Ucapan Yang Baik Mengundang Yang Baik….
Jam 8 pagi, Jumaat 20 Ogos 2010, saya baru sahaja menamatkan amanah program “Tanyalah Ustaz” di Sri Pentas. Tajuk kali ini ialah Tanah Haram dan Ramadhan.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ketika sedang membuka peralatan suara dari badan saya, juru kamera pagi ini melihat ke arah skrin tv. Dia memerhatikan nasyid penutup bagi rancangan “Tanyalah Ustaz” pagi ini.
Dia kemudian menyapa saya,
“Ini saja nasyid yang paling sesuai dengan Ramadhan ustaz”.
Kemudian, dia melontarkan pengalamannya.
“Ustaz, saya nak kongsikan satu perkaralah ustaz” katanya.
“Apa dia” kata saya berminat.
“Saya dah kerja di dalam bidang penyiaran ini lama dah ustaz. Saya perhatikan, kehidupan para penyanyi “ dia memulakan pengalamannya.
“Seorang penyanyi akan menyanyi mengikut kehidupan dia, saya perhatikan lama dah ustaz, ia menggambarkan kehidupan seseorang penyanyi tu” dia menyambung lagi.
“Macam mana tu?” kata saya ingin tahu lebih lanjut lagi.
“Saya perhatikan, orang yang menyanyi lagu yang baik dan positif, biasanya hidupnya positif, orang yang menyanyi lagu sedih, biasanya, kehidupan dia sedih dan jika dia menyayi lagu yang huru hara, biasanya, hidupnya huru hara” dia menambah.
“Oh ye ke” fikiran saya terus menerawang cuba mengingat beberapa kehidupan artis.
“Mmm, ada kebenarannya” kata saya.
Saya teringat kata-kata Allahyarham Zubir Ali ketika saya mengambil subjek “asas puisi” di Universiti Malaya yang beliau kendalikan.
“Seni adalah cermin kepada kehidupan” kata Allahyarham.
Pernah satu hari, Allahyarham meminta kami membuat sebuah puisi mengenai seorang ibu bernama Hamidah Tomok yang menyembelih anaknya kerana tidak sanggup melihat anaknya berterusan menagis kerana inginkan susu. Sudah beberapa hari anaknya menginginkan susu sedangkan ketika itu Hamdiah tidak mempunyai wang untuk membelinya. Wang hasil jualan nasi lemaknya habis diambil oleh suaminya dan suami Hamidah seorang yang tidak mengambil tahu urusan keluarganya.
Setiap kami di dalam kelas mula membuat puisi masing-masing. Dan setiap puisi yang kami bacakan, Allahyarham akan mentafsirkan peribadi kami.
“Haa.. yang ini Hamidah marah-marah, yang ini pula Hamidah yang sedih” kami semua tergelak melihat setiap tafsiran beliau kepada setiap kami.
“Ha.. awak pula bacakan puisi awak, kata Allahyarham kepada seorang mahasiswi”
“Nak… maafkan ibu nak….” Pelajar ini memulakan puisinya.
Sambil mendengar, tiba-tiba Allahyarham meminta pelajar ini berhenti dan Allahyarham ketika itu tiba-tiba menangis.
Begitu penghayatan Allahyarham pada bait-bait puisi mahasisiwi ini.
Saya belajar beberapa perkara dalam kelas tersebut. Pertama bagaimana, setiap perkataan kita sebenarnya menggambarkan siapa diri kita.
Kedua, bagaimana, orang “empathy” lebih menghayati dari orang yang simpati.
Simpati hanya melihat kesusahan dengan mati tetapi empathy, kita merasakan dengan hati.
Berbalik kepada pandangan jurukamera ini, ada kebenaranya. Sesebuah lagu yang digubal dan kesesuaian penyanyi melagukannya, adalah gambaran bagi peribadi orang itu.
Dan juga, setiap perkataan yang kita ucapkan merupakan doa buat kita. Jika kita selalu menyebut perkara yang baik, maka kebaikan itu yang kita akan dapat, begitu juga sebaliknya.
Apa pengajaran dalam kisah ini? Selalulah kita menyebut perkara-perkara yang baik, agar kita Allah anugerahkan kebaikan pada kita.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Muhamad bin Abdullah
13 Ramadhan 1431/ 23 Ogos 2010 jam 7.45 pagi
No comments:
Post a Comment