Terjemahan
Pandangan Ahlul Bait Terhadap Syi`ah 2
Penghujahan Fatimah as-Sughra[1] a.s. kepada penduduk Kufah[2]
Daripada Zaid bin Musa bin Ja’far daripada ayahnya daripada datuknya a.s. katanya: Fatimah as-Sughra a.s. telah berkhutbah sekembalinya dari Karbala dengan berkata:
(Selepas mengemukakan mukaddimah khutbah) beliau berkata:
“Adapun selepas dari itu, wahai penduduk Kufah! Wahai pembelot dan pengkhianat! Sesungguhnya kami adalah Ahlul Bait. Allah ta'ala telah menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami. Lalu Allah menjadikan ujian kepada kami sebagai satu kebaikan dan memberikan ilmu-Nya kepada kami dan memberikan kefahaman kepada kami. Kami adalah tempat simpanan ilmu-Nya, khazanah kefahaman-Nya dan kebijaksanaan-Nya dan hujah-Nya di muka bumi kepada hamba-hamba-Nya. Allah telah memuliakan kami dengan kemuliaan-Nya dan mengutamakan kami dengan Nabi-Nya s.a.w.. melebihi sekalian makhluk-Nya.
Lalu kamu mendustakan kami, engkar terhadap kami dan kamu berpendapat bahawa membunuh kami adalah halal dan harta kami adalah barang rampasan (untuk kamu) seolah-olah kami adalah anak-anak yang ditinggalkan atau tawanan sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami (Ali) kelmarin. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darah-darah kami Ahlul Bait kerana dendam yang lalu.
Mata-mata kamu menjadi sejuk dan hati-hati kamu gembira dengannya (perbuatan tersebut) kerana keberanian kamu terhadap Allah dan tipu daya yang kamu lakukan dan Allah sebaik-baik yang membalas tipu daya.
Janganlah hati-hati kamu mendorong kamu untuk bergembira dengan darah-darah kami yang telah kamu tumpahkan dan harta-harta kami yang telah kamu ambil. Kerana segala musibah-musibah dahsyat dan bencana besar yang menimpa kami telah ditentukan sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah terlepas daripada kamu dan tidak pula bergembira (kerana sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur serta membanggakan diri.
Binasalah kamu! Tunggulah la’nat dan azab yang pasti akan menimpa kamu, azab-azab disebabkan perbuatan kamu akan membinasakan kamu secara berterusan daripada langit dan sebahagian kamu akan merasai azab sebahagian yang lain. Kemudian kamu akan kekal di dalam azab yang pedih pada hari kiamat disebabkan kezaliman yang kamu lakukan terhadap kami. Ketahuilah sesungguhnya la’nat Allah ke atas orang yang melakukan kezaliman.
Kecelakaan ke atas kamu! Apakah kamu mengetahui tangan manakah dari kalangan kamu yang telah menikam kami atau jiwa manakah yang bercita-cita untuk membunuh kami atau kaki manakah yang telah berjalan kearah kami kerana mahu memerangi kami? Telah keraslah perasaan kamu, kasar jiwa-jiwa kamu, telah dicop atas hati-hati kamu, dimeterai pendengaran dan penglihatan kamu dan syaitan telah memperdayakan kamu, memanjangkan angan-angan kamu serta menutup mata hati kamu sehingga kamu tidak mendapat petunjuk.
Kecelakaan ke atas kamu wahai penduduk Kufah! Sudah berapa ramai warisan Rasulullah s.a.w.a. yang diperolehi oleh kamu dan dendam terhadapnya di sisi kamu. Kemudian kamu mengkhianati saudaranya Ali bin Abi Thalib a.s. datukku dan anaknya keturunan Nabi yang suci lagi terpilih.
(Rujukan: Ahmad bin Ali bin Abi Talib at-Thabarsi al-Ihtijaj jil. 2 hal. 302, 303)
Kesimpulan:
- Ahlul Bait iaitu Fatimah as-Sughra tidak mempercayai golongan yang mendakwa pengikutnya iaitu Syi’ah dengan mengatakan mereka adalah golongan pembelot dan pembunuh keluarganya.
- Syi’ah adalah pembunuh Ahlul Bait berdasarkan pengakuan Ahlul Bait sendiri di dalam kitab-kitab Syi’ah sendiri.
- Penganut Syi’ah telah ditimpa kehinaan kerana doa Ahlul Bait ke atas mereka dan kerana itulah mereka melakukan amalan-amalan yang langsung tidak bersesuaian dengan akal dan fitrah yang suci seperti amalan menyiksa diri pada hari Asyura, melakukan seks bebas atas nama mut’ah dan sebagainya.
[1] Anak kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib r.a.
[2] Yang dimaksudkan dengan penduduk Kufah bila disebutkan secara mutlak ialah golongan Syi’ah.
No comments:
Post a Comment