Friday, March 4, 2011

Peluk Islam kerana perjuangan Nur Misuari



Penentangan terhadap perjuangan Nur Misuari telah membawa Muhammad Soria kepada islam.


Ketika tokoh Muslim Moro, Nur Misuari menyatakan wilayah selatan Filipina, Mindanao harus dipisahkan dari Filipina dan menjadi negara Islam yang merdeka, Estanislao Soria antara orang yang paling kuat menentang.

Sebagai seorang tokoh agama Katholik yang lahir di Mindanao, beliau menolak jika tanah kelahirannya itu diambil alih oleh orang Islam.

"Saya sangat tidak setuju dengan perjuangan Misuari. Lalu saya menentang dia melalui pelbagai kempen anti-Misuari yang sekali gus menentang perjuangan Islam yang dibawanya," kata Soria yang lebih popular dengan panggilan Father Stan.

Selain dikenali sebagai paderi Katholik, Soria juga terkenal sebagai ahli sosiologi.

Disebabkan tidak mahu dituduh bertindak sembarangan dalam menentang perjuangan Misuari itu, Soria menggunakan kepakarannya dalam bidang sosiologi untuk melancarkan serangan terhadap pemimpin Moro itu.

Beliau melakukan penyelidikan mengenai sejarah dan sosial dengan banyak membaca mengenai Islam.

Matlamatnya untuk menguatkan hujah bagi menolak gerakan tuntutan kebebasan Moro yang ingin menjadikan Mindanao sebagai wilayah Islam.


Pencerahan

Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Hasil daripada penyelidikan itu membawa Soria lebih dekat dengan Islam dan lebih mengenali Islam lalu dia memeluk agama suci itu.

Penyelidikan yang dilakukan membawanya kepada kebenaran.

Ini termasuklah aspek sejarah siapakah sebenarnya pemilik pulau Mindanao.

Pelbagai cara sebenarnya dilakukan oleh Soria bagi memastikan misinya untuk menentang Islam secara 'intelektual' itu berjaya.

"Sebagai orang yang memahami bahasa Latin, Yunani dan Ibrani, saya fikir saya boleh mempelajari bahasa Arab dengan mudah.

"Ia supaya saya dapat menterjemahkan tulisan-tulisan dalam bahasa Arab ke bahasa Inggeris dan menterjemahkan ideologi-ideologi Barat, misalnya ideologi eksistensialisme, ke dalam bahasa Arab.

"Tapi saya menyedari, misi ini adalah sukar untuk dilakukan kerana bahasa Arab tidak semudah yang saya sangkakan," kata Soria.

Ketika itu Soria yakin, dengan banyak menterjemahkan artikel-artikel mengenai ideologi Barat ke dalam bahasa Arab, akan membuatkan golongan Muslim di Mindanao menghargai ajaran Kristian.

"Saya ingin sekali membuka wawasan berfikir mereka mengenai Kristian. Saya banyak mendengar hal-hal yang negatif mengenai Muslim. Lalu saya beranggapan bahawa mereka (Muslim) perlu dididik supaya tidak lagi sering bertindak negatif atau dipandang negatif," ujar Soria.

Tetapi semakin ia mendalami bacaan-bacaannya termasuk mengenai agamanya sendiri semakin Soria menyedari bahwa kebanyakan tokoh-tokoh gereja seperti Saint Thomas Aquinas sendiri banyak belajar daripada buku-buku bacaan dan ajaran Islam.


"Begitu juga ideologi-ideologi dan ilmu teologi yang disebut-sebut sebagai berasal dari Barat. Semua itu sudah sekian lama dibahaskan dalam Islam.

"Daripada bacaan-bacaan itu saya mendapati pemikiran-pemikiran mengenai peradaban Barat begitu banyak yang diambil daripada ajaran-ajaran Islam.

"Setelah saya membaca lebih banyak buku-buku yang ditulis pakar agama Islam, pandangan saya terhadap Islam juga terus berubah.

"Malah hakikat yang saya temui ialah hal-hal negatif yang sering saya dengar mengenai Islam di Filipina ternyata tidak benar," tambah beliau.


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

ARKIB : 03/03/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

2 comments:

  1. ini baru seorang yang menentang perjuangan memartabatkan Islam, yang Alhamdulillah mendapat hidayah- berapa ramai lagi yang melakukan perkara yang sama dalam pelbagia cara dan kemampuan mereka, termasuklah dengan cara yang tidak wajar...

    ReplyDelete
  2. pokoknya, kita perlu berhati-hati dan tidak sentiasa bersangka baik je., sedang mereka bekerja keras, kita pula tak but apa untuk islam...

    ReplyDelete