) menasihati mereka, bersabar di dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama mereka, solat di belakang mereka, mengikuti mereka di dalam perkara-perkara yang baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.

فَإِنَّهُ مِنْ " بَابِ التَّعَاوُنِ عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى " وَمَا نَهَى عَنْهُ مِنْ تَصْدِيقِهِمْ بِكَذِبِهِمْ وَإِعَانَتِهِمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ وَطَاعَتِهِمْ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَنَحْوِ ذَلِكَ ؛ مِمَّا هُوَ مِنْ بَابِ التَّعَاوُنِ عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Terjemahan: Maka ini adalah termasuk perbuatan tolong-menolong di dalam kebaikan dan taqwa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga melarang membenarkan mereka untuk perkara dusta (yang tidak benar), membantu mereka melakukan penganiayaan, mentaati mereka dalam persoalan maksiat kepada Allah dan perkara-perkara semakna dengannya yang termasuk tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan salah.

وَمَا أَمَرَ بِهِ أَيْضًا مِنْ الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيِ عَنْ الْمُنْكَرِ : لَهُمْ وَلِغَيْرِهِمْ عَلَى الْوَجْهِ الْمَشْرُوعِ ؛ وَمَا يَدْخُلُ فِي ذَلِكَ مِنْ تَبْلِيغِ رِسَالَاتِ اللَّهِ إلَيْهِمْ

Terjemahan: Dan (Rasulullah) juga memerintahkan beramar-ma’ruf serta ber-nahi mungkar kepada mereka dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.

بِحَيْثُ لَا يَتْرُكُ ذَلِكَ جُبْنًا وَلَا بُخْلًا وَلَا خَشْيَةً لَهُمْ وَلَا اشْتِرَاءً لِلثَّمَنِ الْقَلِيلِ بِآيَاتِ اللَّهِ ؛ وَلَا يَفْعَلُ أَيْضًا لِلرِّئَاسَةِ عَلَيْهِمْ وَلَا عَلَى الْعَامَّةِ وَلَا لِلْحَسَدِ وَلَا لِلْكِبَرِ وَلَا لِلرِّيَاءِ لَهُمْ وَلَا لِلْعَامَّةِ

Terjemahan: Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana disebabkan takut, kedekut dan malu/segan kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad/dengki, sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).

وَلَا يُزَالُ الْمُنْكَرُ بِمَا هُوَ أَنْكَرُ مِنْهُ. بِحَيْثُ يَخْرُجُ عَلَيْهِمْ بِالسِّلَاحِ ؛ وَتُقَامُ الْفِتَنُ كَمَا هُوَ مَعْرُوفٌ مِنْ أُصُولِ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ كَمَا دَلَّتْ عَلَيْهِ النُّصُوصُ النَّبَوِيَّةُ ؛ لِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ الْفَسَادِ الَّذِي يَرْبُو عَلَى فَسَادِ مَا يَكُونُ مِنْ ظُلْمِهِمْ ؛ بَلْ يُطَاعُ اللَّهُ فِيهِمْ وَفِي غَيْرِهِمْ وَيُفْعَلُ مَا أَمَرَ بِهِ وَيُتْرَكُ مَا نَهَى عَنْهُ

Terjemahan: Dan kemungkaran tidaklah dihilangkan dengan kemungkaran yang lebih mungkar. Iaitu seperti dalam bentuk keluar memberontak ke atas mereka dengan kekerasan/senjata, dan fitnah-fitnah yang menimbulkan perselisihan sebagaimana ia telah diketahui dari prinsip asas/dasar Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan sebagaimana perkara tersebut ditunjukkan oleh nash-nash nabawiyah kerana perbuatan tersebut menimbulkan keburukan yang lebih besar daripada keburukan kerana kezaliman mereka, dan yang benar adalah hendaklah Allah ditaati dengan mentaati mereka dan selain mereka, apa yang diperintahkan hendaklah dilaksanakan/dilakukan dan apa yang dilarang-Nya hendaklah dijauhi. (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dan Ibnu Taimiyyah di atas, kebaikan tidak boleh hanya diharapkan daripada para pemimpin semata-mata. Tetapi, sebelum itu wajib bagi masyarakat (rakyat) supaya memperbaiki diri-diri mereka dengan kembali kepada agama yang lurus, bersih dan murni. Yang dengannya, Allah akan menjadikan bagi mereka pemimpin-pemimpin yang baik dari kalangan mereka.

Di antara sebabnya adalah kerana para pemimpin itu sendiri asalnya diangkat dari kalangan mereka sendiri. Sekiranya masyarakat di dalam keadaan yang baik, maka para pemimpin juga akan diangkat dnegan cara yang baik dan bersikap pula dengan sikap yang baik.

Syaikh ‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di rahimahullah menjelaskan ketika mentafsirkan surah al-An’am pada ayat 129 dengan katanya:

أن العباد إذا صلحوا واستقاموا، أصلح الله رعاتهم، وجعلهم أئمة عدل وإنصاف، لا ولاة ظلم واعتساف

... sekiranya manusia baik dan berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat. (‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di, Taisir Karimir Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan, 1/273)

Perkara ini diperkuatkan pula dengan penjelasan oleh Imam Ibnu Abil-‘Izz al-Hanafi rahimahullah (Wafat 792 H) berikut:

وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا ، فلأنه يترتب على الخروج من طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم ، بل في الصبرعلى جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور ، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا ، والجزاء من جنس العمل ، فعلينا الإجتهاد في الإستغفار والتوبة وإصلاح العمل . قال تعالى : وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ. وقال تعالى : أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ. وقال تعالى : مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ. وقال تعالى : وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ. فإذا أراد الرعية أن يتخلصوا من ظلم الأمير الظالم ، فليتركوا الظلم

Terjemahan: “Adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mentaati mereka (para pemerintah) walaupun mereka banyak melakukan kefasadan (keburukan). Ini adalah kerana keburukan yang ditimbulkan akibat keluar dari ketaatan kepada mereka lebih besar daripada kesan keburukan yang terhasil disebabkan keburukan mereka. Malah, kesabaran di dalam menghadapi kejahatan mereka dapat menghapuskan pelbagai keburukan dan melipat-gandakan pahala. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan mereka berkuasa ke atas kita (dengan keburukannya tersebut) melainkan kerana buruknya amal-amal kita sendiri. Balasan yang diberikan itu bergantung kepada jenis amal yang dilakukan. Maka, yang menjadi kewajiban bagi kita adalah berusaha bersungguh-sungguh di dalam memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Dan setiap musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kamu).” (Surah asy-Syuuraa, 42: 30).

“Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpa kamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’, 4: 79)

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’aam, 6: 129)

Maka, apabila rakyat mahu melepaskan diri dari kezaliman pemimpin yang zalim, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman mereka (terlebih dahulu).” (Rujuk: Ibnu Abil-‘Izz al-Hanafi, Syarah al-‘Aqidah ath-Thohawiyyah. Tahqiq: Syaikh Ahmad Muhammad Syakir, m/s. 252, Maktabah Syamilah)

Prinsip ini kemudiannya diikuti pula oleh Syaikh al-‘Allamah Muhammad Nashiruddin al-Albani (rahimahullah) dengan penjelasannya:

وفي هذا بيان لطريق الخلاص من ظلم الحكام الذين هم (( من جلدتنا، ويتكلمون بألسنتنا )) وهو أن يتوب المسلمون إلى ربهم، ويصححوا عقيدتهم، ويربوا أنفسهم وأهليهم على الإسلام الصحيح، تحقيقاً لقوله تعالى: { إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ }، وإلى ذلك أشار أحد الدعاة المعاصرين بقوله: (( أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم، تقم لكم على أرضكم )). وليس طريق الخلاص ما يتوهم بعض الناس، وهو الثورة بالسلاح على الحكام. بواسطة الإنقلابات العسكرية، فإنها مع كونها من بدع العصر الحاضر، فهي مخالفة لنصوص الشريعة التي منها الأمر بتغيير ما بالأنفس، وكذلك فلا بد من إصلاح القاعدة لتأسيس البناء عليها : وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Terjemahan: “Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para pemerintah yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam yang benar/sahih. Perkara tersebut adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita ini berkata, “Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi”.

Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan memerangi penguasa. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan (islah) pada masyarakat dengan cara yang baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40) (Rujuk: al-Albani, Takhrij al-‘Aqidah ath-Thahawiyyah, m/s. 69, Maktabah Syamilah)

Syaikh Dr. Sholeh bin ‘Abdullah B. Fauzan al-Fauzan hafizahullah menasihatkan dengan katanya:

والإمام أحمد صبر في المحنة، ولم يثبت عنه أنه دعا عليهم أو تكلم فيهم، بل صبر وكانت العاقبة له، هذا مذهب أهل السنة والجماعة. فالذين يدعون على ولاة أمور المسلمين ليسوا على مذهب أهل السنة والجماعة، وكذلك الذين لا يدعون لهم، وهذا علامة أن عندهم انحرافاً عن عقيدة أهل السنة والجماعة. وبعضهم ينكر على الذين يدعون في خطبة الجمعة لولاة الأمور، ويقولون: هذه مداهنة، هذا نفاق، هذا تزلف. سبحان الله ! هذا مذهب أهل السنة والجماعة، بل من السنة الدعاء لولاة الأمور؛ لأنهم إذا صلحوا صلح الناس، فأنت تدعو لهم بالصلاح والهداية والخير، وإن كان عندهم شر، فهم ما داموا على الإسلام فعندهم خير، فما داموا يُحَكِّمون الشرع، ويقيمون الحدود، ويصونون الأمن، ويمنعون العدوان عن المسلمين، ويكفون الكفار عنهم، فهذا خير عظيم، فيدعى لهم من أجل ذلك. وما عندهم من المعاصي والفسق، فهذا إثمه عليهم، ولكن عندهم خير أعظم، ويُدعى لهم بالاستقامة والصلاح فهذا مذهب أهل السنة والجماعة، أما مذهب أهل الضلال وأهل الجهل، فيرون هذا من المداهنة والتـزلف، ولا يدعون لهم، بل يدعون عليهم

والغيرة ليست في الدعاء عليهم، فإن كنت تريد الخير؛ فادعُ لهم بالصلاح والخير، فالله قادر على هدايتهم وردهم إلى الحق، فأنت هل يئست من هدايتهم؟ هذا قنوط من رحمة الله، وأيضاً الدعاء لهم من النصيحة، كما قال عليه الصلاة والسلام: “الدين النصيحة، الدين النصيحة، الذين النصيحة” قلنا: لمن يا رسول الله ؟ قال: “لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم” . فهذا أصل عظيم يجب التنبه له، وبخاصة في هذه الأزمنة

“Imam Ahmad telah bersabar dalam menghadapi dugaan dan ujian (yang ditimpakan penguasa Muktazilah dizamannya), dan tidak tsabit tentangnya bahawa beliau pernah mendoakan mereka agar mendapat melapetaka dan kebinasaan, bahkan tidak juga berbicara memburuk-burukkan mereka, akan tetapi beliau tetap bersabar dan kerana itulah kemenangan berpihak kepada beliau. Inilah mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Orang-orang yang mendoakan agar para pemimpin umat Islam mendapat malapetaka dan kebinasaan tidaklah berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah, demikian juga orang-orang yang tidak mahu mendoakan agar mereka mendapat kebaikan. Semua ini adalah tanda penyimpangan mereka dari aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Sebahagian mereka mengingkari ke atas orang-orang yang berdoa pada khutbah Jumaat agar para pemimpin kaum muslimin mendapat kebaikan, kemudian mereka mengatakan: “Doa seperti ini adalah sikap mencari muka terhadap pemimpin tersebut (mudahanah), ini merupakan kemunafikan, dan ini hanya pendekatan diri kepada penguasa tersebut.” Subhanallah, inilah sebenarnya mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah (mazhab yang benar) kerana yang sunnah adalah mendoakan para pemimpin supaya mereka mendapat kebaikan kerana apabila mereka baik, akan baik pulalah masyarakat. Maka anda hendaklah mendoakan agar mereka mendapat hidayah, kesolehan dan kebaikan, sekalipun mereka memiliki keburukan. Selagi mereka masih muslim, maka mereka masih tetap memiliki kebaikan. Selagi mereka menjalankan syariat, menegakkan hukum hudud, menjaga keamanan, mencegah orang-orang kafir dari mereka, maka semua ini adalah kebaikan yang besar, maka mereka didoakan supaya mendapatkan kebaikan adalah kerana itu semua. Dan apa yang ada pada diri mereka berbentuk maksiat dan kefasikan, dosa tersebut adalah di bawah tanggungan mereka sendiri. Akan tetapi mereka memiliki kebaikan yang lebih besar, sehingga mereka didoakan dengan istiqamah dan kesolehan. Inilah mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Sedangkan mazhab orang-orang yang mengikuti kesesatan dan orang-orang yang mengikuti kejahilan, maka mereka berpandangan bahawa doa seperti ini adalah merupakan suatu sikap mencari muka (mudahanah) dan pendekatan diri kepada penguasa sehingga mereka tidak mendoakan mereka agar mendapat hidayah, akan tetapi sebaliknya mendoakan mereka agar ditimpakan kebinasaan dan keburukan.

Dan ghairah (kepada Allah) bukan dengan mendoakan keburukkan bagi mereka. Jika anda benar-benar inginkan kebaikan, maka doakanlah supaya mereka mendapatkan kesolehan dan kebaikan. Allah Maha Berkuasa untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mengembalikan mereka kepada kebenaran. Adakah anda berputus-asa akan adanya hidayah bagi mereka? Ini ertinya berputus asa dari rahmat Allah. Juga mendoakan mereka supaya memperolehi kebaikan termasuk nasihat untuk mereka, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

“Agama adalah nasihat, agama adalah nasihat, agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya, untuk para pemimpin kaum muslimin dan kaum muslimin keseluruhannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Maka inilah prinsip yang agung yang wajib ditekankan baginya, khususnya di zaman kita hari ini.” (al-Ilmamu bimanhaj as-Salaf fiit Ta’amul ma’al hukkam, m/s. 30-31)

Imam Abu Bakr Muhammad B. Al-Walid ath-Thurthusi rahimahullah (Wafat 520H) membawakan perkataan ‘Abdul Malik B. Marwan (seorang Khalifah Bani Umayyah) kepada rakyatnya:

قال عبد الملك بن مروان: ما أنصفتمونا يا معشر الرعية، تريدون منا سيرة أبي بكر وعمر ولا تسيرون فينا ولا في أنفسكم بسيرتهما

Terjemahan: Berkata ‘Abdul Malik B. Marwan:

Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kamu mahukan dari kami seperti pemerintahan Abu Bakr dan ‘Umar, tetapi kamu tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi rakyat di zaman mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar).” (Ath-Thurthusi, Siraj al-Muluk, 1/94)

Juga perkataan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Muhammad B. Sholeh al-‘Utsaimin (rahimahullah):

وذكروا أن رجلا من الخوارج الذين خرجوا على علي بن أبي طالب جاءوا إلى علي فقال له يا علي ما بال الناس قد تغيروا عليك ولم يتغيروا على أبي بكر وعمر ؟ قال لأن رجال أبي بكر وعمر أنا وأمثالي ورجالي أنت وأمثالك

Terjemahan: Terdapat seorang lelaki dari kalangan khowarij datang untuk memberi peringatan kepada ‘Ali B. Abi Tholib lalu berkata:

“Wahai ‘Ali, kenapa manusia banyak mengkritik pentadbiran engkau, sebaliknya tidak seperti permerintahan Abi Bakr dan ‘Umar?”

Maka ‘Ali pun menjawab:

“Kerana para rakyat di zaman Abi Bakr dan ‘Umar adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, tetapi rakyat pada masaku pula adalah kamu dan orang-orang yang seperti kamu.” (al-‘Utsaimin, Syarah Riyadhus Sholihin, 1/220, Maktabah Syamilah. Lihat juga web rasmi Ibn ‘Utsaimin, Syarah Riyadhush Sholihin, Bab 23: al-Amr bil Ma’ruf wa al-Nahi ‘An al-Mungkar, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_18033.shtml)

Maka dengan ini, telah jelaslah prinsi-prinsip di dalam memperbaiki para pemimpin yang melakukan maksiat atau kezaliman. Iaitu dengan cara menasihatinya dengan cara terbaik dan sentiasa mendoakannya dengan keikhlasan yang penuh pengharapan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di dalam masa yang sama hendaklah berusaha memperbaiki diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat secara umumnya supaya sentiasa berada di atas landasan agama yang sebenar.

Dan bukannya dengan cara melakukan provokasi, memalukannya, menghakis kepercayaan rakyat ke atasnya, melakukan pemberontakan, kritikan terbuka, menjatuhkannya, atau seumpamanya. Yang dengannya hanya akan menimbulkan fitnah yang lebih besar. Lebih perlu diperhatikan, ia juga bukanlah kaedah yang dibenarkan oleh agama.

Dan dengannya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berjanji melalui ayatnya:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Terjemahan: Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, selepas mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Surah an-Nuur, 24: 55)

Wallahu a’lam...

2 ulasan:

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

salam, mungkin akh dah terangkan segala umum..

Soalan.

1) Adakah dibenarkan kita menasihati pemimpin secara umum?

cth: Kita memberi tazkirah berkenaan kewajiban menjadi pemimpin adil dan kutukan terhadap kejahatan-kejahatan mereka sambil kita ulang-ulang dalam majlis2 kita dan kita mencela perangai para pemimpin yang zalim tanpa kita menyebut nama mereka.

Seperi mana yang dilakukan oleh Imam Ghazali dan Iman Abdul Qadir Jailani

2) dikatakan Imam Al-Ghazali dan Imam An-Nawawi membuat pengecualian terhadap mengumpat antaranya:

a. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu bertujuan membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

b. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang/pihak tertentu agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

c. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan mungkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

jika perktaan2 ini benar, maka dalam konteks ketiadaan khilafah pada masa ini, adakah dibenarkan kita mengkritik kezaliam yang dilakukan oleh kumpulan tertentu yang memerintah sperti mengkritik tindakan Parti Baath (Sosialis) yang memenjara ramai pendakwah Islam.

Akh minta maaf cuma ana nak kita adil dan tidak tertipu dengan petunjuk musuh Islam (kafir harbi) yg sudah lama membaca text2 kita.

Ana takut kekeliruan terhadap kefahaman tentang menasihati pemimpin secara lemah lembut menjadikan ulama2 kita sbg boneka memenagkan kefasiqan sbhgian pihak.

Maka ana mencadangkan akh menyusun artikel (mengikut manhj salaf yg terlebih adil dan saksama):

1. Golongan yang dibenarkan diumpat
2. Ancaman-ancaman terhadap pemimpin yang zalim
3. Ahlu Aqli wa Ahdi: dalam konteks siyasah muasirah.

terpaksa kita akur bahawa politik masyarakat dunia mengalami perubahan drastik. Tidak dapat mengelak untuk kita berijtihad dlam perkra soal kenegaraan.

Bukankah Khalifah Umar pernah mmbuat separation of power terhadap institusi kehakiman dan eksekutif?

Maka, selaku peminat dan penyanjung manhaj yg akh bawa, menasihati akh untuk berfikiran muasir tanpa meninggalkan manhaj salaf.

lagi hebat dan disanjung kalau boleh rangka sistem negara Islam Malaysia mengikut acuan salaf.

Ingat! jangan tertipu dengan kolonial?

akhuka fillah syukran




No comments:

Post a Comment