Thursday, October 24, 2013

Umat Islam diminta sokong MuslimUPRo tangkis tuntutan Comango di PBB – Mufti Pahang




 


KUANTAN, 23 Okt – Umat Islam di negara ini diminta berdoa agar delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) dapat menjelaskan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa

Bersatu (PBB) berhubung tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman berkata tuntutan-tuntutan yang dibuat Comango bukan sahaja boleh menjatuhkan imej Islam dan memecahbelahkan umatnya malah boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini.

“Kita berharap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan rakyat di negara ini menyokong delegasi MuslimUPro.

“Tindakan Comango itu melalui tuntutan mereka boleh memecahbelahkan umat Islam, kita takut kalau di negara seperti di negara Arab, Syiah menjadi ancaman dan kita bimbang kumpulan ini seperti itulah (Syiah) yang boleh memecahbelahkan umat Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas hadir dalam perbincangan bersama beberapa NGO-NGO Islam dan Melayu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung pendirian kerajaan negeri Pahang mengenai tuntutan Comango.

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

Abdul Rahman berkata, situasi di negara ini kini amat menyedihkan apabila terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menghapuskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi.

Katanya, agama Islam jelas menyebut misalnya tentang pengharaman homoseks yang bertentangan dengan Islam dan perkara seperti inilah yang tidak dipersetujui pihak-pihak yang menentang agama Islam.

“Mereka cuba untuk menyamaratakan bahawa Malaysia ini adalah bukan sebuah negara beragama Islam, mereka cuba untuk menghapuskan dan menjadikan negara ini seolah-olah negara sekular,” katanya. - BERNAMA

 http://www.ismaweb.net/v4/2013/10/umat-islam-diminta-sokong-muslimupro-tangkis-tuntutan-comango-di-pbb-mufti-pahang/

No comments:

Post a Comment