Tony Cartalucci, Land Destroyer Report, Thailand – Tiada siapa yang waras dapat menafikan kemuliaan usaha menerapkan ketelusan serta kredibiliti supaya sesebuah kerajaan bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan tindakan yang diambil.
Bagaimanapun, apabila sekelompok rakyat melancarkan demonstrasi jalanan yang disokong, dibiayai kuasa asing dan lebih buruk lagi apabila ia dipimpin oleh mereka yang menghambakan diri kepada kepentingan luar, nyata ia telah diperalatkan bagi mengeksploitasi agenda tertentu untuk menunggang sentimen segelintir masyarakat yang kecewa.
Dalam hal demikian pergerakan tersebut akhirnya akan gagal mencapai matlamat yang di dokong, dan seterusnya membuka ruang kepada rasuah dan kezaliman yang tidak dapat dibayangkan pengikutnya.
Satu contoh fenomena ini berlaku dalam konteks senario politik Malaysia apabila sebuah pergerakan yang menamakan diri mereka “BERSIH” atau “Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih” telah menawan minda serta imaginasi kelompok muda dan progresif di negara ini dan di serata dunia.
Walaupun pemimpin BERSIH, Ambiga Sreevenasan dengan kenyataan tidak masuk akal mendakwa “kami berjuang untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih,” namun beliau tidak memberitahu pengikutnya bahawa pergerakan tersebut juga dibiayai dan menerima latihan daripada kerajaan Amerika Syarikat serta beberapa buah yayasan yang dibiayai syarikat korporat asing.
The Malaysian Insider melaporkan pada 27 Jun lalu bahawa pemimpin BERSIH Ambiga Sreevenasan “mengaku menerima wang daripada dua buah organisasi Amerika – the National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) untuk membiayai projek-projek lain yang menurutnya tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan 9 Julai.”
Dalam laman web NDI, apa yang diakui Ambiga terbukti adalah benar, tetapi maklumat tersebut kemudian diubah dan digantikan dengan informasi yang lebih lembut tanpa menyebut perkataan BERSIH.
Dalam usaha menjelaskan kononnya pengakuan Ambiga tidak memberikan kesan negatif, tindakan NDI yang tergesa-gesa menukar maklumat itu membuktikan pertalian BERSIH dengan NDI pada laman web itu telah menimbulkan syak wasangka.
Lebih meragukan lagi tentang agenda sebenar BERSIH, ialah pembabitannya dengan gerombolan pembangkang Pakatan Rakyat apabila beberapa orang pemimpin berjanji akan membawa beratus ribu orang penyokong untuk menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Pakatan pembangkang diketuai oleh Anwar Ibrahim bersama gabungan parti-parti pembangkang yang mempunyai susur galur sejarah panjang dengannya.
Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 1998, selain menjadi pensyarah di School of Advanced International Studies John Hopkins University, perunding Bank Dunia, dan ahli panel pemilihan “Democracy Award” dan ahli panel pembiaya dana rangkaian neocon yang ditaja National Endowment for Democracy (NED), iaitu organisasi yang secara kebetulan membiayai dan menyokong BERSIH, ketara mensahihkan syak wasangka terhadap agenda tersirat mereka.
Realitinya, pemimpin BERSIH bersekongkol dengan Anwar bersama para penaja luar dalam usaha mengeksploitasi keresahan rakyat Malaysia bagi meletakkan dirinya di persada kuasa.
Walaupun ramai yang merasakan “perjuangan” menuntut “pilihan raya adil dan bersih” sebagai matlamat asas BERSIH dan Anwar, dan menyatakan pembiayaan Amerika melalui dana NED/NDI berserta Open Society yang dimiliki petualang kewangan antarabangsa, George Soros sesuatu yang tidak berbahaya[?], namun secara realiti, jika diteliti struktur dan modus operasi badan-badan tersebut dalam konteks BERSIH, jelas apa sebenarnya agenda yang tersirat di sebalik penajaan itu.
NED, NDI, IRI & Freedom House Operasi Imperialis Pencetus Perang
Kita perlu perhalusi wajah kesemua organisasi ini dengan melihat kepada keahlian lembaga pengarah NED, badan induk yang membiayai NDI.
Dengan berpandukan misi kononnya menyokong “kebebasan di serata dunia,” ia sepatutnya dilantik dari kalangan pemenang-pemenang Hadiah Keamanan Nobel, dan para diplomat terkemuka yang bergerak di atas contoh-contoh kepimpinan demokrasi tersohor.
Tetapi di sebaliknya, kita mendapati tokoh-tokoh seperti John Bohn, seorang ahli perbankan antarabangsa yang mempunyai 13 tahun pengalaman, dan kini berkhidmat dengan firma perunding dan penasihat, GlobalNet Partners untuk membantu syarikat-syarikat luar membolosi pasaran China dengan mudah.
Tidak dapat dinafikan kemampuan Bohn untuk memanipulasi lanskap politik China menerusi aktiviti-aktiviti licik NED dan persisian pinggirnya jelas membuktikan konflik kepentingan. Bagaimana pun, “konflik kepentingan” sentiasa berlaku dalam pergerakan NED dan Freedom House.
Turut berkhidmat bersama Bohn, adalah Rita DiMartino yang pernah bertugas dengan Majlis Hubungan Luar Amerika Syarikat (CFR), sebagai ahli korporat AT & T, sebagai “Naib Presiden Perhubungan Kongres Amerika” dan sebagai ahli CFR.
Turut serta termasuk Kenneth Duberstein mewakili senarai Fortune 500, ahli lembaga pengarah Boeing, syarikat petroleum ConocoPhilips dan Mack-Cali Realty Corporation. Duberstein pernah berkhidmat sebagai pengarah syarikat Fannie May hingga 2007. Beliau juga ahli CFR.
Selepas mengenali tokoh-tokoh yang disebutkan di atas, kita perlu pula mempertimbangkan kedudukan beberapa orang penghasut peperangan yang berada dalam lembaga pengarah NED, termasuk Francis Fukuyama, Zalmay Khalilzad, Will Marshall dan Vin Webber.
Kesemua mereka merupakan penyokong dasar pro-peperangan, pro-korporat dan kegilaan untuk merealisasikan Project for a New American Century (PNAC).
Tersirat dalam dokumen-dokumen yang dihasilkan “badan pemikir” itu termasuk rayuan kepada beberapa orang presiden Amerika supaya berperang dengan negara-negara berdaulat di dunia, selain menambahkan bilangan tentera Amerika di negara-negara yang sedang dikuasai tentera Amerika.
Agenda yang sama juga ketara dalam dokumen ala-Hitler sepanjang 90 muka surat berjudul “Rebuilding America’s Defenses” (Membina Semula Pertahanan Amerika), yang merupakan usaha Amerika untuk mewujudkan hegemoni global.
Kita akan melihat kemudian, bagaimana badan pemikir yang berpendirian sebagai penghasut peperangan ini juga bertindak sebagai pusat penghubung yang dipaut kepada “pejuang hak asasi” Freedom House.
“Penyata Prinsip” yang ditandatangani barisan pengerusi NED seperti Francis Fukuyama, Zalmay Khalilzad dan Vin Weber mengakui prinsip mereka yang berbunyi seperti berikut:
“Kita perlu bertanggungjawab kepada peranan unik Amerika dalam usaha memelihara dan memperluaskan orde antarabangsa yang mesra dengan keselamatan, kejayaan dan segala prinsip negara ini (Amerika).”
Tentu sekali apa yang mereka maksudkan dengan “orde antarabangsa” adalah campur tangan di luar sempadan Amerika Syarikat. Ungkapan tersebut digunakan sekadar merujuk kepada imperialisme global.
Petualang – pertualang lain yang memperturunkan nama dalam penyataan tersebut termasuk Paula Dobriansky dari Freedom House, Dan Quayle, Donald Rumsfeld, Paul Wolfowitz, Dick Cheney, Eliot Cohen dan Elliot Abrams.
“Penyata Pasca Perang Iraq” dari Project for a New American Century (PNAC) mengenai sokongan padu ciri-ciri pembangunan negara diperkukuhkan dengan pembabitan pengerusi NED, Will Marshall, Frank Carlucci (Freedom House 2002) dan James Woolsey bersama Martin Indyk (ahli lembaga Lowy Institute dan pengarang bersekutu laporan “Which path to Persia?), William Kristol dan Robert Kagan – kedua-duanya merupakan penghasut peperangan yang aktif dalam Inisiatif Dasar Luar Amerika.
Perlu diingat, Inisiatif Dasar Luar (Foreign Policy Initiative, FPI) sebenarnya penjelmaan terbaru PNAC.
Baru-baru ini FPI telah mengemukakan surat terbuka kepada seluruh ahli Republikan Kongres Amerika yang menyeru supaya dibelakangi kehendak rakyat Amerika dan meneruskan perang terhadap Libya.
Surat FPI itu juga mengatakan bahawa resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu membenarkan perang ke atas Libya sebenarnya mengikat tangan Amerika.
Justeru itu, FPI menyarankan supaya sikap agresif Amerika diperluaskan demi untuk “membantu pihak pembangkang di Libya.”
Sepucuk surat PNAC yang tidak bertajuk dan dialamatkan kepada Presiden Amerika, George Bush mengenai saranan am supaya digalakkan hasutan peperangan dengan pantas dipersetujui oleh Ellen Bork (Freedom House), Ken Adelman (bekas pelobi Thaksin Shinawatra melalui Edelman), dan James Woolsey.
Turut menyokong, petualang-petualang neo-con itu seperti Richard Perle, William Kristol, Robert Kagan dan tokoh popular yang sentiasa prejudis kepada Islam, Daniel Pipes.
Berpandukan semua ini maka bolehlah dianggap NED tidak berminat sama sekali untuk “menyokong kebebasan di serata dunia,” atau pun untuk memperjuangkan agenda “pilihan raya adil dan bersih” di Malaysia,” tetapi sebaliknya menggunakan segala ideal ini bagi menubuhkan oligarki (kerajaan diktator/proksi) korporat global untuk kepentingan sendiri.
Di kalangan PNAC dan komponen-komponennya seperti FPI dan Foundation for Defense Democracies, kesemua badan petualang yang bertopengkan“demokrasi dan hak asasi manusia” telah mencipta dan mempromosikan kesinambungan bab-bab paling zalim dan lucah melalui pembunuhan beramai-ramai, pencerobohan, penjajahan dan peperangan yang tidak putus-putus sepanjang sejarah manusia.
Sebagai konsep membalas sokongan yang diberikan, NED sebuah organisasi yang Anwar Ibrahim bergiat aktif, turut membiayai pula pelbagai cabang dan komponen propagandanya, termasuk Freedom House, International Republican Institute (IRI) dan National Democratic Institute (NDI) yang terbukti jelas menyalurkan bantuan kewangan kepada pergerakan BERSIH di Malaysia.
Dalam hal ini, kumpulan-kumpulan penghasut peperangan seperti Freedom House telah sejak sekian lama berkempen menyokong BERSIH.
“Laporan-laporan” terpilih mereka boleh dibaca di bawah. Kesemuanya disebut dan dipetik oleh media korporat antarabangsa untuk memantapkan kesahihan BERSIH yang tidak pernah wujud.
Sokongan retorik Freedom House untuk BERSIH:
“Tangkapan Sebelum Perhimpunan Menuntut Reformasi Pilihan Raya di Malaysia menimbulkan Kebimbangan”
“Tindakan Keras Kerajaan Malaysia Melanggar Hak Asasi”
“Kebebasan Berpersatuan Terancam: Tindakan Autoritarian melanggar Masyarakat Sivil”
“Surat Kepada Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton Mengenai Tindakan Ganas Kerajaan Malaysia”
Council on Foreign Relations (CFR)
Council on Foreign Relations (CFR) atau Majlis Perhubungan Luar, adalah sebuah badan pemikir Amerika yang mewakili pelbagai kepentingan dan agenda syarikat-syarikat Fortune 500 juga turut membabitkan diri dalam pergerakan BERSIH Malaysia.
CFR berbangga dengan kejayaan memecahbelahkan masyarakat Malaysia.
Juga perlu diingat bahawa CFR memuji liputan menyeluruh dan terperinci mengenai BERSIH oleh blog New Mandala yang dikendalikan ahli akademik palsu Australian National University, Andrew Walker.
Walker sebelum ini didedahkan sebagai terbabit dengan aktiviti Lowy Institute. Beliau seorang daripada puluhan ahli akademik, wartawan dan pakar dasar palsu yang dibayar oleh Fortune 500.
George Soros & Open Society Institute (OSI)
Open Society Institute (OSI) yang dimiliki George Soros bukan hanya satu-satunya dana yang disebut pemimpin BERSIH Ambia Sreevenasan sebagai pembiaya pergerakan tersebut.
Organisasi itu turut membiayai beberapa kumpulan “demokrasi dan hak asasi manusia” yang memperjuangkan kepentingan korporat selain sokongan retorik oleh media korporat bagi memberikan kesahihan kepada BERSIH.
Open Society juga membiayai organisasi sekutu NDI “Transparency International” yang turut menerima bantuan daripada syarikat ExxonMobil, General Electric, Shell, Pfizer, British Petroleum, HSBC Holdings dan Proctor & Gamble.
Sementara itu, Open Society turut membantu Amnesty International (muka surat 10) dan Human Rights Watch (HRW) – kedua-duanya tergesa-gesa tampil membela BERSIH sebelum dan selepas perhimpunan jalanan BERSIH pada 9 Julai.
Sokongan Human Right’s Watch yang dibiayai Soros untuk Pergerakan BERSIH Malaysia:
“Malaysia: Siasat Tindakan Ganas Ke atas Perhimpunan Pro-Demokrasi”
“Malaysia: Hentikan Keganasan Ke atas Tunjuk Perasaan Aman”
“Malaysia: Bebaskan 30 Aktivis Politik Aman”
“Surat Bersama Kepada Perdana Menteri Mengenai Pencabulan Ke atas BERSIH 2.0”
Surat bersama itu ditandatangani Amnesty International yang juga dibiayai Soros dan kumpulan syarikat-syarikat Fortune 500, termasuk NED, dan International Federation for Human Rights (FIDH) yang dibiayai Tides Foundation.
Sokongan Amnesty International Kepada BERSIH:
“Malaysia: Maklumat Lanjut: Penindasan Berterusan Selepas Perhimpunan Reformasi”
“Malaysia: Polis Menggunakan Taktik Ganas Ke atas Tunjuk Perasaan Aman”
“Malaysia: Ratusan Peserta Tunjuk Perasaan Aman di Tangkap”
“Malaysia: Aktivis Malaysia ditahan di lokasi rahsia”
“Malaysia: Ahli Parlimen, aktivis ditahan kerana menyertai tunjuk perasaan”
“Malaysia: Hentikan Penindasan Ke atas Aktivis Pro-Reformasi”
“Malaysia: Surat Terbuka Bersama: Pencabulan hak Asasi manusia ke atas BERSIH 2.0”
Kesimpulan
Jika terdapat pihak yang masih sangsi mengenai wajah sebenar NED, Open Society dan pelbagai bentuk ‘pejuang’ yang menyokong agenda global Amerika, mengenai siapa yang diberikan sokongan dan mengapa, buktinya jelas terpampang pada dokumen pengakuan yang dikeluarkan Project for a New American Century (PNAC) yang menggesa dipercepatkan penguasaan Amerika ke atas dunia.
Seperti mana Empayar British dan Empayar Rom sebelum ini yang turut menggunakan konsep mengembangkan konsep “masyarakat bertamadun” sebagai topeng kepada aspirasi penjajahan ke atas mereka yang jahil, sama jugalah peranan oligarki pembiaya korporat Anglo-Amerika menggunakan konsep menyebarkan “hak asasi manusia,” “demokrasi,” dan “kebebasan” bagi menjajakan agenda mereka, iaitu “orde antarabangsa.”
Orde tersebut digambarkan oleh petualang neocon, Robert Kagan sebagai usaha memenuhi “keperluan Amerika Syarikat dan sekutunya.”
Apa yang ditaja bukanlah untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan demokratik seperti yang disangka.
Petikan daripada HistoryWorld.Net:
“Matlamatnya ialah untuk membiasakan mereka dengan kehidupan aman dan tenteram melalui penyediaan pelbagai kelengkapan. Berpandukan objektif ini beliau menghulurkan bantuan bagi membina rumah berhala, medan orang ramai dan sebagainya. Beliau memberikan pendidikan sastera kepada anak-anak pemimpin tempatan dan mempengaruhi mereka supaya lebih mengutamakan cara hidup menurut acuan British berbanding kemahiran orang Gaul.
Semua strategi tersebut menghapuskan kebencian kepada bahasa Latin dan sebaliknya memupuk semangat untuk menggunakan bahasa itu dengan berkesan. Pendekatan itu sama dengan cara pemakaian toga (pakaian rasmi orang Rom) dipopularkan. Dengan cara demikian seluruh masyarakat yang dijajah semakin dijinakkan dengan godaan dan tarikan melekakan seperti berpelesiran di arked, pusat-pusat mandi wap dan urut serta kehidupan yang narsisistik. Justeru itu, tanpa disedari minda orang British yang ditakluki empayar Rom sentiasa sebati dengan konsep ‘tamadun’ walhal apa yang sebenarnya berlaku, bangsa mereka ditawan dan diperhambai.
- Daripada Pengisahan Oleh Tacitus Mengenai Empayar Rom yang diterjemahkan
oleh Michael Grant, Penguin (1975), muka surat 72.
Oleh itu, apa yang diwar-warkan sebagai “pilihan raya adil dan bersih” yang dicadangkan kepada Malaysia oleh NED dan Freedom House melalui jentera BERSIH hanyalah bagi merealisasikan perhambaan rakyat Malaysia.
Untuk membayangkan bentuk masa depan Malaysia yang dilakarkan mereka itu, lihat saja kepada pergolakan yang berlaku di Mesir baru-baru ini – pergolakan yang digunakan sebagai sumber inspirasi perjuangan mereka dalam BERSIH.
Dalam usaha rakyat Mesir bersatu untuk “membebaskan” diri, mereka telah menjatuhkan kerajaan kebangsaan sendiri dan meraikan pelantikan Mohamad ElBaradei yang sebenarnya boneka Amerika Syarikat melalui campur tangan licik International Crisis Group (ICG), yang berkait rapat dengan Presiden Rejim Zionis Shimon Peres, Gabenor Bank of Israel, Stanley Fischer dan penyibuk geopolitik Amerika, Zbigniew Brzezinski.
Baru-baru ini Senator John McCain, Pengerusi International Republican Institute (IRI), sebuah NGO yang dibiayai NED, dan yang pernah direkodkan sebagai dalang “kebangkitan Arab” sekarang ini, telah membawa beberapa orang wakil syarikat-syarikat korporat Fortune 500 untuk melawat Bandaraya Kaherah yang baru “dibebaskan semula”.
Agenda mereka tidak lain tidak bukan untuk “liberalisasi ekonomi” dan integrasi negara yang sebelum ini berdaulat ke dalam empayar Anglo-Amerika.
Seperti bangsa British zaman silam, generasi muda Mesir masa kini terlalu sebati dengan cara hidup Barat dan konsep demokrasi liberal baru yang diserapkan melalui tangan-tangan tersembunyi yang didalangi oligarki global dan diketuai oleh seorang agen Barat yang amat dikenali.
Malaysia menghadapi persimpangan yang serupa. Rakyatnya kini perlu memutuskan sama ada inginkan perubahan secara sendiri melalui pendekatan pragmatik, dan aktivisme akar umbi bebas atau membuka jalan kepada penjajah.
Dilema seperti ini lumrah berlaku di negara-negara berdaulat. Oleh itu jika mereka mengikuti agenda politik yang jelas merugikan diri sendiri – agenda yang di manipulasi dan didalangi kuasa-kuasa asing bagi memecahbelahkan rakyat dan menggugat negara, maka akan mudahlah kuasa-kuasa luar meletakkan boneka mereka sebagai pemimpin dan sekali lagi menghumban Malaysia ke dalam kancah penjajahan.
artikel berkaitan :
No comments:
Post a Comment