Hukum Hakam Qasor & Jamak
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Haji yang Mabrur, Sa'i kami sa'i yang masykur, dan dosa kami dosa yang diampuni, Ya Rabbal a'lamin. Bismillah Ala Barakatillah.
Tidak dinafikan bahawa masih ramai orang yang keliru dalam topic yang saya bawakan ini. Topic yang merupakan rukhsoh (keringanan) kepada umat islam dalam beberapa keadaan tertentu. Ianya satu bukti jelas bahawa islam adalah agama yang mudah. Bukti bahawa disana tiada alasan untuk seseorang itu tidak melaksakan perintah-perintah tuhan. "Bertakwalah kepada Allah dengan kadar yang termampu".
Saya pasti bahawa perbincangan yang akan dibentangkan ini tidak akan dapat mencakupi semua permasalahan kerana permasalahan feqh ini lazimnya diringi dengan khilafiyah dikalangan fuqaha yang muktabar. Sebolehnya saya akan menerangkan permasalahan qasor dan jamak ini menurut persepktif al-Quran dan Sunnah tanpa membincangkan khilaf ulama dalam masalah, dan sedaya upaya kita mencari pendapat yang rajih Insyaallah. Dengan kita menyedari bahawa ilmu yang sebenarnya adalah disisi Allah akan tetapi dengan keikhlasan mencari yang hak berlandaskan al-kitab dan sunnah mudah-mudahan semua kita mendapat petunjukNYA.
Pensyariatan qasor ini adalah merujuk kepada surah an-Nisa ayat 101. Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Nabi; "Bukankah sekarang kita dalam keadaan aman tanpa takut?mengapakah kita qasarkan menjadi dua?" Nabi menjawab; ((Itu adalah sedekah daripada Allah kepada kamu maka terimalah sedekahan daripada Allah)). Hukum qasar adalah sunnah muakkad samada dalam keadaan aman mahupun takut. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha, adapun Hanafiah melihat ianya suatu kewajipan jika datang sebab yang membolehkan seseorang melakukan qasor. Qasor dalam solat ini tidak boleh dilakukan kecuali bagi orang yang musafir sahaja. Adapun jamak dalam solat maka diharuskan samada ketika musafir mahupun tidak, dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Solat qasor hanya dilakukan bagi solat yang bilangannya 4 rakaat sahaja (Zohor, Asar & Isyak)
Beberapa maklumat penting tentang Qasor;
1) Jika seseorang bermusafir dibolehkan baginya mengqosorkan solat 4 kepada 2 rakaat dan boleh juga baginya menjamakkan solat qosor itu (Zohor&Asar / Maghrib&Isyak) sekiranya perlu sehinggalah dia selesai daripada permusafirannya itu. Daripada Aisyah ummul mukminin berkata; "Pensyariatan pertama solat adalah 2 rakaat, maka syarak mempersetujui solat musafir (2 rakaat) dan disempurnakan (4 rakaat) solat bagi orang yang bermukim".
2) Setiap perkara yang berkaitan dengan musafir maka ianya berkait rapat dengan hukum-hakam musafir iaitu; solat qasor, jamak, berbuka puasa, dan menyapu di atas khuff (stoken daripada kulit).
3) Seseorang musafir akan bermula hukum keharusan qasar dan jamak jika telah meninggalkan kampungnya atau qariyahnya. dan yang rajih ialah tiada had tertentu (jarak perjalannan) untuk di anggap sebagai musafir, bahkan hadnya ialah uruf. Jika menurut uruf (pandangan umum) jarak perjalanan seseorang itu dianggap sebagai musafir maka ia adalah musafir. Sebahagian ulama menetapkan bahawa jarak yang dianggap sebagai musafir ialah 83 KM dan keatas iaitu 2 marhalah.
4) Jika seseorang yang bermusafir solat dibelakang orang yang bermukim (tidak bermusafir) hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya. Jika orang yang bermukim menjadi makmum kepada imam yang bermusafir maka sunnahnya ialah si imam mengqasarkan solatnya dan makmum pula (orang mukim) menyempurnakan solatnya kepada 4 rakaat. Sunnah juga bagi si imam memaklumkan hal tersebut kepada makmum yang bermukim.
5) Yang sunnahnya ialah tidak melakukan solat sunat rawatib bagi orang yang bermusafir kecuali tahajjud, witir dan sunah qobliyyah subuh sahaja sepertimana datang perbuatan tersebut daripada nabi dalam hadis yang soheh. Adapun solat-solat sunnah lain umumnya maka ianya adalah dituntut samada dalam keadaan musafir ataupun tidak, seperti solat-solat yang ada sebab (solat wudu', jenazah, tahiyyah masjid, tawaf dll). Yang dibincangkan adalah berkaitan solat rawatib ketika musafir sahaja.
6) Hukum yang berkaitan dengan musafir (qasar, jamak, tidak berpuasa, sapu khuff) berterusan sekalipun kepada orang yang sentiasa dan selalu bermusafir seperti pemandu lori, pilot, pemandu keretapi dan sebagainya. Rukhsah (keringanan) ini tidak digugurkan daripada orang tersebut.
7) Jika si musafir berada dalam kapal terbang dan tiada tempat solat, maka hendaklah dia solat ditempatnya dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, kemudian membongkok sedikit untuk rukuk, duduk dibangkunya untuk duduk antara dua sujud dan membongkok semampunya bagi sujudnya. Berdiri adalah syarat sah solat, maka tidak sah bagi orang yang mampu berdiri tetapi solat dalam keadaan duduk! Rujuk fatwa Lajnah Daemah Wal Ifta'.
8) Si musafir yang menjadi makmum kepada orang yang bermukim di mana-mana masjid hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya kerana Nabi bersabda yang bermaksud: ((Hanyasanya dijadikan imam adalah supaya ia diikuti)). Jika jemaah dimasjid telah selesai maka sunnah dia mengqasarkan solatnya. Ibnu Abbas ditanya; "kenapakah jika kita solat dengan imam maka kita kena sembahyang 4 rakaat dan jika kita sembahyang sesama kita yang musafir maka kita solat 2 rakaat?" Jawab Ibnu Abbas; "Demikianlah sunnah"[1].
9) Orang yang melakukan solat qasar dan jamak takhir hendaklah dia melaksanakannya dengan tertib, iaitu mendahulukan solat Zohornya sebelum Asar dan mendahulukan solat Maghrib sebelum Isyak kerana Allah berfirman yang bermaksud: ((Sesungguhnya solat itu ke atas orang mukminin telah ditentukan tertib waktunya)). Sekalipun dalam mazhab Syafie mengharuskannya, tetapi pendapat jumhur lebih rajih (tertib), lebih selamat, dan kerana ianya keluar daripada khilaf.
Bermabit di Muzdalifah
Sekitar permasalahan jamak dalam solat;
1) Sunnah bagi orang yang melakukan solat jamak (Maghrib dan Isyak / Zohor dan Asar), melaungkan azan dan iqamah bagi tiap-tiap solat.
2) Dalam masalah afdhal (keutamaan) samada jamak takdim ataupun takhir ianya bergantung kepada keselesaan si musafir. Akan tetapi jika dalam perjalanan dan berhenti rehat, sunnahnya ialah melakukan jamak takdim jika telah masuk waktu Maghrib, jika dia beredar daripada tempat rehatnya sebelum masuk waktu maghrib maka sunnahnya ialah melakukan jamak takhir. Begitu juga, jika sebelum bergerak dari tempat rehat telah masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak takdim, jika dia bergerak sebelum masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak ta'khir (Zohor di bawa ke Asar).
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجمع بين صلاة الظهر والعصر إذا كان على ظهر سير، ويجمع بين المغرب والعشاء
Daripada Ibnu Abbas berkata; "Nabi menjamakkan solat Zohor dan Asar jika berada di atas tunggangan (dalam perjalanan) dan menjamakkan antara Maghrib dan Isyak" riwayat Bukhari.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا ارتحل قبل أن تزيغ الشمس أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل فجمع بينهما، فإذا زاغت الشمس قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب
Daripada Anas berkata;
"Nabi Muhammad jika baginda bertolak sebelum gelincir matahari (masuk Zohor), maka baginda mengakhirkan Zohor kepada Asar kemudian berhenti turun dan menjamakkannya (jamak takhir), jika bertolak setelah gelincir matahari (masuk Zohor) solat Zohor dan kemudian bergerak". Muttafaq alaihi.
3) Dibolehkan menjamakkan solat (Zohor dan Asar / Maghrib dan Isyak) sahaja tanpa qasor bagi orang bermukim (tidak musafir). Ini di bolehkan jika orang tersebut sakit, perempuan yang mustadhoh (keluar darah fasid yang bukan haid), ketika hujan yang terlalu lebat, sejuk yang melampau, rebut yang kuat ataupun orang yang ketakutan samada ancaman terhadap dirinya, keluarganya mahupun hartanya [2].
4) Atas dasar menghilangkan kepayahan, maka seorang doctor dan pesakit yang melakukan pembedahan juga harus menjamakkan solat mereka (tanpa qasar) khususnya jika pembedahan itu berterusan melebihi 5 jam yang pasti akan habis waktu solat Zohor ataupun Maghrib sekiranya tidak dijamakkan. "Jadi permasalahan jamak dalam solat ini ianya berkait rapat dengan keperluan (hajat) seseorang bagi menghilangkan kesukaran"[3].
Hukum Jamak Solat Tanpa Sebab
Agama ini adalah mudah tetapi janganlah ianya dimudah-mudahkan sehingga menjadi rosak binasa. Sebab itu ulama menyatakan; "sesiapa yang sengaja mencari-cari rukhsah maka dia telah jadi zindiq". Nabi mengajar dan mengarahkan kita solat pada waktunya. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi;
عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam menjama’kan antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan (tanpa sebab). Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma: Mengapa baginda sallallahu alaihi wasallam melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: Baginda Nabi Muhammad tidak ingin menyusahkan umatnya.
Hadis ini para ulama tidak mengamalkannya sekalipun ianya soheh. Ianya hanya dilakukan sekali sahaja sepanjang hayat Nabi Muhammad. Sebab itulah jawapan Ibnu Abbas itu amat bersesuaian untuk menjadi sebab kepada keharusan perkara tersebut bagi hal-hal tertentu yang tidak dapat di elakkan. Contohnya doctor yang melakukan pembedahan selama 12 jam dan kepenatan sesudah itu maka bolehlah mereka ini beramal dengan hadis ini sebagai rukhsoh (keringanan).
Jumhur ulama iaitu Hanafiah, Malikiah , Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum menyatakan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jamak. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda Nabi lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja Nabi melaksanakan jama’ atau qasor solat.
Sehingga disebutkan oleh Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu:
Maksudnya: Tidak pernah aku melihat baginda Nabi Muhammad melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jamak ketika di Muzalifah.
Syeikh Ibn Uthaimin berkata;
"Tidak halal bagi seseorang itu mengambil mudah dalam masalah jamak kerana Allah berfirman yang bermaksud; ((Sesungguhnya solat itu telah ditentukan kefardhuannya mengikut waktu))".
[1] Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad dan lihat masalah ini dalam Fatawa Lajnah Daemah Wal Ifta' jilid 8 soalan no 4373.
[2] Rujuk Mausu'ah al-Fiqhiyyah
Sumber : yeopmadiny
No comments:
Post a Comment