Monday, October 22, 2012

[Fatwa Ulama'] MENGAMBIL MANFAAT DARI ORANG KAFIR: APA YANG BOLEH APA YANG TIDAK BOLEH?






 FATWA FAQIH AL-ZAMAN IBN UTSAIMIN –RAHIMAHULLAH-



Soalan: Ditanya kepada Fadilatu al-Syaikh: Bagaimanakah kita boleh mengambil faedah daripada orang-orang Kafir tanpa terjebak dalam perkara yang dilarang? Adakah Masalih Mursalah mempunyai pengaruh dalam perkara itu?

Jawapan: Maka beliau menjawab –rafa’allahu darajatah- dengan kata beliau:
Perkara yang dilakukan oleh Musuh-musuh ALLAH yang juga musuh-musuh kita iaitulah kaum Kafir terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Ibadat ;Kedua: Adat ;Ketiga: Reka cipta dan pekerjaan-pekerjaan

1)Adapun berkenaan Ibadat maka sedia diketahui bahawa tidak boleh bagi mana-mana Muslim untuk menyerupai mereka dalam urusan ibadat mereka, barangsiapa yang menyerupai mereka dalam urusan ibadat maka dia melakukan kesalahan yang besar yang boleh membawa kepada kufurnya dan terkeluar daripada Islam (na’uzubuillah min zalik –pent-)

1)Adapun Adat seperti pakaian dan selainnya maka ia juga diharamkan untuk menyerupai mereka kerana Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:
من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia daripada mereka. [HR Abu Daud, al-Tirmizi, dan Ahmad].
3)Adapun pembuatan dan kemahiran-kemahiran yang mana terdapat padanya kemaslahatan umum maka tidak ada masalah untuk kita mempelajari apa yang mereka lakukan dan kita mengambil faedah daripada mereka dan ini bukan daripada Tasyabuh tetapi daripada perkongsian dalam amalan-amalan yang bermanfaat yang tidak dianggap pelakunya sebagai menyerupai mereka.

Adapun perkataan penanya: ” Adakah Masalih Mursalah mempunyai pengaruh dalam perkara itu?”

Maka kami katakan: Sesungguhnya al-Masalih al-Mursalah tidak sepatutnya dijadikan sebagai dalil yang berdiri dengan sendiri bahkan kita berkata: Masalih Mursalah ini jika telah kita pastikan ianya adalah suatu kemaslahatan maka Syarak sudah pasti menyaksikan baginya dengan kesahihan dan penerimaan dan ia sebahagian daripada Syarak, jika Syarak menyaksikan dengan kebatilannya maka ia bukan Masalih Mursalah walaupun pelakunya menyangka bahawa ia adalah Masalih Mursalah.

Adapun jika tidak jenis ini dan tidak pula jenis ini (tidak disaksikan syarak ianya maslahah dan tidak pula dibatalkan syarak kemaslahatannya) maka ia dikembalikan kepada asal (kaedah asal); jika ia daripada Ibadat maka Asal dalam ibadat adalah dilarang jika ia bukan daripada ibadat maka asalnya adalah halal, maka dengan ini diketahui bahawa Masalih Mursalah bukanlah dalil tersendiri.
[Sumber: Majmuk Fatawa Ibn Utsaimin, 3/41].

Diterjemah oleh: Muhammad Asrie Sobri

No comments:

Post a Comment