Friday, April 4, 2014

Salah satu sifat ‘ibadur-rahman...



Salah satu sifat ‘ibadur-rahman...

Dalam Al-Qur’an ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sifat-sifat ‘ibadur-rahman (para hamba Allah yang Maha Pengasih, iaitu orang-orang yang dikasihi Allah), di antara sifatnya adalah:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

“...(iaitu) orang-orang yang tidak menyaksikan (menghadiri) az-zuur. Dan apabila mereka melewati pada sesuatu yang lagha, mereka hanya melintas dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Surah al-Furqaan, 25: 72)

Muhammad Al-Hanafiyah berkata tentang maksud kata “الزُّورَ”:

اللهو والغناء

“Iaitu hiburan dan nyanyi-nyanyian.”

‘Amru B. Qais rahimahullah (ulama Tabi’in) berkata tentang maksud ayat “الزُّورَ”:

هي مجالس السوء والخنا

“Ia adalah majlis-majlis keburukan dan penuh kata-kata tercela.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/130)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) mengatakan bahawa:

وهذه أيضا من صفات عباد الرحمن، أنهم: { لا يَشْهَدُونَ الزُّورَ } قيل: هو الشرك وعبادة الأصنام. وقيل: الكذب، والفسق، واللغو، والباطل

“Dan dari sini juga menunjukkan sebahagian dari sifat-sifat ‘ibadurrahman itu adalah mereka “Tidak menyaksikan “الزُّورَ”.” Sebahagian pendapat mengatakan “الزُّورَ” itu adalah kesyirikan dan penyembahan terhadap berhala. Dikatakan juga bahawa maksudnya adalah kedustaan, kefasikan, perkara-perkara lagha, dan kebathilan.”

Maksudnya, para ‘ibadurrahman itu mereka tidak menyaksikan atau menghadiri majlis-majlis yang diisi dengan kesyirikan, kemungkaran, kebathilan, pemujaan terhadap berhala, majlis-majlis keburukan, nyanyi-nyanyian, serta majlis-majlis yang diisi dengan kata-kata tercela.


-------------------------------------------
  
 Syaikh ‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di rahimahullah menjelaskan, “Az-zuur, iaitu perbuatan dan ucapan yang diharamkan. Para ‘ibadur-Rahman (para hamba yang dikasihi Allah) meninggalkan segala bentuk majlis yang mengandungi ucapan atau perbuatan yang diharamkan, seperti mempertikaikan ayat-ayat Allah, berdebat dengan kebathilan, ghibah (mengumpat), namimah (adu-domba), cela-mencela, membuat tuduhan tidak baik, mengolok-ngolok, nyanyian yang diharamkan, meminum khamar, penghamparan sutra, gambar-gambar, dan yang semisal dengan itu.” (As-Sa’di, Taisiir al-Kariim ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam al-Mannaan, m/s. 588 – Daar Ibn al-Jauzi)

~ Abu Numair Nawawi Subandi

No comments:

Post a Comment