Monday, December 31, 2012

Wahhabi Melarang Bermazhab?


Wahhabi Melarang Bermazhab?

Fakta: “Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menentang sikap bertaqlid buta (mengikut membuta tuli) dalam beragama dan mewajibkan umat Islam supaya berittiba’ (mengikuti) kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ...”

Penjelasan:

Jika demikian takrifan Wahhabi, maka Imam asy-Syafie rahimahullah juga adalah Wahhabi. Ini kerana – sebagaimana golongan yang ditohmah sebagai Wahhabi – Imam asy-Syafi’e juga amat melarang keras umat Islam daripada bertaklid buta dalam beragama.

Pada waktu yang sama, beliau juga memerintahkan agar mereka berittiba’ kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih dan meninggalkan segala pandangan yang bercanggah dengannya. Ini sekalipun terhadap perkataan atau fatwanya sendiri. Perhatikan kata-kata beliau di bawah ini:

Al-Hafiz adz-Dzahabi rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya, Siyar A’lamin Nubala’ jilid 10, ms. 35 bahawa Imam asy-Syafi’e rahimahullah pernah berkata:

إِذَا صَحَّ الْحَدِيْثُ فَهُوَ مَذْهَبِيْ، وَاضْرِبُوا بِقَوْلِيْ الْحَا ئِطَ.

Maksudnya: “Apabila telah sahih sebuah hadis, maka itulah mazhabku, dan buanglah perkataanku (yang menyelisihi hadis tersebut) ke arah tembok!”.

Imam Ibnu Hibban rahimahullah telah meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya jilid 9, ms. 235, no. 2159 bahawa Imam asy-Syafi’e rahimahullah pernah mengatakan:

إِذَا صَحَّ لَكُمْ الْحَدِيْثُ عَنْ رَسُوْلِ اللهِ فَخُذُوْا بِهِ وَدَعُوْا قَوْلِيْ.

Maksudnya: “Apabila telah sahih sebuah hadis dari Rasulullah menurut pendapatmu, maka ambillah hadis sahih tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah menjadi pendapatku (yang jelas bertentangan dengan hadis sahih tersebut).”

Imam asy-Syafi’e rahimahullah juga menyatakan di dalam kitabnya, al-Umm jilid 2, ms. 248:

وَإِذَا ثَبَتَ الْخَبَرُ عَنِ النَّبِيِّ؛ لَمْ يَجُزْتَرْكُهُ لِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Apabila telah sahih hadis dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidak boleh untuk ditinggalkan kerana sebab apapun juga.”

Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah meriwayatkan di dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in jilid 1, ms. 7 bahawa Imam asy-Syafi’e rahimahullah berkata:

أَجْمَعَ الْمُسْلِموْنَ عَلَى أَنَّ مَنِ اسْتَبَانَ لَهُ سُنَّةٌ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ؛ لَمْ يَحِلَّ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ.

Maksudnya: “Kaum muslimin telah ijmak (bersepakat) bahawa sesiapa sahaja yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (yang sahih), maka haram baginya meninggalkan sunnah yang telah jelas di hadapannya itu hanya lantaran (terpengaruh dengan) pernyataan seseorang sahaja.

Imam Ibnu Abi Hatim al-Razi rahimahullah telah meriwayatkan di dalam kitabnya, Adab Syafi’e wa Manaqibuhu, ms. 67-68 & 93, bahawa Imam asy-Syafi’e rahimahullah pernah menyatakan:

كُلُّ مَا قُلْتُ: وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ خِلَافَ قَوْلِيْ مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيْثُ النَّبِيِّ أَوْلَى وَلَا تُقَلِّدُوْنِيْ!

Maksudnya: “Setiap apa yang telah aku ucapkan, padahal telah datang dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih yang bertentangan dengan ucapanku itu, maka mengambil hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itulah yang utama dan janganlah kamu bertaklid kepadaku!.”

Imam al-Baihaqi rahimahullah telah meriwayatkan di dalam kitabnya, Manaqib Syafi’e jilid 1, ms. 473 bahawa Imam asy-Syafi’e rahimahullah juga mengatakan kepada seorang muridnya Imam Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi rahimahullah:

كُلُّ مَسْأَلَةٍ تَكَلَّمْتُ فِيْهَا صَحَّ الْخَبَرُ فِيْهَا عَنِ النَّبِيِّ عِنْدَ أَهْلِ النَّقْلِ بِخِلَافِ مَاقُلْتُ، فَأَنَا رَاجِعٌ عَنْهَا فِيْ حَيَاتِيْ وَبَعْدَ مَوْتِيْ.

Maksudnya: “Setiap masalah yang telah aku ucapkan, padahal telah sahih hadis dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menurut para ulamak hadis yang bertentangan dengan apa yang telah aku ucapkan itu, maka aku akan selalu ruju’ (menarik kembali) dari pendapatku yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu, baik saat aku masih hidup mahupun setelah aku mati.

Imam asy-Syafi’e rahimahullah mengatakan dalam kitabnya ar-Risalah, ms. 360 (no. 905):

وَإِذَا ثَبَتَ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ صَلَّى اﷲُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ، فَهُوَ اللاَّزِمُ لِجَمِيْعِ مَنْ عَرَفَهُ، لَايُقَوِّيْهِ وَلَا يُوْ هِنُهُ شَيْءٌ غَيْرُهُ، بَلِ الْفَرْضُ الَّذِيْ عَلَى النَّاسِ اِتِّبَاعُهُ، وَلَمْ يَجْعَلْ لِأَ حَدٍ مَعَهُ أَمْرًا يُخَالِفُ أَمْرَهُ.

Maksudnya: “Dan bila telah sabit (sahih) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka itulah yang wajib untuk diikuti oleh setiap orang yang mendengarinya, dan hal itu tidak memerlukan penguat dari yang lainnya, dan hal itupun tidak dapat dibatalkan kerana sesuatu yang lainnya. Bahkan yang diwajibkan atas manusia adalah mengikuti baginda (ittiba’). Dan tidak diperbolehkan sama sekali menjadikan ketetapan seseorang manusia untuk membatalkan ketetapan baginda.”

Lebih lanjut, sila rujuk:

1. Wasiat Dan Prinsip Imam Syafi’i Tentang Taqlid Buta & Fanatisme Madzhab karya Ibnu Saini Muhmmad Musa, terbitan Media Tarbiyah, Jawa Barat.

2. Manhaj Salafi Imam Syafi’i: Prinsip-Prinsip Imam Syafi’i Dalam Beragama karya Abu Ubaidah Yusuf Mukhtar As-Sidawi, terbitan Pustaka Al-Furqon, Jawa Timur.

3. Imam Syafi’i Menggugat Syafi’iyyah karya Abu Umar Basyier, terbitan Shafa Publika, Malang.
 
 

No comments:

Post a Comment