Isma bidas Pas rasiskan agenda kedaulatan Melayu

PUTRAJAYA - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini membidas pimpinan Pas yang didakwa menyifatkan perjuangan kedaulatan Melayu sebagai perkauman sedangkan bekas Presiden Pas, Dr Burhanuddin Helmi sendiri pernah membawa agenda itu sewaktu kemerdekaan negara.

Presidennya, Abdullah Zaik menegaskan tanggapan serong terhadap kedaulatan Melayu itu menunjukkan Pas dan mana-mana parti politik negara sedang menghadapi krisis kepimpinan yang kronik dan menjadikan agenda asing sebagai asas pembangunan negara.

"Kita tidak miliki kepimpinan yang boleh diharapkan untuk membawa agenda sepatutnya iaitu 'baril aman' dataran yang selamat.

"Ada masalah pertikaian, masalah pemikiran, krisis agenda yang dibawa, ada juga membawa agenda asing dan lebih malang lagi menggunakan agenda ummah untuk kepentingan peribadi," katanya ketika berucap pada Simposium Mendepani Agenda Asing Melayu dalam Krisis Kepimpinan, di sini, hari ini.

Pada 17 November 2008, Bernama melaporkan, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan dalam Islam.

Sebaliknya bekas Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada ALLAH SWT.

"Dalam Islam, tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah SWT, tidak kiralh bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.

"Tuhan akan melihat ketakwaan seseorang itu...kerana bila kita bertakwa kita takut kepada ALLAH dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah mendakwa, krisis kepimpinan berlaku di semua peringkat susulan tidak menjadikan Islam sebagai asas kepada politik kenegaraan baik daripada pemilihan pemimpin mahupun kemampuan menerajui pentadbiran negara.

"Bila tidak wujud ciri-ciri tersebut di semua peringkat, timbul masalah dijajah, wujud perpecahan, pecah dan perintah kaum lain, kita berada satu fasa kritikal."

"Ke mana hala tuju bangsa negara kita jika tidak miliki Islam sepenuhnya untuk menyelamatkan umat Islam kelak," katanya lagi.

 http://www.sinarharian.com.my/politik/isma-bidas-pas-rasiskan-agenda-kedaulatan-melayu-1.206512