Thursday, December 6, 2012

MEMAHAMI ZAHIR NAS AL-SIFAT MEMBAWA KEPADA TASYBIH & TAJSIM?

 
 
 
 
MEMAHAMI ZAHIR NAS AL-SIFAT MEMBAWA KEPADA TASYBIH & TAJSIM?


Salah seorang berkata kepada saya:

"Terhadap lafazh-lafazh ayat sifat kita sebaiknya tidak mengi’tiqodkan berdasarkan maknanya secara dzahir karena akan terjerumus kepada jurang tasybih (penyerupaan sifat Allah dengan makhluk), sebab lafazh-lafazh ayat sifat sangat beraroma tajsim dan secara badihi (otomatis) pasti akan menjurus ke sana."

Jawapan:

Kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa yang mendakwa akan wajibnya mentakwil nas al-Sifat itulah sebenarnya yang memiliki keyakinan Allah itu adalah sama dengan makhluk, mempunyai sifat dan jisim yang sama dengan makhluk. Disebabkan keyakinan dan anggapan inilah mereka melakukan takwil ke atas nas al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Inilah yang memisahkan antara Ahl al-Sunnah dengan Ahl al-Bid'ah. Ahl al-Sunnah beriman kepada SEMUA sifat Allah (baca: tidak hanya kepada 20 sifat sahaja) dengan keimanan yang mantap lagi sempurna. Ahl al-Sunnah tetap beriktikad apa jua yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya mengenai Asma' dan sifat-Nya, tidak ada satu jua daripada sifat tersebut yang dapat disama atau disetarakan dengan sifat makhluk berdasarkan penegasan al-Qur'an dalam asy-Syura ayat 11 dan al-Ikhlas ayat 4.

Sikap Ahl al-Bid'ah yang mendakwa wajibnya mentakwil nas al-Sifat Allah dengan andaian ia adalah sama dengan sifat makhluk telah pun disinggung oleh salah seorang tokoh Ahl al-Sunnah yang terkenal, al--Imam al-Tirmidzi rahimahullah. Beliau menulis di dalam kitabnya, Sunan at-Tirmidzi, jld. 3, ms., 50-51:

قد قال غير واحد من أهل العلم في هذا الحديث وما يشبه هذا من الروايات من الصفات ونزول الرب تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا، قالوا: قد تثبت الروايات في هذا ويؤمن بها ولا يتوهم ولا يقال كيف، هكذا روي عن مالك وسفيان بن عيينة وعبد الله بن المبارك أنهم قالوا في هذه الأحاديث: أمِرُّوها بلا كيف وهكذا قول أهل العلم من أهل السنة والجماعة. وأما الجهمية فأنكرت هذه الروايات فقالوا: هذا تشبيه. وقد ذكر الله عز وجل في غير موضع من كتابه: اليد والسمع والبصر، فتأولت الجهمية هذه الآيات ففسروها على غير ما فسرها أهل العلم وقالوا: إن الله لم يخلق آدم بيده، وقالوا إن معنى اليد ههنا القوة. قال إسحاق بن إبراهيم إنما يكون التشبيه إذا قال: يد كيد أو مثل يد، أو سمع كسمع أو مثل سمع، فإذا قال: سمع كسمع أو مثل سمع فهذا التشبيه. وأما إذا قال كما قال الله تعالى: يد وسمع وبصر ولا يقول كيف ولا يقول مثل سمع أو كسمع فهذا لا يكون تشبيها، وهو كما قال الله تعالى في كتابه: ليس كمثله شيء وهو السميع البصير.

“Dan sungguh bukan seorang daripada ahli ilmu telah berkata tentang hadith ini dan yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat berkenaan sifat-sifat (Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan (berkenaan sifat) turun Tuhan (Allah) Tabaraka Wa Ta’ala pada setiap malam ke Langit Dunia. Mereka mengatakan (bahawa) riwayat-riwayat dalam (hal) ini adalah tsabit (sahih) dan diimani dengannya, tetapi tidak harus diwahamkan (dibayangkan) atau diperkatakan kaifiyyat (bentuk rupa)nya. Demikianlah (apa) yang diriwayatkan daripada (Imam) Malik, Sufyan Ibn ‘Uyainah dan ‘Abd Allah Ibn al-Mubarak bahawa mereka berkata tentang hadith-hadith ini: “Perjalankanlah (terimalah) ia tanpa mempersoalkan bagaimana (kaifiyyatnya). Demikianlah pendapat para ulamak dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah pula mereka mengingkari riwayat-riwayat ini kerana menganggapnya ada tasybih (penyerupaan sifat Allah dengan sifat makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyebut pada lebih dari satu tempat dalam kitab-Nya (sifat) Tangan, Mendengar dan Melihat, lalu puak al-Jahmiyyah mentakwilkan (maksud) ayat-ayat ini dan menafsirkannya dengan tafsiran yang berbeza daripada tafsiran ahli ilmu.

Mereka (al-Jahmiyyah) berkata: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan Nabi Adam dengan Tangan-Nya, dan mereka juga berkata: “Sesungguhya makna Tangan itu di sini ialah kudrat (kuasa).” Telah berkata Ishaq Ibn Ibrahim: “Sesungguhnya tasybih itu akan berlaku bila dia kata: (Sifat) Tangan (Allah) seperti (sifat) tangan (makhluk) atau seumpama (sifat) tangan (makhluk), (sifat) Mendengar (Allah) seperti (sifat) mendengar (makhluk) atau seumpama (sifat) mendengar (makhluk). Bila dia kata: (sifat) Mendengar (Allah) seperti (sifat) mendengar (makhluk) atau seumpama (sifat) mendengar (makhluk), maka itulah tasybih.

Adapun jika dia kata sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala kata: Tangan, Mendengar dan Melihat, tanpa mempersoalkan kaifiyyat (rupa bentuk) dan tanpa mengatakan seumpama (sifat) mendengar (makhluk) atau seperti (sifat) mendengar (makhluk), maka yang demikian tidak akan menjadi tasybih. Ini kerana ia sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab-Nya (bermaksud): Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (dzat, sifat-sifat dan pentadbiran)-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Juga perhatikan kenyataan asy-Syanqiti di dalam kitabnya, Adhwa’ al-Bayan fii Idah al-Qur’an Bi al-Qur’an, jld, 2, ms. 319-320:

اعلم أولا أنه غلط في هذا خلق لا يحصى كثرة من المتأخرين فزعموا أن الظاهر المتبادر السابق إلى الفهم من معنى الاستواء واليد مثلا في الآيات القرآنية هو مشابهة صفات الحوادث، فقالوا: يجب علينا أن نصرفه عن ظاهره إجماعا لأن اعتقاد ظاهره كفر لأن من شبه الخالق بالمخلوق فهو كافر...ولا يخفى أن هذا القول من أكبر الضلال ومن أعظم الافتراء على الله جل وعلا ورسوله صلى الله عليه وسلم، والحق الذي لا يشك فيه أدنى عاقل أن كل وصف وصف الله به نفسه أو وصفه به رسوله صلى الله عليه وسلم فظاهره المتبادر منه السابق إلى فهم من في قلبه شيء من الإيمان هو التنـزيه التام عن مشابهة شيء من صفات الحوادث، فمجرد إضافة الصفة إليه جل وعلا يتبادر إلى الفهم أنه لا مناسبة بين تلك الصفة الموصوف بها الخالق وبين شيء من صفات المخلوقين...

والجاهل المفترى الذي يزعم أن ظاهر آيات الصفات لا يليق بالله لأنه كفر وتشبيه إنما جرّ إليه ذلك تنجس قلبه بقذر التشبيه بين الخالق والمخلوق فأداه شؤم التشبيه إلى نفي صفات الله جل وعلا وعدم الإيمان بها، مع أن جل وعلا هو الذي وصف بها نفسه، فكان هذا الجاهل مشبها أولا ومعطلا ثانيا فارتكب ما لا يليق بالله ابتداء وانتهاء، ولو كان قلبه عارفا بالله كما ينبغي معظما لله كما ينبغي طاهرا من أقذار التشبيه لكان المتبادر عنده السابق إلى فهمه أن وصف الله جل وعلا بالغ من الكمال والجلال ما يقطع أوهام علائق المشابهة بينه وبين صفات المخلوقين، فيكون قلبه مستعدا للإيمان بصفات الكمال والجلال الثابتة لله في القرآن والسنة الصحيحة مع التنـزيه التام عن مشابهة صفات الخلق على نحو قوله: ليس كمثله شيء وهو السميع البصير...

Ketahuilah dahulu, bahawa sesungguhnya generasi terkemudian (al-Khalaf) yang tersalah dalam perkara ini tidak terhitung ramainya kerana mereka menyangka makna zahir yang terlintas dan yang terlebih dahulu sampai kepada kefahaman terhadap perkataan seperti (sifat) al-Istiwa’ (meninggi) dan al-Yad (tangan) yang ada dalam ayat-ayat al-Qur’an itu ialah musyabbihah (penyerupaan) dengan sifat hawadith (makhluk). 

 Mereka (Ahl al-Takwil) berkata: “Wajib bagi kita menukar (makna)nya dari zahirnya secara ijmak (sepakat) kerana berpegang dengan zahirnya adalah suatu kekufuran dan sesiapa yang menyerupakan al-Khaliq (Allah) dengan makhluk, maka dia seorang kafir....”

Ternyata bahawa kata-kata ini dari (jenis) kesesatan dan pembohongan yang paling besar ke atas Allah Jalla Wa ‘Ala dan juga ke atas Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang yang ada sedikit akal tidak akan meragui kebenarannya bahawa setiap sifat yang Allah sifatkan (pada) diri-Nya atau yang disifatkan oleh Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam dengannya, maka (makna) zahir yang terlintas dan yang terlebih dahulu sampai kepada kefahaman orang yang ada sedikit iman di dalam hatinya ialah at-Tanzih at-Tam (penyucian yang sempurna) dari sebarang penyerupaan sifat hawadith (makhluk). Ini kerana dengan semata-mata penisbatan sifat itu kepada-Nya Jalla Wa ‘Ala, akan terlintas kepada kefahaman bahawa tidak ada kesesuaian antara sifat yang disifatkan pada al-Khaliq (Allah) itu dengan sebarang sifat makhluk.

Si jahil pembohong yang menganggap zahir ayat-ayat sifat itu tidak layak dengan (kebesaran) Allah kerana (kononnya) ia adalah suatu kekufuran dan tasybih, sebenarnya dia telah didorong kepada demikian itu oleh kenajisan hatinya dengan kotoran tasybih (menyerupakan) antara al-Khaliq dan makhluk, maka kesialan tasybih itulah yang mendorongnya untuk menafikan sifat-sifat Allah Jalla Wa ‘Ala dan juga untuk tidak beriman dengannya. Sedangkan Dialah Jalla Wa ‘Ala yang menyifatkan diri-Nya dengannya (iaitu keterangan mengenai sifat-sifat-Nya yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Hadis). Maka si jahil itu pada mulanya dia seorang musyabbih (penyerupa sifat Allah dengan makhluk) dan kemudian dia menjadi seorang mu’aththil (penafi sifat Allah). Justeru, dia telah melakukan perkara yang tidak layak bagi Allah di awal dan di akhir.

Sedangkan jika hatinya mengenal Allah dan mengagungkan-Nya sebagaimana yang sepatutnya, (dan jika hatinya) bersih daripada kotoran tasybih, nescaya yang terlintas dan terlebih dahulu sampai kepada kefahamannya ialah bahawa kesempurnaan dan keagungan penyifatan Allah Jalla Wa ‘Ala telah sampai ke tahap memutuskan segala imaginasi penyerupaan antara sifat-Nya dan sifat makhluk.

Maka jadilah hatinya bersedia untuk beriman dengan sifat-sifat kesempurnaan dan keagungan yang tetap bagi Allah dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berserta at-Tanzih at-Tam (penyucian yang sempurna) dari sebarang penyerupaan sifat makhluk, sebagaimana firman-Nya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya, dan Dialah yang Maha mendengar lagi Maha Melihat."

Adapun dakwaan mereka bahawa para salaf melakukan takwil ke atas nas al-Sifat ia jelas satu fitnah kepada para Salaf. Lihat di sini: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SWSP/B.htm


~by Mohd Hairi Nonchi on Friday, December 7, 2012 at 6:08am ·
Oleh: Mohd Hairi Nonchi @ Cikgu Arie

No comments:

Post a Comment