Mahathir anggap Melayu lebih banyak mengalah dan berundur demi keamanan
KUALA LUMPUR: Orang Melayu kini berada dalam dilema apabila mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak Melayu kerana boleh dianggap sebagai bersifat perkauman.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata lebih malang lagi, orang Melayu pula tidak mampu mempertahan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan berundur demi keamanan.
'Kita selalunya berdiam diri dan malu serta alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar. Ini merugikan kerana kita bukan merampas hak orang lain.
'Jika kita terus berpegang pada nilai itu, maka semakin lama kedudukan kita akan terhakis. Selalunya hendak cakap malu, tidak cakap kalah.
'Akan tiba pada satu tahap nanti kita juga tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini tanah air orang Melayu dan seolah-olah adalah pendatang sama seperti pendatang lain,' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kelmarin.
Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa masa depan orang Melayu di negara itu boleh menjadi buruk sekiranya masalah perpecahan berikutan perbezaan fahaman politik tidak dapat diselesaikan.
'Hakikatnya perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan hanya akan menjadikan kaum itu kian lemah sehinggakan ada pada satu peringkat kaum Melayu sanggup memberi apa saja, sama ada hak atau tidak, kepada pihak lain bagi meraih sokongan.
'Lebih malang lagi, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan kuasa mereka kerana pada masa itu pihak lain akan menguasai negara walaupun jawatan perdana menteri serta menteri masih berada di tangan kaum itu,' katanya.
Dr Mahathir turut mengakui ada orang Melayu yang sengaja menyalahgunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi meraih kekayaan dan kemewahan segera tetapi mahu supaya dasar itu tetap diteruskan.
Beliau berkata tindak-tanduk golongan itu menyebabkan sasaran bumiputera mendapat 30 peratus hasil kekayaan negara tidak akan tercapai sebaliknya memusnahkan segala usaha kerajaan memajukan orang Melayu.
'Saya malu... saya sering mempertahankan DEB tetapi jika orang Melayu benar-benar menggunakan segala peluang yang diwujudkan dalam DEB, hari ini kita bukan saja mendapat 30 peratus daripada kekayaan negara, malah lebih daripada itu.
'Masalahnya bukan dasar tetapi pelaksanaan.
'Sepatutnya jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,' katanya. -- BMM.
by Separatists-Union Rebel Alliance February 14, 2011Dipetik dari: http://cyberita.asia1.com.sg/mluarnegara/story/0,6879,181972,00.html?
No comments:
Post a Comment