Saturday, April 30, 2011

Azam Sebagai Amalan Hati














Baru-baru ini penulis ada melihat rancangan tanyalah Ustaz tv9 berkenaan ‘azam’ yang sebenarnya adalah pecahan atau cabang dari niat dan lintasan hati. Penulis ingin sekali berkongsi tentang lintasan hati yang sebenarnya agak penting untuk kita ketahui demi menjaga iman dan amal kita.


Apabila berbicara tentang niat atau lintasan hati maka sebagai ummat Islam maka sudah tentu kita tahu peri pentingnya niat dan lintasan hati ini dalam ibadat kita, kerana ia adalah rukun kepada kebanyakan ibadat kita seperti sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain lagi.


Sabda Nabi s.a.w. dalam sebuah hadits:


حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُاللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الأَنْصَارِيُّ قَالَ أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ ابْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رضي الله عَنْهم عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ {سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ }


Al-Humaidi Abdullah bin az-Zubair telah menceritakan kepada kami, katanya: “Sufyan telah menceritakan kepada kami, katanya: “Yahya bin Said al-Anshari telah menceritakan kepada kami, katanya: “Muhammad bin Ibrahim al-Taimi telah memberitahu kepada saya bahawa dia telah mendengar `Alqamah bin Waqqash al-Laitsi berkata: “Saya telah mendengar Umar bin al-Khatthab berkata di atas mimbar: “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya. Oleh itu sesiapa yang hijrahnya adalah untuk mendapat dunia atau untuk berkahwin dengan seseorang wanita maka hijrahnya dikira untuk tujuannya.

[Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim]


Hadits ini adalah antara hadits yang paling masyhur berkaitan dengan niat.


Bahkan ada diriwayatkan daripada Imam as-Syafi`e bahawa beliau berkata:

“Termasuk dalam hadits ini 70 bab feqah.”


Sekumpulan ulama` pula mengatakan : hadits ini adalah sepertiga agama


Persoalannya: lintasan hati yang bagaimanakah yang dikira oleh Allah s.w.t?

Untuk menjawab persoalan ini, ulama` membahagikan darjat lintasan hati manusia kepada 5 bahagian:


1) Hajiz (حاجز ) - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kemudian berlalu pergi ya`ni hanya timbul dan tidak melekat di dalam hati


2) Khatir (خاطر ) - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal agak lama di dalam hati tetapi tidak timbul sama ada mahu melakukannya tau tidak


3) Hadisun-Nafs (حديث النفس ) - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama tetapi tidak boleh menentukan sama ada lebih berat kepada mahu melakukan atau sebaliknya


4) Ham (هم ) – Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama dalam hati, lebih berat untuk melakukannya tetapi tidak melakukannya. Tahap ini dan 3 tahap sebelum ini tidak dikira oleh Allah kerana tidak termasuk dalam daya dan upaya manusia menolaknya


5) `Azam (عزم ) – Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama dan membuat keputusan untuk melakukan dan kuat pula dorongannya dan inilah lintasan hati yang dikira oleh Allah s.w.t kerana pada tahap ini manusia sudah mampu berfikir dan mampu untuk menerima atau menolaknya.

`Azam terbahagi kepada 2:


i. Azam yang berkaitan dengan anggota badan, juga terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu:

a) Yang berkait dengan qauli (ucapan)- Apabila dia berazam dan kemudian dia ucapkan.

b) Yang berkait dengan `amali (perbuatan)- Apabila dia berazam dan melakukan dengan anggota tubuhnya.


ii. Azam yang berkaitan dengan hati, ianya juga terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu:

a) Yang membawa kepada kekufuran seperti azam untuk menafikan keEsaan Allah atau menafikan Allah sebagai Tuhan maka orang yang berazam ini jadi kafir walaupun tidak mengucapkannya. Begitu juga dengan orang yang menafikan hukum-hukum Allah yg sudah seperti menafikan kewajipan sembahyang lima waktu , menafikan adanya solat sunnat rawatib dan sebagainya

b) Yang tidak membawa kepada kekufuran tetapi tetap berdosa seperti dengki dan buruk sangka kepada orang, kagum dengan diri sendiri maka berdosa


Sufyan as-Tsauri, Ibnu al-Mubarak berpendapat bahawa azam juga dikira sebagai satu kejahatan dan inilah pendapat kebanyakan ulama`, dalilnya:


وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ


Tetapi Allah mengira kamu tentang apa yang dilakukan oleh hati kamu [ Al-Baqarah : 225 ]


Imam as-Syafi`i pula berpendapat bahawa azam tidak dikira selagi mana tidak melakukannya berdasarkan zahir hadits ini.


[٣٢٩] ١٩٩ (١٢٥)- حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ مِنْهَالٍ الضَّرِيرُ وَأُمَيَّةُ بْنُ بِسْطَامَ الْعَيْشِيُّ وَاللَّفْظُ لِأُمَيَّةَ قَالَا حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا رَوْحٌ وَهُوَ ابْنُ الْقَاسِمِ عَنْ الْعَلَاءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { لِلَّهِ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ }قَالَ فَاشْتَدَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ بَرَكُوا عَلَى الرُّكَبِ فَقَالُوا أَيْ رَسُولَ اللَّهِ كُلِّفْنَا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا نُطِيقُ الصَّلَاةَ وَالصِّيَامَ وَالْجِهَادَ وَالصَّدَقَةَ وَقَدْ أُنْزِلَتْ عَلَيْكَ هَذِهِ الْآيَةُ وَلَا نُطِيقُهَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتُرِيدُونَ أَنْ تَقُولُوا كَمَا قَالَ أَهْلُ الْكِتَابَيْنِ مِنْ قَبْلِكُمْ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا بَلْ قُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ قَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ فَلَمَّا اقْتَرَأَهَا الْقَوْمُ ذَلَّتْ بِهَا أَلْسِنَتُهُمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي إِثْرِهَا { آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ }فَلَمَّا فَعَلُوا ذَلِكَ نَسَخَهَا اللَّهُ تَعَالَى فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا }قَالَ نَعَمْ { رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا }قَالَ نَعَمْ { رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ }قَالَ نَعَمْ { وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ }قَالَ نَعَمْ

Muhammad bin Minhal al-Dorir dan Umayyah bin Bistom al-`Aisyi dan lafaz hadits adalah dari Umayyah, mereka berdua berkata: Yazid bin Zurai` telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Rauh iaitu Ibnu al-Qasim telah meriwayatkan kepada kami daripada ayahnya daripada ayahnya daripada Abu Hurairah, katanya:

“Apabila turunnya kepada Rasulullah s.a.w. ayat { لِلَّهِ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ } {(yang bermaksud:) Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghisab kamu kerananya. Kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu }

Kata perawi:

Maka terasa beratlah ayat itu kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., mereka pun datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu mereka melutut dan berkata: “Wahai Rasulullah! Kita telah dibebankan dengan amalan yang kami mampu iaitu sembahyang, puasa, jihad dan sedekah. Sekarang diturunkan ayat ini kepada engkau dan kami tidak mampu melakukannya.”

Rasulullah s.a.w. berkata:

“Adakah kamu akan berkata sebagaimana yang telah dikatakan oleh ahli dua kitab terdahulu sebelum kamu;
“Kami dengar dan kami derhaka”
bahkan kamu hendaklah berkata:
Kami dengar dan kami patuh. Kami memohon keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jua tempat kami kembali.”

Mereka pun berkata: “Kami dengar dan kami patuh. Kami memohon keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jua tempat kami kembali.”

Apabila mereka mengucapkannya dengan perasaan yang berat maka tunduklah lidah mereka dengan hati mereka.


Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini selepasnya:

{ آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ }

(yang bermaksud: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya.)

(Mereka berkata: "Kami tidak membezakan antara seorang rasulnya dengan rasul-rasulnya yang lain".
(mereka berkata lagi : Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali" )

Apabila mereka melakukan demikian maka Allah s.w.t memansukhkan ayat tadi dan Allah Azza Wa Jalla menurunkan ayat :

{ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا }

(yang bermaksud: Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. )

Allah menjawab: “Ya.”

{ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا } (yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. )

Allah menjawab: “Ya.”

{ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ } (yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. )

Allah menjawab: “Ya.”

{ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ } (yang bermaksud: dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami dalam menghadapi kaum-kaum kafir". )

Allah menjawab: “Ya.”


[ Hadits ini diriwatakan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya dalam Bab Allah Memaafkan Lintasan Hati Sekiranya Ia Tidak Tetap Dan Bab Menyatakan Bahawa Allah s.w.t Tidak Membebankan Hamba Kecuali Apa yang Mampu Dikerjakannya Dan Bab Menyatakan Hukum Keinginan Melakukan Kebajikan Atau Kejahatan ]


Berdasarkan hadits ini sebahagian ulama` berpendapat:

Ayat { لِلَّهِ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ } adalah ayat umum yang ditakshiskan oleh ayat kemudian.

Ini bermakna turunnya ayat:

{ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا } menjelaskan ayat umum sebelum ini bahawa apa yang Allah s.w.t hisab / kira bukannya semua jenis lintasan hati tapi hanyalah apa yang mampu ditolak oleh hati seseorang tetapi sekiranya tidak ditolaknya walaupun dia mampu, maka inilah yang dihisab dan dikira oleh Allah s.w.t



Kesimpulan

Tidak ada masalah jika niat atau lintasan dalam hati kita itu berkaitan dengan kebaikan atau kebajikan. Maka beberapa hadits shahih menyatakan Allah tetap mengiranya sebagai kebajikan walaupun kita tidak dapat melakukan kebaikan tersebut tetapi sebaliknya Allah tidak mengira kejahatan seseorang selagi mana dia belum melakukannya.


Walau bagaimanapun seseorang muslim harus berhati-hati dengan lintasan hatinya yang bernama azam ya`ni lintasan yang timbul yang kekal lama dalam hati.


Kepercayaan, keimanan kita berkait rapat dengan hati dan sekiranya kita menafikan (wal`iyazubillah) tidak ada orang yang tahu tetapi ingatlah Allah itu Maha Mengetahui maka kesannya segala ibadat kita terhapus dan ibadat-ibadat yang dilakukan tidak dikira oleh Allah s.w.t kerana syarat sesuatu amalan dikira sebagai amal kebajikan diakhirat adalah dengan iman. Oleh itu peliharalah iman anda dengan sentiasa bertaubat, perbanyakkkan istighfar dan zikir kepada Allah. Mudah-mudahan Allah jauhkan kita dari melakukan keburukan (yang zahir maupun sebaliknya).

Wallahu`a’lam!


oleh :Ibnu Hasan,Sg. Petani,31 /1/ 2011,Bersamaan 27 Safar 1432 H.

sukahadis.blogspot.com

No comments:

Post a Comment