11 Disember 2010, rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari Hutan Gunung Berlumut. Destinasi seterusnya ialah Hutan Simpan Tenee di Tanjung Leman Johor.
Semua kenderaan telah berkumpul di satu kawasan lapang di tengah hutan ini jam 9.00 pagi. Berbagai negara dan bangsa ada di sini.
Kenderaan pula berbagai jenis dan bentuk. Setelah semua berkumpul, kami mula bergerak.
Saya dan rombongan dari TV9 masih lagi menaiki kenderaan En Othman, Presiden Kelab Sukan Dan Rekreasi 4x4 Lipan Bara. Di dalam kembara kali ini, Kelab Lipan Bara membawa rombongan Media.
Jalan yang kami lalui terlalu licin, badan kami dihayun ke kanan dan kiri ketika pemandu cuba menstabilkan kenderaan 4x4 ini, jika silap gaya, kenderaan boleh terbalik. Sebuah pacuan empat roda jenis Prado menggelongsor ke hadapan ketika cuba menekan brek ketika menuruni cerun bukit.
Saya yang duduk di belakang turut juga memberek dengan kaki di kala kenderaan kami menggelongsor dan hampir melanggar kenderaan di hadapan.
80 buah kenderaan 4x4 berusaha keluar ke jalan biasa, meredah hutan belantara yang tebal, sekali sekala muka kami disebat dengan ranting-ranting hijau yang menceroboh masuk melalui tingkap kenderaan.
Lopak dan lumpur memerangkap tayar, sekali sekala, tayar menggesot dan lumpur naik hingga ke dalam kenderaan, cepat-cepat kami menaikkan tingkap kenderaan ini, tetapi tayar jenis “lipan” ini memang dibuat untuk mengatasi bentuk muka bumi sebegini.
Sampai jalan besar, kami semua telah ditunggu oleh belasan motor besar Honda dari pasukan polis, dengan seren yang dibunyikan, polis mengiringi kami hingga ke jalan masuk hutan Simpan Tenee.
Semua kereta yang kami lintas berhenti di tepi, ada yang melihat kami dengan penuh teruja, ada yang melambai tangan, dan ada juga yang berhenti dengan muka bengang, tapi sebenarnya, pihak trafik mengiringi kami dengan alasan.
Rombongan pacuan empat roda ini agak bahaya di jalan raya, tayar yang digunakan adalah khas untuk melalui tanah berlopak, ia tidak sesuai dan akan menjadi licin serta mudah menggelongsor jika di jalan tar.
Melihat polis mengiringi kami, saya berseloroh:-
“Mmm, macam ni agaknya rasa jadi menteri”
Kami melalui Pekan Kahang, sampai di sana, helikopter polis pula bersama mengiringi perjalanan.
“Hai… dengan seren polis di sana sini, ada helikopter pulak, dah rasa macam rombongan teroris pulak” kata salah seorang dari kami di dalam kenderaan pacuan empat roda ini.
“Ha.. jangan jadi teroris cinta sudah le..” kata seorang lagi, semua gelak kecuali saya, sebab saya tak faham apa maksud dia orang ni.
Pada saya teroris cinta adalah orang yang tidak membawa cintanya kepada Allah.
Di tepi jalan, ramai yang melambai-lambai rombongan ini.
Kami melambai balik setiap lambaian yang diberikan oleh orang yang melihat kami. Di satu simpang, ada seorang memekik pada kami..
“Bang nak pergi Gaza ke…”
“Ha..ha…” semua kami tergelak. Kali ini rasa macam pejuang pembebasan pulak….
Tapi raptai kenderaan ini memang seperti raptai tentera, dengan deruman bunyi enjin yang kuat dan beberapa kenderaan tentera bersama, memang seakan rombongan tentera.
Sampai di satu kawasan di Jemaluang, kenderaan peserta telah masuk ke dalam laluan hutan berpaya. Bagi kami rombongan Media, kami mengikuti jalan lain dan akan bertemu kembali di satu kawasan di tepi pantai di tanjung leman.
Saya melihat jam, sudah jam 3.00 petang.
“Ok ustaz, orang Media akan melalui jalan lain, sebab peserta akan melalui hutan berpaya, rombongan paling awal akan keluar ke penghujung lebih kurang jam 2.00 pagi nanti, paling lambat, petang esok pun belum tentu keluar lagi” kata En Othman.
“Ya Allah, lamanya, teruk sangat ke paya yang mereka kena redah tu?” tanya saya.
“Taklah teruk, cuma paras pinggang dan ada kalanya paras dada kita” terang En. Othman lagi.
“Haaa… ye ke.?” saya terkejut.
Tapi sebenarnya setiap sesuatu itu ada kaedahnya. Jika kena dengan kaedahnya, maka ia akan dapat disempurnakan dengan baik.
Seperti meredah hutan berpaya begini, kena ada kaedahnya. Jika tidak ada kaedah maka kita tidak akan sampai.
Sifir ini sebenarnya sama sahaja di dalam apa-apa perkara di dalam hidup.
Di dalam mengamalkan agama, semua ada kaedahnya, salah cara dan kaedahnya, maka sesuatu amalan itu tidak dapat di sempurnakan dengan baik.
Solat ada kaedahnya, puasa ada kaedahnya, haji ada kaedahnya dan untuk selamat di akhirat juga ada kaedahnya, salah kaedah kita akan gagal.
Oleh itu, untuk selamat di dalam apa sahaja yang kita buat, sama ada di dunia atau di akhirat, maka kena ikuti kaedah dan cara yang betul. Semoga setiap apa yang kita buat memperolehi matlamat yang dicitakan.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
http://www.ustazamin.com/2010/12/universiti-kehidupan-179-setiap-sesuatu.html
No comments:
Post a Comment