Friday, October 21, 2011

Mengubah Fikiran Pendek Lagi

Sempit Yang Memandulkan Iman

fikirluas.jpg
"Kebaikannya itu akan dirasakan oleh pelaku itu sendiri. Dia sendiri akan berasa lega, gembira dan lapang, perasaan tertekan dan stress berkurangan yang bukan hanya boleh meningkatkan potensi kesihatan tubuh fizikal, malah juga ketenangan spiritual seseorang. Lebih hebat, aura kebaikan dirinya itu boleh terpindah kepada orang di sekelilingnya seperti isterinya, anaknya, keluarga, jiran-jiran serta rakan setugas. Mereka turut boleh merasa aman, damai serta selesa."



Bagus dan menyakinkan.

Apa pendapat anda sekiranya anda menjumpai sebuah kotak icecream yang tercatat jelas pengumuman seperti berikut:

coklat2.jpg

Gambar :Di belakang kotak icecream

Pada hemat anda, berapa ramai yang akan berpura-pura tidak puas hati dan kembali menuntut ‘refund' atau ganti.? Jika dapat kembali wangnya atau ditukar, apa yang dapat dipuaskannya? Hanyalah nafsu sendiri, tanpa sedar tindakannya membawa bencana dan keburukan jua terhadap dirinya.

Tawaran ‘refund' dan tukar ganti seperti ini, boleh didapati secara meluas dalam amalan berniaga di negara bukan Islam, khususnya di sebelah Eropah. Setiap kali terlihat paparan seperti itu, akan terdetik di dalam diri, cukup ‘selesa' menjadi pelanggan dan berniaga jika sesebuah masyarakat itu profesional, telus dan amanah. Melaluinya, bilangan peniaga telus dan berhemah turut bertambah sehingga mampu melahirkan sebuah masyarakat amanah, selesa didiami, berniaga serta menjadi pelanggan.

Melalui pengalaman peribadi berada di negara sebelah Timur Tengah dan Malaysia, terbayangkan kerugian yang akan ditanggung oleh peniaga jika iklan sebegitu dipaparkan di kotak barang jualannya. Entah berapa peratus akan menipu dan mengembalikan barangan setelah puas diguna atau dimakan. Wallahu'alam.

Di United Kingdom, secara umumnya :-

  • Stesyen minyak boleh isi minyak terlebih dahulu, kemudian baru bayar.
  • Boleh beli icecream tertentu, jika tak puas hati dengan rasanya, boleh tuntut ganti dan juga wang, seperti di ASDA.
  • Boleh beli barang pelbagai termasuk elektrik di kedai besar seperti ARGOS, jika dalam tempoh 30 hari dan rasa kurang berkenan, bolehlah ditukar walau telah diguna sepuas hati.

Memang benar, semua di atas tidak akan mampu dilakukan tanpa pengawasan system yang canggih dan teratur, namun ia juga lahir dari sifat amanah majoriti masyarakatnya.

Apa yang ingin saya ketengahkan di sini, bukanlah kehebatan kedai-kedai di UK, tetapi adalah ‘keselesaan' atau ‘perasaan lega' menjadi pelanggan dan peniaga di ketika tingginya sifat amanah di dalam sesebuah masyarakat walau mereka bukan beragama Islam.

KEBAIKAN MELAHIRKAN KEBAIKAN

Bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Allah swt :

وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya : "Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah : 110)

Benar lagi jelas, ayat ini bukan sahaja memberitahu perihal kebaikan balasan di Akhirat, malah juga balasan kebaikan di dunia lagi.

Pertama kebaikannya itu akan dirasakan oleh pelaku itu sendiri. Dia sendiri akan berasa lega, gembira dan lapang, perasaan tertekan dan stress berkurangan yang bukan hanya boleh meningkatkan potensi kesihatan tubuh fizikal, malah juga ketenangan spiritual seseorang.

Lebih hebat, aura kebaikan dirinya itu boleh terpindah kepada orang di sekelilingnya seperti isterinya, anaknya, keluarga, jiran-jiran serta rakan setugas. Mereka turut boleh merasa aman, damai serta selesa.

Nabi s.a.w pernah mengingatkan berkenaan kesan dan pengaruh kebaikan seseorang yang boleh berpindah kepada orang di sekitarnya.

الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

Ertinya : "Agama seseorang itu adalah mengikut rakannya, maka telitilah seseorang yang ingin dijadikan rakan baiknya" ( Riwayat Abu Daud)

Demikian juga sabdaan Nabi :

إنما مثل الجليس الصالح وجليس السوء، كحامل المسك ونافخ الكير، فحامل المسك إما أن يُحذيك، وإما أن تبتاع منه، وإما أن تجد منه ريحاً طيبة، ونافخُ الكير إما أن يحرق ثيابك، وإما أن تجد منه ريحاً منتنة

Ertinya : "Perumpaan orang yang baik dan orang yang jahat itu adalah seperti penjual wangian dan tukang bakaran besi, Maka penjual wangian (kamu akan dapati kebaikan baunya) sama ada melalui pemberiannya, atau kamu beli darinya atau atau tempiasan baunya, adapun pembakar besi, sama ada ia akan membakar bajumu atau mendapat baunya yang busuk.." ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas, berpunca dari kebaikan satu orang manusia, ia boleh bercambah kepada yang lain dan dirinya menjadi semakin selesa dan gembira. Maka jadikan diri kita sebagai TITIK MULA tersebut. Jangan beralasan dan asyik mengharapkan orang lain untuk memulakan. Memulakan sesuatu yang baik ditengah suasana keburukan adalah sifat mulia tugas kenabian. Ia kerap dirasakan pelik dan asing lalu dikritik dan ditertawa oleh sang penjahat.

Tiada sebarang ruginya untuk mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain.

Mengapa perlu kita menipu sedangkan ia tidak disukai jika terkena kita sendiri?.

Mengapa perlu memaki hamun sedang ia pedih buat orang lain dan juga diri kita?.

Mengapa perlu merasuah dan mengambil rasuah sedang ia hanya akan merosakan diri kita sendiri serta mengalakkan kehancuran dalam bisnes, hancur pula nilai kualiti.?

Bukankah bagus dan terpuji, jika kita mampu memahami hakikat itu di minda dan hati kita, lalu menjauhi keburukan yang tidak lain hanya akan meninggalkan stress kepada mental, fizikal dan spiritual kita. Namun mengapa masih keburukan menjadi pilihan?!.

Cuba fikir-fikrikan dalam-dalam dan jauh-jauh ke dalam diri kita, mencari sebutir iman yang masih berbaki, suburkan ia..

Di United Kingdom, beberapa kawasan yang tinggi rekod jenayahnya MENJADIKAN KOS PELBAGAI JENIS INSURAN TURUT TINGGI. Kawasan seperti Manchester, Birmingham, London dan sebagainya adalah kawasan bandar yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan sikap, maka pelbagai pula jenayahnya. Bertambah rendah kadar jenayah, semakin rendah kos insuran yang ditanggung, seperti di Lampeter, Wales. Bukankah indah sebegitu.

Lebih rendah kos rasuah perniagaan, maka lebih murah kos sesebuah pengurusan dan pembuatan, Bukankah lebih baik?

Lebih rendah bilangan jenayah setempat, rendah pula tahap kebimbangan ibu bapa dan penduduk. Hasilnya masyarakat yang kurang tekanan dapat dihasilkan. Bukankah ia lebih baik?

KEJAHATAN TIDAK MELAHIRKAN KECUALI KEBURUKAN

Amat malang, semakin ramai manusia hari ini lebih suka melihat manfaat yang dekat dan pendek, kesenangan sementara dan mudah akibat tertipu dek kebodohan sendiri.

RASUAH

"Mengapa kau beri dan ambil rasuah?"

"Jika tak beri rasuah, masakan syarikat aku boleh hidup?"

Itu alasan aqal pendek serta bingung seorang peniaga. Tidak dilihatnya jenayah rasuahnya itu secara meluas iaitu secara ‘big picture' yang akhirnya akan terkena kesan buruknya kepada perniagaannya sendiri, melalui pelbagai cara. Malang apabila dia hanya mampu melihat begitu pendek, ringkas dan tersekat.

Lupa bahawa sebuah masyarakat perniagaan yang korup menjauhkan perkembangan skill dalam sesebuah perniagaan. Mengundang pekerja yang korup juga, dan melarikan pelanggan. Ya, jangka pendek mungkin boleh mendabik dada, namun tunggu kesan buruknya kelak.

Rasuah bukan sahaja ditegah Islam malah disedari kesan buruk dan besarnya oleh pengusaha dan peniaga di Negara maju seperti Sinagapura, Amerika, UK, Jepun, Eropah dan lainnya. Mereka sedar, ZERO-RASUAH adalah pra-syarat untuk menjadi negara maju dari sudut ekonomi serta memandaikan masyarakat kerana perolehan kontrak adalah hasil kebijaksanaan dan kualiti kerja dan bukan hasil kebodohan beri rasuah.

TIPU

"Mengapa kau menipu, mengatakan barang ini rosak?

"Saja, supaya aku dapat semula duit aku dan boleh nak beli yang lain free"

demikian alasan kurang bijaknya. Apa yang dilihat hanyalah kepentingan diri sendiri, dia lupa tindakan buruknya itu satu hari mampu menjadikan dirinya sebagai mangsa pula.

Pernahkah anda ditipu sepanjang hidup? Tatkala itu tentu kita terfikir, mengapalah dia sanggup menipu kita, bukan? Justeru, jangan sesekali melakukan kepada yang lain.

ZINA

"Mengapa kau berzina dengan isteri, anak orang, kakak orang?"

"entahlah, aku rasa tak tahan nafsu dan terdorong dek nafsu, tapi seronok jugak" mungkin itu tegas seorang penzina perosak masyarakat yang patut dihukum bunuh sampai mati. Tidak disedarinya, perangai buruk itu merosakkan kaum wanita, selain mendorong ke arah lahirnya sebuah masyarakat bebas zina. Satu hari akan sampai kepada anak dan isterinya serta menambah peluang besar untuk diri dan keluarga, mati akibat AIDS dan lain-lain penyakit kelamin.

Malang apabila yang difikir hanya keseronokan seketikanya, tidak difikir tekanan perasaan ibubapa si wanita, suaminya, anak, dan lebih dari itu, tidak difikir perasaan Rasulullah s.a.w yang akan dijadikan tempat bergantung untuk syafaat di akhirat kelak.

PUKUL

"Mengapa kamu pukul orang ini?"

"Padan muka dia, kurang ajar sangat dengan aku, biar dia rasa dan tahu siapa aku"

Itulah desakan jiwa amarah si pemukul, dia lupa perbuatan itu hanya menusuk dendam dalam diri si mangsa, tunggu satu hari balasan lebih teruk mungkin menunggu, jika bukan diri sendiri, maka keluarga menjadi mangsa.

UMPAT

"Mengapa kau cerca, hina dan mengumpat dia sebegini?"

"Memang dia layak untuk ini, dia memang hina dan aku suka dia jatuh tersungkur pada pandangan mata orang lain"

nafsu suka melihat kehancuran orang lain diwarwarkan sebagai matlamat, konon untuk kepuasan diri, tiada sedar tindakannya hanya menunjuk kemunduran aqalnya kepada di pendengar dan pembaca lain.

RIBA

"Mengapa kau ambil perbankan riba untuk membeli rumah?"

"Kerana ia jauh lebih murah"

Tegasnya dalam keyakinan palsu yang disangka hakiki. Pengelihatan mata mindanya pendek sekali kerana tidak mengerti formula kira-kira dengan betul hingga tidak diambil perhatian kesan kiraan compounding interest atas kelewatan bayaran dan rebate.

Tidak pula meneliti percentage yang ditawarkan itu untuk tempoh berapa tahun.

Tidak sedar, jumlah ongkos bulanan yang disebut oleh pegawai bank di awal permohonan itu berbeza dengan jumlah mulai tahun ketiga akan datang.

Maka jadilah jumlah bayaran bulanan yang diberitahu oleh orang bank di awal permohonannya itu sebagai mazhab penentu bank mana pilihan hatinya. Tanpa dilihat lebih besar dan jauh kepada kadar-kadar lain yang tercactat di dalam kontrak dengan bank. Apatah lagi untuk kembali melihat kontrak janjinya dengan Allah swt. Malu dan kasihan melihat sebegitu pendek minda aqalnya dalam menilai kiraan.

Mata hati menjadi buta dari dosa dan pahala yang tertanggung oleh pemakan riba sepertinya.. Teruslah dia akan buta di dunia dan buta pula di akhirat kelak. Nauzubillah..

KOS AKIBAT KEJAHATAN

Kejahatan sebenarnya bukan hanya menyusahkan di akhirat, malah amat menyusahkan di dunia, berapa banyak kos yang terpaksa ditanggung kerana kejahatan manusia,

Alat anti kecurian, kunci, pagar, cctv, penjara, polis serta alatannya, alat anti wang palsu, anti kecurian, peti besi dan banyak lagi. Bayangkan kos yang dikeluarkan untuk semua ini.

Semua diperlukan kerana masyarakat yang diyakini berpenjenayah.

Saya dapat merasakan, bagaimana lega dan selesa rumah tanpa geril besi di setiap tingkap dan pintu, tanpa perlu additional lock untuk kereta di ketika menginap di Wales.

Peniaga juga selesa berniaga kerana sedar, majoriti masyarakat tidak menipu.

Ramai pencuri terpaksa menanggung kos tinggi akibat jenayahnya, sebagai contoh ketika mengambil insuran, apabila statistik kecurian kereta yang tinggi di sesebuah kawasan, seluruh penduduk kawasan itu akan menanggung kos insuran yang tinggi. Mungkin akan datang, si pencuri mencuri di kawasan orang lain, tapi kelak hasil tindakannya semua kawasan menjadi kawasan aktif jenayah dan kos menjadi tinggi. Lebih hebat dan bahaya, tindakannya memberi inspirasi kepada yang lain untuk turut serta sebagai penjenayah, lalu keluarganya menjadi mangsa.

FIKIRLAH LUAS DAN LEBIH JAUH

Oleh kerana itu, Islam mengajar kita untuk menilai sesuatu dari skop yang paling luas, keluar dari kepentingan diri kepada keluarga, masyarakat, negara dan akhirat kita. Allah swt menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah swt, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr : 18)

Atas sebab itu juga Islam mengharamkan arak, disebut secara jelas keburukan lebih besar dan umum dari kebaikannya yang terhad kepada golongan tertentu, lalu ia diharamkan. Selain isu arak yang ingin Allah sampaikan, ayat tersebut juga mengajar kita suatu corak pemikiran, iaitu fikirlah dengan lebih luas dan lebih jauh.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

21 Oktober 2009


No comments:

Post a Comment