Sunday, August 14, 2011

Solat Tarawikh -Waktu solat

Soalan :
Bilakah waktu bermula dan berakhir solat tarawikh...adakah bermulanya selepas Isyak dan berakhir sebelum subuh seperti solat witir? Dan bilakah waktu yang afdal dilakukan? Ada yang menyatakan lebih afdal dilakukan di tengah malam. Minta penjelasan...


Jawapan :

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.Menurut Imam al-Nawawi rh bahawa solat tarawih bermula selepas solat Isya’ and berakhir apabila terbit fajar.

Waktu afdal solat malam adalah 1/3 malam. Akan tetapi waktu afdal solat tarawih adalah selepas isya’ bersama-sama dengan Imam di masjid. Sabda Nabi :saw :

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
“Barangsiapa yang bersolat bersama Imam sehingga Imam beredar, ditulis akannya seolah-olah bersolat sepenuh malam” [Hadith Riwayat al-Tirmudzi].


Ibn Qudamah rh memetik soalan yang pernah ditanya kepada Imam Ahmad :

تُؤَخِّرُ الْقِيَامَ يَعْنِي فِي التَّرَاوِيحِ إلَى آخِرِ اللَّيْلِ ؟ قَالَ : لا , سُنَّةُ الْمُسْلِمِينَ أَحَبُّ إلَيَّ
“Apakah anda akan melambatkan tarawih sehingga keakhir malam? Jawab beliau : TIDAK, sunnah (kebiasaan) orang Islam lebih aku sukai”


Hadith solat tarawih juga menyebut bahawa para sahabat telah mengikuti Nabi :saw bersolat di masjid selama 3 hari berturut-turut.

Solat tarawih berjemaah juga merupakan amalan shahabat, tabien,dsb. Menurut Imam al-Shaukani :” Imam al-Syafie dan beberapa sahabatnya, Abu Hanifah, Ahmad dan beberapa yang lain mengatakan bahawa adalah lebih baik bersolat terawih secara berjemaah sebagaimana yang dilakukan oleh Umar Ibn Khattab ra. dan sahabat-sahabat dan diteruskan oleh umat Islam selepasnya….” [Nail al-Authaar 3/62].


Jelas menunjukkan bahawa waktu afdal solat tarawih adalah selepas Isya’, dilakukan secara berjemaah bersama Imam.

Penerangan ini sekali gus menunjukkan bahawa bilangan rakaat tarawih juga adalah mengikut Imam yang mengimami solat tarawih tersebut. Jika Imam buat 8 rakaat, kita buat 8 rakaat. Jika Imam buat 20 rakaat, kita buat 20 rakaat juga kalau kita mampu. Kalau kita buat 8 rakaat, jangan mempertikaikan mereka yang buat 20 rakaat, dan begitulah sebaliknya.


Akan tetapi, kepada mereka yang tidak dapat ke masjid, mereka mempunyai peluang untuk melakukan solat tarawih pada penghujung malam. WA.

Sekian, wassalam

by :kamin ; al Ahkam.net

No comments:

Post a Comment