Sunday, May 15, 2011

Hakikat Ujian Kepada Orang Yang Beriman – Dr Wahbah az-Zuhaily

Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily


Alhamdulillah, pada 14/5/2011 Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily telah sudi untuk menyampaikan syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Syarahan yang bertajuk “Sumpah & Qazaf” itu telah bermula tepat jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang. Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah dijemput sama pada majlis tersebut sebagai penterjemah syarahan.

Sebelum Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily memulakan syarahannya, beliau memohon kepada ALLAH Ta`ala agar kita semua diberikan kefahaman dalam agama, ditambahkan ilmu agama, diberi keberkatan dan dijauhi dari segala kejahatan.

Beliau mengingatkan para hadirin bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan bermacam-macam ujian. Ujian-ujian itu mungkin datang samada disebabkan oleh diri sendiri atau boleh juga disebabkan oleh perbuatan orang lain.

ALLAH `Azza wa Jalla telah menjadikan dunia sebagai tempat ujian dan fitnah bagi sekalian manusia.

Sheikh Dr Wahbah telah memetik firman ALLAH dari surah al-Baqarah dari ayat 155 hingga 157 seperti berikut:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ

الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun”

أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ

وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Dalam menuju mardhatiLLAH, manusia akan sentiasa diuji. Ia merupakan sunnatuLLAH hidup di dunia ini. Sheikh Dr Wahbah menasihatkan agar muslim janganlah terlalu berasa sedih dan gundah gulana dengan ujian ini. Kerana melalui ujian-ujian inilah seseorang akan memperolehi pahala yang banyak, imannya akan bertambah dan darjatnya akan ditingkatkan di sisi ALLAH Ta`ala.

Melalui ujian-ujian ini juga, maka dapat dibezakan siapakah di kalangan hamba-hambaNYA yang beriman, yang bertaqwa, yang munafiq dan yang fasiq.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ujian dan fitnah yang menimpa setiap manusia adalah berlaku dengan keizinan dari ALLAH. Di dalamnya terdapat banyak hikmah yang manusia tidak tahu.


Datangnya ujian dan fitnah tidak akan merobohkan keimanan seseorang yang kuat Imannya kerana kekuatan imannya seumpama teguhnya sebuah bukit yang tidak dapat diganggu-gugat. Justeru, mempunyai keimanan yang teguh adalah aset utama seorang mukmin berhadapan dengan ujian dan fitnah.


Samada ujian itu datang dalam bentuk kecil atau besar, samada dipenjara, dicerca dan sebagainya, kebaikan tetap akan berlaku kepada orang yang beriman sekiranya dia bersabar dan memahami hakikat sebuah ujian.

Hal ini ada disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:

“Memang sangat menakjubkan keadaan orang yang beriman itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan untuk itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (HR Muslim)


Jika kita kembali merenung sejarah-sejarah yang lalu, kita akan dapati bahawa ujian dan fitnah banyak menimpa ke atas orang-orang yang mulia dan utama di sisi agama. Para rasul, nabi, syuhada’, aulia’ dan ulama’ adalah golongan yang paling banyak menerima ujian dan besar pula fitnah yang menimpa ke atas mereka.

Tentunya ini memberi isyarat kepada kita bahawa semakin tinggi darjatnya di sisi ALLAH, semakin hebat ujian yang diterimanya. Dan ini akhirnya menatijahkan ganjaran yang tiada tolok banding hebatnya dari ALLAH `Azza wa Jalla kelak.


Untuk memahami hakikat ini, orang-orang yang beriman mestilah jangan berhenti dari menimba ilmu agama, mendalami ilmu-ilmu agama dan berusaha untuk memahaminya.

Kerana dengan ilmulah, seseorang akan disuburi dengan sifat taqwa, seterusnya dapat memberikan reaksi yang betul menurut kehendak agama terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Ketahuilah orang yang paling taqwa iaitu takut kepada ALLAH ialah para `ulama’, iaitu orang-orang yang berilmu dan faham ilmu agama.


Fitnah dan ujian akan sentiasa singgah dalam kehidupan insan. Samada suka atau tidak suka ia tetap menjadi rencah dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Yang menjadi nilaian di sisi ALLAH ialah bagaimana reaksi kita terhadap ujian itu. Sabarkah? Marahkah? Betulkah? Atau salahkah tindakan kita? Semuanya nanti akan dihisab oleh ALLAH Jalla wa A`la pada Hari Kebangkitan kelak.

Sheikh Dr Wahbah mengakhiri mukaddimah syarahannya dengan mengingatkan para hadirin bahawa pada setiap kesusahan ini, pasti akan mendapat kesenangan dari ALLAH Subhanahu wa Ta`ala. Justeru, sangka baiklah dengan ALLAH dan bersabarlah. ALLAH Ta`ala akan bersama dengan orang-orang yang sabar.

By Shahmuzir : www.muzir.wordpress.com

No comments:

Post a Comment