Bentuk kehidupan seseorang yang menghayati dan memperjuangkan Islam tentulah berbeza dengan manusia lain. Antaranya ialah:
1. Terikat dan menurut ajaran Islam.
Iman bukan sekadar cita-cita. Iman adalah suatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan melalui amal perbuatan. Allah SWT sering mengaitkan iman dengan amalan.
Firman Allah SWT: maksudnya;
“...orang-orang yang beriman dan beramal soleh ...” (Al-’Ashr: 3)
Dalam hubungan ini Allah SWT mengingatkan janganlah kita mengajak manusia lain berbuat baik sedangkan kita melupai diri kita sendiri.Firman Allah SWT:
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir?”. (Al-Baqarah : 44)
2. Mengutamakan kepentingan Islam.
Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya;
“Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”
Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”
Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;
“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”
3. Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT.
Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT adalah antara sifat-sifat orang-orang beriman. Allah mengingatkan dalam al-Quran di dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Ali Imran: 139)
Ketika para sahabat Rasulullah SAW berada dalam perlindungan kerajaan Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendita yang ada di Istana Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Ja’far bin Abi Thalib r.a yang menjadi ketua rombongan itu menjawab: “Kami tidak sujud melainkan untuk Allah SWT.”
4. Bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam.
Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan. Firman Allah SWT: maksudnya;
“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)
Firman Allah SWT lagi: bermaksud;
“Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)
Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;
“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun. Sebahagiannya meneguhkan sebhagian yang lain.”
“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.”
“Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (daripada kumpulannya).”
“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”
Masa depan milik Islam
Keimanan kepada Islam harus sampai ke peringkat yakin bahawa masa depan adalah milik Islam. Islam diturunkan Allah SWT. Oleh itu Allah sahajalah yang paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia. Dialah paling layak untuk memimpin manusia.
Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia. Firman Allah SWT:
“Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun lagi Maha Mengetahui.” (Al-Mulk: 14)
Mengapakah Islam akan menguasai masa depan dunia?
Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;
“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun. Sebahagiannya meneguhkan sebhagian yang lain.”
“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.”
“Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (daripada kumpulannya).”
“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”
Jawapannya ialah:
1. Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.
2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri-ciri ini adalah cetusan daripada Sibghah Rabbani.
3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sibghah atau ciri ini membuatkan Islam berkebolehan untuk berijtihad atau menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tiada nas sama ada melalui Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.
4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat Yang Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia. Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup manusia. Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun urusan luar negara. Firman Allah SWT:
“Itulah sibghah (corakan/celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya daripada celupan Allah.” (Al-Baqarah: 138)
5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme, sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia dan lemah.
6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.
8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah. Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan.
Firman Allah SWT:
“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.” (Al-Infitar: 6-8)
Firman Allah SWT:
“Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pastilah kamu akan menemui-Nya. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya maka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang maka dia akan berteriak: Celakalah aku. Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). Sesungguhnya dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir). Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya). (Bukan demikian), yang sebenar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya."
No comments:
Post a Comment