Friday, November 26, 2010

SIHIR itu KUFUR!!




Takrif Sihir:

Pada Bahasa: Sesuatu yang tersembunyi sebabnya.

Pada Istilah: Jampi serapah, tangkal-tangkal, dan simpulan-simpulan tali, yang memberi kesan kepada hati dan badan yang menyebabkan sakit, membunuh, memisahkan antara dua orang (menjadikan persaan benci antara dua yang berkasihan) atau menimbulkan kasih antara yang saling membenci, dan sebagainya.

[rujuk: Taisir al-Azizi al-Hamid,m.s 325]


Jenis-jenis Sihir:


Pertama: Sihir yang dilakukan dengan jampi serapah, tangkal azimat, dan simpulan-simpulan tali disertai dengan amalan taqarrub kepada jin seperti penyembelihan haiwan tertentu sebagai persembahan kepada syaitan.

Kedua: Sihir yang dilakukan dengan ubat-ubatan, perasapan dan seumpamanya tanpa disertai dengan amalan taqarrub kepada syaitan .


Pembahagian sihir seperti ini diambil daripada pemerhatian ke atas kalam Imam al-Syafii r.h namun setelah diteliti, ternyata bahagian yang kedua daripada sihir ini bukanlah sihir yang dikehendaki pada syarak namun ianya bersesuaian dengan asal bahasa makna sihir iaitu sesuatu yang tersembunyi sebabnya.


Nabi s.a.w menamakan “al-Bayan” (kata-kata yang berseni) sebagai sihir kerana kata-kata itu boleh memukau pendengarnya dan membuat mereka kagum dan tidak kurang juga terpedaya sehingga yang batil disangka hak dan hak disangka batil.


Nabi s.a.w menamakan al-Namimah (adu domba) sebagai sihir kerana ianya membuat manusia yang berkawan menjadi musuh, yang bercinta menjadi benci, dan yang bersatu menjadi pecah seumpama kesan sihir al-Sarf (pemisah) yang biasa dilakukan untuk mencerai beraikan suami isteri.


Termasuk dalam jenis sihir yang kedua ini adalah amalan silap mata yang menggunakan peralatan dan kepantasan tangan semata-mata tanpa ada unsur-unsur syaitan kerana ia sesuatu yang tersembunyi sebabnya dan kelihatan sesuatu yang mencarik adat walaupun pada hakikatnya tidak.


Sihir Hakikat dan Khayal:


Sihir juga terbahagi kepada:


Pertama: Hakikat iaitu yang memberi kesan sebenar dengan izin Allah Ta’ala seperti sihir pemisah, sihir yang menyebabkan sakit, sihir yang membunuh seperti santau, dan lain-lain yang mempunyai kesan sebenar.


Ini berdalilkan firman Allah Ta’ala:


فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ


Maksudnya: “maka mereka belajar daripada keduanya (Harut dan Marut) apa yang memisahkan antara seseorang dengan pasangannya dan apa yang sebenarnya tidaklah mereka memudaratkan dengannya seseorang pun melainkan dengan izin Allah jua…” [al-Baqarah: 102].


Juga firman Allah Ta’ala:


وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ


Maksudnya: “dan (aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan para peniup di atas simpulan-simpulan”. [al-Falaq: 4].


Dimaksudkan dalam ayat-ayat ini adalah wanita-wanita sihir yang menjalankan sihir mereka dengan membuat simpulan-simpulan tali atau bungkusan-bungkusan azimat kemudian mereka melakukan “nafats” yakni semburan ringan dgn sedikit air liur ke atas simpulan itu beserta niat jahat yang diikuti dengan ruh yang jahat (Syaitan) maka memberi kesan pada orang yang disihir.


Jika sihir tidak memberi kesan dan tidak memudaratkan tentulah Allah s.w.t tidak akan memerintahkan kita supaya berlindung dengan-Nya daripada kejahatan sihir dan ahli sihir.


Kedua: Sihir Khayalan yakni amalan-amalan sihir yang pada zahir kelihatan ia mengubah sesuatu kepada sesuatu yang lain, namun sebenarnya hanyalah khayalan di mana syaitan menyamarkan ke atas manusia perkara tersebut.


Ini seperti sihir yang dilakukan tukang sihir Fir’aun sebagaimana firman Allah Ta’ala:


قَالَ بَلْ أَلْقُوا فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَى


Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka. [Taha: 66].


Firman Allah Ta’ala:


قَالَ أَلْقُوا فَلَمَّا أَلْقَوْا سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ


Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (Keadaan dan caranya). [al-Aa’raf: 116].


Kata Imam Ibn Katsir r.h:


خيلوا إلى الأبصار أن ما فعلوه له حقيقة في الخارج، ولم يكن إلا مجرد صنعة وخيال


Maksudnya: “Mereka mengkhayalkan kepada mata-mata bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah hakikat sebenar sedangkan ianya sekadar tipu muslihat”. [Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/456].


Para Ulama Tafsir menyatakan bahawa para Ahli Sihir Fir’aun memasukkan dalam Tali dan Tongkat mereka dengan Merkuri yang apabila dicampak ke tengah panas memberi kesan tali-tali dan tongkat-tongkat ini bergerak. [Ibn Katsir, 5/302, Fathul Qadir, 5/11].


Namun, jika diteliti dengan benar, walaupun sihir itu khayalan namun ia tetap memberi kesan kepada mereka yang melihatnya maka ini menunjukkan sihir itu mempunyai Ta’tsir (kesan) dan hakikat –dan semuanya berlaku dengan izin Allah sesuai dengan iradah kauniah-Nya-. [Lihat Nota Kaki: Tahqiq al-Tajrid, juz 2 m.s 269].


Maka di sini bezanya Akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dengan Akidah Muktazilah, di mana Ahlus Sunnah wal Jamaah berkeyakina Sihir itu ada yang hakikat dan ada yang khayal sedangkan Muktazilah menyatakan sihir itu semata-mata khayal.


Ini suatu pengingkaran benda yang badihi (daruri) kerana mana mungkin dikatakan orang yang mati yang kerana sihir matinya hanya suatu khayalan??! Atau mereka yang sakit dan bercerai berai kerana sihir itu hanya silap mata semata-mata?!


Maka yang sebenarnya, sihir jika berkaitan dengan pemisahan, pembunuhan, merosakkan akal, jiwa, dan hati maka ini semua hakikat, namun jika berkaitan dengan pengubahan suatu bentuk kepada bentuk yang lain maka ini khayalan.



Bagaimana Sihir itu Berlaku?


Berlakunya sihir adalah apabila seseorang manusia itu mendekatkan dirinya kepada Syaitan dengan menyembah Syaitan seperti melakukan korban kepada Jin, menyeru jin, melakukan amalan-amalan yang kufur seperti memijak mushaf, dan ada juga yang pada awal urusannya menjaga amalan solat, bahkan sentiasa solat berjemaah tetapi solatnya itu dilakukan atas perintah dan kehendak Jin bukan untuk Allah dan ada juga yang solat tetapi dalam keadaan hadas.


Kesimpulannya, seseorang itu akan menjadi Ahli Sihir dengan menjadi kafir kepada Allah dan beriman dengan Syaitan –nauzubillah min zalik- kemudian Syaitan tadi akan menunaikan hajat tukang sihir ini yang pada hakikatnya dia dipergunakan dan diperhambakan oleh Syaitan itu.



Hukum Beriman akan Wujudnya Sihir:


Wajib atas setiap mukmin mempercayai dan mengakui wujudnya sihir kerana ianya telah dinyatakan dengan terang dalam al-Qur’an dan al-Hadis seperti mana kewajipan beriman wujudnya Jin.


Mereka yang ingkar akan kewujudan sihir dan jin adalah kafir selepas ditegakkan padanya Hujah kerana dia ingkar perkara yang sarih (jelas) dalam al-Qur’an.

Firman Allah Ta’ala:


فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللَّهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْكَافِرِينَ


Maksudnya: (apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadaNya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir? [al-Zumar: 32].


Maksud kebenaran dalam ayat ini adalah al-Qur’an dan wahyu, maka barangsiapa yang mendustakan apa-apa sahaja perkara yang jelas dalam wahyu sama ada al-Qur’an mahupun Sunnah maka dia dihukum kafir oleh Allah Ta’ala dan diancam dengan azab neraka yang kekal –nauzubillah min zalik-.


Namun, perlu difahami bahawa semua yang berlaku daripada kesan sihir adalah semata-mata dengan izin dan kehendak Allah Ta’ala yang kauni qadari (rujuk artikel kami berkenaan al-Qada’ wal Qadar untuk memahami sifat Iradat Allah).


Keimanan bahawa sihir ini mudaratnya hanya berlaku dengan izin Allah adalah sebaik-baik penawar bagi sihir, maka dengan itu mereka yang terkena sihir tidak akan mencari sihir yang lain untuk memusnahkannya bahkan akan kembali rujuk kepada Allah Ta’ala dan jika sakitnya berterusan dia akan sabar dan tetap atas iman.


Firman Allah Ta’ala:

وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “dan tidaklah mereka itu (Ahli Sihir) dapat memberi mudarat seseorang pun melainkan dengan izin Allah jua”. [al-Baqarah: 102].



Hukum Belajar dan Beramal dengan Sihir:


Terdapat 3 Peringkat mereka yang belajar dan beramal dengan sihir:


1- Belajar tanpa beramal

2- Belajar dan beramal denagnnya sekali sahaja.

3- Belajar dan beramal dengan sihirnya (ini dinamakan Ahli Sihir).


Maksud belajar di sini adalah mereka yang ‘menuntut’ dalam Istilah masyarakat Melayu kita seperti dia pergi bertapa, berguru dengan bomoh dan seumpamanya.


Ketiga-tiga jenis martabat ini adalah Syirik dan Kufur kerana Allah Ta’ala berfirman:


وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ


Maksudnya: “mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir…” [al-Baqarah: 102].


Dalam ayat yang suci ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa amalan sihir adalah kufur dan syaitan-syaitan yang mengajarkan sihir kepada manusia adalah kafir dan Allah Ta’ala menafikan apa yang didakwa oleh Yahudi bahawa amalan sihir itu berasal daripada Nabi Sulaiman ‘alaihis solatu was salam.


Kaum Yahudi adalah kaum syaitan manusia yang paling banyak mengamalkan sihir dan Allah Ta’ala telah mengkafirkan mereka atas tindakan ini. Maka tidak syak lagi sihir dan penagamalnya adalah kufur dan musyrik kepada Allah Ta’ala.


Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat yang sama:


وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ


Maksudnya: dan tidaklah keduanya (Harut dan Marut) mengajarkan seseorang pun (ilmu sihir) sehingga mereka berpesan kepadanya: “Sesungguhnya kami (berdua) adalah ujian (untuk kamu) maka janganlah kamu menjadi kafir (dengan belajar sihir)


Ayat ini menjelaskan bahawa Malaikat Harut dan Marut diperintahkan Allah Ta’ala untuk turun ke dunia di bumi Babilon membawa ujian dan cubaan kepada manusia iaitu ilmu sihir, sesiapa yang hendak belajar ilmu sihir mereka akan diberi peringatan terlebih dahulu bahawa ilmu sihir ini adalah kufur dan syirik, jika mereka berdegil juga selepas itu, mereka akan diajar ilmu sihir dan jadilah mereka itu orang-orang yang kafir.


Perlu difahami bahawa Harut dan Marut adalah dua Malaikat yang mulia yang diperintahkan Allah Ta’ala untuk membawa ujian kepada manusia bukan seperti riwayat yang tersebar bahawa mereka berdua adalah Malaikat yang diuji, diberikan nafsu, diturunkan ke dunia kemudian melakukan maksiat dan syirik ianya tidak tsabit kepada Rasulullah s.a.w namun adalah daripada cerita Bani Israil (Israiliyyat).


Jelas daripada penerangan Allah Ta’ala kepada kita dalam ayat 102 surah al-Baqarah ini, amalan sihir adalah kufur dan pelakunya adalah kafir, nauzubillah min zalik.

Ini adalah hukum bagi sihir yang berlaku padanya amalan-amalan syirik seperti memijak mushaf, menyembah syaitan, dan seumpamanya.


Firman Allah Ta’ala:


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَؤُلَاءِ أَهْدَى مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا (51) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ وَمَنْ يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا (52)


Maksudnya: tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w). (kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya. [al-Nisaa: 51-52].


Maksud al-Jibt dalam ayat ini antaranya adalah Sihir dan Taghut adalah Syaitan, Allah mencela mereka yang menjadikan Sihir dan Syaitan sebagai amalan dan semabahannya dan menyatakan mereka adalah kaum yang dilaknat. Ini jelas menunjukkan kafirnya penyembah syaitan dan Ahli Sihir

.

Adapun jenis sihir yang kedua; sihir berdasarkan alat-alatan, ubat-ubatan, dan kepantasan tangan maka ini adalah HARAM, dan barangsiapa yang menghalalkannya maka dia kafir.


Ini kerana sihir yang jenis ini atau dinamakan sebagai Sya’wazah tidak terlepas dalamnya penipuan, memudaratkan pihak yang lain, dan perkara-perkara fasiq yang lainnya.


Ini termasuk amalan silap mata kerana sabda Nabi s.a.w:


وَيْلٌ لِلَّذِى يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ


Maksudnya: Celakalah bagi mereka yang bercerita kepada manusia lalu dia berdusta untuk membuatkan sesuatu kaum ketawa, celakalah baginya dan celakalah baginya” [Abu Daud, al-Tarmizi dan Ahmad-hadis hasan-].



Amalan Silap Mata tidak lepas daripada unsur penipuan dengan tujuan membuatkan manusia tertawa maka dia termasuk dalam ancaman Nabi s.a.w ini tanpa syak lagi.



Hukuman Atas Ahli Sihir:


Apabila telah tsabit seseorang itu terlibat mengamalkan sihir, maka dia adalah seorang yang kafir kepada Allah Ta’ala maka hendaklah dia dihukum bunuh sebagaimana tsabit dalam nas-nas yang sahih berkenaan masalah ini.


عن بجالة بن عبدة قال: “كتب عمر بن الخطاب! أن اقتلوا كل ساحر وساحرة. قال: فقتلنا ثلاث سواحر


Maksudnya: “Daripada Bajalah bin ‘Abdah kata beliau: Umar bin al-Khattab telah menulis surat memerintahkan supaya: ‘Hendaklah kamu membunuh semua ahli sihir lelaki dan wanita’. Kata Bajalah: Maka kami membunuh tiga orang ahli sihir”. [al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra dan asal hadis ini dalam Sahih al-Bukhari].


Kata Imam Ahmad r.h, telah tsabit pelaksanaan hukuman bunuh ahli sihir daripada 3 orang Sahabat Rasulullah s.a.w iaitu: Umar, Hafsah Ummul Mukminin, dan Jundub ridwanullahi ‘alaihim.


Maka Ahli Sihir jika dia asalnya daripada muslimin, dihukum bunuh kerana perbuatannya menjadikan dia murtad, adapun jika dia seorang kafir asli, jika terbukti sihirnya membuat kerosakan, pembunuhan, dan penyesatan kepada orang ramai maka hendaklah juga dibunuh.


Zahir daripada dalil-dalil yang menunjukkan hukuman bunuh Ahli Sihir adalah dia dibunuh tanpa perlu meminta untuk dia bertaubat terlebih dahulu seperti murtad yang lain bahkan dia dihukum bunuh tanpa istitabah (diminta taubat). Wallahua’lam.



Alamat Ahli Sihir:


1- Bertanya kepada pesakit nama ibu walaupun kadang-kadang mereka akan bertanya juga nama bapa pesakit namun mereka perlu juga mengetahui nama ibu kerana ini adalah asal di sisi mereka.

2- Meminta barangan yang ada kaitan dengan pesakit seperti pakaiannya.

3- Bercakap dan membaca serapah yang tidak difahami atau disembunyikan daripada pesakit daripada mendengarnya yang kadang-kadang diselangi ayat-ayat al-Qur’an yang sengaja dikuatkan bacaannya untuk mengelirukan pesakit sedangkan jampi selebihnya dibaca secara perlahan.

4- Memberikan tangkal atau menggunakan tangkal sama ada daripada ayat al-Qur’an atau lainnya.

5- Meminta pesakit melakukan beberapa amalan pelik seperti jangan mandi untuk tempoh tertentu, jangan menyentuh air untuk tempoh tertentu, dan jangan keluar rumah untuk tempoh tertentu.

6- Meminta untuk menanam sesuatu di kawasan tertentu.

[al-Ruqyah al-Syar’iyyah wa Jahalat Ba’dul Mu’alijin, Dr. Abdullah al-Tayyar]



Cara-cara Syar’ie Merawat Sihir:


Secara ringkasnya adalah:


1- Membuang dan memusnahkan bahan yang digunakan sebagai alat sihir itu seperti mana yang Nabi s.a.w lakukan terhadap Sihir Labid bin al-A’sam –laknatullahi ‘alaih-.


2- Berbekam di kawasan badan yang dirasai terkena sihir.


3- Membaca ayat-ayat suci al-Qur’an kepada pesakit atau pada air lalu diminum dan dibuat mandi terutama surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nasa, Ayat al-Kursi, dan Surah al-Baqarah keseluruhannya.



Pelindung Diri daripada Sihir:


Antaranya:


1- Akidah yang Sahih di atas Manhaj Salafus Soleh


2- Solat Berjemaah


3- Zikir Pagi dan Petang yang sahih daripada Nabi s.a.w bukan zikir rekaan atau tambahan dan dibaca dengan cara yang sunnah bukan bidaah.


4- Bacaan al-Qur’an dan memahami serta beramal dengannya.


5- Memakan Tamar ‘Ajwah 7 biji di waktu pagi.


6- Zikir yang warid daripada Nabi s.a.w seperti zikir lepas solat, zikir ketika hendak tidur, selepas bangun tidur, masuk tandas, keluar tandas, ketika masuk dan keluar rumah, dan lainnya yang boleh didapati terhimpun dalam Kitab al-Azkar Imam al-Nawawi dan Hisnul Muslim oleh Syeikh Sa’id al-Qahtani.


*Tidak ada alasan bagi wanita yang haid untuk mengatakan dia tidak mampu melindungi dirinya daripada gangguan sihir kerana wanita haid masih boleh membaca zikir-zikir yang dinyatakan.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Rujukan:

1- Syarah-syarah Kitab al-Tauhid oleh Imam al-Dakwah Muhammad al-Tamimi

  1. Taisir al-Aziz al-Hamid
  2. Fathul Majid
  3. I’anatul Mustafid
  4. Al-Jadid
  5. Al-Tamhid
  6. Hasyiah
  7. Qurratu ‘Uyunil Muwahhidin
  8. Al-Qaul al-Mufid
  9. Tahqiq al-Tajrid
  10. Al-Taudih al-Mufid

2- Al-Ruqyah al-Syar’iyyah wa Jahalat Ba’dul Mu’alijin, Dr. Abdullah al-Tayyar.

3- Kitab-kitab Tafsir

  1. Al-Tabari
  2. Ibn Katsir
  3. Al-Baghawi
  4. Al-Qurtubi

4- Aqidah al-Tauhid, Syeikh Soleh al-Fauzan

5- Syarah-syarah Matan Nawaqid al-Islam

  1. Taisir Zil Jalal wal Ikram
  2. Tabsir al-Anam

Oleh,

Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani



No comments:

Post a Comment