Thursday, October 18, 2012

Taubat Seorang Pemudi Ihsaa'



TAUBAT SEORANG PEMUDI IHSAA’

Seorang pemudi Syi’ah dari perkampungan Ihsaa’ menceritakan kisah taubatnya dan ia memperolehi petunjuk kepada kebenaran.

Saya adalah seorang pemudi dari sebuah perkampungan Ihsaa’  yang dididik dengan kecintaan kepada Nabi s.a.w. dan kecintaan kepada Ahlul Bait-Nya a.s. serta dididik dengan penuh keyakinan bahawa Ahlul Bait adalah sebab selamatnya saya daripada kemurkaan tuhan dan daripada neraka. 
Tanpa kasih dan cintakan mereka segala amalan saya sama ada ibadat-ibadat dan kewajipan-kewajipan yang difardhukan ke atas sekalian orang Islam seperti sembahyang, puasa dan lain-lain tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada saya.
 Begitu juga saya dididik dengan kewajipan membenci orang-orang yang memusuhi dan menzalimi mereka (ahlul bait). Saya adalah di antara orang yang bersikap keras dan fanatik terhadap aliran pegangan saya dan saya tidak mahu membahasnya lagi dengan menganggap memperdebatkannya adalah merupakan kesalahan terhadap pegangan saya.
 Begitu juga saya sering berprasangka buruk terhadap golongan Ahlus Sunnah dengan beranggapan bahawa mereka sering memandang negative terhadap peganganku walaupun saya mempunyai ramai teman-teman dari kalangan Ahlus Sunnah. 
Saya boleh menerima segala perkara dari mereka kecuali perbahasan tentang pegangan saya dengan saya menyangka bahawa mereka (Ahlus Sunnah) memang menyedari bahawa mereka berada di pihak yang salah tetapi mereka mendakwa bahawa merekalah yang benar semata-mata kerana memusuhi ahlul bait dan mereka mahu merubah asas-asas mazhab Syi’ah serta berdusta atas nama imam-imam dan Syi’ah mereka.
Saya berterusan dengan pegangan tersebut pada waktu itu kemudian saya berpeluang untuk menyambung belajar di hauzah (pusat pengajian agama Syi’ah) ilmiah. 
 Saya pergi ke sekolah pada waktu pagi dan ke hauzah pada waktu petang. Kemudian saya menghadapi kesulitan di dalam menggabungkan kedua-dua pengajian tersebut sekaligus di mana kalau saya memberikan waktu sebagai pelajar peringkat menengah (di sekolah) saya tidak dapat meneruskan pengajian di hauzah sedangkan saya benar-benar yakin tentang keutamaannya, lalu saya berfikir untuk meninggalkan sekolah tetapi keluarga saya menghalang dan mereka menasihati saya supaya saya belajar di hauzah ketika cuti musim panas dengan mengikuti kursus-kursus yang diadakan di hauzah. 
 Selepas saya menamatkan peringkat menengah saya menyambung pengajian saya di hauzah ilmiah dan saya beriltizam untuk belajar sepenuh masa dengan merasa bangga sambil meyakini bahawa amalan ini akan menghampirkan diri saya kepada Allah taala.
Akan tetapi setiap kali saya membandingkan hukum agama yang baru atau sebahagian daripada sejarah Nabi s.a.w. atau sejarah ahlul bait saya merasakan di sana terdapat pertentangan dalam sesetengah keadaan. Namun begitu saya segera menganggap perasaan ini adalah disebabkan kejahilan saya sambil menyakini bahawa ianya adalah bisikan syaitan untuk menyesatkan saya daripada kebenaran.
Di antara persoalan yang berlegar di fikiran saya adalah, bila mana kami mengagongkan imam-imam dan anak-anak mereka melebihi Rasulullah s.a.w. yang merupakan sebaik-baik manusia di mana kami merayakan hari kelahiran mereka, menangisi sejarah kewafatan mereka dan mengambil berat tentang sejarah mereka berlainan dengan Nabi s.a.w.. 

 Saya tidak menafikan bahawa kami (Syi’ah) juga mengadakan perhimpunan menyambut kelahiran Nabi s.a.w. dan melakukan upacara takziah sebagai tanda kesedihan di atas kewafatan Baginda s.a.w. tetapi ianya jauh berbeza jika dibandingkan dengan sambutan kelahiran Imam Mahdi pada Nisfu Sya’ban di mana kita memakai pakaian baru dan menganggapnya sebagai hari perayaan sedangkan kelahiran Nabi s.a.w. kita hanya berpada dengan berhimpun sahaja

 Oh! Betapa besarnya perbezaan antara sambutan takziah Husain denagn kewafatan sebaik-baik manusia, Muhammad s.a.w. 

 Kami pada hari itu berpuasa separuh hari, menangisi Husain dan memukul-mukul dada. Aku sering tertanya-tanya juga di manakah anak-anak perempuan Rasul s.a.w. yang lain serta isteri-isteri-nya di dalam lipatan sejarah kita. Mengapa kita berpura-pura/ sengaja melupakannya.

Persoalan kedua, kebiasaannya pada ketika kita ditimpa musibah atau mempunyai sesuatu hajat kita akan mengadapkan permohonan dan pertolongan kepada ahlul bait supaya melepaskan kesusahan yang kita hadapi lebih daripada kita menghadapkan diri kepada Allah.

Persoalan ketiga, kenapakah diharamkan ucapan “amin selepas membaca surah al-Fatihah di dalam sembahyang dengan alasan penambahan dan pengurangan yang membatalkan sembahyang. 
Sebaliknya di sisi kita mustahab mengucapkan اشهد أن علياً ولي الله di dalam sembahyang. Jika ia satu penambahan maka ia akan membatalkan sembahyang berdasarkan kepada hukum menambahkan sesuatu dalam sembahyang akan membatalkannya seperti ucapan amin selepas surah al-Fatihah. Jika ia bukan penambahan tentu hukumnya dalam sembahyang tidak sunat dan tidak wajib
Persoalan keempat, saya saling tertanya-tanya adakah boleh diterima akal bahawa Nabi s.a.w. sebagai sebaik-baik manusia lemah serta gagal di dalam memilih sahabat-sahabat dan isteri-isteri kerana Baginda memilih sahabat-sahabat yang mentohmahnya dengan mengatakan Baginda meracau di saat-saat kewafatan-Nya kemudian selepas kewafatan-Nya mereka murtad daripada agama serta menyakiti anak perempuannya!
 Apakah boleh diterima akal salah seorang isteri Rasul akan melakukan khianat sedangkan ayat al-Quran begitu jelas menyebutkan sesuatu yang tidak memerlukan kepada penafsiran lagi iaitu:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا


Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - Wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).[ii]
Suatu perkara yang sudah dimaklumi iaitu isteri seseorang serta anak-anak perempuannya adalah merupakan ahlulbaitnya.
Saya teringat di suatu ketika saya mendengar daripada kata-kata seorang syeikh di dalam satu kuliahnya dia berkata: “Sesungguhnya Imam Ali lebih mulia daripada Nabi di sisi Allah dan Husain lebih mulia daripada keduanya. Ia menjadikan satu hadith sebagai dalil tapi malangnya saya tidak mengingati hadith itu.

Dan banyak lagi persoalan yang membingungkan saya pada ketika itu.

Sebenarnya boleh dikatakan orang yang mendorong saya untuk mengkaji hakikat sebenar adalah syeikh yang mengajar saya di hauzah ilmiah di mana dia sering menasihati kami supaya tidak berpada dengan ilmu-ilmu, kitab-kitab dan tokoh-tokoh kami sahaja bahkan menasihati kami supaya mengkaji ilmu-ilmu Ahlus Sunnah, kitab-kitab mereka dan tokoh-tokoh mereka supaya kami dapat membuat perbandingan di antara dua mazhab ini dan supaya kami bertambah yakin bahawa mazhab kami sahajalah yang merupakan mazhab yang betul.

Namun begitu saya tidak mempedulikan nasihatnya tersebut dengan alasan sesungguhnya saya benar-benar yakin bahawa saya berada di atas kebenaran
Saya terus berada dalam keadaan demikian sehingga saya mula berfikir untuk menyebarkan mazhab Syi’ah dan memberikan petunjuk kepada orang yang belum mendapat petunjuk lalu saya ingin meneliti sebahagian kitab-kitab Ahlus Sunnah untuk saya mengetahui tempat-tempat yang terdapat kesilapan di dalam mazhab mereka supaya saya dapat memfokuskan nasihat saya

Maka saya mula meneliti dan mengkaji melalui internet dan membaca sebahagian kitab. Pada peringkat permulaannya saya membacanya dan mendustakan apa yang terdapat di dalamnya sehinggalah saya mula membaca sebahagian hadith yang terdapat di dalam kitab sahih Bukhari melalui internet dan bila mana saya sampai bab “kitab waktu-waktu sembahyang” saya tidak mengetahui bilakah persoalan ini yang muncul secara tiba-tiba iaitu sudah sekian lama sembahyang lima waktu merupakan sembahyang yang mempunyai namanya yang khusus berserta waktunya sedangkan kita Syi’ah mengerjakannya bukan pada waktunya.

Dari sini saya berpindah untuk mengkaji tentang hakikatnya lalu saya meneliti tentang dalil-dalil yang thabit bahawasanya Rasulullah s.a.w. menjama’kan sembahyangnya tanpa musafir atau sakit atau ketakutan dan saya tidak menemui jawapannya. 
Lalu saya terpaksa meminta pertolongan daripada teman sekerja saya yang saya percaya dia akan menyembunyikan masalah saya dan ia adalah dari kalangan Ahlus Sunnah dalam keadaan saya pasti kalaulah jelas kepada saya bahawa Rasulullah s.a.w. bersembahyang secara berasingan dan tidak menghimpunkan sembahyangnya kecuali ketika adanya kesulitan maka ia adalah satu-satunya kesilapan di dalam mazhab saya dan saya mungkin akan dapat memperbaiki kesilapan tersebut dalam keadaan saya terus menganut mazhab saya ini.

Semoga Allah memberikan kepadanya beribu kebaikan di mana dia telah memindahkan persoalan saya kepada seorang Syeikh dan dia telah mengemukakan jawapan kepada saya berserta dengan dalil-dalil yang memuaskan dan dia memberikan nasihat kepada saya supaya mengikuti laman web golongan yang bangkit meninggalkan Syi’ah.

Saya mula melayarinya lalu saya membaca akidah ahlul bait di sisi Ahlus Sunnah. Pada permulaannya saya dapat membaca kesilapan saya namun tidak berpuas hati. Kemudian saya mula merasa puas dengan apa yang ditulis di dalamnya. 

Di samping itu saya membandingkannya dengan kitab-kitab dan rujukan-rujukan yang ada di sisi kita (Syi’ah) untuk memuaskan hati bahawa di sana memang terdapat kesilapan di dalam sesuatu tajuk itu tetapi saya cuba untuk menolak dalam keadaan hampa serta menekan jiwa saya

Lalu saya memutuskan untuk menyambung penelitian terhadap laman web tersebut selepas saya berazam untuk mencari kebenaran tanpa didorong oleh sifat fanatik atau ta’assub kepada mazhab saya dan saya sekali-kali tidak akan berpuas hati dengan mana-mana dalil pun kecuali berdasarkan dalil daripada kitab Allah supaya saya memelihara fikiran saya daripada hadith-hadith yang dho’if

Saya juga meneliti laman-laman web yang lain supaya saya dapat menghimpunkan dalil dari beberapa pihak dan ianya lebih meliputi banyak hakikat lalu saya membaca dari laman web ahlulbait dan web-web yang lain juga. 

Akhirnya saya merasa berpada dengan laman web al-Muhtadun” (orang-orang yang mendapat petunjuk) kerana ia menghimpunkan banyak hakikat yang penting walaupun tidak dari semua sudut. 

Lalu setiap hari saya merasakan semakin bertambah keimanan serta kepastian bahawa saya dulu berada di dalam kesilapan maka saya berazam untuk terus merentasi kehidupan ini mengikut jalan yang diwarisi daripada Nabi s.a.w.

Maka dengan kurniaan dari Allah melalui laman-laman web yang baik ini saya semakin menemui petunjuk dan saya terus melalui jalan kebenaran ini semenjak dua bulan yang lalu. Segala pujian itu adalah milik Allah.
Seterusnya saya memohon kepada Allah supaya menetapkan saya di atas jalan kebenaran ini dan supaya Allah memberikan petunjuk kepada keluarga, orang-orang yang saya kasihi dan semua orang-orang mu’min. Amin.
20 Rabi’utthani 1429




[i] Ihsaa’: nama satu tempat di Hijaz.
[ii] Surah al-Ahzab ayat 33

No comments:

Post a Comment