SHIAH MENJUARAI PENDUSTAAN DAN PEMALSUAN HADITH
Muhammad Hanief Awang Yahaya
Pada
peringkat awal sejarah Islam, hadith-hadith begitu terpelihara daripada
sebarang pemalsuan. Para ulama sangat bersungguh dalam menjaga hadith
sehingga mereka meletakkan syarat-syarat yang ketat supaya hadith yang
diterima dan disampaikan dalam bentuk yang diyakini benar daripada
Rasulullah saw.
Apabila
berlaku fitnah dalam sejarah Islam sejak peristiwa pembunuhan ‘Uthman,
muncul golongan Shi’ah yang cuba menonjolkan peribadi ‘Ali sebagai
pengganti sebenar bagi Rasulullah saw. Kemudian lahirlah pula satu puak
yang menentang ‘Ali iaitu Khawarij. Masing-masing mencipta hadith palsu
demi kepentingan mereka. Ketaksuban mereka terhadap tokoh-tokoh tertentu
mendorong mereka mencipta hadith palsu dan orang yang mula-mula
merintis jalan ini ialah golongan Shi’ah. Kenyataan ini diakui sendiri
oleh tokoh Shi’ah, Ibn Abi al-Hadid di dalam Sharh Nahj al-Balaghah.
Katanya: “Ketahuilah punca pendustaan di dalam hadith
kelebihan-kelebihan (fadhail) ialah golongan Shi’ah.” [1]
Pada
masa itu, Iraq merupakan pusat penyebaran utama ajaran Shi’ah. Oleh itu
kita dapati perawi-perawi Shi’ah kebanyakan mereka menisbahkan diri
mereka dengan al-Kufi atau al-Basri. Persekitaran Iraq yang membahayakan
menyebabkan ulama hadith begitu berhati-hati dengan riwayat yang
disampaikan oleh penduduk Iraq. Imam al-Zuhri berkata: Hadith keluar
dari sisi kami dengan sejengkal kemudian kembali kepada kami dari Iraq
dengan sehasta.[2] Imam Malik menyebutkan Iraq sebagai negeri darb
iaitu hadith-hadith ditempa di situ kemudian dikeluarkan kepada orang
ramai seperti mana dirham ditempa dan dikeluarkan untuk urusan jual
beli.[3]
Hisham bin Urwah berkata: Apabila penduduk Iraq menceritakan kepada
kamu seratus hadith hendaklah kamu campakkan sembilan puluh sembilan dan
kamu raguilah yang tinggal satu lagi itu.[4]
Ulama
hadith sangat berhati-hati dengan riwayat daripada golongan Shi’ah
kerana merekalah yang paling banyak mereka-reka hadith. Hadith-hadith
yang direka oleh mereka tidak lain hanya untuk memperbesarkan Ali dan
ahli bait. Kata Ibn al-Jawzi: Hadith-hadith tentang kelebihan Ali sangat
banyak namun golongan Rafidah tidak berpuas hati lalu mereka mencipta
apa sahaja yang tidak sabit daripada Rasulullah saw.[5]
Kata
Amir al-Sha`bi: Tidak ada seorang pun dari kalangan ummat ini yang
paling banyak didustakan di atas namanya seperti yang berlaku kepada Ali
ra.[6]
Ulama
hadith menolak riwayat golongan Shi’ah kerana pendustaan yang menjadi
amalan dan syiar puak mereka. Apabila ditanya tentang mereka, Imam Malik
berkata: Jangan kamu bercakap dengan mereka, dan jangan kamu
meriwayatkan daripada mereka kerana mereka selalu berdusta. Hammad bin
Salamah berkata: Seorang alim Shi’ah menceritakan kepada saya bahawa
apabila kami duduk berhimpun lalu kami merasakan sesuatu itu elok, kami
jadikannya sebagai hadith.[7]
Imam al-Shafi`e berkata: Tidak pernah saya melihat golongan yang
mengikut hawa nafsu yang lebih berdusta daripada golongan Rafidhah.
Yazid bin Harun berkata: Hadith boleh ditulis dari semua ahli bid`ah
selagi mereka tidak menyeru kepada bid`ahnya kecuali golongan Rafidhah
kerana mereka mencipta hadith-hadith palsu.[8]
Pendustaan
yang dilakukan oleh golongan Shi’ah sangat jelas berbanding dengan
golongan sesat yang lain. Ini kerana pembohongan sudah menjadi satu
prinsip keimanan mereka yang asas. Berbeza dengan golongan Khawarij yang
mengatakan berdusta boleh menyebabkan kufur kerana pada fahaman mereka
melakukan dosa besar menyebabkan seseorang itu menjadi kafir. Kata Ibn
Taymiyyah: Golongan Khawarij, walaupun mereka terkeluar dari Islam
seperti terlepasnya panah dari busurnya dan walaupun Rasulullah saw
memerintah supaya memerangi mereka, mereka bukanlah satu golongan yang
sengaja berdusta. Malah mereka dikenali dengan sifat yang benar sehingga
dikatakan hadith mereka adalah hadith yang paling sahih. Tetapi mereka
jahil dan sesat di dalam bid`ah mereka. Tidaklah bid`ah mereka itu
zindiq atau mulhid tetapi kerana kejahilan dan kesesatan dalam memahami
makna al-Qur’an.[9]
Berbeza
dengan Shi’ah atau Rafidah, punca bid`ah mereka ialah zindiq dan
mulhid. Mereka sengaja berdusta dan mengakuinya sebagai tuntutan ajaran
agama mereka dan dapat mendekatkan diri kepada Allah.
Beberapa Kaedah Periwayatan Daripada Shi’ah
Para ulama mempunyai beberapa pendirian yang tersendiri dalam meriwayatkan hadith-hadith daripada golongan Shi’ah. Ini kerana keadaan seseorang perawi Shi’ah itu berbeza dengan ahli bid’ah dan kumpulan sesat yang lain. Malah di kalangan mereka sendiri ada yang bersifat melampau dan ada yang tidak sampai ke tahap itu. Bagaimanapun setiap mereka tetap memiliki ciri khas Shi’ah iaitu berbohong dan memuja Ali dan keluarganya.
Dalam
meriwayatkan hadith daripada golongan Shi’ah terdapat beberapa kaedah
yang mesti dipegang. Ini mengambil kira kedudukan perawi dan kandungan
riwayat tersebut. Seseorang perawi yang berfahaman Shi’ah dengan tidak
melampau (seperti melebihkan Ali daripada Uthman) boleh diterima
riwayatnya.
Selagi
seseorang perawi Shi’ah tidak terbukti sebagai pendusta dan tidak
mengemukakan riwayat-riwayat tentang kelebihan Ali, Fatimah, Hasan dan
Husin maka riwayat mereka boleh diambil. Oleh itu, riwayat perawi Shi’ah
berkenaan dengan manaqib Ali, Fatimah, Hasan dan Husin serta mathalib
ya’ni celaan terhadap para sahabat tidak boleh diterima.[10]
Riwayat
perawi Shi’ah berkenaan dengan manaqib sahabat terutama Abu Bakar, Umar
dan para isteri Rasulullah saw tidak boleh diterima kerana ia mempunyai
unsur tabarra. Walaupun pada zahirnya menunjukkan mereka memuliakan
sahabat tetapi terdapat penghinaan kepada mereka malah kadang-kadang
berlaku penghinaan kepada Rasulullah saw.
Oleh
kerana Shi’ah adalah ahli bid`ah, maka riwayat mereka tidak diterima
kerana mereka dikafirkan kerana bid`ah mereka. Sekiranya bid`ah yang
tidak membawa kepada kekufuran yang dilakukan oleh sebahagian golongan
Shi’ah, maka riwayat mereka boleh diterima selagi tidak menyokong kepada
fahaman mereka. Bagaimanapun sikap mereka yang suka berdusta di atas
nama taqiyyah sudah cukup untuk menyebabkan mereka dituduh sebagi
pendusta besar.
Jenis Hadith Rekaan Shi’ah
Apabila Shi’ah mendapati hadith daripada Rasulullah saw tentang kelebihan seseorang sahabat dalam sesuatu perkara, pasti mereka akan membawa juga hadith daripada mereka tentang kelebihan tersebut pada Ali.[11]
Shi’ah
selalunya akan mencipta hadith berkenaan dengan kelebihan-kelebihan
Ali, Fatimah, Hasan dan Husin. Dengan berkata begini bukan bererti kita
mengatakan setiap hadith yang menyebut kelebihan Ali dan keluarganya
mawdu`. Hadith-hadith tentang keburukan Bani Umayyah juga menjadi rekaan
mereka.
[1] Dinukilkan daripada al-Siba`i, al-Sunnah Wa Makanatuha fi al-Tashri` al-Islami, hal. 79.
[2] Ibid. hal. 82.
[3] Ibid.
[4] Habibur Rahman al-Kandahlawi, Tahqiq Umer `Aishah, hal. 16.
[5] al-Zahabi, al-Muntaqa min Minhaj al-I`tidal, hal. 48.
[6] al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, jil. 1, hal. 77.
[7] Al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, jil. 1, hal. 11.
[8] Ibid, jil. 1, hal. 10.
[9] Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah , jil. 1, hal. 67-68
[10] Habibur Rahman al-Kandahlawi, Mazhabi Dastanin Aur Unki Haqiqat, jil. 4, hal. 86
[11] ibid, jil. 3, hal. 140-141 dan 186.
No comments:
Post a Comment