Monday, July 19, 2010

Al Quran Tonggak Pembinaan Ummah........

“Ke Arah Melahirkan Generasi al-Quran…”

Saya selalu fikir dahulu, kenapa tok-tok guru dulu bersusah payah membuat pondok dan tempat pengajian. Padahal, mereka terpaksa berkorban segala-gala untuk menubuhkan pusat pengajian ini. Kadang kala, berhadapan dengan fitnah dan tohmahan yang berbagai.

Kini saya dapat faham, rupanya, pusat pendidikan sangat penting di dalam mencetak manusia.

Kalau kita buat kerusi dan kerusi yang kita buat itu rosak dan pincang, kita boleh buang kerusi tersebut, tetapi kalau manusia telah rosak akhlak dan peribadinya, boleh kita buang di tepi jalan?

Hari ini, Alhamdulillah, ketika saya mengendalikan Maahad Sains al-Quran al-Amin, baru saya benar-benar dapat memahami kepentingan sebuah institusi pendidikan di dalam membina generasi. Baru saya dapat benar-benar memahami kenapa tok-tok guru dulu bertungkus lumus membina pondok dan pusat pendidikan.

Seseorang itu berfikir berdasarkan ilmu yang ada padanya, sebab itu pusat pendidikan amat penting untuk membentuk ilmu dan cara berfikir.

Kalau belajar subjek agama sekalipun, tetapi hanya menghafal untuk periksa, ia hanyalah ilmu di akal dan bukan di hati. Itu yang terjadi anak-anak dari sekolah agama pun teruk akhlaknya walaupun cemerlang pelajaran.

Pelik bukan? Dalam tempoh 10 tahun sahaja pendidikan Rasullullah di Madinah, ia telah melahirkan para sahabat yang cukup luar biasa hebatnya, penunduk ¾ dunia.

Agak-agak apa rahsianya? Rahsianya ialah al-Quran menjadi dasar pendidikan. Dan saya telah saksikan kebenaran cara ini.

Tak kisahlah, sama ada kita mengidolakan anak kita cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM, alangkah indahnya kalau cemerlang di situ disulamkan dengan hafalan al-Quran dan kefahaman al-Quran. Paling tidak, al-Quran di jadikan bacaan harian seperti mana mereka menjadikan komik dan buku kartun menjadi bacaan harian.

Beberapa kali saya pergi ke negara-negara Arab termasuk Iran. Di sesetengah wilayah, menjadi kegilaan anak mudanya membaca tarannum, di tepi-tepi jalan, mereka bukan menyanyi, tetapi membaca al-Quran dan saling memperdengarkan bacaaan al-Quran dengan tarannum yang berbagai.

Berikan 10 orang cemerlang tanpa al-Quran dan 10 orang cemerlang bersama al-Quran ketika di alam persekolahan.. Berikan masa 10 tahun perjalanan sejarah mereka. Saya yakin, kita akan melihat perbezaan antara dua golongan ini.

Hari ini, Sabtu 17 Julai 2010, saya bersama ibu dan ayah pelajar Maahad Sains al-Quran al-Amin di dalam ceramah Isra’ dan Mikraj. Hari ini juga, ibu ayah mengambil laporan prestasi anak-anak Maahad Sains al-Quran al-Amin.

Melihat wajah anak-anak didik ini, saya mengharapkan agar mereka menjadi permata yang akan menyinari negara ini satu hari nanti.

Di kala kerosakan semakin berleluasa, semoga mereka menjadi ubat kepada penyakit yang berleluasa ini. Asalkan sahaja mereka tetap berpengang dengan al-Quran seperti yang dididik di sini.

Alhamdulillah, Maahad Sains al-Quran al-Amin hari ini dilimpahi dengan anugerah dari ilahi iaitu kemasukkan seorang lagi anak yatim piatu. Dari segi persekolahan, dia akan ditempatkan di Maahad ini, dari segi penjagaan, dia akan bersama rumah al-Ijabah. Semoga menjadi sumber berkat bagi pusat pendidikan ini.


Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

7 Sya’ban 1431/19 Julai 2010 jam 8.30 pagi

IMG_0764

Majlis dimulakan dengan doa

IMG_0768

bacaan al-Quran dan maknanya

IMG_0779

Laporan bagi setiap tingkatan

IMG_0788

Ibu ayah penjaga yang mengambil kad laporan

IMG_0795

Amacam, ok ke?…

Diari 234 , Ustaz Amin

No comments:

Post a Comment