Monday, December 13, 2010

Fadhilat Shahih Puasa Muharam[ Puasa `Asyura]



Puasa pada bulan Muharam sangat besar fadhilatnya.Banyak hadith shahih yang menyatakannya.Abu Hurairah r.a meriwayatkan ,bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله المحرّم وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة اللّيل

"Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah bulan Allah yang diharamkan(Muharam)dan solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat malam."

[ HR Muslim no:202]


Puasa Hari `Asyura.

Puasa dalam bulan Muharam yang lebih utama lagi ialah puasa pada 10 Muharam,atau lebih dikenali hari `Asyura(bermaksud kesepuluh)banyak hadith shahih yang menerangkan kepada kita tentang kelebihannya.antaranya:

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a katanya:

ما رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتحرّى صيام يوم فضّله على غيره الا هذا اليوم عاشوراء, وهذا الشهر يعني شهر رمضان

Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini,iaitu hari `Asyura dan bulan ini,yakni bulan Ramadhan.

[HR Bukhari no:2006]

Ibnu Abbas meriwayatkan lagi katanya:

أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلم صام يوم عاشوراء أو أمربصيامه

Bahawasanya Rasulullah s.a.w berpuasa `Asyura atau beliau menyuruh orang supaya berpuasa `Asyura

[ Muttafaqun`alaihi]

Abu Qatadah meriwayatkan,katanya:

أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال يكفّر السنه الماضيه

Bahawasanya Rasulullah s.a.w.ditanya mengenai puasa `Asyura,beliau menjawab:Ia menghapuskan(dosa) setahun yang lalu.

[ HR Muslim no:197]

Namun begitu hukum berpuasa pada hari `Asyura tidaklah diwajibkan dan merupakan sunnah yang dituntut, hal ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Mu`awiyah b.Abu Sufian r.a ,beliau berkata:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول هذا يوم عاشوراء ولم يكتب عليكم صيامه وأنا صائم فمن شاء صام ومن شاء فليفطر

Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya hari ini adalah hari `Asyura,tetapi tidaklah diwajibkan kamu berpuasa,aku berpuasa,maka barangsiapa yang mahu,berpuasalah dan barangsiapa yang hendak berbuka,berbukalah.

[ HR Bukhari no: 2003]

Aisyah r.a berkata:

كان يوم عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهيليّه وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه فلمّا قدم المدينه صامه وأمر الناس بصيامه فلمّا فرض رمضان قال من شاء صامه ومن شاء تركه

"Hari `Asyura adalah satu hari di mana orang Quraisy berpuasa pada zaman jahiliyah dan Rasulullah s.a.w berpuasa padanya.Manakala beliau datang ke Madinah beliau berpuasa padanya dan menyuruh orang ramai berpuasa.Maka setelah puasa Ramadhan diwajibkan beliau berkata: Barangsiapa yang mahu berpuasa,berpuasalah,dan barangsiapa yang hendak meninggalkannya,tinggalkanlah."

[ HR Muslim no:113,1125 ]

Dari Abu Musa r.a,katanya:

كان يوم عاشوراء تعظمه اليهود وتتخذه عيدا,فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم صوموه أنتم

Hari `Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan dijadikannya Hari Raya,maka Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu berpuasa padanya.

[ HR Muslim no:129,1131 ]

Ibnu `Abbas meriwayatkan lagi katanya:

قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينه فرأى اليهود تصوم عاشوراء فقال ما هذا؟ قالوا يوم صالح نجّى الله فيه موسى وبني اسرائل من عدوّهم فصامه موسى فقال:أنا أحقّ بموسى منكم فصامه وأمر بصيامه

"Rasulullah s.a.w datang ke Madinah,maka beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari `Asyura.Beliau bersabda: Apakah ini? Mereka menjawab:Hari yang baik,di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil dari musuh mereka,maka Musa pun berpuasa.Rasulullah s.a.w bersabda: Akulah yang lebih berhak dengan Musa daripada kamu,maka beliaupun berpuasa `Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa."

[ HR Bukhari no:2004, Muslim no:127]

Hadith-hadith di atas menjelaskan kepada kita tentang peristiwa dan fadhilat yang berlaku pada hari `Asyura.



Puasa Hari Tasu`a

Puasa hari Tasu`a iaitulah puasa hari kesembilan dalam bulan Muharam,ia adalah sunnah yang disebut dalam hadith Nabi s.a.w antaranya:

لمّا صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا يا رسول الله انّه يوم تعظّمه اليهود والنّصارى فقال: فاءذا كان عام المقبل صمنا اليوم التّاسع.قال فلم يأت العام المقبل حتّى توفّي رسول الله صلى الله عليه وسلم

Manakala Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari `Asyura dan menyuruh orang supaya berpuasa,maka mereka berkata:

Ya Rasulullah! Hari `Asyura ialah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani.Beliau bersabda: Bila tahun hadapan Insya Allah kita berpuasa pada hari yang kesembilan.Belum pun tiba tahun hadapan Rasulullah s.a.w telah wafat.

[ HR Bukhari no:133,1134 ]

Dalam riwayat lain hadith ini disebutkan dengan lafaz:

حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا: يا رسول الله انّه يوم يعظّمه اليهود والنصارى, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لئن بقيت الى قابل لأصومن التاسع

Dikala Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari `Asyura dan menyuruh supaya orang ramai berpuasa `Asyura mereka berkata: Ya Rasulullah! Hari `Asyura ini ialah satu hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi,maka Rasulullah s.a.w bersabda: Jika aku masih hidup sampai tahun hadapan tentulah aku berpuasa pada hari yang kesembilan.

[ HR Muslim no:134,1134 ]

Berdasarkan hadith ini,sebahagian ulama menyatakan disunatkan berpuasa pada hari kesembilan(Tasu`a) Muharam kerana itulah yang hendak dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w.Sesuatu yang hendak dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w adalah menjadi syariat walaupun belum dikerjakannya.Maksud Rasulullah s.a.w untuk berpuasa pada hari kesembilan Muharam juga adalah untuk memastikan supaya tidak ketinggalan puasa `Asyura.Sepertimana hadith yang berikut:

ان عشت ان شاء الله الى قابل صمت التاسع مخافة أن يفوتني يوم عاشوراء

Jika aku masih hidup(insya Allah)sampai tahun depan nescaya aku akan berpuasa pada hari Tasu`a kerana takut aku terluput dari `Asyura.

[ HR At-Thabarani dalam Mu`jam al-Kabir, dishahihkan oleh Al-Imam Al-Albani dalam Silsilah As-Shahihah no:350]

Puasa Tasu`a juga sebagai pembeza antara puasa orang Islam dan puasa orang Yahudi yang mengagungkan hari tersebut dan ini juga supaya tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi seperti yang disebutkan dalam hadith-hadith di atas.

Adapun pendapat yang mengatakan disunatkan puasa pada tiga hari berturut-turut iaiti 9,10 dan 11 Muharam berdasarkan hadith Ibnu Abbas:

صوموا يوم عاشوراء وخالفوا فيه اليهود, صوموا قبله يوما وبعده يوما

Hendaklah kamu berpuasa pada hari A`syura dan hendaklah kamu menyalahi orang-orang Yahudi padanya,berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya.

Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi.


Akan tetapi hadith ini tidak boleh dibuat hujjah kerana ia adalah Dhai`f lagi munkar seperti yang dikatakan oleh Al-Imam As-Syaukani dalam Nailul Authar dan kata Al-Imam Albani ianya adalah hadith Dhai`f.

[ Nailul Authar:4/289 dan Dha`if Jami`us Shaghir: 3506/512]



Kesimpulannya:

1.Disunnahkan berpuasa pada hari `Asyura berdasarkan hadith-hadith yang telah disebut.

2.Disunnahkan juga berpuasa pada hari kesembilan(Tasu`a)Muharam berdasarkan hadith yang telah disebut dan sebagai mengelakkan tasyabbuh(menyerupai)amalan Yahudi.

3.Sesiapa yang berpuasa pada hari `Asyura akan dihapuskan dosanya(kecil) pada tahun lalu.

4.Tidak disyari`atkan berpuasa secara berturut-turut pada 9,10 dan 11 Muharam kerana ianya tidak thabit dari Nabi s.a.w.

5. Sesiapa yang tertinggal berpuasa pada hari Tasu`a( 9 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa 10 dan 11 Muharam untuk mengelakkan daripada Tasyabbuh(menyerupai) kaum Yahudi.

[ Rujuk Majmu` Fatawa Bin Baz, Ibn Uthaimin ]

Marilah kita menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dan moga Allah mengurniakan kepada kita ganjaran di atas amalan kita yang shahih lagi ikhlas keran Allah s.w.t

Wallahu`alam,

by Muhammad Fashan Ahmad Ziadi

No comments:

Post a Comment