Showing posts with label salaf.. Show all posts
Showing posts with label salaf.. Show all posts

Tuesday, August 27, 2013

APA ITU SALAF?

APA ITU SALAF?

Tuesday, 25 December 2012


Oleh : Abu Farouq

Sesungguhnya kalimah (perkataan) salaf (سلف) telah dikenali sama ada dalam Bahasa Arab atau melalui pengertian syara.[1] Perkataan salaf telah dikenal sejak sekian lama oleh masyarakat Arab antaranya melalui syair-syair Arab yang terkenal.

Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah: “Orang-orang yang awal (تقدم) iaitu yang mula-mula atau (سبق) orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu).[2] Dimaksudkan juga pendahulu bagi suatu generasi.[3] Atau:

من تقدمك من آبائك وذوي قرابيك الذين هم فوقك فى السن والفضل.
"Salaf: Sesiapa yang mendahului kamu seperti ibu bapa, kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan".[4]

Antara yang paling benar (tepat dan rajih) pengertian salaf ialah:

“Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat”.[5]

Yang dimaksudkan dengan salaf ialah: Sahabat, yang mengikut sahabat (tabi’in), yang mengikut tabi’ut at-tabi’in dan a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh umat tentang keimaman mereka dalam agama, yang hebat peranan mereka pada menegakkan agama, orang-orang Islam menerima kata-kata mereka sama ada dari kalangan salaf atau khalaf, meredai dan menerima mereka. Seperti dua orang Syufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim Nakhi, al-Bukhari, Muslim dan keseluruhan ashabus sunnan rahimahumullah. Dan tidak termasuk mereka yang tertuduh sebagai golongan ahli bid’ah dan menerima gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rawafidh, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua firqah yang sesat. Maka mazhab Salaf ialah: Sesiapa yang berpegang kepada iktikad yang disandarkan kepada para Salaf as-Soleh.[6]

Telah dinukil dari as-Safarini dari kitab “Al-Lawami’ اللوامع” dari Ibnu Rejab. Ia telah menentukan had zaman yang dinamakan zaman salaf, yang mana beliau berkata:

“Pada ketika ini, penentuan zaman salaf menurut kitab yang termuat kata-kata para a’immah as-Salaf yang menjadi contoh iaitu hanya sampai ke zaman as-Syafie, Ahmad, Ishak dan Abi Ubaid. Namun manusia telah diperingatkan tentang bid’ah selepas mereka kerana akan berlaku selepas mereka bid’ah yang amat banyak”.[7]

Mereka yang ditunjukkan di atas adalah para salaf yang dinasabkan kebaikan dan digelar sebagai Ahli al-Hak. Diikuti (ditaati) athar mereka kerana mereka hidup dikurun yang terbaik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di beberapa hadis yang sahih.
-----------------------------------------------------------------------------

[1] . Lihat: Penjelasan Nasruddin Al-Albani dalam Majalah as-Solah
No. 9 Syaban 1414.
[2]. Lihat: معجم مقايس اللغة 3/95 Ibnu Faris. Lihat: Al-Mufradat Fi
Gharibil Quran, hlm. 244.
[3]. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[4]. Lihat: Lisan 9/159. Ibnu Manzur. 3/2069, Pengertian dinukil oleh
Ibn Mansur dari Ibnu Atsir dalam Gharibil Hadis. Lihat: المفسرون
للمغراوى 1/18. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[5] . Lihat: تحفة المريد على جوهر التوحيد hlm. 231. Ibrahim Baijuri.
[6] . Lihat: الغقائد السلفية بادلتها النقلية والعقلية (شرح الدرة السنية فى عقيدة اهل السنة
المرضية 1/11. Ahmad bin Hajar Ali Butami.
[7] . Lihat: لوامع الأنوار البهية 1/26.

Read more: http://penaminangreturn.blogspot.com/2012/12/apa-itu-salaf.html#ixzz2dERl3nog
Follow us: @penaminang on Twitter | penaminangfanpage on Facebook

Monday, January 7, 2013

PENGERTIAN SALAF MENURUT TERMINOLOGI

Oleh : Abu Farouq

Adapun kalimah salaf menurut terminologi: Ia adalah sifat (sikap) yang dikhususkan kepada para sahabat Nabi radiallahu ‘anhum dan sesiapa yang mengikut jejak (mengikut manhaj) mereka dengan baik sehingga ke Hari Kiamat atau yang berittiba’ dengan mereka.[1] Penjelasan atau definisi seperti ini termaktub dalam kitab-kitab turath yang muktabar.

Kalimah salaf adalah kalimah Arab tulin (asli) kerana ia tercatit dalam al-Quran al-Karim. Sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلاً لِلاَخِرِيْنَ.



"Maka Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian".[2]

Kalimah salaf atau salafi telah tercatit juga di dalam hadis-hadis dan athar-athar yang sahih, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَلاَ اَرَى اْلاَجَلَ اِلاَّ قَد اقْتَرَبَ ، فَاتَّقِيْ وَاصْبِرِيْ ، فَاِنَّهُ نِعْمَ السَّلَفِ اَنَا لَكِ.



“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kewafatan) maka bertakwa dan bersabarlah (wahai Fatimah!), sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”.[3]

Dari hadis sahih di atas ini, adalah sangat mulia dan terhormat seseorang yang mengatakan: “Aku adalah seorang salafi”. Pengakuan seperti ini bukanlah suatu yang salah atau bid’ah. Kerana itulah pengakuan yang paling benar dan mulia yang keluarnya dari mulut Rasulullah yang tercinta. Itulah pengakuan Rasulullah yang seluruh umat Islam disuruh mensifati dan mencontohinya.

Tidak boleh merasa aib (malu atau kekurangan) menggelar dirinya sebagai seorang salafi sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.[4] Kerana Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri telah mengatakan dan mengakui: “Sebaik-baik atau semulia-mulia salaf adalah aku”.

Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengaku diri baginda sebagai seorang salafi yang terbaik, maka bagindalah sebagai contoh yang paling benar dan baik untuk diikuti oleh sekalian umatnya.

Oleh itu tidak boleh dipertikaikan hakikat dan kenyataan ini bahawa sesiapa sahaja yang kembali kepada manhaj Rabbani, manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, manhaj para sahabat, para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan orang-orang yang mengikut manhaj mereka maka dia dinamakan seorang salafi berdasarkan manhajnya bukan zaman atau marhalahnya.

Terdapat sebuah lagi sabda baginda yang menerangkan tentang kesalafan sahabat, baginda bersabda:



فَلَمَّا مَاتَتْ زَيْنَبُ اِبْنَةُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِلْحَقِيْ بِسَلَفِنَا الْخَيْرِ عُثْمَانِ بْنِ مَظْعُوْن.



“Maka setelah Zainab Binti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam meninggal, baginda bersabda: Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”.[5]

Dari sabda Rasulullah: (فانه نعم السلف انا لك) “Sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”. Dan sabdanya: الحقي بسلفنا الخير عثمان بن مظعون)) “Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”. Maka hadis-hadis ini sebagai dalil (hujjah) bahawa gelaran salafi bukan sahaja dikhususkan kepada para nabi dan para sahabat semata, malah sesiapa sahaja yang berittiba’ (mengikut manhaj) mereka sehingga ke Hari Kiamat juga dinamakan salafi. Atau setiap orang Islam yang mengikut pemahaman mereka dinamakan sebagai salafi.[6] Ini menjadi hujjah untuk membuktikan bahawa semua para Nabi, para Rasul dan para sahabat adalah para salaf kita. Ini dapat difahami juga dari pengertian dan definisi salaf dari para ulama kita yang telah menjelaskan:

“Salaf ialah orang-orang terdahulu, mereka terdiri dari para Nabi (dan juga para Rasul), para sahabat, tabi’in dan mereka yang berittiba’ kepada mereka-mereka khasnya para a’immah mujtahid yang empat”.[7]

Adapun salaf menurut syara ialah dikenali juga dengan sebutan Salaf as-Soleh, iaitu:

“Dimaksudkan salaf as-Soleh ialah mereka yang terdiri dari: Para sahabat (radiallahu ‘anhum), tabi’in dan sesiapa yang mengikuti mereka yang terdiri dari a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh ummah tentang keimaman mereka dalam agama, diagungkan pendapat mereka dalam agama, orang-orang Islam bertalaqi ilmu dengan kata-kata mereka, semua yang terdahulu atau yang sesudahnya dengan penuh reda dan menerima mereka. Seperti a’immah yang empat (Hambali, Syafie, Maliki dan Hanafi. Pent.), dua orang Sufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim an-Nakhii, al-Bukhari, Muslim dan semua ashabu as-sunnan selain yang telah dilontarkan kepadanya gelaran bid’ah atau masyhur dengan gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rafidah, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua golongan yang sesat. Dan mazhab Salaf ialah sesiapa sahaja yang berjalan di atasnya dan menasabkan i’tiqad (akidah)nya kepada mereka”.[8]

Melalui beberapa definisi, hujjah dari ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih di atas, jelaslah bahawa pengertian salaf ialah: Yang mula-mula, yang awal dan yang terdahulu (generasi pertama dari kalangan sahabat). Istilah ini dikuatkan lagi oleh firman Allah Ta’ala:

وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْاهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضَوْا عَنْهُ وَاَعَّـدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا اْلاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فِيْهَا اَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ.



"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar".[9]

Salaf di ayat ini ialah: "Orang yang mula-mula atau orang-orang awal-awal (terdahulu)” iaitu para sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang beriman dengannya.
------------------------------------------------------------------------


[1] . Lihat: المفسرون بين التاويل والاثبات 1/19-20.
[2]. Az-Zukhruf, 43:56.
[3]. H/R Bukhari, Kitab al-Isti’zan/Fadail Sahabah. Muslim. 2450. Fadail
Sahabah.
[4]. Lihat penjelasan lebih lanjut dalam: Manjmu’ah al-Fatawa. 14/149.
Ibnu Taimiyah.
[5] . H/R Ahmad dalam Musnad. 1/237-238. Ibnu Sa’ad dalam At-
Tabaqat. 8/37. Hadis ini disahihkan oleh Abul Asybal Ahmad Syakir.
Lihat: Syarah al-Musnad 3103.
[6] . Lihat: Majalah as-Solah. No.9. hlm 86-89. Penjelasan al-Albani.
[7]. Lihat: Tuhfatul Murid ‘Ala Jauharah at-Tauhid. Hlm. 231.
Ibrahim al-Baijiri. Tahqiq: Abdullah Muhammad Khalil.
[8]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة 1/34-35.
Uthman bin Ali Hasan.
[9] . At-Taubah, 9:100.

,Wednesday, 26 December 2012

Wednesday, June 22, 2011

APA ITU SALAF..

Apa itu Salaf,Salafiyyah dan siapa Salafi Dan Nama-Nama Lain Bagi Mereka.

Ramai di kalangan para penuntut ilmu yang terkeliru apabila disebut kepada mereka tentang perkataan Salaf, pelbagai definisi dan takrif yang keluar dari mulut-mulut kebanyakan mereka yang tidak berdasarkan dalil dan hujjah malah hanya mengikuti hawa nafsu,emosi dan kejahilan.Dalam permasalahan ini mereka terbahagi kepada beberapa kelompok yang masing-masing cuba menafsirkan golongan yang membawa panji-panji al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman salafussoleh dengan pelbagai label seperti golongan wahhabi, golongan muda, salafi wahabi, salafi syadid,jalur keras,ekstrim,pemecah belah dan pelbagai label lagi.




Apa itu Salaf,Salafiyyah dan siapa Salafi ?


Salaf menurut bahasa arab bermaksud golongan atau kaum terdahulu(nenek moyang) ataupun sesiapa sahaja yang mendahului kita sama ada ibu bapa kita atau kaum kerabat kita


[ Lisanul`Arab, 9/158,Qamus al-Muhit, 2/391]


Menurut istilah pula,Salaf bermaksud generasi pertama dan terbaik dari kalangan umat Islam, yang terdiri dari Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam, para Sahabat, Tabi`in, Tabi` at-Tabi`in, dan para pengikut mereka yang terdiri daripada para ahli Hadith, imam-imam yang membawa petunjuk pada tiga kurun pertama yang dimuliakan oleh Allah ta`ala.Dasarnya ialah firman Allah ta`ala:


وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ


Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.


[ At-Taubah:100 ]


Mereka ialah golongan yang mendahului umat ini dalam menyahut seruan Islam, Iman, berjihad dan menegakkan agama Allah.Tidak syak lagi mereka ialah para sahabat Nabi sallallahu`alaihiwasallam.[ Taysir al-Karim ar-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannaan, Dar al-Hadith, ms 365]


Tidak perlu dinafikan lagi merekalah yang disebut Salafussoleh yang mendahului kita dalam akidah, ibadah, jihad dan perjuangan.Mereka meredhai Allah dan Allah meredhai mereka dan menjanjikan mereka ganjaran syurga begitu juga bagi sesiapa yang sudi dan hendak mengikuti dan menyelusuri jalan mereka.Jaminan ini dikuatkan lagi dengan pengakuan dan jaminan Nabi sallallahu`alaihiwasallam seperti dalam sabda baginda :


خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ


Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku ini(para sahabat)kemudian yang setelahnya(Tabi`in),kemudian yang setelahnya( Tabi`tabi`in).


[ HR Bukhari no: 3322, 3458, Muslim no: 4601 ]


Merekalah sebaik-baik manusia yang wajib kita cn iidkuti dalam akah,ibadah, dakwah dan akhlak kita, hal ini kerana ianya merupakan Siratul Mustaqim (jalan yang lurus), dan merupakan perintah yang datang dari Allah ta`ala dan ontohi daRasulNya agar mengikutinya.

Salafi dan penisbahan golongan yang menisbahkan dengan nama ini juga adalah sesuatu yang ditunjuk oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam bukan sepertimana sangkaan sesetengah pihak yang memandang ianya sesuatu yang tiada dasar dalam agama hal ini dibuktikan oleh perkataan baginda sallallahu`alaihiwasallam kepada puteri kesayangannya Fatimah radiallahu`anha:


نِعْمَ السَّلَفُ أَنَا لَكِ


Sebaik-baik Salaf bagi engkau ialah aku.


[ HR Bukhari no:6285,Muslim no:2450 ]


Berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah:


Bukanlah menjadi satu keaiban ke atas sesiapa yang menzahirkan Mazhab Salaf,dan menisbahkan kepadanya dan berbangga dengannya,bahkan wajib menerimanya dengan kesepakatan,kerana Mazhab Salaf tidaklah ada melainkan ianya benar.


[ Majmu` Fatawa 4/149 ]



Perlu diperbetulkan juga bahawa mereka bukanlah satu pertubuhan berdaftar,organisasi,gerakan teroris atau parti politik seperti difahami segelintir orang.Mereka disebut salafi kerana mereka mengikuti manhaj Salafussoleh iaitu para sahabat, Tabi`in,Tabi`tabi`in kemudian para imam dan ulama`yang mengikuti manhaj mereka hingga hari kiamat.Selain dari menisbahkan diri mereka kepada Salaf mereka juga terkenal dengan beberapa nama lain yang juga diambil berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman Para Sahabat, antara lain ialah:



1. Ahli Sunnah wal Jama`ah


Nama ini adalah nama yang paling dominan sehingga ramai kelompok sesat dan menyeleweng turut mendakwa mereka adalah ahli Sunnah.Dasar nama ahli Sunnah wal Jama`ah ini berdasarkan firman Allah ta`ala:


يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ


pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram


[ Ali-Imraan:106 ]


Berkata Ibnu `Abbas radiallahu`anhuma: iaitulah pada hari Kiamat kelak, ketika muka-muka ahli Sunnah wal Jama`ah putih berseri, manakala muka-muka ahli Bid`ah wal-Firqah hitam dan muram


[ Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibn Kathir, 2/91 ]



Daripada Anas bin Malik Radiallahu`anhu,katanya: Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam telah bersabda:


إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ افْتَرَقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ


Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada tujuh puluh satu kelompok, dan sesungguhnya ummatku akan berpecah kepada tujuh puluh dua kelompok kesemuanya di dalam neraka kecuali satu iaitulah Al-Jamaah


[ HR Ibn Majah no:3983,Abu Dawud:3981,At-Tirmidzi no:2565.dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalamSilsilah As-Shahihah ]


Dalam riwayat At-Tirmidzi:


وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي


Sahabat bertanya: Siapakah Dia (Al-Jamaah itu) wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.


2. Ahli Hadith


Firman Allah Ta`ala:


يَوْمَ نَدْعُوا كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ


(ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia Dengan nama imamnya;


[ Al-Isra`:71]


Berkata sebahagian Salaf: Ini merupakan kemuliaan yang terbesar bagi Ahli Hadith kerana Imam mereka ialah NabiSallallahu`alaihiwasallam.


[Tafsir Al-Quran Al-`Azhim, Ibn Kathir 5/103 ]


Berkata Syeikhku, Al-Muhaddith Syeikh Yahya bin Ali Al-Hajurri Hafizahullah ketika menafsirkan ayat dia atas dalam pelajaran Tafsir Ibn Kathir: Maka perkataan sebahagian Salaf ini rahimahumullah tidak ada syak lagi akan kebenarannya,akan tetapi ayat ini umum meliputi golongan awam di kalangan Ahli Tauhid.[ -selesai perkataan beliau-]


Mereka juga dikenali dengan ahlul Hadith disaat ramai manusia yang menolak hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam dan tidak mahu beramal dengannya.Dasarnya ialah hadith:


لَا يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ


Sentiasa ada segolongan dari ummatku yang selalu menegakkan perintah Allah, tidak akan mencelakai mereka orang yang tidak menolong mereka dan orang-orang yang menyelisihi mereka sampai datang perintah Allah dan mereka tetap berada di atas yang demikian itu.


[ HR Bukhari no:3369,6906, Muslim no: 3544, 3548 ]


Berkata Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah:


إِنْ لَمْ يَكُونُوا أَهْل الْحَدِيث فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ


Kalaulah mereka bukan ahli Hadith maka aku tidak tahu siapa lagi mereka.


[ Fathul Bari, Ibn Hajar al-`Asqalani 20/368 ]


Begitu juga yang berpendapat mereka adalah ahli hadith ialah `Ali Ibn al-Madini dan Imam al-Bukhari.


[ Tuhfatul al-Ahwazi, 6/11 ]


Berkata Qadhi al-`Iyyadh: Sesungguhnya apa yang dimaksudkan oleh Imam Ahmad ialah mereka ialah sesiapa sahaja yang beri`tiqad(berpegang,berkeyakinan,melazimi)mazhab ahli Hadith.


[ Syarah Shahih Muslim An-Nawawi, 6/400 ]


Berkata Ibn Qutaibah Rahimahullah:


Adapun ahli Hadith sesungguhnya mereka mencari al-Hak (kebenaran) dalam segenap aspek dan mereka mengikutinya daripada keyakinannya dan mereka mendekatkan diri kepada Allah dengan ittiba`nya(mengikuti)sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan pencarian mereka terhadap Athar-atharnya,dan khabar-khabarnya baik melalui jalan daratan mahupun lautan,baik timur ataupun barat, dikalangan mereka terdapat yang berjalan kaki dengan penuh semangat semata-mata untuk mencari satu khabar atau satu As-Sunnah sehingga dia mengambilnya daripada perawinya secara musyafahah(langsung) kemudian mereka terus menerus menyelidiki tentang khabar-khabar dan mengkajinya sehingga mereka mengetahui yang shahihnya dan yang dha`ifnya yang nasikhnya dan mansukhnya dan mereka mengetahui sesiapa yang menyelisihinya di kalangan Fuqaha` (ahli fiqh) yang menggunakan ar-ra`y(pemikiran) dan mereka memperingatkan hal tersebut sehingga terbit kebenaran ketika dulunya terhapus dan ianya menjadi tinggi selepas ianya dipelajari dan dikumpulkan yang mana sebelumnya ianya terpisah-pisah dan berpecah-pecah dan kritikan terhadap As-Sunan bagi sesiapa yang berpaling terhadapnya dan memperingati ke atasnya bagi sesiapa yang dalam keadaan lalai dan berhukum dengan perkataan Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam sedangkan sebelumnya mereka berhukum dengan perkataan fulan dan fulan…..[ selesai perkataan beliau ]


[ Ta`wil Mukhtalaf Hadith: 73 ]



3. Tho`ifah al-Mansurah(Golongan yang Mendapat Pertolongan)


Mereka juga disebut sebagai Tho`ifah al-Mansurah, iaitulah kelompok atau golongan yang diberi pertolongan oleh Allah ta`ala,hal ini berdasarkan hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam:


لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ


Sentiasa akan ada segolongan dari ummatku mereka diberikan pertolongan dan tidak dapat mencelakai mereka orang-orang yang menyelisihi mereka sehingga datangnya hari kiamat.


[ HR Ibn Majah no:6,Shahih Sunan Ibn Majah , 1/78 ]


4. Ghuraba`( Golongan Yang Asing)


Mereka juga disebut sebagai Ghuraba` kerana betapa asingnya mereka disisi manusia, Hal ini sepertimana hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam:


بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ


Islam bermula dengan asing, dan nanti akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka beruntunglah bagi al-Ghuraba`(Orang-orang yang asing)


[ HR Muslim no:208 ]



Al-Ghuraba` sepertimana yang dijelaskan oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam:



الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي


Mereka ialah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirosakkan oleh manusia selepas peninggalanku


[ HR Tirmidzi no:2554, Berkata Imam Tirmidzi: Hadith ini Hasan Shahih ]



Dalam riwayat lain disebut:


أُنَاسٌ صَالِحُونَ فِي أُنَاسِ سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُمْ


Orang-orang yang shalih yang berada di tengah-tengah banyaknya orang-orang yang jelek, orang yang menentang mereka lebih banyak dari yang mentaati mereka.


[ HR Ahmad no:6362 ]



Di dalam kitab al-I`tishom, Imam Syatibi rahimahullah membawakan satu riwayat yang menjelaskan lagi maksud al-ghuraba`;


الذين يحيون ما أمات الناس من سنتي


Iaitulah mereka yang menghidupkan sebahagian Sunnahku yang telah dimatikan.


Berkata Muhaddith Syam Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali Hafizahullah:


Mereka ialah sesiapa yang berjalan di atas manhaj Sahabat, dan Tabi`in (mereka yang mengikuti sahabat) dengan baik dalam berpegang dengan Al-Kitab dan As-Sunnah, dan mendahulukan keduanya di atas kesemua perkataan baik dalam manhaj, atau `Akidah, atau `ibadah, atau mu`amalah, atau akhlak, atau siasah, atau setiap urusan daripada urusan-urusan kehidupan baik yang kecil mahupun besar.


[ Al-Jama`aat Al-Islamiyyah Fi Dhau` Al-Kitab wa As-Sunnah bifahmi Salafil Ummah:59 ]


Berkata Muhaddith Yaman Al-Imam Muqbil Al-Wadi'i Rahimahullah :


"Dan diantara yang wajib diperhatikan adalah bahawa semua kelompok menyatakan dirinya sebagai Firqatun An-Najiyah. Akan tetapi Al-Kitab dan As-Sunnah telah menjelaskan tentang siapakah Firqatun An-Najiyah ini". Kemudian beliau berdalil dengan surah Al-'Asr dan Al-Mu'minun ayat 1-11 dan menyebutkan hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari:

(كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى). قالوا: يا رسول الله ومن يأبى؟ قال: (من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى)


"Seluruh umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan." Mereka (para shahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?" Maka dijawab: "Barangsiapa mentaatiku, maka dia akan masuk Syurga dan barangsiapa bermaksiat kepadaku, maka dia sungguh telah enggan (untuk masuk Syurga)."


Kemudian beliau melanjutkan perkataannya: "Maka siapa saja yang terpenuhi padanya sifat-sifat yang tersebut di dalam surat Al-'Asr dan Al-Mu'minun serta hadith ini, maka dia termasuk Firqatun An- Naajiyah, dan orang yang paling dekat dalam memenuhi sifat-sifat tersebut adalah ahli hadith."


[Riyadhul Jannah Fi Radd `Ala `Aadaais-Sunnah:23 ]


Benarlah memang mereka golongan yang asing ini ialah mereka yang soleh(baik) sentiasa berpegang dan mengamalkan Tauhid dan sunnah ketika ramai manusia yang mengamalkan syirik, bid`ah dan maksiat, mereka sentiasa kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah serta kefahaman Salafussoleh apabila berlaku perselisihan di kalangan mereka. Mereka berpegang teguh dengan Al-Jamaah .Mereka menjauhi perpecahan dan Hizbiyyah Bilangan mereka sangat sedikit berbanding golongan yang mencela,menentang dan mengingkari mereka.




23 Jamadil Akhir 1432H/26 Mei 2011M


Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah