Tuesday, September 21, 2010

SEDEKAH


Sedekah Boleh Meredakan Kemurkaan Allah di Dunia dan Akhirat



Sahabat yang dimuliakan,

Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang Arab Desa :

"Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat"

Nabi s.a.w. menjawab " Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang."

(Hadis Riwayat Khalid bin Al-Walid r.a.)

Berdasarkan hadis ini sedekah mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk meredakan kemurkaan Allah s.w.t. samaada di dunia dan hari akhirat.

Dalam hadis yang lain Allah s.w.t. memilih dikalangan hamba-Nya yang bersedekah secara bersembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya tak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya akan mendapat perlindungan Allah s.w.t. di hari kiamat nanti yang mana ketika itu tidak ada perlindungan lain melainkan perlindungan daripada-Nya.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban telah menceritakan satu kisah bahawa sedekah dua keping roti kepada orang miskin yang kelaparan lebih berat timbangannya daripada dosa berzina. Sedangkan pahala beribadah selama 60 tahun tidak dapat menampung beratnya dosa berzina.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Salah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil selalu beribadah kepada Allah di rumah ibadah selama 60 tahun.

Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya sehingga bumi menjadi subur menghijau. Kemudian, ahli ibadah itu keluar dari rumah ibadahnya sambil berbisik, 'Sekiranya aku turun dari tempatku ini dan memperbanyakkan mengucap zikir tentulah kebaikanku berubah.'

Lalu ia turun dari penempatannya dengan membawa satu atau dua keping roti. Ketika ia berjalan-jalan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang perempuan. Lalu ia mula-mula berbual-bual dengan perempuan tersebut. Akibat terlalu asyik berbual dengan perempuan itu, ahli ibadah tadi diperdaya oleh syaitan menyebabkannya tertidur lalu berzina dengannya.

Lelaki ahli ibadah itu akhirnya telah pengsan. Kemudian apabila sedar daripada pengsan itu ia terjun ke tasik berdekatan untuk mandi. Pada masa itu datang seorang peminta sedekah yang melarat, meminta daripadanya sebahagian daripada bekalannya itu. Ahli ibadah itu menghulurkan kepadanya roti yang di bawanya. Kemudian lelaki ahli ibadah itu pun dicabut nyawanya oleh Allah s.w.t.

Pahala amal ibadah yang dikerjakan selama 60 tahun itu ditimbang dengan dosa perbuatan zinanya, ternyata dosa zinanya lebih berat. Kemudian satu atau dua keping roti yang diberikan kepada peminta sedekah telah ditimbang dengan amal kebaikan lelaki ahli ibadah tersebut. Hasilnya menyebabkan berat amalan kebaikannya bertambah, maka dosa lelaki tersebut diampuni Allah."

(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Sahabat yang dihormati,

Salah satu cara untuk mengubati penyakit fizikal adalah dengan bersedekah. Semua penyakit yang dihidapi oleh manusia adalah datang daripada Allah s.w.t. kebagai kafarah dosa-dosa manusia kepada-Nya. Penyakit ini adalah ujian Allah kepada manusia supaya ia sedar akan kesalahan dan dosa-dosanya. Penyakit juga adalah sebagai ujian kesabaran dan untuk menginsafkan manusia untuk kembali meningati Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Ubatilah penyakit kamu dengan bersedekah.”

(Hadis Sahih al-Targhib)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (darikalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan do'a untuk menghadapi datangnya bencana."

(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

Jangalah ditangguh-tangguh untuk bersedekah, janganlah menunggu sudah kaya baru hendak bersedekah. Ringan-ringakanlah tangan kalian untuk menghulurkan sedekah walaupun hanya seringgit. Lakukanlah setiap hari tanpa memikirkan rugi dan kekurangan wang kerana sesungguhnya berkat wang seringgit itu akan dilipat gandakan rezeki oleh Allah s.w.t. di jalan yang tiada disangka-sangka. Ingatlah bahawa sesungguhnya tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan.

Sedekah boleh memanjangkan umur seseorang, melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk) dan dapat menghapuskan sifat sombong, takbur dan membanggakan diri.

Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah s.w.t. pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”

(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Perbanyakkanlah sedekah semoga kita dan ahli keluarga dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t. dan kita terselamat daripada kemalangan, bala atau musibah dan dijauhi daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk)

Satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seorang petani dapat terselamat dari musibah dibunuh oleh jin kerana mengambil anak-anak burung dikebunnya semata-mata kerana ia telah bersedekah dengan memberi makanan kepada seorang miskin yang kelaparan secara kebetulan datang kekebunnya. Apabila jin tersebut hendak menangkap dan membunuh petani tersebut, malaikat telah menghalangnya dan menangkap jin tersebut dan dicampakkan ditempat lain. Kehadiran malaikat tersebut adalah kerana kebaikan sedekah yang telah dilakukan olehnya sebagai hikmah dan kebaikan yang besar.

Bersesuaianlah dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud : “Setiap hari dua malaikat akan turun ke bumi. Berkata salah seorang dari mereka : ‘ Ya Allah gantikanlah harta orang yang bersedekah pada jalan-Mu.’ Berkata pula malaikat yang seorang lagi : ‘Ya Allah, binasakanlah harta orang yang menahan hartanya daripada disedekahkan."

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Barangsiapa ingin do'anya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi menyelesaikan) kesulitan orang lain."

(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Berdekahlah walaupun segantang korma, walaupun sebagian dari segantang, walaupun segenggam korma, walaupun sebiji korma, walaupun separoh korma. Barangsiapa yang belum mendapatkannya maka bersedakahlah dengan ucapan yang baik. Kerana sesungguhnya kamu akan menjumpai Allah dan Dia akan bertanya kepadamu: ‘Apakah Aku belum berbuat sesuatu untukmu? Apakah Aku belum menciptakan pendengaran dan penglihatan untukmu? Apakah Aku belum mengkaruniakan padamu harta dan anak? Kamu tentu akan menjawab: Tidak (semuanya sudah). Kemudian Allah s.w.t berfirman: ‘Lihatlah apa yang telah kamu lakukan pada dirimu. Kemudian ia akan melihat apa yang telah ia lakukan, ia melihat ke depan dan ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Maka saat itulah ia tidak akan mendapatkan sesuatu pun yang dapat menjaga wajahnya dari api Neraka.”

Sahabat,

Berdasarkan hadis-hadis di atas dapat disimpulkan beberapa kebaikan bersedekah yang dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. :

1. Sedekah dapat meredakan kemurkaan Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

2. Sedekah akan mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar.

3. Pahala sedekah lebih berat timbangannya berbanding amal ibadah selama 60 tahun.

4. Sedekah dapat pengampunan Allah s.w.t kerana dosa melakukan zina.

5. Sedekah boleh mengubati penyakit fizikal.

6. Sedekah boleh memanjangkan umur seseorang.

7. Sedekah boleh melindungi bahaya dan musibah.

8. Sedekah boleh menolak kematian yang buruk (su'ul khatimah)

9. Sedekah boleh menghapuskan sifat sombong, takbur dan membanggakan diri.

10. Sedekah akan mendapat do'a daripada malaikat rahmat.

11. Sedekah boleh menyebabkan do'a dimakbulkan Allah s.w.t. dan bebas daripada kesulitan.

12. Sedekah boleh terselamat daripada siksaan api Neraka.


by Abu Basyer on Tuesday, September 21, 2010 at 11:46pm


No comments:

Post a Comment