Elakkan Sikap Yang Merosak Diri
Apabila ramai orang ingin bercakap berkenaan sesuatu perkara yang tidak dimahirinya, kegelinciran kata dan pandangan kerap berlaku. Namun itulah lumrah kehidupan ini, tidak mampu semua manusia menjadi ‘alim dan berilmu lagi mengetahui. Atas sebab itu juga, Allah ciptakan manusia berbeza-beza, ada yang kurang bijak, ada yang bijak dan pandai. Ada yang berkemampuan memahami dalam suatu bidang, tetapi tidak yang lain walau mempunyai aqal yang cerdas. Semua memerlukan antara satu sama lain.
Dalam ketika kita mengakui hakikat itu, menurut penilaian dan pemerhatian saya, ada beberapa perkara yang orang awam tidak boleh atau tidak sesuai untuk campur tangan dalam perbincangan antara pakar. Ada yang berkait ilmu agama, gabungan ilmu sains dan agama dan ilmu sains.
Menurut pengalaman saya, dari senarai panjang isu yang ditanyakan, terdapat dua isu atau cabang ilmu yang paling sukar untuk diperjelas. Ia disebabkan ‘nature' ilmu tersebut yang terlalu banyak berkait dengan yang lain.
SIAPA ORANG AWAM?
Orang awam yang saya ingin maksudkan dalam konteks artikel ini adalah sesiapa juga yang mempunyai basic ilmu yang sangat terhad dalam sesuatu perkara ilmu yang ingin dicakapkan.
Ahli sains yang mewaqafkan dirinya kepada kajian mendalam dan teknikal sains tanpa berkesempatan mempelajari ilmu agama secara mendalam, adalah ‘Orang Awam' apabila dia membaca dan bercakap berkenaan hal ehwal hukum dan ilmu agama Islam. Kecuali jika mereka telah memperuntukkan masa untuk mempelajari dan memahami ilmu tersebut secara betul, berguru dan disahkan. Namun ‘betul' terhadap basic ilmu tidak semestinya mendalam sehingga mampu menetapkan keputusan yang tepat, juga belum melayakannya untuk menyelesaikan isu rumit dan advance dalam cabang ilmu terbabit.
Ahli agama yang setiap hari ‘tenggelam' dalam kefahaman ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan kitab-kitab huraiannya adalah ‘Orang AWAM' apabila perkara yang ingin difikir dan disentuh berkait perihal ilmu Sains, matematik dan perakaunan, ekonomi, kewangan dan sebagainya. Kecuali jika mereka telah memperuntukkan masa untuk mempelajari dan memahami ilmu tersebut secara betul, berguru dan disahkan. Namun ‘betul' terhadap basic ilmu tidak semestinya mendalam sehingga mampu menetapkan keputusan yang tepat, juga belum melayakannya untuk menyelesaikan isu rumit dan advance dalam cabang ilmu terbabit.
Hal yang sama terpakai bagi semua individu dari mana-mana aliran pengkhususan, sama ada ahli bahasa, sastera, kejuruteraan, perubatan, hadis, tafsir, fiqh dan sebagainya. Semua secara dasarnya mempunyai autoriti untuk menyuarakan kritikan dan penjelasan dalam bidang masing-masing namun semua mereka awam apabila ingin memberi pendapat dan menentukan keputusan dalam bidang yang bukan bidang pengkhususan mereka
Namun begitu, ada sebahagian jenis ilmu yang majoriti kita layak dan mampu memberi pandangan. Biasanya ia dari jenis ilmu yang tidak bersifat terlalu teknikal dan dari jenis fikiran logik dan pengalaman diri. Seperti ilmu politik, rumahtangga, pendidikan anak, pemasaran, komunikasi dan sebagainya. Kerana itu, walau individu tersebut tidak mempunyai pengajian rasmi dan tersusun dalam bidang tersebut, pengalaman dan penelitian logika yang dilakukan boleh melayakkannya untuk memberi pandangan, penjelasan dan turut serta dalam debat bidang tersebut walau di peringkat advance dan tinggi.
Namun, penelitian dan pembacaan tidak rasmi tidak mampu melayakkan seseorang untuk layak memasuki sempadan perdebatan tahap tinggi apabila ilmu tersebut melibatkan ilmu yang teknikal dan berangkai seperti kejuruteraan, kewangan, fiqh, usul fiqh, aqidah, perubatan dan sebagainya.
Memahami situasi itu, sebagai manusia yang mempunyai kudrat yang terhad, kita amat wajar merenung dan meneliti jauh ke dalam diri, untuk mengenal diri sendiri dan kemampuan ilmu, dari golongan autoriti manakah kita dan bidang apakah yang kita ‘layak' untuk mengkritik dan menjelas dalam sesuatu bidang?
FENOMENA KURANG SIHAT HARI INI
Fenomena yang berlaku hari ini, kelihatan ramai orang cuba mengkritik dan menjelas sesuatu bidang yang bukan bidangnya kajiannya. Jika dikaji sekalipun, kajian tersebut adalah longgar disebabkan ia tidak disandarkan kepada ‘foundation' yang kukuh.
Kesan sebenarnya adalah amat buruk dan akan terus menerus mengeliru dan menyesatkan. Justeru Islam melarang berkata tanpa ilmu mencukupi atau dia akan sesat, menyesatkan dan memudaratkan.
"Ustaz, hari ini perbankan Islam guna duit fiat (kertas) yang riba, haram 100 % untuk guna, jadinya saya berpegang bahawa semua perbankan Islam hari ini adalah tipu, ‘back door riba' bila buat produk, harga mahal, zalim, malah lebih zalim dari bank konvensional. Apa komen ustaz?" Tegas seorang ‘orang awam'
" Jadinya saudara ingin kata bahawa semua bank islam yang wujud di seluruh dunia hari ini adalah haram dan riba kerana menggunakan wang kertas?" Tanya saya ingin konfirmasi.
" ya begitulah ustaz, dan ustaz pun sama terlibat" sambil menjawab itulah sebiji peluru ditembak kepada saya dengan penuh emosi.
" jadinya saudara dengan penuh sedar mengaku di hadapn Allah bahawa saudara sedang terlibat dengan riba setiap hari?" balas saya
" apa pula kaitannya dengan saya?, saya duk cerita pasal bank Islam"
" Boleh saya tahu, dalam wallet saudara ada duit emas dan perak ? dan saudara beli baju yang saudara pakai ni atau dijahit sendiri ? kerana kalau ia dibeli, saudara pakai duit emaskah?" Duga saya, manalah tahu jika sahabat ini benar-benar wali Allah yang dipenuhi karamah dan luar biasa.
" Mana ada duit emas, duit RM la, baju beli kat JUSCO"
" tadi saudara yakin dan tegas kata duit kertas itu Riba dan haram seratus peratus, jadi sekarang saudara sendiri guna duit kertas . Tidakkah sedar bahawa setiap hari saudara terlibat dengan urusanniaga riba ?
" habis tu , dah tak de duit emas , nak buat macama mana?"
"Tahu pula tidak ada duit emas di pasaran gunaan harian. Habis itu bagaimana Bank Islam ingin guna wang emas jika tiada di pasaran?. Saya nak tanya, saudara pernahkah belajar apa itu Hiyāl Syarʿiyyah, Makhraj syarʿie, Al-Hājah Tunazzal manzilah Al-Ḍarūrah, al-Tadarruj, ʿUmūm al-Balwa, Rukhṣoh, Mā ʾUbīhu Li al-Ḍarūrah yuqaddaru bi qadariha, Fiqh al-Waqiʿ, ʿillah al-thamāniyah dalam matawang, perbincangan Majmaʿ Fiqh Islami berkenaan hukum matawang kertas?" Tanya saya untuk mulakan perbincangan.
"Ḍarurat tu saya tahu, yang lain tu tak berapa pasti pulak, tetapi saya tahu ustaz nak bermadah helah kononnya darurat, ala.. asyik itu aja pointnya" katanya sambil mencebik bibir.
"Saya tak kata ḍarurat, saya hanya tanya konsep-konsep tu pernah didalami atau tidak, dan faham atau tidak kaitannya dengan wang fiat? Para ulama fiqh yang buat keputusan itu telah amat memahami fungsi dan cara cipta matawang kertas hari ini, cuma saya nak pastikan saudara sendiri pula faham tak konsep-konsep fiqh tadi, kerana ia ada kaitan dengan perbincangan fiat money. Kalau saudara tidak mahiri kesemuanya, sukar untuk kita berbincang dengan berkesan, saya susah untuk menerang, saudara juga susah untuk memahami asas-asas dan hujjah ulama fiqh tersebut." Jawab saya.
"Tak pelah ustaz, lain kali, tapi pendirian saya jelas semua bank Islam tu bohong sahaja."
"Terpulang, cuma jangan dilupa satu kesimpulan lagi, dari sudut hukum Fiqh Islam, saudara HARAM menggunakan fiat money dalam urusan seharian kerana saudara sendiri telah yakin dan tidak merasakan wujud apa-apa excuse yang boleh digunakan untuk menggunapakai wang tersebut. Maka oleh itu setiap hari saudara dalam dosa-dosa besar" saya cuba menerangkan sedikit impak terhadap pendiriannya tadi.
"Satu lagi nak bertanya saudara, kalau semua bank Islam tu bohong dan haram, so pada pandangan saudara berbillion umat Islam di seluruh dnunia hari ini, haram sama sekali untuk menggunakan bank islam jika demikian bolehkah mereka menggunakan bank konvensional?"
" Ya boleh, sebab kedua-duanya sama sahaja, malah bank konvensional lagi kurang beban" katanya mudah.
Inilah jenis biasa orang awam yang berlagak lebih mahir dari ulama fiqh terpakar di seluruh dunia yang telah mengeluarkan resolusi lengkap dan pendirian berkenaan bank-bank islam. Akhirnya, keutamaan tertumpu kepada harga, harga dan harga. Padahal dalam Islam, harga bukan penentu halal haram sesebuah transaksi. Kontrak adalah penentunya, kontrak datang dengan syarat dan rukun, bukan hanya nama semata.
Itulah fenomena yang berlaku hari ini, pendirian dibuat tanpa ilmu yang mencukupi, ilmu yang tidak ‘up to date' memang membahayakan dan akhirnya menjerat diri sendiri. Pendirian ‘jahil' sebegitu akhirnya juga menutup peluang umat Islam untuk bermuʿāmalāt secara halal bersandarkan ijtihad ulama berkelayakan.
YAKIN DAN TIDAK YAKIN
Satu contoh kesan ilmu yang dipegang terhadap sesuatu ibadah, adalah jika kita solat menghadap satu arah yang seorang itu sendiri tidak yakin itu adalah arah kiblah yang betul, solat kita akan menjadi TIDAK SAH. Namun, apabila kita menghadap kiblah setelah disarankan oleh seseorang yang boleh diyakini keilmuannya, solat kita adalah sah.
Justeru, sebuah keyakinan yang disimpul dari proses ilmu itu penting untuk menentukan hukum yang khusus ke atas ʿibadah dan muʿamalāt seseorang. Jika seseorang yakin (walaupun dalam kejahilan) bahawa fiat money itu adalah riba dan tidak ada sebarang konsep dalam fiqh yang membenarkannya, tatkala itu hukum ke atas dirinya adalah HARAM.
Bagi seseorang awam yang memhami tahap ‘awamnya' lalu bertaklid kepada pandangan majoriti ulama Fiqh kontemporari yang mengharuskan penggunaan matawang kertas sedia ada, malah diwajibkan zakat atas wang kertas yang dimiliki setelah cukup hawl dan nisabnya. Maka mereka terselamat dari melakukan dosa setiap hari, kerana mereka berpegang kepada fatwa (ijtihad) ulama yang berkelayakan.
Manakala, bagi mereka yang ingin bertaklid atau kononnya ‘analisa' lalu cenderung kepada ulama yang mengharamkan, terpulang kepada mereka, tetapi syaratnya adalah mereka wajib TIDAK MENGGUNAKAN WANG KERTAS, kerana itu bertentangan dengan keyakinannya (yang haram tanpa excuse dan ‘madah berhelah') dan jika dia terlibat juga, bermakna dia SEDANG bergelumang dalam DOSA besar setiap hari.
Itu hanya satu contoh, bagaimana keyakinan seseorang dan hukum dipegang punyai kesan, implikasi dan tanggungjawab ke atas dirinya.
Artikel saya ini tidak berhasrat menjawab contoh kes dan soalan di atas secara terperinci, kerana sebahagiannya telah dijawab manakala sebahagian yang lain memerlukan proses pengajian yang teknikal dan proper untuk pembaca memahaminya. Sama seperti orang awam dalam bidang perubatan, yang ingin memahami fungsi jantung, prosesnya, dan jenis ubatannya, side effect setiap ubat yang diambil, bacaan graph ECG jantung, kaitannya dengan strok dan banyak lagi.
POINT SAYA ADALAH..
Apa yang ingin saya kongsikan adalah, isu berkenaan perbankan dan kewangan Islam dalam rangka kewangan konvensional TIDAK DAN BUKAN satu isu yang boleh dibincang oleh semua. Ramai yang cuba berbincang berdasarkan sedikit pengalaman peribadi ketika membeli kereta, rumah, kad kredit dan sebagainya. Namun pengalaman sedemikian amat tidak mencukupi untuk melihat big picture and whole story di sebalik fatwa majlis Fiqh. Ia berbeza dengan ilmu tidak bersifat teknikal yang saya sebelum ini. Ilmu berkenaan hal ini adalah bersifat teknikal.
Ia disebabkan kefahaman berkenaannya memerlukan kefahaman beberapa displin ilmu teknikal seperti
- Fiqh Muʿamalāt, seluruh bab dalam topik muʿamalāt māliah.
- Usūl Fiqh, khususnya perbincangan berkenaan dalālah, cara istinbad dan taʿarudh wa tarjih.
- Maqāṣid Al-Sharīʿah, khususnya pertimbangan masalahat dan mudarat dan kaedah penentuannya.
- Fungsi bank sebagai intermediary and kebolehlaksanaan fungsi sebagai trader,
- Aplikasi sebenar produk perbankan Islam, aliran kontrak dan sebagainya.
- Asset and liabilities di bank
- Displin penentuan harga aset dalam Islam, apa yang dibenar dan yang tidak dibenar serta hujjah,
- Qabaḍh Hukmi dan bentuk di zaman moden serta aplikasinya
- Uundang-undang berkaitan (seperti akta bank Islam dan Takaful),
- Shariah governance framework,
- Konsep-konsep dan pelaksanaan ibraʾ, Wakalah, Muqassah, Tafāhum Jānibi, Muwāṭaʾah, ʿUqud murakkabah, Wa'ad, ʾUjr, Qardh, konsep Ḍhaʿ wa taʿajjal, hiyal yang diizinkan, makhraj syarʿi dan Al-Ghunmu Bi Al-Ghurmi pelbagai lagi.
- Konsep beneficial ownership di dalamFiqh Islam.
Cuba saya tanya kepada pembaca sekalian, adakah saudara dan saudari telah ‘masak' dan faham item yang tersenarai di atas. ?
Jika belum, nyatalah orang tersebut adalah ‘orang awam' dalam hal dan isu kewangan dan perbankan Islam. Ikhlas saya nyatakan, mereka yang kabur berkenaan hal di atas belum punyai kelayakan untuk mengkritik secara terbuka seolah punyai kelayakan. Untuk menyampuk perbincangan sang pakar, kita terlebih dahulu mesti menyediakan tapak asas yang kukuh agar bahasa yang sama peringkat boleh digunakan.
Jika tidak, individu tersebut hanya akan membuka pekung di mindanya sahaja. Itulah sifat kebanyakannya, menyebabkan tiada pakar yang ingin menyahut ‘kokokannya' kerana dirasakan, kurang priotity melayan orang yang tidak dapat memahami laras bahasa ilmu yang sama. Kerana hingga ke akhir, dia tetap tidak akan dapat memahami.
Kalau ilmu tidak penting dalam hal ini, Allah tidak akan mengingatkan kita :
قلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Ertinya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"" Sesungguhnya orang yang beraqallah yang dapat menerima pelajaran" ( Az-Zumar : 9)
‘Orang awam' sudah tentu boleh bertanya dan menyuarakan kekeliruan, tetapi jangan sewenangnya mendabik dada merasa diri dan pandangannya di puncak kebenaran.
Demi Allah, saya tidak mengutarakan istilah-istilah di atas kerana ingin menggerunkan dan mengelirukan pembaca dengan istilah-istilah yang bertujuan melemahkan hujjah sesiapa atau menjatuhkan sesiapa.
Saya hanya ingin kita hormati displin ilmu dan pemiliknya. Itulah proses basic yang saya sendiri perlu lalui dan telah dilalui juga oleh semua ulama fiqh dan perbankan Islam di seluruh dunia. Hanya dengan gabungan kefahaman itu, kita akan sedar mengapa perlu perbankan Islam dan dimana kekuatan dan kelemahannya. Jika ada mengapa kelemahan, mengapa ia berlaku dan adakah ia boleh diubah dengan mudah dan apakah kesannya terhadap hukum, orang ramai dan sebagainya.
ISU WAHABI
Isu jenama dan label Wahabi adalah satu lagi jenis ilmu yang menurut penelitian saya, TIDAK MAMPU difahami secara adil dan betul oleh orang awam. Hatta sebahagian ilmuan Islam yang tidak specialize bidang tersebut juga kurang kemampuan. Sama seperti kesnya di dalam bidang Fiqh Kewangan yang sentiasa ketandusan pakar dari kalangan ulama Fiqh di seluruh dunia.
Namun apabila isu ini dibincangkan secara terpecah-pecah, akhirnya semua menjadi keliru dan timbul pihak awam yang menjadi pengikut serta begitu agresif menghentam di antara satu sama lain.
Manakan tidak, bagi memahami sebenar-benarnya isu wahabi sesat atau tidak, perbincangannya terlalu banyak kaitan dengan pelbagai displin ilmu dan topik yang sukar sekali mampu difahami oleh orang awam, sebagai contoh :
- Perlu faham istilah Wahabi asalnya dari mana, siapa menamakannya, apa motifnya.
- Perlu punyai kefahamanlatara sejarah Islam di waktu kewujudannya,
- Perlu fahami Fiqh Daʿwah dan Fiqh al-Waqiʿ serta perbezaaan cara gerakan dakwah di satu-satu tempat.
- Perlu memahami latar belakang pergeseran pengikut mazhab yang telah wujud sejak kurun kedua hijrah yang menyumbang kepada tuduh menuduh, sesat menyesat, kutuk mengutuk.
- Perlu mehami isu aqidah yang teknikal seperti sifat Allah, ayāt mutasyābiḥah dan hukum taʾwilannya, perbezaan taʾwil dan tafsir, Taʾwil bi al-Raʾyi dan Bi Al-Maʾthur, Allah bertempat atau tidak, status hadīth Ahād, Zonni al-Dalālah dalam dalil-dalil berkaitan ʿAqīdah,
- Perlu memahami apa mazhab empat dan pegangan fiqh mereka agar tidak tersilap menggelar mazhab selain Syafiʿi sebagai Wahabi.
- Perlu memahami adakah pandangan marjuh boleh dipakai oleh orang awam yang tiada asas.
- Fahami ijtihad mazhab Syafiʿi dalam cabang Fiqh dan keharusan orang awam berpegang dengannya walau dilihat lemah oleh ulama muhaqiqin (penganalisa) moden.
- Fahami pembahagian status orang awam kepada Muttabiʿ, Muḥāfiz, Muqallid, ʿAwwām (Mazhab al-Mufti) dan Jāhil. Agar kita tidak memberatkan mereka dengan perkara yang diluar kemampuan, mengajar mereka perkara yang boleh menambah keserabutan.
Itulah serba sedikit cabang ilmu yang mesti dikuasi oleh sesiapa sahaja yang ingin mencampuri perdebatan dan perbincangan berkenaan wahabi, Ahli sunnah wal Jamaʿah dan yang berkait dengannya.
Selagi orang awam itu zero ilmunya atau hampir zero berkenaan hal tersebut, selagi itulah perbincangan dan perdebatan itu hanya lebih menjurus kepada mudarat kepada orang awam berbanding manfaat.
Biarlah isu ini dibincang secara tertutup oleh para ilmuan yang berkelayakan demi menambahkan kemampuan ijtihad mereka, di samping bagi melahirkan pandangan terkuat dan meningkatkan kedalaman ilmu.
Namun bagi orang awam, janganlah lagi dilemparkan isu ini kepada mereka. Nanti ibarat si buta yang tidak pernah mengenal beza harimau dan kucing. Lalu apabila dilempar kepadanya seekor harimau, lalu dipeluknya atas sangkaan ianya kucing. Akhirnya lemparan itu hanya memudaratkannya.
Manakan tidak, akibat tidak faham letak duduk isu ini dengan baik, ada orang awam yang memulakan aktiviti perang mulut, tulisan. Gelaran kafir mengkafir kerap menjadi destinasinya, gelaran Wahabi, Ahbash menjadi penyedap jiwa amarah dan bukan lagi hasil hati yang tulus yang inginkan redha Allah.
Akhirnya kedua-duanya menerima mudarat menurut hukum Islam kerana menggelar sesat dan kafir seseorang tanpa hujjah yang putus akan memantulkan ‘sesat' dan ‘kafir' itu kepada diri penuduh.
KESIMPULAN
Cukuplah dua isu besar tadi saya pilih sebagai usaha untuk mengajak masayarakat kita lebih bertanggungjawab terhadap ilmu dan ilmuan. Kita bimbang, apabila semua orang ingin bercakap dalam semua perkara, kelak nanti yang sesat dan tersesat dilihat benar, yang benar dianggap salah dan dosa. Tatkala itu, lahirlah manusia yang mengajak kepada kamungkaran dan melarang dari kebaikan.
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ
Ertinya : Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf.. (At-Tawbah : 67)
Akhirnya mereka jatuh dalam ciri kumpulan Munafiq sama ada secara sedar atau tidak sedar. Naʿūdhubillah.
Tidaklah artikel saya ini ingin merakamkan ekslusiviti sesuatu perbincangan ilmu terhadap sesuatu kumpulan, cuma saya ingin menegaskan, hak perbincangan dan perdebatan adalah sememangnya ekslusif bagi ahlinya, yang bukan ahli, kamu boleh membaca dan berfikir namun, pendirian yang terbaik hanya mampu seseorang itu dapati setelah kamu sendiri mampu memahami setiap bait, teknikaliti dan perkataan yang digunakan oleh ilmuan yang berhujjah. Kefahaman itu tidak akan menjelma kecuali dengan usaha keras memahami selok belok ilmu berkaitan terlebih dahulu.
Bagi orang awam, mereka sangat-sangat digalakkan bertanya dan bukan tanpa adab mengkritik keputusan para ilmuan sedang ilmu di dada terlalu gersang. Namun bantahan, ayat dan perkataan yang digunakan ketika mengkritik ibarat diri seorang mujtahid ulung. Hakikatnya, diri itu hanyalah seorang yang jahil tetapi merasa berilmu.
Ingatlah, Allah sama sekali tidak membeban semua Muslim untuk mampu memehami semua isu berkait dengan agama dengan sempurna, kerana itu wujudnya arahan Allah :-
فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Tanyalah kepada yang berilmu dan mengethaui apabila kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 43)
Dalam ayat ini jelas, Allah mengarahkan paling minima kepada tiga perkara iaitu :
- · ketahuilah had ilmu kita,
- · kenali ahli dan pakar dalam bidangnya
- · tanyalah kepada yang pakar terbabit apabila ingin menetapkan pendirian.
Namun, tidak dinafikan, dari kalangan ilmuan itu, ada yang dari spesis yang suka bertelagah, bergaduh, debat dan hina, kutuk, kondem dan sebagainya, lalu kita semua WAJIB bijak dalam memilih pakar (ilmuan atau ulama) yang munsif lagi tawāḍuʿ. Pilihlah yang menyatukan dan bukan memecahkan, yang membina dan bukan meruntuh.
Sedarilah bukan semua yang berilmu itu soleh dan baik di sisi Allah. Minda dan jiwa berilmu tidak semestinya diamalkan, yang diamalkan tidak semestinya ikhlas dan meresap dalam hati hingga mampu melahirkan insan berilmu lagi soleh. Berusahalah kita semua...agar menemuinya sebelum ajal menemui kita.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
19 April 2010
No comments:
Post a Comment