Sunday, September 5, 2010

Waktu Imsak: Bagaimana Sunnah Rasulullah ?


Penulis: Mohd Hairi Nonchi

Kampung Puyut, Lahad Datu

Sabah Negeri Di Bawah Bayu

Ramai pihak yang bertanya kepada saya, apakah benar penetapan waktu Imsak bagi puasa sebagaimana yang terdapat pada kalendar hijriah di Malaysia ini berasal daripada al-Sunnah Rasulullah s.a.w dan amalan para sahabat baginda r.anhum? Pertanyaan ini sedikit sebanyak telah menggerakkan saya untuk membuat sedikit kajian berkaitan dengan penetapan waktu Imsak tersebut. Apa yang memeranjatkan saya adalah, daripada hasil kajian tersebut membuktikan bahawa penetapan waktu Imsak di Malaysia sebagaimana yang diwar-warkan oleh sebahagian pihak bahawa kononnya ia adalah berasal daripada sunnah Rasulullah dan ajaran Imam Syafie ternyata adalah satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali. Malah tidak keterlaluan untuk diungkapkan di sini bahawa ia adalah suatu yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah s.a.w dan juga amalan generasi para sahabat r.anhum sebagaimana yang akan didedahkan dalam huraian seterusnya.

Dari Anas bin Malik dari Zaid bin Tsabit, dia (Zaid) berkata:

تسحرنا مع رسول الله ثم قام إلى الصلاة. قال أنس قلت لزيد: كم كان بين الأذين والسحور؟ قال: قدر خمسين آية.

Kami makan sahur bersama Rasulullah kemudian baginda bangkit untuk (mengerjakan) solat (Subuh). Anas berkata: Aku bertanya kepada Zaid: Berapa lama jarak antara azan dan sahur? Dia menjawab: Kurang lebih sekitar (bacaan) 50 ayat (al-Qur’an). – H/R Shahih al-Bukhari, no. 1801 dan Shahih Muslim, no. 1097.

Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa sebaik sahaja selesai bersahur, Rasulullah s.a.w bangun untuk bersolat. Ini menunjukkan bahawa waktu sahur selesai sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Tempoh antara sahur dan solat selama bacaan 50 ayat (dalam riwayat lain ditambah lafaz: atau 60 ayat) bukanlah menunjukkan masa berakhirnya sahur sebagaimana yang difahami oleh sebahagian pihak, tetapi menunjukkan tempoh bermulanya sahur. Katakanlah tempoh membaca 50 atau 60 ayat adalah sekadar 20 minit dan waktu subuh ialah 5.40 pagi, maka mereka mula bersahur pada pukul 5.20 pagi.[Lihat penjelasan saudara Kapten Hafiz Firdaus Abdullah dalam bukunya Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan, (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2008), ms. 78-79]

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa dalil yang akan saya kemukakan secara ringkas di bawah ini.

LAIN-LAIN DALIL PENOLAKAN WAKTU IMSAK SEBELUM SUBUH

Di dalam al-Qur'an, Allah berfirman:

كلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفج

Dan makan dan minumlah kamu hingga TERANG bagimu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu FAJAR. – Surah al-Baqarah, ayat 187.

Ayat yang mulia ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam diberi keizinan oleh Allah untuk mengambil makanan dan minuman melainkan apabila telah jelas pada mereka akan masuknya waktu fajar/subuh. Perhatikan hadis-hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini:

أذا سمع أحدكم النداء و الإناء على يده فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه.

Jika salah seorang di antara kamu mendengar azan sedangkan dia masih memegang piring (iaitu masih makan) maka jangan dia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajatnya (makanannya). – H/R Abu Daud 1/549, al-Hakim 1/426 dan al-Baihaqi 4/218 dan lain-lain. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Dzahabi.

Al-Husain bin Waqid dari Abu Umamah pula berkata:

أقيمت الصلاة و الإناء في يد عمر قال: أشربها يا رسول الله؟ قال: نعم فشربها.

Pada waktu IQAMAT dikumandangkan, Umar masih memegang gelas. Dia (Umar) bertanya (kepada Rasulullah): Apakah saya masih boleh minum ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya (boleh). Kemudian Umar minum. – H/R Ibn Jarir 3/527/3017 dengan dua isnad darinya dan isnad ini adalah hasan (baik). Disahihkan oleh Syeikh al-Albani.

Amar bin Abi Amar meriwayatkan dari Abu Hurairah:

وكان المؤذن يؤذن إذا بزغ الفجر.

Dan dahulu mu’adzin (tukang azan) mengumandangkan adzan jika TELAH TERBIT FAJAR – H/R Ahmad 2/510, Ibn Jarir dan al-Baihaqi. Syeikh al-Albani mengklasifikasikan hadis ini sahih sesuai dengan syarat Muslim.

Kesimpulannya, penetapan waktu Imsak iaitu menahan diri bermula pada awal 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu fajar/Subuh sebagaimana yang diada-adakan oleh sebahagian orang merupakan tambahan atas apa yang diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka hal itu termasuk dalam perkara yang batil dan termasuk tanaththu’ (berlebih-lebihan/ghulu) dalam beragama. Sikap berlebih-lebihan ini amat dicela oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana hadisnya:

هلك المتنطعون، هلك المتنطعون، هلك المتنطعون،

Telah binasa orang terdahulu yang berlebih-lebihan (dalam beragama), telah binasa orang terdahulu yang berlebih-lebihan, telah binasa orang terdahulu yang berlebih-lebihan- H/R Shahih Muslim, no. 2670.

Semoga huraian yang ringkas lagi sederhana ini bermanfaat untuk semua. Dijemput untuk menyebarkan risalah ini kepada saudara se-Islam yang lain. Sekian, wassalam.

TAHUKAN ANDA?

[1] Sejak di bangku sekolah rendah lagi kita telah diajar tentang definisi puasa iaitu: Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa BERMULA DARI TERBITNYA FAJAR sehingga terbenamnya matahari. Tetapi sedarkah kita secara praktikkalnya amalan kita berbeza dengan teori definisi di atas dimana kita mula menahan diri SEBELUM TERBITNYA FAJAR, iaitu awal 5-10 minit sebelum azan dilaungkan?

[2] Penetapan waktu Imsak sebagaimana yang tertera di dalam kalendar seperti di Malaysia ini tidak terdapat di negara-negara besar Islam yang lain, khususnya di negara-negara Arab seperti Mekah, Jordan, Syria dan lain-lain. Persoalannya, apakah kerajaan-kerajaan besar Islam ini semua tidak memahami sunnah Rasulullah dalam penetapan waktu Imsak di bulan Ramadhan? Sama-sama kita fikirkan.

[3] Dua orang tokoh ulamak besar Madinah iaitu Syaikh Abdullah Abdurrahman Shalih al-Bassam, yang juga merupakan Anggota Majlis Kibarul Ulamak Arab Saudi menerusi kitabnya Taisir Syarh Umdatul Ahkam dan Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin menerusi kitabnya Alfadz wa Mafahimu fi Mizan asy-Syari’ah telah mengeluarkan fatwa bahawa penetapan waktu Imsak iaitu yang bermula awal 5-10 sebelum masuk waktu Subuh adalah perbuatan bid’ah di dalam agama. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment