Tajuk: Amalan Korban; Hikmah, Hukum & Sunnah
Oleh: Dr. Abdul Basit Abdul Rahman
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah segala puji bagi Allah swt yang telah mensyariatkan
kepada hamba-hamba-Nya agar berkumpul pada musim haji di Arafah, dan
menumpahkan darah haiwan korban (al-Hadyu). Ia adalah bulan penuh berkat
kerana di dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu ibadat haji dan
korban yang dimulakan sejak zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. lagi.Firman Allah SWT:
{وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ}
Maksudnya: {Dan telah kami jadikan untuk
kamu unta-unta itu sebahagian dari syi’ar Allah, kamu memperoleh
kebaikan yang banyak padanya. Maka sebutlah olehmu nama Allah ketika
kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian
apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri
makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak
meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah kami telah
menundukkan untu-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.}
[Surah Al-Haj: 36]
Ibadat korban yang dituntut Islam berbeza dengan konsep korban penganut agama lain. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan daripada mala-petaka atau amalan tolak bala. Sebaliknya ibadat korban adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.
Bagi sesiapa yang mampu untuk menunaikan ibadat korban, hendaklah melakukannya, kerana ia adalah sunnah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat selepasnya.
Untuk memahami ibadat ini kita perlu mengetahui beberapa perkara;
Pertama sekali kita lihat kepada pengertiannya:
Korban atau Udhiyyah dalam bahasa Arabnya, bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-An’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji pada 10hb Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13hb Zulhijjah) bertujuan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Ianya telah disyariatkan melalui firman Allah SWT:
{فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ} [الكوثر:2]
Maksudnya: {Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.}[Al-Kautsar: 2].
Firman Allah SWT lagi:{وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ…}
Maksudnya: {Dan bagi tiap-tiap umat sudah
Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama
Allah terhadap binatang ternakan yang direzekikan Allah kepada mereka.}
[Al-Hajj: 34].
Melalui hadis pula:
عَنْ أَنَسٍ قَالَ: ضَحَّى النَّبِيُّ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ،
وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا.
Daripada Anas ra, “Rasulullah SAW juga
telah menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai
korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama nama Allah dan
bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.”
[HR Bukhari dan Muslim].
Kata ulama’ hadis ini merupakan satu teguran/ancaman kepada orang yang berkemampuan tetapi tidak mahu melakukan ibadat korban.
HIKMAH DAN FADHILAT
Antara hikmah pensyariatan korban adalah:
Korban ialah ibadat. Setiap korban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah swt. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain. Ia juga sebagai melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya ialah menghayati pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah swt untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
Amalan ini adalah rentetan warisan daripada sejarah yang panjang, yang sentiasa diperbaharui setiap tahun dan insya’Allah akan berkekalan sehingga ke akhir zaman. Ia merupakan satu ingatan yang berkekalan tentang satu sikap yang unik dan terpuji yang mungkin tidak akan ditemui lagi di dalam dunia ini. Iaitu keutuhan iman Nabi Ibrahim as serta kepatuhan mutlaknya terhadap Tuhannya Yang Maha Agung.
Kedatangannya dulu ke Makkah, lembah gersang lagi kering, lalu meninggalkan keluarganya di situ kerana menurut perintah Tuhannya, telah mencipta satu sejarah agung.
Setelah anaknya meningkat dewasa dan dapat membantu bapanya untuk melakukan kerja-kerja, datang pula cubaan dan dugaan yang amat besar dalam hidup mereka sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh Allah swt melalui firman-Nya ini:
Maksudnya: {(Kisah ini berlaku apabila
Nabi Ibrahim as mahu meninggalkan kaumnya yang engkar dan tidak menerima
dakwahnya) “Dan Ibrahim berkata: Sesungguhnya aku pergi menghadap
Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. )Ibrahim ingin pergi ke
suatu negeri yang dia dapatmenyembah Allah swt dan berdakwah). Wahai
Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yangsoleh. Maka Kami
sampaikan kepadanya khabar gembira dengan seorang anak yang amatsabar
(Nabi Ismail as). Maka tatkala anak itu sudah dewasa dan mampu
berusahabersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai
anakku,sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku
menyembelihmu.Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”. Ismail menjawab: “Wahai
bapaku,kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya’Allah kamu
akan mendapati diriku termasuk di kalangan orang-orang yang sabar”.
Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkananaknya di
atas lambungnya, lalu Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kamu
telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami memberi
balasan kepadaorang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini
benar-benar suatu ujian yang nyata”.Dan Kami tebuskan anak itu dengan
seekor sembelihan yangbesar. (Setelah ternyata kesabaran dan ketaatan
Ibrahim dan Ismailas. Maka Allah melarang menyembelih Ismail dan
tidakmeneruskan korban. Allah swt menggantikannya dengan seekor kibasy
yang besar. Peristiwa ini menjadi dasar pensyariatan korbanyang
dilakukan pada hari Raya Haji). Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian
yang baik) di kalanganorang-orang yang datang kemudian. (Iaitu)
Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim. Demikianlah Kami memberi balasan
kepada orang-orang yangberbuat baik”.} [As-Saffat: 99-110].
[Lihat: Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, terbitan Telaga Biru].
[Lihat: Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, terbitan Telaga Biru].
HUKUM:
Hukum korban dibahagi kepada dua;
Pertama: Sunat muakkad bagi orang yang cukup syarat-syaratnya ini: Islam, aqil baligh dan berkemampuan.
Kedua: Wajib kepada yang mewajibkan dirinya sendiri samada untuk berkorban kerana mendekatkan diri kepada Allah atau bernazar.
Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban memadai menyembelih seekor kambing bagi dirinya dan keluarga.
Binatang Yang Disyariatkan Untuk Berkorban
Korban hanya sah dengan unta, lembu (kerbau), kambing dan biri-biri. Inilah binatang ternakan yang dimaksudkan berdasarkan firman Allah swt dalam surah [Al-Hajj: 34] di atas tadi.
Tidak terdapat hadis Nabi saw dan kata-kata sahabat yang menunjukkan terdapat binatang lain yang dijadikan korban selain daripada binatangn-binatang tersebut.
Yang paling afdhal ialah sembelih seekor unta, diikuti lembu dan kambing.
Harus berkorban dengan seekor unta atau lembu jantan atau betina untuk tujuh orang. Ini berdasarkan hadis daripada Jabir ra katanya:
“Kami berkorban bersama Rasulullah saw pada tahun Hudaibiyyah dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang”. [HR Muslim].
Syarat Binatang Korban
Cukup Umur: Umur unta disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala biri-biri pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.
Tidak cacat: Ketiga-tiga jenis binatang korban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Juga tidak sah korban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.
Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah dikiaskan kepada keempat-empat kecacatan tersebut.
Waktu ibadah korban:
Ibadah korban mestilah dilaksanakan pada waktu-waktu khusus iaitu pada 10 Zulhijjah selepas solat sunat hari raya sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.
CARA PENGAGIHAN DAGING KORBAN:
Cara pengagihan daging korban, menurut kitab Fiqh Manhaji;
Jika melakukan korban sunat, harus bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dengan syarat disedekahkan sebahagiannya. Tetapi yang afdhalnya ialah dia makan sedikit untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan.
Dia juga boleh memakan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada fakir miskin dan 1/3 bahagian yang lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalipun mereka kaya.
Korban Wajib / Nazar:
Jika ia korban wajib pula (nazar atau yang mewajibkan sendiri) Para ulama’ telah berbeza pendapat dalam masalah ini;
1. Pandangan ulama’ Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih.
2. Pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci (makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar dagingnya. Pendapat ini disokong oleh sebahagian ulama’ mazhab Syafie. [Lihat: Kitab Al-Bayan, Karangan Al-‘Imrani 4/458]
3. Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti “ini adalah sembelihan korban” atau “aku menjadikannya sebagai sembelihan korban” maka tidak harus dimakan dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya. Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya. [Lihat Khilaf Ulama’ ini dalam: Dr Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-630]
Hukum memberi daging korban kepada orang kafir:
1. Imam al-Nawawi menukilkan daripada Ibn Munzir Ijma‘ Ulama bahawa adalah harus memberi makan daging Korban kepada fakir miskin Muslim.
2. Mereka berselisih pendapat berkenaan memberi makan daging Korban kepada Ahli Zimmah (orang kafir yang tidak bermusuh dengan Orang Islam).
Imam Abu Hanifah, Al-Hasan al-Basri dan Abu Thaur membenarkannya. Imam Malik pula lebih suka mengutamakan Muslimin. Imam Malik mengaggap makruh memberikan kulit binatang Korban kepada orang Kristian.
Adapun pegangan mazhab Shafie, menurut Imam al-Nawawi, harus memberi makan kafir Zimmi daripada daging sembelihan Korban Sunat, bukan Korban wajib seperti nazar.
Mengikut pandangan Mazhab Hanbali adalah harus memberi daging kepada orang kafir jika ianya adalah korban Sunat. Adapun korban wajib maka tidak diharuskan.
Kesimpulannya, ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi serta satu pandangan dalam mazhab Syafie pula mengatakannya harus kerana ia bukannya sedekah wajib.
Namun satu perkara yang tiada khilaf di kalangan ulama’ ialah mengutamakan umat Islam. Oleh itu dalam hal ini, umat Islam perlu didahulukan, tetapi tidak menjadi kesalahan memberikannya kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan kita, Insya’Allah.
[Lihat: Imam an-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab, Jilid 8, ms. 404 dan Al-Fiqh Al-Islami 3/629].
PERKARA-PERKARA SUNAT BAGI ORANG YANG INGIN MELAKUKAN KORBAN
1) Apabila menjelang 1hb Zulhijjah, seseorang yang telah berazam / berniat untuk melakukan ibadat korban, sunat baginya untuk tidak menghilangkan (memotong) bulunya seperti rambut, janggut, misai dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan korban. Oleh itu hendaklah menjaga kedua-duanya dengan baik.
Ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw:
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ قَالَ: ((إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلا يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا)) [رواه مسلم]ز
Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.”[HR Muslim].شرح النووي على مسلم: قَوْله : (إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْر وَأَرَادَ أَحَدكُمْ أَنْ يُضَحِّي فَلا يَمَسّ مِنْ شَعْره وَبَشَره شَيْئًا)، وَفِي رِوَايَة: (فَلا يَأْخُذَنَّ شَعْرًا، وَلا يُقَلِّمَنَّ ظُفْرًا). وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاء فِيمَنْ دَخَلَتْ عَلَيْهِ عَشْر ذِي الْحِجَّة وَأَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ، فَقَالَ سَعِيد بْن الْمُسَيِّب وَرَبِيعَة وَأَحْمَد وَإِسْحَاق وَدَاوُد وَبَعْض أَصْحَاب الشَّافِعِيّ: إِنَّهُ يَحْرُم عَلَيْهِ أَخْذ شَيْء مِنْ شَعْره وَأَظْفَاره حَتَّى يُضَحِّي فِي وَقْت الأُضْحِيَّة. وَقَالَ الشَّافِعِيّ وَأَصْحَابه: هُوَ مَكْرُوه كَرَاهَة تَنْزِيه وَلَيْسَ بِحَرَامٍ. وَقَالَ أَبُو حَنِيفَة: لا يُكْرَه. وَقَالَ مَالِك فِي رِوَايَة: لا يُكْرَه، وَفِي رِوَايَة: يُكْرَه. وَفِي رِوَايَة: يَحْرُم فِي التَّطَوُّع دُون الْوَاجِب. وَاحْتَجَّ مَنْ حَرَّمَ بِهَذِهِ الأَحَادِيث. وَاحْتَجَّ الشَّافِعِيّ وَالآخَرُونَ بِحَدِيثِ عَائِشَة -رَضِيَ اللَّه عَنْهَا- “قَالَتْ: كُنْت أَفْتِل قَلائِد هَدْي رَسُول اللَّه rثُمَّ يُقَلِّدهُ، وَيَبْعَث بِهِ وَلا يَحْرُم عَلَيْهِ شَيْء أَحَلَّهُ اللَّه حَتَّى يَنْحَر هَدْيه” رَوَاهُ الْبُخَارِيّ وَمُسْلِم. قَالَ الشَّافِعِيّ: الْبَعْث بِالْهَدْيِ أَكْثَر مِنْ إِرَادَة التَّضْحِيَة، فَدَلَّ عَلَى أَنَّهُ لا يَحْرُم ذَلِكَ، وَحَمَلَ أَحَادِيث النَّهْي عَلَى كَرَاهَة التَّنْزِيه”.
Kata Imam Nawawi rahimahullahu ta’ala: “Para ulama’ berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama’ Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei dan ulama’nya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).”[ Syarah Sahih Muslim].
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persedian pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.
2) Jika mampu secara fizikal, disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu. Jika tidak mampu disebabkan uzur atau lainnya, harus diwakilkan kepada orang lain. Jika berpeluang, eloklah menyaksikan binatang korban ketika disembelih.
3) Semasa menyembelih binatang korban disunatkan sebagaimana perbuatan Rasulullah saw: Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya lalu membaca:
بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنِّي.
“Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada Engkau dan akan kembali kepada Engkau. Ya Allah, terimalah daripadaku”. [Lihat Perisai Muslim: Bacaan ketika menyembelih haiwan].PENUTUP:
Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang berkorban. Bagi yang masih hidup, ia lebih baik daripada bersedekah dengan harga binatang korban itu. Sesungguhnya mengharapkan keampunan dosa adalah inti pati semua ibadat dalam Islam.
Selain daripada keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. Ramai menganggap daging korban mesti diberikan kepada orang miskin saja dan mempertikai ada orang kaya yang dapat agihan daging korban.
Orang kaya juga diharuskan dihadiahkan daging korban bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahimatau ukhuwwah. Rasulullah SAW sentiasa menghadiahkan sahabat Khadijah (kebanyakannya wanita kaya), setiap kali Baginda mengadakan korban sekalipun isterinya sudah wafat.
Ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri. Ia bukan semata-mata ibadat untuk memberi makan kepada orang miskin, ia ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara menumpahkan darah (binatang).
Hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan kepada pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang simbolik kepada pengorbanan dilakukan.
Semoga syiar ibadat ini sentiasa subur dalam masyarakat Islam sekarang ditempat masing-masing, bukan hanya semata-mata mewakilkan kepada orang lain melakukannya tanpa tuannya merasai suasana berkorban. Wallahua’lam.
Sumber:
Imam an-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab.
Al-Fiqh Al-Manhaji, Dr. Mustafha Al-Khin dan lain-lain.
Dr Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu.
Majalah Solusi, Isu 36, Ruang SYIAR.
www.abuanasmadani.com
www.abuanasmadani.blogspot.com
PSD, 22 Zulqa’dah 1432H.
Tambahan di: Makkah, 4 Zulhijjah 1433H, 20-10-2012. Hotel Zuwar Al-Haramain.
Posted by Abu Anas Madani on 24 Oktober 2012
bacaan Sepenuhnya :http://www.abuanasmadani.com/?p=1720
No comments:
Post a Comment