Al-Witr (atau Witir), menurut syar’i adalah solat yang dilakukan di antara isya’ hingga terbit fajar. Solat malam ditutup dengan solat witir. Dinamakan solat witir kerana jumlah rakaatnya ganjil, seperti satu, tiga, lima, atau lebih, dan bukan genap.
Berkenaan solat witir, ianya diperselisihkan dalam suatu sisi/sudut. Ada yang menyatakan bahawa ia adalah sebahagian dari solat malam atau Tahajjud. Manakala sebahagian yang lain menyatakan bahawa solat witir tidak termasuk dalam kategori solat tahajjaud. (Rujuk: al-Majmu’, al-Imam an-Nawawi. Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, jil. 2, m/s. 20)
Solat witir sebagai penutup bagi solat-solat malam adalah berdasarkan dalil-dalil berikut :
Daripada Aisyah, ia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa mengerjakan solat pada malam hari. Ketika beliau hendak mengerjakan solat witir, beliau membangunkan aku, “Bagunlah untuk mengerjakan solat witir wahai Aisyah”. Aku pun mengerjakan solat witir” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis dari Ibnu Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Solat malam itu dua rakaat dua rakaat. Jika salah seorang dari kalian khuwatir tibanya waktu subuh, maka solatlah witir satu rakaat untuk menutup solat malam yang telah dilakukan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Jadikanlah solat terakhir kamu pada malam hari sebagai witir.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hukum Solat Witir
Solat witir adalah suatu sunnah yang muakkadah (yang ditekankan perlaksanaannya). Ini adalah pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in, orang-orang sesudah mereka. Manakala pendapat dari mazhab Abu Hanifah, ia mengatakan sebagai solat yang diwajibkan, dan ia merupakan suatu pendapat yang ganjil dari beliau.
Ini dijelaskan sebagaimana hadis berikut ini,
Dari Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, “Witir itu tidak wajib sebagaimana perihal solat maktubah (solat yang telah diwajibkan), akan tetapi ia sunnah yang biasa dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi. Dihasankan oleh at-Tirmidzi, Sahih menurut al-Hakim, dan juga disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi)
Menurut al-Imam ash-Shan’ani,
Majoriti ulama berpendapat tidak wajibnya solat witir. Mereka berdalilkan dengan hadis Ali radhiyallahu ‘anhu, “Witir bukanlah kewajiban sebagaimana perihal solat fardhu, akan tetapi merupakan solat sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Lihat: Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, Terbitan Darus Sunnah Press, Cet. Pertama – Oktober 2007, oleh al-Imam ash-Shan’ani, jil. 2, m/s. 587)
Waktu Untuk Berwitir
Para ulama bersepakat bahawa solat witir dilakukan di antara waktu Isya’ hingga terbit fajar.
Ini adalah berdasarkan beberapa hadis yang berikut,
Dari Abu Sa’id secara marfu’,
“Berwitirlah sebelum tiba waktu Subuh.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Bashrah secara marfu’,
“Sesungguhnya Allah menambah bagi kalian satu rakaat, iaitu solat witir, maka kerjakanlah solat tersebut di antara solat Isya’ sehingga terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ahmad dan ath-Thahawi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)
Hadis dari Ibnu Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Solat malam itu dua rakaat dua rakaat. Jika salah seorang dari kalian khuwatir tibanya waktu subuh, maka solatlah witir satu rakaat untuk menutup solat malam yang telah dilakukan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu sa’id al-Khudri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Barangsiapa yang mendapati subuh tetapi dia belum mengerjakan solat witir, tidak ada kewajiban baginya untuk mengerjakan witir.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam Shahihnya. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dan juga Sahih menurut Syu’aib al-Arnouth di dalam Shahih Ibni Hibban)
Berwitir Di Awal Malam Atau Akhir Malam
Dari Jabir bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Barangsiapa di antara kamu yang khuwatir tidak terbangun pada akhir malam, maka hendaklah ia berwitir pada awal malam lalu tidur. Barangsiapa di antara kalian yang ingin bangun pada akhir malam, hendaklah ia berwitir pada akhir malam. Kerana solat pada akhir malam itu disaksikan oleh para malaikat dan itu lebih afdhal.” (Hadis Riwayat Muslim, at-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
Kepelbagaian Bentuk Solat Witir Menurut Bilangan rakaat
1 - Satu Rakaat Witir,
“Solat malam itu dua rakaat dua rakaat. Jika salah seorang dari kalian khuwatir tibanya waktu subuh, maka solatlah witir satu rakaat untuk menutup solat malam yang telah dilakukan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Aisyah, “Bahawasanya Rasulullah biasa solat malam sebelas rakaat, beliau menutupnya dengan satu rakaat Witir.” (Hadis Riwayat Muslim)
2 - Tiga Rakaat Witir,
Dari Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Solat witir merupakan hak setiap Muslim. Oleh kerana itu, barangsiapa ingin mengerjakan witir tiga rakaat, hendaklah dia mengerjakannya. Dan barangsiapa mengerjakan satu rakaat, hendaklah dia mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi daud)
i - Mengerjakan solat witir tiga rakaat dengan satu tasyahud dan satu salam,
Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, ia berkata, “Rasulullah tidak pernah menambah solat malam lebih dari sebelas rakaat, sama ada pada bulan Ramadhan atau pun di luar Ramadhan. Beliau solat empat rakaat, dan jangan ditanyakan tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau solat empat rakaat, dan jangan ditanyakan tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau solat tiga rakaat”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan juga dari Aisyah, “Rasulullah pernah mengerjakan solat Witir tiga rakaat, dan tidak duduk tasyahud kecuali pada rakaat yang terakhir.” (Hadis Riwayat Malik, al-Baihawi, ath-Thahawi, an-Nasa’i, dan al-Hakim)
Tidak disyariatkan mengerjakan tiga rakaat Witir dengan dua tasyahud dan satu salam, seperti solat Maghrib. Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Janganlah kamu berwitir tiga rakaat. Berwitirlah dengan lima atau tujuh rakaat. Janganlah menyerupakannya dengan solat Maghrib.” (Diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban, dan ad-Daruquthni. Disahihkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam at-Talkhish dengan menyatakan, “Seluruh sanadnya tsiqah (terpercaya)”)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah menggabungkan di antara hadis-hadis yang ada dan juga beberapa atsar yang menunjukkan disyariatkannya solat Witir dengan tiga rakaat. Dia memberi indikasi bahawa solat tersebut bersambungan dengan satu tasyahud saja di akhir rakaat. Adapun hadis yang menunjukkan melarang Witir tiga rakaat adalah sebenarnya menunjukkan bahawa solat Witir itu yang dengan dua tasyahud (tanpa dipisahkan dengan salam), kerana keserupaan solat itu dengan solat maghrib. (Fathul Bari, 2/481, Nailul Authar, 2/214 (imam asy-Syaukani). Dinukil dari: Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, Cet. Kedua – Januari 2008, oleh Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, jil. 1, m/s. 443)
ii - Solat Witir Tiga Rakaat Dengan Dua Salam,
Ini adalah berdasarkan hadis dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu, dia menyatakan,
“Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam pernah memisahkan di antara yang genap (dua rakaat) dan ganjil (satu rakaat) dengan salam yang beliau perdengarkan kepada kami.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani sanad hadis ini qawiy (kuat). Menurut al-Albani, hadis ini memiliki satu penguat yang marfu’)
Dari Aisyah radhiyallahu ‘anhu, “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengerjakan Witir satu rakaat dan berbicara di antara dua rakaat dan satu rakaat.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah. Lihat di dalam al-Irwa’ al-Ghalil, oleh al-Albani)
Dalam hal ini, Ibnu Hibban telah membuat satu bab dalam, Kitab Shahihnya, dengan judul: “Tentang riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa memisahkan dengan salam di antara dua rakaat pertama dengan rakaat ketiga.”
Surah Yang Dibaca,
Dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhu, dia menyatakan, Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam biasa membaca dalam solat witir dengan “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى” dan “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” serta “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ”, rakaat demi rakaat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan at-Tirmidzi)
3 – Solat Witir Lima Rakaat Satu Tasyahud,
Diriwayatkan dari Aisyah, ia berkata, “Nabi solat malam tiga belas rakaat, termasuk Witir lima rakaat dan tidak duduk tasyahud kecuali pada rakaat yang terakhir.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, dan at-Tirmidzi)
Dianjurkan jika berwitir lima rakaat untuk tidak duduk tasyahud kecuali pada rakaat yang kelima.
4 – Solat Witir Tujuh Rakaat,
i – Tujuh rakaat tanpa duduk (tasyahud) kecuali di rakaat yang terakhir,
Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masuk usia tua dan sudah semakin kurus, beliau mengerjakan solat witir tujuh rakaat.” (Hadis Riwayat Muslim) Dalam riwayat yang lain disebutkan, “Beliau tidak duduk melainkan pada rakaat yang terakhir...” (Hadis Riwayat an-Nasa’i. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan an-Nasa’i)
Dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, dia menyatakan, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengerjakan solat witir tujuh atau lima rakaat yang masing-masing rakaat tidak dipisahkan oleh salam dan juga ucapan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibni Majah)
ii – Tujuh rakaat tanpa duduk kecuali pada rakaat keenam (tasyahud/tahiyat awal),
Ia adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia menyatakan, “Kami pernah menyiapkan untuk beliau siwak dan air untuk bersuci. Allah membangkitkan (membangunkan) beliau bersesuain dengan kehendak-Nya pada suatu malam lalu beliau bersiwak dan berwudhu’. Kemudian beliau mengerjakan solat tujuh rakaat tanpa duduk, kecuali pada rakaat yang keenam (tasyahud/tahiyat awal). Kemudian beliau duduk, berdzikir kepada Allah lalu berdoa.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Sanadnya dinilai sahih menurut Syaikh Syu’aib al-Arnouth di dalam Shahih Ibni Hibban)
5 – Solat Witir Sembilan rakaat,
Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, “.. Kami pernah menyiapkan untuk beliau siwak dan air untuk bersuci. Allah membangkitkan beliau bersesuaian dengan kehendaknya pada suatu malam, lalu beliau bersiwak dan berwudhu’. Kemudian beliau mengerjakan solat sembilan rakaat dengan tidak duduk, kecuali pada rakaat yang kelapan (duduk tasyahud/tahiyat awal). Kemudian beliau berdzikir kepada Allah, memuji, dan berdoa kepada-Nya. Kemudian beliau bangkit dan tidak salam lalu beliau berdiri dan mengerjakan rakaat yang kesembilan (tasyahud/tahiyat akhir). Setelah itu, beliau duduk lalu berdzikir, memuji, dan berdoa kepada Allah. Kemudian beliau mengucapkan salam yang kami juga mendengarnya...” (Hadis Riwayat Muslim)
Tiada Dua Witir Dalam Satu Malam
Ini adalah berdasarkan hadis dari Thalq bin Ali radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi)
Menurut Ibnu Qudamah rahimahullah,
“Mereka yang mengerjakan solat witir pada malam hari, kemudian bangun untuk mengerjakan solat Tahajjud, maka dianjurkan untuk mengerjakan dua rakaat, dua rakaat, dan tidak menambahkan solat witirnya. Pernyataan ini diriwayatkan Abu Bakar ash-Shiddiq, Ammar, Sa’ad bin Abi Waqqash, Aidz bin Amr, Ibnu Abbas, dan Abu Hurairah, serta Aisyah radhiyallahu ‘anhum.
Ada seseorang yang bertanya kepada Imam Ahmad, “Tidakkah kamu menganggap bahawa Tahajjud tersebut membatalkan solat Witir?” Ia menjawab, “Tidak.” Setelah itu ia mengatakan, “Apabila seseorang melakukan hal itu, maka tiada masalah, kerana telah dilakukan juga oleh yang lain.” (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007, Jil. 2, m/s. 543-544)
Menurut Sheikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah,
“Yang disunnahkan adalah mengakhirkan solat witir, tetapi jika seseorang mengerjakan solat witir di awal malam, dia tidak perlu lagi mengerjakannya di akhir malam. Perkara ini didasarkan pada hadis, “Tidak ada dua witir dalam satu malam”. Orang yang berpendapat bahawa solat witir yang dikerjakan di awal malam itu terbatal oleh solat yang dikerjakan setelahnya maka dengan itu bererti dia mengerjakan solat witir tiga kali. Yang benar adalah jika seseorang telah mengerjakan solat witir di awal malam kemudian dia masih mengerjakan solat lagi di akhir malam, dia tidak perlu mengerjakan solat witir lagi, tetapi cukup dengan solat witir sebelumnya. (Lihat: Majmu’u Fatawaa ibn Baaz, 10/310-311. Dinukil dari Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, Cet. Kedua – Januari 2008, oleh Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, m/s. 451)
Membaca Doa Qunut Di Dalam Solat Witir
Perkataan/kata “Qunut” digunakan untuk beberapa makna, di antaranya adalah berdiri, diam, rutin beribadah, doa, tasbih, dan khusyu’. Menurut istilah, ialah nama untuk suatu doa yang diucapkan dalam solat pada waktu tertentu di saat berdiri. (al-Futuhat ar-Rabbaniyyah ala al-Adzkar an-Nawawiyah, 2/286. Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)
Di antara dalil yang menjadi dasar disunnahkan doa qunut di dalam solat witir adalah,
Hadis al-Hasan bin Ali, ia berkata,
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajariku beberapa kalimat yang aku baca dalam witir, “Allahummah dini fi man hadait... (dan seterusnya)”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)
Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab:
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat Witir, lalu beliau berqunut sebelum ruku’.” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)
Menurut Ibnu Qudamah, “Bahawa doa qunut dianjurkan pada rakaat terakhir dalam solat witir dan semua solat sunnah. Inilah pendapat yang disebutkan sebahagian sahabat kami dalam mazhab. Ini adalah pendapat atau riwayat Ibnu Mas’oud, Ibrahim, Ishaq, dan para ulama ra’yi (rasionalis).... ...
Dalam riwayat Mawardzi, imam Ahmad telah mengatakan, “Aku berpendapat bahawa qunut tersebut dibaca pada pertengahan akhir bulan Ramadhan. Selain itu aku yakin bahawa Qunut adalah doa dan kebaikan.” Alasan pendapat imam Ahmad ini adalah sebuah riwayat Ubay, bahawa Rasulullah sering mengerjakan solat witir dan membaca doa qunut sebelum ruku’. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, dan Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007, Jil. 2, m/s. 543-544)
Menurut Sheikh al-Albani, “... Kami katakan (perbuatan membaca qunut di dalam solat witir) kadang-kadang (bukan suatu yang dilakukan selalu), sebab bila Nabi selalu melakukannya, tentu para sahabat akan meriwayatkan hal tersebut.
Memang hanya Ubay bin Ka’ab yang meriwayatkan hal itu dari Nabi. Oleh kerana itu, hal ini menunjukkan bahawa beliau melakukannya kadang-kadang dan hal ini tidak wajib. Inilah yang menjadi pendirian jumhur ulama.
Hal ini juga diakui ahli fiqh, Ibnul Hamam dalam kitab Fathul Qadir (1/306, 259, dan 360). Beliau menyatakan bahawa mewajibkan qunut dalam witir adalah pendapat yang lemah yang tidak berasaskan dalil. Hal ini merupakan sikap lapang dada beliau...” (Lihat: Sifat Shalat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Terbitan Media Hidayah, Cet. Kedua – 1996M, oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, m/s. 224)
Doa Qunut Dibaca Pada Sebelum Ruku’ Atau Selepas Ruku’?
Dari imam Ahmad disebutkan bahawa ia mengatakan, “Aku berpendapat doa qunut dibaca setelah bangun dari ruku’. Apabila seseorang membaca qunut sebelumnya, itu pun diperbolehkan. Pendapat ini didukung oleh Ayyub as-Sakhtiani.
Hal ini adalah berdasarkan riwayat Humaid, bahawa Anas pernah ditanya tentang doa qunut dalam solat subuh. Ketika itu dia menjawab, “Kami biasa membaca doa qunut sebelum ruku’.”
Menurut imam Malik dan Abu Hanifah, doa qunut dibaca sebelum ruku’. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007, Jil. 2, m/s. 543-544)
Hadis-hadis yang mendukung kedua-dua pendapat ini adalah sebagaimana berikut,
Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat Witir, lalu beliau berqunut sebelum ruku’.” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)
Diriwayatkan dari ‘Ashim, ia berkata: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik tentang qunut, maka ia menjawab, “Qunut memang pernah dikerjakan”. Aku bertanya lagi, “Adakah seblum ruku’?” Ia menjawab,
“Itu dusta. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah qunut sesudah ruku’ selama sebulan. Aku melihat beliau mengutus satu rombongan yang beranggotakan para penghafal al-Qur’an sebanyak lebih kurang tujuh puluh orang kepada suatu kaum dari kalangan musyrikin yang ternyata mereka diperangi, padahal sebelumnya antara mereka dengan Rasulullah terdapat perjanjian damai. Maka, Rasulullah berqunut selama satu bulan untuk mendoakan keburukan ke atas mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membaca setelah selesai dari bacaan solat Subuh dan bertakbir serta mengangkat kepalanya: “Sami’Allahu liman hamidah. Rabbana walakal hamdu”. Kemudian beliau membaca ketika masih dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah Walid bin Walid...”.” (Hadis Riwayat Muslim)
Begitu juga hadis dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu,
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membaca qunut selama satu bulan berturut-turut pada waktu Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’, dan solat Subuh di akhir setiap solat setelah mengucapkan “Sami’Allahu liman hamidah. Rabbana walakal hamdu” pada rakaat terakhir untuk mendoakan orang-orang yang masih hidup dari kalangan Bani Sulaim dan mendoakan kebinasaan Ri’lin, Dzakwan, dan Ushaiyah. Makmum di belakang beliau mengaminkan doa beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud)
Jika diperhatikan, qunut yang dilakukan sebelum ruku’ adalah qunut dengan doa yang bersifat umum dan dilakukan di dalam solat witir sebagaimana hadis dari al-Hasan bin Ali, manakala qunut yang dilaksanakan selepas ruku’ adalah qunut yang doanya bersifat khusus bagi mendokan kehancuran pihak musuh dan keselamatan kaum muslimin (qunut Nazilah) yang dilaksanakan di dalam solat fardhu.
Dalam hal ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata di dalam Fathul Bari (2/569): “Kesimpulan riwayat dari Anas bin Malik bahawa qunut kerana suatu hajat (doa yang bersifat khusus) dilakukan setelah ruku’.
Tidak ada riwayat dari beliau yang menyelisihi hal ini. Adapun yang dilakukan tanpa hajat, menurut dalil sahih, qunut dilakukan sebelum ruku’. Telah diperselisihkan tentang amalan sahabat dalam hal ini. Secara zahirnya bahawa perselisihan ini adalah perselisihan (khilaf) yang bersifat mubah (harus/tidak mengapa). (Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)
Berkenaan Qunut Nazilah ini Sheikh Dr. Sa’id Wahf bin Ali al-Qahthani berkata,
“Telah diriwayatkan dengan sahih dari nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau melakukan qunut Nazilah selama sebulan, berdoa melaknat satu kaum. Teriwayat dengan sahih bahawa beliau berdoa untuk kaum yang lemah dari kalangan para sahabat beliau yang ditawan oleh satu kaum sewaktu mereka berhijrah. Ketika penyebab beliau melakukan qunut tersebut sudah tidak ada lagi, beliau pun meninggalkannya.
Nabi tidak pernah melakukan qunut secara rutin dalam solat wajib yang manapun, solat subuh atau solat yang lainnya. Demikian juga halnya dengan para Khulafa’ur Rasyidin. Mereka melakukan qunut tersebut dengan cara yang sama. Mereka tidak pernah melakukannya secara rutin.
Namun jika penyebab qunut itu sudah tidak ada, mereka meninggalkan qunut tersebut. Apa yang sunnahnya (yang tsabit dari sunnah) adalah melakukan qunut Nazilah dan berdoa berdasarkan kepada keadaan, iaitu untuk mendoakan kebaikan bagi suatu kaum, atau untuk melaknat mereka, dan disesuaikan juga dengan bencana yang terjadi.
Diriwayatkan dengan sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melakukan qunut pada solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’. Namun perlaksanaan di dalam solat Subuh dan Maghrib adalah lebih ditekankan. Ketika penyebab qunut itu sudah tidak ada, beliau pun meninggalkannya, termasuk juga pada solat subuh.” (Kumpulan Shalat Sunnah Dan Keutamaannya, oleh Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Darul Haq, Cet. Ketujuh – Feruari 2007M, m/s. 75)
Lafaz Doa Qunut Witir
اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، [وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ]، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
“Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah aku perlindungan (dari penyakit dan apa yang tidak disukai) sebagaimana orang yang telah Engkau lindungi, sayangilah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sayangi. Berilah berkah apa yang Engkau berikan kepadaku, jauhkan aku dari kejelekan apa yang Engkau takdirkan, sesungguhnya Engkau yang menjatuhkan qadha, dan tidak ada orang yang memberikan hukuman kepada-Mu. Sesungguhnya orang yang Engkau bela tidak akan terhina, dan orang yang Engkau musuhi tidak akan mulia. Maha Suci Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.” (Hadis Riwayat Ahmad, ad-Darimi, al-Hakim dan al-Baihaqi. Doa yang ada di antara dua kurung, adalah menurut riwayat al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah dan Irwa’ul Ghalil)
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءَ عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Ya, Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan kerelaan-Mu dari kemarahan-Mu, dan dengan keselamatan-Mu dari siksa-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari ancaman-Mu. Aku tidak mampu menghitung pujian dan sanjungan kepada-Mu, Engkau adalah sebagaimana yang Engkau sanjungkan kepada diri-Mu sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah, dan Irwa’ul Ghalil)
اَللَّهُمَّ إيـَّاكَ نَعْبُدُ، وَلَكَ نُصَلِّيْ وَنَسْجُدُ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ، نَرْجُوْ رَحْمَتَكَ، وَنَخْشَى عَذَابَكَ، إِنَّ عَذَابَكَ بِالْكَافِرِيْنَ مُلْحَقٌ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَعِيْنُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ، وَنُثْنِيْ عَلَيْكَ الْخَيْرَ، وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ، وَنَخْضَعُ لَكَ، وَنَخْلَعُ مَنْ يَكْفُرُكَ
“Ya Allah! Kepada-Mu kami menyembah. Untuk-Mu kami melakukan solat dan sujud.Kepada-Mu kami berusaha dan melayani. Kami mengharapkan rahmat-Mu, kami takut pada siksaan-Mu. Sesungguhnya siksaan-Mu akan menimpa pada orang-orang kafir. Ya, Allah! Kami minta pertolongan dan minta ampun kepada-Mu, kami memuji kebaikan-Mu, kami tidak ingkar kepada-Mu, kami beriman kepada-Mu, kami tunduk padaMu dan berpisah pada orang yang kufur kepada-Mu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra, sanadnya menurut pendapat al-Baihaqi adalah sahih. Al-Albani menilainya sahih di dalam Irwa’ul Ghalil dengan menyatakan: “Sanadnya sahih dan mauquf pada Umar”)
Tasbih/Doa/Zikir Sesudah salam Solat Witir
Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab, ia berkata, “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى” (Surah al-a’la), “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” (Surah al-Kafirun) dan “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ” (Surah al-Ikhlas). Kemudian sesudah salam, beliau mengucapkan: Subhaanal Malikil Quddus tiga kali.
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ
(3× يجهر بها ويمد بها صوته يقول)
[رَبُّ الْمَلاَئِكَةِ وَالرُّوْحِ]
manakala pada bacaan yang ketiga, beliau membacanya dengan suara yang keras dan ditambah dengan (rabbul malaaikati warruh).” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, ad-Daruquthni, dan beberapa imam hadis yang lain. Kalimat di antara dua tanda kurung adalah tambahan menurut riwayat ad-Daruquthni. Sanadnya sahih, lihat Za’dul Ma’ad yang ditahqiq oleh Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qadir al-Arnauth)
Diriwayatkan dari Ali radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada akhir Witir mengucapkan:
Diriwayatkan dari Ali radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada akhir Witir mengucapkan:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Ya, Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan kerelaan-Mu dari kemarahan-Mu, dan dengan keselamatan-Mu dari siksa-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari ancaman-Mu. Aku tidak mampu menghitung pujian dan sanjungan kepada-Mu, Engkau adalah sebagaimana yang Engkau sanjungkan kepada diri-Mu sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah, dan Irwa’ul Ghalil)
Mengqadha Solat Witir
Jika tertidur atau terlupa mengerjakan solat Witir, maka ia boleh dikerjakan ketika bangun atau setelah teringat pada waktu tertentu. Hal ini adalah berdasarkan beberapa hadis,
Hadis dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Imam ash-Shan’ani berkata,
Hadis dari Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
Dalam persoalan ini, mereka yang sengaja meninggalkan solat Witir tanpa uzur dan sehingga terbit fajar, maka tidak disyariatkan mengqadha baginya. Ini adalah berdasarkan hadis dari Aisyah radhiyallahu ‘anha,
Telah diketahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat malamnya tidak lebih dari sebelas rakaat,
“Bahawasanya Rasulullah biasa solat malam sebelas rakaat, beliau menutupnya dengan satu rakaat Witir.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dan telah diketahui juga bahawa qadha solat Witir pada siang hari dengan jumlah rakaat genap. Barangsiapa yang kebiasaan solat Witirnya pada malam hari satu rakaat, maka qadhanya pada siang hari dua rakaat. Barangsiapa yang kebiasaan witirnya tiga rakaat, maka ia mengqadhanya empat rakaat. Dan demikian seterusnya. (Lihat: Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, jil. 2, m/s. 38) (Rujuk juga, http://www.islam-qa.com/en/ref/36793)
Mengqadha Solat Witir
Jika tertidur atau terlupa mengerjakan solat Witir, maka ia boleh dikerjakan ketika bangun atau setelah teringat pada waktu tertentu. Hal ini adalah berdasarkan beberapa hadis,
Hadis dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Barangsiapa yang tertidur atau terlupa mengerjakan solat Witir, maka hendaklah ia mengerjakannya pada pagi hari atau ketika sebaik saja ia ingat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)
Imam ash-Shan’ani berkata,
“Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang tertidur dari Witirnya atau terlupa melakukannya maka hukumnya seperti hukum orang yang tertidur dan terlupa dari solat fardhu. Dalam keadaan seperti ini, ia boleh mengerjakan solat itu ketika bangun atau ketika ia ingat. (Lihat: Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, Terbitan Darus Sunnah Press, Cet. Pertama – Oktober 2007, oleh al-Imam ash-Shan’ani, jil. 1, m/s. 606)
Hadis dari Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Barangsiapa yang tertidur pada malam hari sehingga luput zikir dan bacaan al-Qur’annya atau sebahagian darinya lalu dia mengerjakannya di antara solat subuh dan solat zuhur, maka ditetapkan baginya seakan-akan dia solat di malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam persoalan ini, mereka yang sengaja meninggalkan solat Witir tanpa uzur dan sehingga terbit fajar, maka tidak disyariatkan mengqadha baginya. Ini adalah berdasarkan hadis dari Aisyah radhiyallahu ‘anha,
“... Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika mengerjakan suatu solat, beliau suka untuk mengerjakannya secara terus-menerus (membiasakannya). Jika beliau tertidur atau sakit sehingga tidak dapat bangun malam, beliau akan mengerjakan solat pada siang hari sebanyak dua belas (12) rakaat. Aku tidak mengetahui Nabi Allah pernah membaca al-Qur’an secara keseluruhan dalam satu malam, tidak juga mengerjakan solat satu malam sehingga subuh, dan tidak juga berpuasa satu bulan penuh kecuali di bulan Ramadhan...” (Hadis Riwayat Muslim)
Telah diketahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat malamnya tidak lebih dari sebelas rakaat,
“Rasulullah tidak pernah menambah solat malam lebih dari sebelas rakaat, sama ada pada bulan Ramadhan atau pun di luar Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Bahawasanya Rasulullah biasa solat malam sebelas rakaat, beliau menutupnya dengan satu rakaat Witir.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dan telah diketahui juga bahawa qadha solat Witir pada siang hari dengan jumlah rakaat genap. Barangsiapa yang kebiasaan solat Witirnya pada malam hari satu rakaat, maka qadhanya pada siang hari dua rakaat. Barangsiapa yang kebiasaan witirnya tiga rakaat, maka ia mengqadhanya empat rakaat. Dan demikian seterusnya. (Lihat: Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, jil. 2, m/s. 38) (Rujuk juga, http://www.islam-qa.com/en/ref/36793)
Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut,
Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata,
“Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tertidur pada malam hari atau sakit, maka beliau solat pada siang hari dua belas rakaat...” (Hadis Riwayat Muslim)
Berkenaan hadis “... Barangsiapa yang menjumpai waktu Subuh tetapi dia belum berwitir, maka tiada witir baginya”, menurut imam ash-Shan’ani,
Rujukan/Maraji:
“Adapun jika yang dimaksudkan adalah tidak boleh mengqadha, maka bukan itu yang dimaksudkannya. Akan tetapi yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah orang yang meninggalkannya secara sengaja. Sesungguhnya ia akan terlewatkan sebuah sunnah yang mulia sehingga ia tidak akan menemukannya.” (Lihat: Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, Terbitan Darus Sunnah Press, Cet. Pertama – Oktober 2007, oleh al-Imam ash-Shan’ani, jil. 1, m/s. 606)
Rujukan/Maraji:
1 – Ibnu Qudamah, al-Mughni, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007.
2 – Imam ash-Shan’ani Subulus Salam, Syarah Bulughul Maram, Terbitan Darus Sunnah Press, Cet. Pertama – Oktober 2007.
3 - Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Terbitan Media Hidayah, Cet. Kedua – 1996M.
4 - Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007.
5 –Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul, Meneladani Shalat-Shalat Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, Cet. Kelima – Februari 2007M.
6 – Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Kumpulan Shalat Sunnah Dan Keutamaannya, oleh, Terbitan Darul Haq, Cet. Ketujuh – Feruari 2007M.
7 - Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, Cet. Kedua – Januari 2008.
No comments:
Post a Comment