Tuesday, September 17, 2013

Empat Kebaikan Dunia Dan Akhirat


Empat Kebaikan Dunia Dan Akhirat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :

1. Hati yang sentiasa bersyukur

2. Lisan yang sentiasa berzikir

3.Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan

4.Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”


Huraiannya :

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

Merasai dan menikmati kebaikan yang dimaksudkan bukanlah hanya dengan kenikmatan yang bersifat dunia. Seperti dengan melimpahnya harta , kedudukan yang tinggi, isteri yang cantik, anak-anak yang ternama atau yang seumpamanya. Terdapat kebaikan yang lebih bererti dan bermakna sehingga sesaorang benar-benar menikmati kebaikan dunia dan akhirat. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. dalam hadisnya di atas. Jelas dari hadis di atas apabila seseorang ingin mencapai kebaikan di dunia dan akhirat maka ada empat perkara yang mesti dimiliki dan dipertahankannya.

Pertama : Bersyukur .

Apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, maka segala pemberian Allah pasti terasa nikmat. Dan Allah akan terus menambah rasa nikmat itu. Namun jika kita tidak pandai bersyukur, maka Allah mengingatkan bahawa azab-Nya sangat pedih.

Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7).

Kedua : Berzikir

Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada Allah pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab ayat 41-42)

Apabila di dunia kita sentiasa membasahi lidah denga zikir kepada Allah, nescaya kebaikan dunia akan kita raih dan secara tidak langsung akan kita raih juga kebaikankan ukhrawi. Amalkanlah zikir al-Mathsurat pada waktu pagi dan petang kerana zikir ini adalah amalan yang di buat oleh Rasulullah SAW, amalkanlah insya Allah ianya merapatkan hubungan hati kita dengan Allah SWT.

Ketiga : Bersabar

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mengucapkan. ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah ayat 155-157)

Orang yang sabar dan istiqamah dalam menghadapi berbagai ujian Allah merupakan orang yang akan mendapat kebahagiaan dalam hidupnya kerana dalam keadaan yang demikian dia tidak tergelincir kejalan yang salah sehingga kebaikan di dunia dan akhirat diraihnya. Dengan sabar, seseorang akan sentiasa sedia menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya sehingga ia tak akan lupa diri dalam kejayaan dan keberhasilan serta tidak putus asa dalam kesengsaraan dan kesulitan.

Keempat : Isteri yang solehah

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash . Sesungguhnya Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah yang membantu kepentingan akhirat suaminya.” (Hadis Riwayat Ruzain)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya."

Wanita solehah sentiasa taat pada perintah suaminya yang tidak bertentangan dengan syarak. Lahir kepatuhan ini kerana mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.


Dari huraian di atas jelas bahawa kehidupan yang hasanah (baik) di dunia tidak hanya di ukur semata-mata dengan melimpahnya kebendaan dan perkara-perkara yang bersifat kesenangan dunia. Namun kehidupan yang hasanah bagi seorang muslim adalah bila dia mampu menjalankan kehidupan sesuai dengan nilai-nilai Islam sehingga amal solehnya lebih banyak berbanding amal-amal yang tidak baik.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)


~ Pendakwah Khalifah

1 comment:

  1. Bagaimana pula dengan kebaikan dalam menjaga diri sendiri, kebersihan diri, rumah, pejabat, kedai dll, kebaikan dalam pelajaran, kebaikan dalam pekerjaan, perniagaan, dalam hubungan antara kaum keluarga, sahabat handai, pekerja dan majikan, kebaikan dalam mengurus, mentadbir, dalam berpolitik, hubungan manusia dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar? Bukankah ITU semua memerlukan kebaikan dari kita sebagai manusia kerana Allah dan APA jua kebaikan yang kita amalkan dan buat akan mendapat pahala untuk dipertimbangkan di Akhirat kelak oleh Allah. Perkara INI says dapat kurang ditekankan dalam rancangan ugama dan Islam di media dan TV.

    ReplyDelete