Thursday, March 3, 2011


Kamus al-Quran pertama dalam Bahasa Melayu


Dr. zulkifli mohd. Yusof pada sesi bersama penulis di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PELBAGAI usaha dilakukan sarjana Islam bagi mengupas, dan mengkaji segala kandungan yang wujud di dalam al-Quran. Ia bertujuan supaya manusia selalu di bawah naungannya dan mendapat hidayah yang menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Antara usaha-usaha suci ini adalah melalui pentafsiran dan pentakwilan al-Quran. Ini kerana, tidak semua individu memahami dan mengetahui makna kitab suci itu.

Penerbitan Kamus al-Quran dalam bahasa Melayu adalah antara yang pertama dilakukan bagi memahami isi al-Quran.

Kamus al-Quran itu diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. dan mendapat sambutan ramai.

"Kami melakukan kajian selama tiga tahun untuk menyempurnakan kamus ini. Kami berjaya menggabungkan pelbagai tafsir al-Quran untuk mendapatkan makna paling tepat bagi setiap perkataan.

"Kedudukan dan jumlah perkataan dalam al-Quran juga dianalisis dengan teliti hingga membolehkan pembaca yang buta bahasa Arab memahami perbezaan ataupun persamaan pada lafaz dan ayat yang berbeza," ujar ketua panel penerbitan kamus itu, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dibantu 18 ahli panel dan penyelidik.

Memandangkan ia disusun berdasarkan entri mengikut abjad, pembaca boleh menentukan entri yang ingin dikaji tanpa perlu terikat pada turutan surah atau ayat.

Pembaca hanya perlu mencari perkataan berdasarkan ejaan dalam bahasa arab.

Sebagai contoh untuk mencari makna adiyat pembaca perlu mencari di huruf ('ain) bukan (alif). Ini kerana indeks kamus ini mengikut huruf arab.

"Kamus al-Quran ini bukan sekadar kamus untuk menterjemah dan menerangkan maksud perkataan penting dalam al-Quran, ia sebenarnya adalah tafsir kepada perkataan itu."

"Dalam erti kata lain, ia adalah tafsir perkataan dalam al-Quran atau disebut tafsir al-Quran bertema iaitu berasaskan perkataan," kata Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Faris Hasbullah.

Kamus ini disyorkan untuk menambah perbendaharaan kata dan seterusnya memahami perkataan dalam al-Quran.

Juga sesuai untuk aktiviti berkumpulan bagi memahami dan mengkaji setiap perkataan dan berkongsi untuk pemahaman semua.

Lebih menarik, Kamus al-Quran ini juga boleh menjadi rujukan bagi ibu bapa untuk mencari nama kepada anak mereka.

Al-Quran adalah kalam Allah yang penuh dengan 1,001 mukjizat yang tidak dapat ditandingi. Ia adalah sumber ilmu pertama dan utama bagi umat manusia.

Kitab itu mencakupi segala apa yang diinginkan, menjelaskan segala yang samar, menyentuh semua aspek kehidupan, lengkap dan tiada satu perkara pun tertinggal daripada huraiannya.

Allah menegaskan: Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab (al-Quran) ini. (al-An'am: 38)

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Kamus al-Quran ini membuka lembaran baru kepada umat Islam di Malaysia untuk memahami kalam Allah itu dengan lebih berkesan.

Belian secara langsung boleh dibuat di www.bookcafe.com.my.

April 30, 2010

No comments:

Post a Comment