Tuesday, January 27, 2015

YANG SAMPAI SELAWAT, BUKAN DOA !




"Yaa Rasulullah tolonglah kami.... ya Rasulullah berikanlah syafaatmu."

Demikian antara lirik-lirik syirik dalam qasidah golongan tareqat sufi masa kini yang mendapat sambutan ramai khusus umat Islam di negara ini. Benarkah boleh berdoa kepada Rasulullah? Adakah baginda mampu mendengardan mengabulkan doa tersebut?

Jawapan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan bahawa apa yang sampai kepada baginda dari amalan umat Islam setelah kewafatannya hanyalah selawat dan salam yang diucapkan oleh mereka. Sabdanya:

وَصَلُّوْا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِيْ حَيْثُ كُنْتُمْ.

"Berselawatlah kamu kepadaku. Sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku di mana pun kamu berada." [Shahih Sunan Abu Daud, no. 2042]

Adapun selain itu, seperti doa yang ditujukan secara terus kepada baginda, maka tidak ada satu jua dalil yang menjelaskannya. Bahkan dalil-dalil sedia ada hanya menjelaskan tentang ketidaktahuan baginda terhadap apa-apa yang telah dilakukan oleh umat Islam setelah kewafatannya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ وَلَيُرْفَعَنَّ مَعِي رِجَالٌ مِنْكُمْ ثُمَّ لَيُخْتَلَجُنَّ دُوْنِي فَأَقُوْلُ يَارَبِّ أَصْحَابِي فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوْا بَعْدَكَ.

"Aku mendahului kamu di telaga. Dan sungguh beberapa orang di antara kamu diangkat (diperlihatkan oleh Allah sehingga aku dapat melihat mereka), kemudian disingkirkan daripadaku. Lalu aku berkata: “Wahai Rabbku, (mereka semua) adalah sahabat-sahabatku.” Kemudian dikatakan (kepadaku): “Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang diada-adakan (bid'ah) oleh mereka selepasmu.” [Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6205]

Perhatikan hadis di atas, jika Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam sahaja dikatakan tidak mampu untuk mengetahui perkara yang dilakukan dan diada-adakan oleh umat Islam setelah kewafatannya, lalu bagaimana mungkin untuk dianggap baginda mampu mendengar dan seterusnya mengabulkan doa-doa mereka?

Sungguh hadis ini merupakan petir yang menyambar dan membakar akidah sesat golongan Ahli Bid’ah yang gemar berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya!


~ Mohd Hairi Nonchi

1 comment:

  1. Hanya dengan hadis ini, bolehkah kita terus menghukum? Hadis ni pun umum maknanya tu.

    ReplyDelete