Wednesday, January 7, 2015

7 KEMUNGKARAN SEBAHAGIAN MAJLIS QASIDAH


Soalan

Tujuan kami berqasidah adalah untuk memohon syafaat atau pertolongan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dari bermacam malapetaka yang menimpa manusia, baik di dunia mahupun yang bakal berlaku di akhirat kelak. Adakah perbuatan kami ini bercanggah dengan ajaran Islam?”

Jawapan

Betul, perbuatan kamu adalah bercanggah dengan ajaran Islam jika ditinjau daripada beberapa sisi. Antaranya:

PERTAMA

Bercanggah dengan Sunnah Rasulullah. Terdapat banyak cara yang diajarkan oleh Rasulullah untuk kita umat Islam mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat. Salah satu daripadanya ialah dengan memperbanyakkan selawat ke atas baginda. Imam ath-Thabrani meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ حِيْنَ يُصْبِحُ عَشْرًا، وَحِيْنَ يُمْسِيَ عَشْرًا، أَدْرَكَتْهُ شَفَاعَتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Sesiapa yang berselawat kepadaku pada pagi hari sepuluh kali dan ketika petang sepuluh kali, dia akan mendapat syafaatku pada Hari Kiamat.

Adapun memohon syafaat baginda melalui qasidah, ia bukanlah ajaran Allah dan Rasul-Nya, bukan juga ajaran para Sahabat radhiallahu ‘anhum dan para Imam ridhwanullah ‘alaihim ajma’in terkemuka umat ini.

KEDUA

Menggubal syariat Islam. Sebagaimana yang telah ditegaskan di atas bahawa qasidah bukanlah selawat yang disyariatkan di sisi ajaran Islam. Ia hanyalah bait-bair syair yang direkacipta oleh manusia berdasarkan akal dan perasaan mereka lalu mendakwanya sebagai selawat. Dakwaan mereka ini jelas satu pembohongan atas nama agama dan merupakan perombakan ke atas syariat Allah dan Rasul-Nya.

KETIGA

Berbaur syirik. Terdapat sebahagian lirik-lirik qasidah pada masa kini yang dilihat berunsur mempersekutukan Allah dengan selain-Nya. Antaranya ialah meminta pertolongan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, padahal baginda telah pun wafat. Ini jelas menyalahi ajaran Islam yang memerintahkan umatnya agar berdoa dan memohon pertolongan secara terus kepada Allah, bukannya kepada makhluk yang sudah meninggal dunia. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِذَا سَأَلْتَ فَسْأَلِ اللهَ وَإِذَا سْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

Apabila engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan Allah. [Hadis riwayat at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 2516]

Larangan memohon pertolongan kepada selain Allah yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada perkara yang berada di luar kemampuan manusia. Ini seperti permohonan agar dimurahkan rezeki, diselamatkan daripada azab kubur dan neraka, dipanjangkan usia, ditunaikan segala hajat dan sebagainya.

KEEMPAT

Memiliki unsur-unsur khurafat, antaranya keyakinan hadirnya roh Nabi ke dalam majlis qasidah. Keyakinan mereka inibercanggah dengan sekian banyak ayat al-Qur’an atau hadis Nabi yang mengesahkan kewafatan baginda dan baginda hanya dibangkitkan pada Hari Kiamat kelak. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ.

Akulah penghulu anak Adam kelak pada Hari Kiamat. Akulah orang yang pertama kali kuburnya terbelah (untuk dibangkitkan).

Berdasarkan ini, tidak mungkin lagi baginda hadir ke dunia, lebih-lebih lagi ke dalam majlis yang tidak disyariatkan oleh Allah seumpama majlis-majlis qasidah.

KELIMA

Melakukan amalan yang dibenci oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Atas keyakinan roh Nabi hadir ke dalam majlis qasidah, kita dapati para penggemar majlis qasidah ini akan berdiri beramai-ramai sebagai tanda penghormatan mereka terhadap baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini jelas bersalahan dengan hadis dan atsar berikut:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَمْثُلَ لَهُ عِبَادُ اللهِ قِيَامًا، فَلْيَتَبَوَّأْ بَيْتًا مِنَ النَّارِ

Sesiapa yang (merasa) senang dihormati dan diagungkan oleh hamba-hamba Allah dengan berdiri, maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di neraka. [Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad, no. 977 dan Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 5229]

Imam Ahmad dan Imam at-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Anas bin Malik radhiallahu’anhu berkata:

لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانُوْا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُوْمُوْا لِمَا يَعْلَمُوْنَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ.

Tidak ada seorang pun yang lebih mereka (para sahabat) cintai daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi jika mereka melihat baginda, mereka tidak berdiri (untuk menghormati baginda) kerana mereka tahu, baginda membenci hal yang demikian.

KEENAM

Menyerupai tatacara ibadah orang kafir. Memohon doa kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sambil diiringi dengan muzik merupakan tasyabbuh (penyerupaan) kepada tatacara ibadah orang kafir yang berdoa kepada Nabi Isa ‘alaihi wasallam secara bernyanyi-nyanyi sambil diiringi alunan muzik di gereja. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لَا تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى.

Bukan dari golongan kami sesiapa sahaja yang menyerupai orang-orang selain kami. Janganlah kamu menyerupai orang-orang Yahudi dan tidak juga orang-orang Nasrani. [Hadis riwayat at-Tirmidzi dalam Shahih Sunan at-Tirmidzi, no. 2965]

KETUJUH

Bercanggah dengan amalan para Salaf. Berselawat dengan cara berqasidah adalah bercanggah dengan amalan para Salaf, khususnya generasi para Sahabat yang mendapat pengiktirafan oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik generasi. Mereka ialah barisan manusia yang paling mencintai baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Disebabkan kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah, mereka sanggup mengorbankan harta dan seluruh jiwa dan raga mereka.

Namun sehingga kini tidak ditemui satu jua dalil yang sahih bahkan yang maudhu’ (palsu) bahawa mereka melakukan qasidah dengan diiringi muzik serta menganggapnya sebagai selawat untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada baginda.


~ Mohd Hairi Nonchi

No comments:

Post a Comment