Saturday, December 7, 2013

K. H Sirajuddin Abbas..



K.H Sirajuddin Abbas: Berakidah Jahmiyah, Qadariyah & Muktazilah Tulen?

Beliau ialah tokoh besar yang menjadi rujukan golongan Muktazilah dan Jahmiyah zaman kini yang menyamar sebagai Ahlus Sunnah wal Jama'ah Asya'irah. Tulisan-tulisan tokoh ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk meranapkan dakwah Sunnah yang digelar oleh mereka sebagai 'Salafi' dan 'Wahabi'.

Malang sungguh, pekung kesesatan mereka terbuka dengan sendiri apabila tokoh tersebut menjelaskan akidahnya menerusi sebuah bukunya yang masyhur dijadikan senjata memerangi dakwah Sunnah. Beliau menulis di dalam bukunya yang sarat dengan dusta dan fitnah, I’tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah:

“Kalau terdapat Tuhan bertangan maka maksudnya Tuhan berkuasa karena tangan itu biasanya alat kekuasaan. Kalau berjumpa ayat yang mengatakan Tuhan duduk di atas ‘Arasy maka maksudnya ialah Tuhan menguasai ‘Arasy, kalau berjumpa ayat atau hadis yang mengatakan Tuhan turun, maka yang turun adalah rahmat-Nya, bukan batang tubuh-Nya.” - Lihat I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah karya K.H Siradjuddin Abbas (Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta Selatan, cetakan ke-8, 2008), ms. 84.

Perhatikan hujah berikut yang menerangkan akidah sebenar K.H Sirajuddin Abbas.

Pertama:

Salah satu ciri-ciri akidah golongan Al-Jahmiyah ialah menafikan sifat al-Istiwa’ di atas ‘Arasy di atas langit-Nya. Abu Abdillah Al-Alusi meriwayatkan bahawa dia pernah mendengar Wahb bin Jarir berkata:

إِنِّمَا يُرِيْدُالْجَهْمِيْيةُ أَنَّهُ لَيْسَ فِي السَّمَاءِ شَيْءٌ

Sesungguhnya Al-Jahmiyah menginginkan bahawasanya tidak ada di atas langit sesuatu pun.” – Lihat Itsbat Sifat Al-‘Uluw, ms.118.

Sementara itu, Jarir bin Hamid rahimahullah pernah berkata ketika ditanya mengenai golongan Al-Jahmiyah:

إِنِّمَا يُرِيْدُوْنِ أَنَّهُ لَيْسَ فِي السَّمَاءِ شَيْءٌ.

“Mereka hanyalah menginginkan bahawasanya tidak ada di atas langit sesuatu pun.” – Lihat Al-Ibanah, Ibn Batthah, 3/194.

Kedua:

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (279H) berkata tatkala mengkritik tindakan golongan Al-Jahmiyah mentakwilkan sifat ‘Tangan Allah' kepada ‘kudrat’ (kuasa):

وأما الجهمية فأنكرت هذه الروايات فقالوا: هذا تشبيه. وقد ذكر الله عز وجل في غير موضع من كتابه: اليد والسمع والبصر، فتأولت الجهمية هذه الآيات ففسروها على غير ما فسرها أهل العلم وقالوا: إن الله لم يخلق آدم بيده، وقالوا إن معنى اليد ههنا القوة.

“Manakala golongan Al-Jahmiyah pula mereka mengingkari riwayat-riwayat ini kerana menganggapnya ada tasybih (penyerupaan sifat Allah dengan sifat makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyebut pada lebih dari satu tempat dalam kitab-Nya (sifat) Tangan, Mendengar dan Melihat, lalu puak Al-Jahmiyah mentakwilkan (maksud) ayat-ayat ini dan menafsirkannya dengan tafsiran yang berbeza daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (Al-Jahmiyah) berkata: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan Nabi Adam dengan Tangan-Nya, dan mereka juga berkata: “Sesungguhya makna Tangan itu di sini ialah kudrat (kuasa).” – Lihat Sunan At-Tirmidzi, 3/50-51.

Berkata al-Imam Abu Hanifah rahimahullah (w.150H), sebagaimana yang dinukil daripada daripada kitab Syarh Kitab al-Fiqh al-Akbar Li Abi Hanifah, ms. 66-68:

فما ذكره الله تعالى في القرآن من ذكر الوجه واليد والنفس فهو له صفات بلا كيف، ولا يقال: إن يده قدرته أو نعمته لان فيه إبطال الصفة وهو قول أهل القدر والاعتزال ولكن يده صفته بلا كيف وغضبه ورضاه صفتان من صفاته تعالى بلا كيف.

“Maka apa yang disebut oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an daripada sebutan Wajah, Tangan dan Diri, maka ia adalah sifat-sifat bagi-Nya tanpa (menggambarkan) kaifiyyat (bentuk rupa). Tidak boleh dikatakan bahawa Tangan-Nya (bermaksud) kuasa atau nikmat-Nya, sedangkan ia adalah pendapat puak al-Qadariyyah dan al-Muktazilah. Akan tetapi Tangan-Nya adalah sifat-Nya tanpa (digambarkan) kaifiyyat, manakala Marah dan Redha-Nya juga adala dua sifat daripada sifat-sifat-Nya tanpa (digambarkan) kaifiyyat.”

Selanjutnya perhatikan pula keterangan Syaikh Abd al-Qadir al-Jailani rahimahullah (w.561H) iaitu salah seorang tokoh besar bagi aliran tasawuf sebagaimana yang beliau sebutkan di dalam kitabnya, Al-Ghunya Li Thalib Al-Haqq (Tahqiq: M. Khalid ‘Umar), ms. 86-87, Bab Tentang Makrifat Allah ‘Azza wa Jalla:

وأنه تعلى ينزل في كل ليلة إلى سماء الدنيا كيف شاء وكما شاء, فيغفر لمن أذنب وأخطأ وأجرم وعصى لمن يختار من عباده ويشاء. تبارك وتعلى العلي الأعلى, لا إله إلا هو له الأسماء الحسنى. لا بمعنى نزول الرحمة وثوابه على ما ادعته المعتزلة والأشعرية.

“Sesungguhnya Dia (Allah) Ta’ala turun (al-Nuzul) pada setiap malam ke langit dunia dengan cara yang tersendiri dan layak bagi-Nya dan Dia mengampunkan mereka yang berdosa, berbuat kesalahan dan maksiat, yakni mereka yang terdiri para hamba yang terpilih........ (Sifat turun tersebut) tidaklah boleh difahami sebagai turunnya rahmat atau turunnya ganjaran Allah sebagaimana yang dikatakan oleh (golongan) al-Muktazilah dan al-Asya’irah.”

Sekian.


~Mohd Hairi Nonchi

Rujukan : http://www.youtube.com/watch?v=6B1m5d71sSY

1 comment: