Saturday, December 25, 2010

Wahabi: Meluruskan Salah Faham.






Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah faham yang disandarkan kepadanya.

Berikut dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi meluruskannya.


Salah Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.

Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.

Pertama, kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab (Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77] Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.

Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:

“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.

Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]

Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam

Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab dari dua sudut:

Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:

Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]

Kedua, sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.

Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan.

Shalih Abud mengulas:

Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab)."

Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]


Abdullah al-Utsaimin menambah: “Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]


Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota Mekah dan Madinah.


Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin. Fikir-fikirkanlah!


Salah Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.

Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.

Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.

Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya.

Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan gerakan beliau.

Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau.

Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.


Salah Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.

Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Ini jelas adalah satu salah faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.


Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H):

“Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). I

Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk).

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.


Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim:

Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk).

Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan.

Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.]


Salah Faham Keempat: Wahabi dan Mazhab.

Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.

Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan hujah.

Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H): “Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.


Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajara Nabi-lah lebih berhak ditunaikan dan ditaati.

Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya [dalam ijtihadnya] bahkan secara peribadi imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms. 54-55]


Salah Faham Kelima: Wahabi dan Kekerasan.

Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.

Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan.

Demikian juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.

Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.

1 comment: