Tuesday, August 20, 2013

Apa yang tersirat dalam isu Mesir?





Apa yang tersirat dalam isu Mesir?

Iktibar buat Melayu Islam...

Statistik terbaru menunjukkan lebih 3,000 orang awam dibunuh di Mesir. Mereka dibunuh oleh tentera kerajaan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS) kerana menuntut demokrasi ditegakkan.

Pertumpahan darah ini wajar dijadikan renungan supaya rakyat jangan mudah terpedaya dengan demokrasi yang dijaja oleh pihak berkepentingan. Renunglah yang tersirat daripada yang tersurat.

Mohammed Mursi dari Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya pada Jun tahun lalu bukanlah pilihan AS. Maka kemenangan itu tidak akan bertahan lama dan Mursi dijatuhkan kononnya atas kehendak rakyat. Inilah akibatnya apabila membiarkan kuasa asing seperti AS menentukan hala tuju politik sesebuah negara. Malah agensi media Barat seperti sepakat menyiarkan angka korban yang jauh kecil daripada sebenarnya. Ini bertujuan menutup tindakan melampau tentera Mesir kerana AS ada penglibatannya. Tetapi statistik oleh Ikhwanul Muslimin menunjukkan lebih 3,000 orang berbanding agensi berita Barat tidak sampai 1,000 orang.

Mursi dipenjara dan hingga kini belum dibebaskan. Tentera mengambil tindakan drastik menggempur penyokong Mursi dengan peluru hidup. Di negara kita, polis hanya menggunakan meriam air. Tetapi digambarkan oleh puak tertentu sebagai tindakan “paling tidak berperikemanusiaan."

Dalam pilihan raya Jun tahun lalu, Mursi memenangi 52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi.

Bagi Mesir, jatuhnya diktator Hosni Mubarak bukanlah berakhir konflik politik yang membelenggu negara itu. Mubarak diibaratkan tayar lama yang sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi tayar baharu mesti dari jenama yang sama.

Banyak pihak melihat kejatuhan Mubarak sebagai hasil kebangkitan rakyat. Secara tersurat rakyatlah yang menukar rejim Mubarak kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem yang demokratik. Tetapi yang tersiratnya, gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh AS sejak 2008 lagi.

Kejatuhan Mubarak tidak ada kena mengena dengan kebangkitan rakyat yang dicanang-canangkan itu. Malah istilah Arab Spring itu sengaja dicipta supaya kelihatan keterlibatan rakyat di negara-negara Asia Barat menentukan masa depan mereka sendiri. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement (AYM).

Sebenarnya banyak yang tidak tahu kewujudan AYM dan peranannya dalam menentukan agenda AS di Mesir. Ini adalah perkakas AS untuk menggerakkan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak, sekutu AS yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang bertentangan dengan dasar AS.

Jaringan

Apa itu AYM? Ini sebuah organisasi yang melibatkan aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara AS berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV, Google dan Youtube menggerakkan AYM dengan menggunakan generasi muda untuk mencetuskan gerakan massa.

Menerusi AYM strategis AS memberikan latihan kepada aktivis massa untuk menggunakan media sosial bagi meluaskan jaringan di peringkat antarabangsa. Malah AYM dan para aktivis diberi akses langsung dengan Jabatan Luar Negara AS.

Sebenarnya pada pasca Mubarak, nama Mursi berada jauh di belakang. Malah tidak ada dalam senarai pengganti Mubarak kerana ada beberapa nama lain yang mempunyai hubungan dengan AS lebih ditonjolkan. Antaranya Mohamed El Baradei yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat malah sekutu rapat AS. Tetapi siapakah El Baradei?

El Baradei adalah salah seorang ahli pemegang amanah International Crisis Group (ICG), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh AS dan dibiayai oleh George Soros menerusi National Endowment for Democracy (NED). Tetapi dalam pilihan raya, El Baradei tidak mendapat sokongan dan terpaksa mengalah kepada Mursi. Orang begini dipergunakan oleh AS untuk menguasai Mesir dari jauh.

Kerana itu faktor AS memang tidak dapat dipinggirkan apabila berhujah tentang kemelut politik Mesir yang semakin tenat. Sebenarnya penglibatan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak hanya kerja sia-sia kerana AS mempunyai perancangan siapa yang akan menggantikan Mubarak, bukannya ditentukan oleh rakyat Mesir.

Kerana itu pergolakan yang berlaku di Mesir malah beberapa negara Asia Barat bukan kebangkitan rakyat. Tetapi rakyat hanya digerakkan supaya bangkit oleh aktivis massa yang dipimpin oleh AS tetapi berselindung di sebalik kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Lihat apakah tindakan luar biasa AS untuk membendung pembunuhan beramai-ramai di Mesir? Walaupun Presiden Barack Obama membayangkan akan menangguhkan latihan ketenteraan bersama Mesir tetapi AS terus menyalurkan dana kepada tentera. Dana ini yang digunakan untuk membunuh penyokong Mursi baru-baru ini.

Tentera mempunyai banyak pendekatan lain untuk menyuraikan demonstrasi penyokong-penyokong Mursi. Melancarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah sama dengan serangan AS terhadap beberapa negara yang dianggap sarang pengganas.

Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah pentingnya Mesir kepada AS berbanding negara lain yang lebih kaya hasil buminya. Jawapannya Mesir memang sangat strategik baik dari segi geoekonomi maupun geopolitik. Selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk memainkan peranan penting di dunia Arab, Mesir juga strategik bagi negara-negara di Afrika. Mesir merupakan jambatan yang baik dari sudut geografi, sosial, ekonomi, dan etnik.

Kerana itu Mesir sangat penting sebagai negara transit untuk menguasai Asia Barat dan Afrika. Cara AS menguasai Mesir adalah menguasai tenteranya dan memastikan Presiden Mesir dalam kalangan pemimpin tentera. Malangnya Mursi kerana beliau bukan pemimpin tentera tetapi teraju pergerakan Islam yang memberi ancaman kepada Barat.

Sumber.

P/S
-Begitu juga apa pentingnya Malaysia kepada AS dan Barat dirantau sebelah sini?.

-Kenapakah begitu banyak dana asing disalurkan kepada pihak tertentu melalui BERSiH yang bertujuan mencetuskan 'Arab Spring' bagi menjatuhkan kerajaan yang ada yang dipilih secara demokrasi?

-Kenapa begitu banyak dana asing masuk untuk membantu pembangkang dalam kempen pilihanraya pada PRU13 lepas?

-Kenapa suatu masa dulu AS menyambut kedatangan orang tertentu dengan 'Red Carpet' bila mengunjungi negara tersebut dan tidak kepada PM kita?

Jawapannya
Surah Al Baqarah 120 : “Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redha dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka.Katakanlah ‘sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk yang benar’.Dan sesungguhnya jika kamu memilih untuk mengikuti kemahuan Yahudi dan Kristian ini setelah datang kepada kamu ‘ilmu (Al Quran), maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

Bersyukurlah...Kerana Allah masih menyayangi kita!

No comments:

Post a Comment