Wednesday, September 8, 2010

Imam Syafie

Sejarah Ringkas Imam Asy-Syafie

Imam Shafie lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M di atas nama Muhammad bin Idris ash-Shafie. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah untuk ibadah haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana menuntut ilmu. Di Mekah ash-Syafie memulakan perguruannya kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti kota Mekah di ketika itu dan juga kepada Sufyan bin Uyayna.

Kitab ilmu yang paling terkemuka ketika itu ialah Al-Muattha’ karangan Imam Malik, dan ash-Syafie dalam usia mudanya 15 tahun telah menghafal keseluruhan kitab tersebut. Ash-Syafie kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, Imam Malik bin Anas. Ketika itu ash-Syafie berusia 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan ash-Syafie sebagai murid terpintar Imam Malik mulai diiktiraf ramai. Ash-Syafie mengambil alih sebentar kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan ash-Syafie tidaklah lama di Yaman, apabila beliau dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Disamping itu berbagai konspirasi lain di jatuhkan ke atasnya, sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Bagdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Ash-Shafie dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rasyid dan berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan asy-Syafie membela dirinya dengan berbagai hujjah-hujjah agama menyebabkan Khalifah Harun sendiri tertarik kepadanya. Asy-Syafie dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Ash-Syafie telah berkenalan dengan tokoh-tokoh Imam Abu Hanifah dan duduk berguru dengan mereka, terutamanya dengan Imam Muhammad al-Hasan asy-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang utama bagi ash-Syafie, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membandingkan antara dua ajaran fiqh Islam, iaitu ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, ash-Syafie kembali berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau di beri penghormatan sebagai tokoh besar dan dipelawa untuk memberi ceramah dan kuliah. Ash-Syafie kini mula diiktiraf sebagai seorang Imam, dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup lurah-lurah perbezaan antara Imam Malik dan Imam Abu-Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran asal Imam Malik.

Pada tahun 194H/810M, Imam Syafie kembali semula ke Baghdad dan beliau di pelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam Syafie kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin Ali pernah di tanya akan kelebihan Imam Syafie berbanding tokoh-tokoh lain di ketika itu, maka beliau menjawab: ash-Syafie mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan I’tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati , mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ Rashidun dan amat pandai mengarang.

Pada usia 54 tahun, Imam Syafie meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir, meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh iaitu kitab al-Risala. Kitab ini adalah yang terulung dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan dan mengistimbatkan hukum dari satu dalil yang ada. Selain itu Imam Syafie juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur, al-Umm. Ajaran Imam Syafie diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Imam Abu Yakub al-Ruwati (231H/ 846M), Imam Rabi bin Sulaiman al-Marali (270H/884M), Imam Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M) dan terutama ialah Imam Ahmad bin Hambal (241H/856M).
sumber: kesedaran Dunia Akhirat

No comments:

Post a Comment