Tuesday, December 14, 2010

Anwar Dan Pluralisme Agama..

Anwar sering bawa mesej fahaman pluralisme agama


Pengasas Muafakat, Ismail Mina Ahmad (tengah) mempengerusikan perbincangan bertajuk 'Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah' bersama pembentang kertas kerja, Dr. Syamsuddin Arif (kiri) dan Dr. Muhammad 'Uthman El-Muhammady pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah Kedua Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad (gambar) berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.


Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.


''IKD amat sinonim dengan Anwar dan institut ini amat rapat dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Hasil hubungan mereka juga tertubuhnya Pusat Graduan Timur (Eastern Graduate Centre) di bawah IKD.


''Pusat ini diterajui oleh seorang graduan lulusan Timur Tengah dan untuk pengetahuan semua melalui pusat tersebut telah diterbitkan beberapa buku yang didapati menyokong fahaman pluralisme," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal' dalam wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.


Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.


''Inilah yang berlaku hasil daripada hubungan antara IKD dan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Mereka juga dilihat begitu menyanjung Ulil Absar Abdullah.


''Bagi saya penerbitan buku-buku ini amat berbahaya kepada umat Islam di negara ini kerana isu berkaitan dengan fahaman pluralisme agama amat berkaitan dengan soal akidah,"katanya.


Dalam pada itu ketika ditanya oleh seorang peserta mengenai seriusnya penglibatan Anwar di dalam fahaman itu beliau berkata, berdasarkan fakta-fakta tersebut kecenderungan Anwar terhadap fahaman berkenaan nampak jelas.


''Anwar juga jika kita lihat ketika memberi komen dalam isu-isu tertentu seperti penggunaan nama Allah di kalangan orang bukan Islam begitu konsisten membenarkan mereka berbuat demikian," katanya.


Dalam isu yang sama beliau turut meminta barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri supaya mengelakkan diri daripada meraikan perayaan agama lain seperti Thaipusam.


''Dalam perkara ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak terkecuali menerima kritikan apabila menyertai satu majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan," katanya lagi.


Sementara itu, beliau turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman pluralisme agama serta amalan yang berkaitan dengannya.


''Saya juga ingin mengesyorkan individu dan kumpulan yang menyebarkan fahaman ini diberi nasihat serta teguran dan jika mereka ingkar tindakan undang-undang perlu dikenakan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment