Friday, December 17, 2010

Ilmu Rijal Hadis: Satu Pengenalan




Kedatangan Islam dengan al-Quran dan al-Hadis telah membuka lembaran baru dalam sejarah ketamadunan manusia dan perkembangan ilmu.


Ilmu-ilmu seperti Usul al-Fiqh, Usul Tafsir dan Balaghah yang dihasilkan oleh Islam tidak pernah diketahui sebelum ini.


Kemunculan ilmu-ilmui ini tidak lain dan tidak bukan untuk menghuraikan dan menjelaskan maksud al-Quran dan al-Hadis. Antara ilmu yang muncul ialah ilmu Rijal Hadis iaitu ilmu yang berkait dengan perawi-perawi yang meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah.

Ilmu Rijal Hadis adalah ilmu yang sangat luas. Mengetahuinya adalah mengetahui satu bahagian yang besar dalam ilmu-ilmu Islam.


Imam Ali bin al-Madini berkata:


"Kefahaman yang mendalam tentang makna-makna hadis adalah separuh ilmu dan mengenali para perawi adalah separuh ilmu. (Abu Ghuddah, Lamahat, hal. 80)


Kata-kata Ibn al-Madini jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu rijal yang sebaris dengan ilmu memahami kandungan hadis. Oleh kerana itu, ulama menulis sejumlah kitab yang tidak terhitung banyaknya tentang keadaan para perawi hadis.


Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua.

Pertama, ilmu sejarah perawi dan ; kedua, ilmu Jarh wa Ta`dil.



Dalam tulisan ini, penulis akan membincangkan pecahan pertama sahaja yang skopnya itu sangat luas.




Ilmu Tarikh al-Ruwat atau sejarah para perawi



Dr. `Ajjaj al-Khatib menyebutkan takrif ilmu ini.


Kata beliau, ilmu Tarikh al-Ruwat ialah ilmu yang memperkenalkan perawi dari sudut yang berkait dengan periwayatan hadis oleh mereka.



Ilmu ini merangkumi biografi dan penjelasan keadaan perawi, tarikh lahir dan wafat, negeri mereka, tarikh mula mendengar hadis, pengembaraan, tarikh ketibaan di sesebuah negeri, guru-guru, perawi lain yang menerima hadis daripadanya dan mendengar hadis dari syaikh yang nyanyuk sebelum atau selepas berlaku nyanyuk. (Usul al-Hadith, hal. 253).



Ilmu ini sama berkembang dengan ilmu hadis. Dari satu sudut, ilmu ini kelihatan sebahagian dari ilmu sejarah. Cuma ia lebih tertumpu kepada keadaan para perawi.




Pengenalan Para Perawi


Secara asasnya, seseorang perawi dikenali dengan nama asal tetapi ada kalanya lebih dikenali dengan "kuniyah" atau nisbahnya.


Apabila seorang perawi itu dikenali dengan abu fulan (bapa si fulan) atau ummu fulan (ibu si fulan) maka itu dikatakan "kuniyah". "Kuniyah" merupakan panggilan yang cukup utuh dalam sistem panggilan masyarakat Arab yang menggambarkan kedudukan seseorang dalam masyarakat.



Begitu juga apabila perawi itu dikaitkan dengan sesuatu bangsa, tempat dan keturunan maka itu dipanggil sebagai nisbah.


Di samping itu, ada juga perawi yang diberikan "laqab" atau gelaran yang melambangkan kedudukannya dalam dunia ilmu seperti al-Imam, al-Hafiz, Syaikh al-Islam dan lain-lain.



Ulama yang menyusun biografi perawi akan memperkenalkan perawi itu dengan namanya, "kuniyah"nya, gelarannya kemudian nisbah kepada negeri.


Jika "kuniyah"nya atau gelarannnya lebih terkenal maka itulah yang didahulukan. Pengenalan seseorang perawi akan lebih jelas lagi dengan dinyatakan bapanya, datuknya dan juga moyangnya.



Faedahnya ialah apabila terdapat dua orang atau lebih yang mempunyai kesamaan pada nama perawi dan bapanya. Perbezaan akan dikesan dengan melihat kepada nama datuk. Adakalanya perbezaan kepada nama perawi yang sama dengan melihat kepada nisbah negeri.


Sebagai contoh terdapat enam orang yang bernama al-Khalil bin Ahmad. Dalam satu masa ada empat orang yang bernama Ahmad bin Ja`afar bin Hamdan. Dalam pengajian hadis mereka ini dipanggil al-muttafiq wa al-muftariq iaitu sama pada nama tetapi berbeza individu. (Taisir Mustalah al-Hadith, hal. 206)


Satu kisah yang cukup menarik untuk disebutkan di sini yang diceritakan oleh Abu al-Farj al-Mu`afi bin Zakaria al-Nahrawani.


Kata beliau: "Pada satu tahun saya menunaikan haji dan ketika di Mina saya terdengar seorang yang memanggil, wahai Abu al-Farj. Sayapun berkata, mungkin dia mencari saya. Kemudian saya terfikir, ramai lagi orang yang di"kuniyah"kan dengan Abu al-Farj maka saya tidak menyahut. Kemudian saya mendengar orang itu memanggil Abu al-Farj al-Mu`afi. Lalu saya ingin benar untuk menyahut kemudian saya terfikir ada ramai lagi yang dipanggil Abu al-Farj al-Mu`afi maka saya tidak menjawab. Kemudian dipanggil lagi Abu al-Farj al-Mu`afi bin Ja`afar lalu saya tidak menjawab. Kemudian dipanggil lagi Abu al-Farj al-Mu`afi bin Ja`afar al-Nahrawani. Maka sayapun berkata tidak syak lagi tentu dia memanggil saya kerana dia telah menyebut "kuniyah" saya, nama saya, nama ayah saya dan negeri saya. Lalu saya berkata kepadanya, sayalah orang itu, apa yang anda perlukan? Lalu dia bertanya agaknya anda datang dari Nahrawan Timur. Maka saya menjawab, ya. Maka dia berkata, kami mahukan Abu al-Farj al-Mu`afi dari Nahrawan Barat. Lalu saya merasa amat kagum dengan kesamaan itu. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 155)




Tahun Kelahiran Dan Kewafatan


Tujuan menyatakan tarikh ialah untuk menentukan tabaqah (lapisan) atau generasi yang perawi itu berada bagi memastikan berlaku bersambung-sambung dalam sanad atau tidak.



Ini kerana bersambung-sambung itu syarat bagi kesahihan hadis sementara terputus pula sebab kepada kecaman pada hadis.


Selain itu, pendustaan sesetengah perawi dapat dikesan dengan menghitung tahun kewafatan perawi yang didakwa sebagai punca hadis dan tahun perawi yang mendakwa.



Diriwayatkan daripada Ismail bin Iyash al-Himsi katanya, satu kali saya berada di Iraq lalu seorang ahli hadis datang kepada saya. Mereka berkata, di sini ada seorang lelaki yang meriwayatkan hadis daripada Khalid bin Ma`dan. Lalu saya bertanya pada tahun berapa anda mencatatkan hadis daripada Khalid. Dia menjawab, pada tahun 113 H. lalu saya berkata, sesungguhnya anda mendakwa bahawa anda telah mendengar daripada Khalid tujuh tahun setelah beliau meninggal dunia. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 157).



Perhatian ulama terhadap tahun kelahiran dan kewafatan ini sangat jelas sehingga kitab-kitab mereka tentang perawi dinamakan dengan al-Tawarikh sebagaimana yang dapat dilihat pada al-Tarikh al-Kabir karangan Imam al-Bukhari, Tarikh Ibn Abi Khaitham dan juga Tarikh Ibn Ma`in.


Ada juga ulama yang menyusun nama-nama perawi mengikut tahun kewafatan dan metode ini dikenali dengan al-Wafayat.


Contohnya, Kitab al-Tarikh oleh Abi Bisyr Harun bin Hatim al-Tamimi, al-Tarikh karangan Abu Musa Muhammad bin al-Muthanna al-`Anazi.




Nama Guru Dan Murid

Adalah menjadi kebiasaan ulama yang menyusun kitab-kitab rijal untuk menyenaraikan guru-guru atau murid-murid bagi perawi atau hanya meyebut mereka yang terkenal sahaja.


Di samping itu, disebutkan juga siapakah yang mengambil riwayat secara terus dan juga yang melalui perantaraan.


Semua ini dapat membantu pengkaji rijal hadis untuk mengetahui ada pertemuan antara seorang syaikh dengan perawi itu.


Pengarang kitab-kitab rijal akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyebutkan guru dan murid.


Umpamanya di bawah biografi Imam Ahmad, al-Mizzi menyenaraikan lebih kurang seratus tiga puluh orang guru Imam Ahmad dan lebih kurang lapan puluh orang murid. (Tahzib al-Kamal, jil. 1, hal. 437)




Pengembaraan Ilmiyyah


Pengembaraan atau rihlah memainkan peranan yang penting dalam sejarah ilmu hadis sama ada dari segi pengumpulan hadis atau mengenalpasti kedudukan para perawi.


Sejarah mencatatkan bahawa Jabir bin Abdullah membeli seekor tunggangan dan mengembara dari Madinah ke Mesir untuk mendapatkan kepastian daripada `Uqbah bin `Amir adakah beliau mendengar sebuah hadis tentang melindungi orang mukmin.. Selepas itu beliau terus pulang tanpa menghiraukan apa-apa urusan. (Abu Lubabah, al-Jarh wa al-Ta`dil, hal. 24)


Apabila berlaku gejala pemalsuan hadis, para ulama mengembara ke setiap ceruk negeri untuk mengkaji punca-punca hadis-hadis maudhu` lalu mereka dapat mengetahui siapakah yang terlibat dalam jenayah ini.


Daripada al-Mua’ammal bin Ismail katanya seorang syaikh telah menceritakan saya beberapa hadis tentang kelebihan surah-surah.


Lalu saya berkata kepada syaikh itu:


"Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang lelaki di Madain telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup."


Lalu saya pergi menemuinya dan bertanya: "Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang syaikh di Wasit telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Basrah telah menceritakan kepada saya." Kemudian saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Abbadan telah menceritakan kepada saya." Lalu saya pergi menemuinya dan dia menarik tangan saya dan membawa masuk ke sebuah rumah.


Tiba-tiba saya dapati di dalamnya sekumpulan pengikut tasawuf bersama seorang syaikh. Lelaki berkata kepada saya: "Syaikh inilah yang telah menceritakan kepada saya. Lalu saya berkata: "Wahai syaikh ! Siapakah yang telah menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Tidak ada sesiapapun yang menceritakan kepada saya tetapi saya melihat orang ramai tidak memberi perhatian kepada al-Quran maka saya menciptakan hadis ini untuk mereka supaya hati-hati mereka kembali berpaling kepada al-Quran. (al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, hal. 222)


Faedah daripada mencatatkan tempat-tempat dan tahun pengembaraan ialah untuk menentukan bersambung-sambungnya sanad perawi itu dengan ulama hadis di negeri itu.


Contohnya sekiranya perawi itu tidak pernah sampai di Mesir dan tidak didapati bahawa ada ulama Mesir yang bertemu dengannya, lalu perawi itu meriwayatkan satu hadis dari ulama Mesir maka para ulama hadis akan berhati-hati dengannya.


Ini kerana sudah ada syubhat dalam riwayat ini dan memberi gambaran bahawa sanad hadis itu tidak bersambung-sambung di samping mengambil kira penilaian yang lain seperti perawi itu dituduh berdusta, tidak tepat atau lalai. (Dirasat Fi Manhaj al-Naqd, hal. 162)


Bold

Perhatian Terhadap Sanad Sebagai Tuntutan Menjaga Hadis

Hadis sebagai huraian kepada makna al-Quran. Seseorang mujtahid atau ulama tidak akan dapat memahami makna al-Quran sehinggalah beliau dapat menguasai hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Oleh itu, hadis dikatakan sebagai praktik atau jelmaan kepada ajaran al-Quran.



Oleh kerana hadis itu hanya sabit dengan adanya sanad yang dipercayai dan sanad itu merupakan rantaian para perawi, maka menjadi tugas umat ini untuk memeriksa dan mengenali para perawi.


Adalah wajib kepada kita dalam menjaga sunnah untuk mengenali siapakah yang membawa hadis-hadis Rasulullah.


Ini kerana periwayatan hadis itu ada kalanya dilakukan orang yang wajib kita menerima beritanya dan orang wajib kita menolak.


Ini bererti terdapat kelas-kelas yang tertentu bagi para perawi yang menukilkan hadis.


Memeriksa kedudukan para perawi sangat penting dalam menentukan kesahihan riwayat hadis. Lebih-lebih lagi dalam berinteraksi dengan berita-berita sejarah kerana kelonggaran dalam menukilkan peristiwa-peristiwa lebih ketara lagi.


Ilmu Rijal Hadis ini sangat penting dalam berhadapan dengan pereka-pereka hadis.


Kata Sufyan al-Thauri: "Apabila para perawi menggunakan dusta dalam periwayatan maka kami gunakan sejarah untuk melawan mereka." (al-Khatib, al-Kifayah, hal. 119)


Di sisi ulama hadis, sanad adalah jalan yang menyampaikan kepada matan bagi hadis.


Sanad merupakan ciri khusus umat Islam. Sebelum kedatangan Islam, sejarah tidak mengenali konsep sanad dalam menukilkan berita-berita malah kebenaran kitab-kitab suci agama sebelum Islam tidak dapat dibuktikan kerana sejarah kewujudannya tidak jelas. Apatah lagi dengan kitab-kitab sejarah.



Kita boleh lihat kepada Injil dengan keempat-empat buah iaitu Matta, Markes, Yuhanna dan Loka. Keempat orang pengarang ini tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa a.s.


Sejarah tidak dapat memberikan jawapan siapakah yang meriwayatkan injil-injil ini daripada Nabi Isa a.s. Tambahan pula, tidak diketahui bahasa asalnya. Bagaimana mungkin diyakini kebenarannya. (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, hal. 30)


Berbeza dengan keadaan Islam, setiap sumbernya itu mempunyai sanad yang jelas. Setiap hadis yang didakwa berasal daripada Rasulullah s.a.w. mempunyai sanad walaupun ianya hadis daif. Ulama Islam mengkaji hadis–hadis Rasulullah s.a.w. dari sudut matan dan sanadnya sekali. Bahkan mereka menetapkan bahawa sanad itu adalah juzuk yang penting bagi hadis. Tanpa sanad sesuatu tidak akan diterima.

Dalam hal ini, Abdullah bin Mubarak mengucapkan kata-katanya yang sangat masyhur iaitu:

الإسناد من الدين. ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء.

"Sanad itu sebahagian daripada agama. Tanpanya siapa sahaja akan mengatakan apa yang dia mahu kata." (Sahih Muslim, hal. 9)

Dengan kedatangan Islam, tradisi sanad bukan sahaja digunakan dalam kitab-kitab hadis malah meliputi kitab sejarah, bahasa dan sastera.




Cara Menguji Para Perawi


Para imam ilmu rijal akan memeriksa keadaan perawi dari segi sejauh mana dia menjaga perintah-perintah Allah dan menjauhi kemungkaran.


Untuk itu, ulama akan bertanya kepada orang yang lebih arif tentang perawi tersebut. Al-Hasan bin Saleh berkata: "Apabila kami mahu menulis tentang seorang perawi, kami akan bertanya tentangnya sehingga dikatakan orang: "Adakah anda mahu mengahwinkannya?"

Sekiranya seorang imam diceritakan hadis dari seseorang syaikh yang masih hidup, maka imam tersebutkan akan menemui syaikh tersebut untuk mendapatkan kepastian adakah benar begitu atau tidak.


Syu`bah berkata: "al-Hasan bin `Amarah berkata bahawa al-Hakam telah menceritakan kepada saya daripada Yahya bin al-Jazzar daripada Ali sebanyak tujuh buah hadis. Lalu saya menemui al-Hakam dan bertanya kepadanya. Al-Hakam menjawab saya tidak pernah mendengar apa-apa daripada Yahya." Ini menunjukkan bahawa hadis-hadis itu telah sandarkan kepada al-Hakam sedangkan beliau tidak pernah meriwayatkannya.(al-Mua`llimi, `Ilm al-Rijal wa Ahamiyyatuh, hal. 5)

Jika imam itu mendengar hadis yang diriwayatkan daripada syaikh yang telah meninggal dunia maka beliau akan bertanya kepada perawi, bila syaikh itu meninggal dunia? Bilakah anda bertemu dengannya dan di mana?


Kemudian imam itu akan membandingkan jawapan-jawapan tersebut dengan maklumat yang ada pada beliau tentang syaikh tersebut.


Contohnya tentang cerita yang dinukilkan daripada `Ufair bin Mi`dan bahawa Umar bin Musa bin Wajih menceritakan daripada Khalid bin Ma`dan.


Kata `Ufair: "Lalu saya bertanya kepadanya, pada tahun berapakah anda bertemu dengannya? Lalu dia menjawab, pada tahun 158 H di peperangan Armenia.


Lalu saya berkata kepadanya: "Takutlah kepada Allah wahai syaikh, jangan berdusta, Khalid meninggal dunia pada tahun 154. saya ingin beritahu kepada kamu lagi, dia tidak pernah berperang di Armenia. (Ibid)

(bersambung ....)


oleh : Ustaz Muhammad Hanief Awang Yahaya


http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=36



No comments:

Post a Comment