Saturday, October 13, 2012

Kedaifan minoriti Muslim di wilayah Cham Kemboja

Kedaifan minoriti Muslim di wilayah Cham Kemboja



MOHD. ZUL FADLAIN ABDULLAH, 35, masih ingat terhadap sekumpulan kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun dalam perjalanan ke sekolah. Ingatannya itu mengembalikan memori ketika beliau berada di perkampungan di sebuah daerah di Kemboja.

Pakaian seragam berwarna rona teh susu yang tersarung pada tubuh kanak-kanak tersebut menjelaskan bahawa persalinan sekolah tersebut sudah lusuh dan lama tidak berganti.

Kepayahan penduduk minoriti Islam di kampung tersebut tidak jauh bezanya dengan Malaysia lima dekad lalu.
Mohd. Zul Fadlain meneruskan niatnya mengunjungi sebuah rumah untuk menghantar beras fidyah. Keadaan fizikal rumah yang beliau kunjungi boleh disifatkan separuh siap kerana tiangnya yang tinggi tanpa dinding, persis pondok sawah.

Selepas salamnya disambut, Mohd. Zul Fadlain yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukarelawan Al-Falah dipelawa masuk oleh tuan rumah.

Meskipun hidup dalam kedaifan, sebagai mengalu-alukan ketibaan tetamu, tuan rumah menghidangkan ubi kayu rebus. Tanpa mengetahui duduk perkara sebenar, Mohd. Zul Fadlain bertanya: “Rumah ni belum siap lagi ke?”
Taklah, inilah rumah saya. Tiada duit nak buat dinding,” balas tuan rumah tersebut.

“Sayu hati saya melihat keadaan rumahnya. Ketika mahu menjamah ubi kayu yang dihidangkan dengan tangan, segera tuan rumah menghalang saya seraya berkata: ‘Tunggu kejap encik, saya tengah pinjam sudu dengan jiran sebelah’,” cerita Mohd. Zul Fadlain.

Beliau mengakui tersentuh dengan peristiwa tersebut sehinggakan air matanya menitis kerana dilayan sebegitu. Malah, katanya tuan rumah berkali-kali memohon maaf kerana tidak menyediakan minuman sebab air di rumahnya kotor, khuatir perutnya sakit.


Semangat berbakti

“Keadaan mereka membuatkan saya terharu dan menjadikannya kekuatan buat diri saya. Saya beruntung dan cukup bertuah dilahirkan di Malaysia. Lahir dalam keadaan kemudahan air dan elektrik serta serba-serbi lengkap jika dibandingkan dengan mereka,” ujarnya.

Episod kehidupan yang ditontonnya secara langsung itu membuatkan semangat sukarelawan yang mengalir dalam diri Mohd. Zul Fadlain semakin membara. 

Dalam nada mendatar berbaur sesal Mohd. Zul Fadlain agak terkilan dengan apa yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini.

Pergilah ke luar negara dan lihat kehidupan rakyat di negara-negara dunia ketiga. Bukalah mata, lihat sendiri anak-anak di sana sangat susah. Ada yang terpaksa menjadi pelacur untuk meneruskan kelangsungan hidup.


SEDIKIT sumbangan yang diberikan oleh sukarelawan dapat meringankan beban penduduk minoriti Islam di Kampung Rakapram.


“Di Malaysia, anak-anak muda hidup senang dan mewah hingga ada yang tidak bersyukur. Di Kemboja, gaji AS$1 (RM3.70) sehari sudah besar bagi mereka,” katanya yang mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Kemboja bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan Politeknik Metro Kuala Lumpur pada bulan Mei lalu.

Seramai 156 sukarelawan menyertai misi tersebut yang berlangsung selama dua hari semalam. Ia turut disertai oleh pelajar politeknik bagi memberikan pendedahan sekali gus membuat perbandingan keadaan di Malaysia dan Kemboja.


Serba kekurangan 

Turut menyertai misi tersebut ialah Pakar Sakit Puan dan Perbidanan Hospital Pusrawi (Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan), Dr. Habibah Abdul Ghani, 55, yang merupakan salah seorang sukarelawan Al-Falah Pusrawi.
Mengakui dirinya kali pertama menjadi sukarelawan sejak ia ditubuhkan di Pusrawi pada 27 April lalu, Habibah juga terharu dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk minoriti Islam Kampung Rakapram di wilayah Kampung Cham.

Kehidupan penduduk kampung yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Phnom Penh itu sangat miskin dan serba kekurangan.

“Namun, kami dirai bak pembesar dan sepanjang berada di sama, kami diberi minum air kelapa sahaja kerana mereka khuatir air daripada sumber telaga akan menyebabkan kami sakit perut. Keadaan mereka memang menyedihkan dan ilmu pengetahuan mereka agak terhad. Kita perlu tunjuk ajar mereka hatta cara-cara menggosok gigi dan solat,” katanya sambil menyifatkan kerajaan Kemboja meminggirkan mereka.

Di perkampungan tersebut langsung tidak kelihatan sekolah-sekolah atau klinik-klinik kerajaan. Sebab itulah, jika ada yang jatuh sakit, mereka akan ke hutan untuk mencari penawarnya.

Naluri keibuan Habibah tersentuh apabila melihat kanak-kanak yang berhingus, berkudis, berjalan hanya beralaskan tapak kaki dan terdedah kepada pelbagai penyakit.

“Mereka perlu keluar dari kampung untuk bekerja di ladang-ladang yang dimiliki oleh orang Khmer kerana di kampung mereka memang tiada sumber pendapatan walaupun mempunyai tanah yang luas.

“Dalam sebuah rumah yang berkeluasan 2.5 x 3 meter, ia didiami oleh datuk, nenek, anak dan cucu. Rumah tanpa bilik itu hanya menjadikan kelambu sebagai bilik kelamin,” jelasnya.


Menyentuh hati

Menurut Habibah, boleh dikatakan nama Malaysia sentiasa meniti di bibir mereka. Masjid, surau, rumah jahitan, telaga dan sebagainya dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia yang pemurah.

“Klinik kami diserbu dan mereka berebut-rebut mahu mendapatkan khidmat perubatan. Sungguhpun serba kekurangan, mereka tidak meminta-minta. Barang-barang yang kami bawa pun tidak diusik atau dicuri walaupun barang tersebut ditinggalkan tanpa dijaga. Mereka ambil apa yang diberikan kepada mereka sahaja,” katanya.

Bagi Mohd. Noor Wahi Ismail, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Pusrawi, banyak peristiwa yang berlaku sepanjang berada di Kampung Rakapram tersebut menyentuh hatinya.


SUKARELAWAN berjaya membina sebanyak 105 telaga untuk kemudahan penduduk kampung tersebut.


“Seakan mahu menitiskan air mata tatkala melihat kanak-kanak di situ berebut gula-gula, tidak pakai selipar dan keterujaan mereka melihat kipas dinding.

“Ada seorang wanita yang usianya dalam lingkungan 60 tahun, berjalan dan berdiri di tepi pintu bas kami kerana mahu merasai sejuk pendingin hawa. Dia kemudian meminta izin naik sebentar ke dalam bas,” ceritanya yang pertama kali menyertai misi kemanusiaan.

Walaupun Wahi kini berada di tanah air, namun memorinya terhadap tempat berteduh seorang nenek di kampung tersebut seperti reban ayam.

“Kalau rakyat Malaysia miskin, kerajaan masih bantu dan paling tidak pun mungkin jiran akan beri ikan seekor dua, tetapi di sana, jiran mereka tiada apa-apa untuk diberikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pensyarah Politeknik Metro Kuala Lumpur, Mohd. Rosdi Ripin, 35, memberitahu, dia masih teringat bagaimana raut wajah gembira masyarakat Kampung Cham Kemboja ketika mereka datang memberikan sumbangan.

“Kehidupan mereka sangat daif. Masjid dan sekolah yang ada pun merupakan sumbangan masyarakat Islam luar negara.

Tambahnya, kunjungan ke Kemboja bersama sukarelawan lain membawa misi yang cukup besar iaitu membina 105 perigi yang diwakafkan, membuat pendawaian elektrik di masjid dan dua buah sekolah yang mempunyai 11 buah kelas, mengecat bangunan sekolah dan melaksanakan sembelihan akikah

 http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Post a Comment