Sunday, August 4, 2013

Asingkan Mayat Pengikut Syiah



DR. ABDUL AZIZ HANAFI : "ASINGKAN MAYAT PENGIKUT SYIAH"

ALOR SETAR – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menyarankan supaya mayat pengikut fahaman Syiah tidak dikebumikan di satu kawasan perkuburan bersama pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, mereka tidak wajar ditempatkan bersama.

“Mereka mendakwa sahabat Nabi SAW kafir dan sebagainya. Mana mungkin mereka boleh dikebumikan bersama pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Pada saya adalah lebih wajar sekiranya mayat mereka diasingkan di satu kawasan lain selepas kerajaan mewartakan fatwa anti Syiah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin umat Islam di negara ini juga tidak akan selesa dengan kehadiran mayat pengikut Syiah di kawasan pengebumian ahli keluarga mereka.

“Kalau tidak tahu dia pengikut Syiah, boleh dimaafkan. Tetapi kalau secara nyata dia memang mengamalkan fahaman Syiah, lebih baik mayatnya dikebumikan di tempat lain,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama pihak Kementerian Pendidikan kelmarin, beliau berkata, pihak kementerian menyambut baik cadangan untuk mengkaji semula sejarah Islam dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

“Selepas hari raya, Giptis bersama kementerian akan membincangkan perkara-perkara dan peristiwa yang perlu diperbetulkan.

“Tumpuan kita adalah kepada sejarah sahabat Nabi yang telah disalah tafsir oleh pihak tertentu yang didakwa menjurus ke arah fahaman Syiah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ismail Ishak berkata, pihaknya menyerahkan kepada Majlis Fatwa Negeri dan Kebangsaan untuk buat keputusan mengenai kedudukan mayat pengikut Syiah.

SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/nasional/asingkan-mayat-pengikut-syiah-1.189625

KETERANGAN GAMBAR:
Kubur penganut Syiah Iran lengkap dengan lilin, binaan, bunga yang ditabur, bahan-bahan lain serta amalan duduk di atas kubur

No comments:

Post a Comment