Friday, December 14, 2012

TAUHID: DAKWAH PERTAMA DAN UTAMA PARA RASUL

 
 
TAUHID: DAKWAH PERTAMA DAN UTAMA PARA RASUL



Salah satu tujuan perutusan para Nabi dan Rasul ke tengah-tengah umat manusia adalah untuk mengajak umat manusia supaya mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta membersihkan mereka daripada segala bentuk amalan dan keyakinan yang membawa kepada menyekutukan Allah Subahanhu wa Ta’ala dengan sesuatu selain-Nya.

Jika dicermati ayat-ayat al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan didapati tidak sedikit ditemui ayat-ayat dan hadis-hadis yang memberi penekanan kepada persoalan tauhid melebihi persoalan lainnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Anbiya, ayat 25: Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “ Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, maka beribadatlah kamu kepada-Ku.

Firman-Nya lagi dalam ayat yang lain, surah al-Nahl, ayat 36: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut itu." Pengertian ‘thagut’ dalam ayat di atas ialah bersifat umum, mencakupi segala yang disembah selain Allah Subhanahu wa Ta’ala.[1]

Lawan kepada tauhid ialah syirik, iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu selainnya dan ia merupakan perkara pertama sekali yang diharamkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi:[2]  Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atasmu oleh Tuhanmu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya.

Firman-Nya lagi dalam ayat yang lain, surah al-Nisa’, ayat 36: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Perintah untuk tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu juga adalah wasiat pertama yang disampaikan oleh Luqman kepada anaknya sepertimana yang dirakamkan menerusi ayat berikut:[3] Dan berkata Luqman kepada anaknya: “Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang amat besar.”

Sesungguhnya tanggungjawab menyeru umat manusia agar mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan sahaja terletak di atas bahu para Nabi dan Rasul akan tetapi ia juga merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap yang mengaku umat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Yusuf, ayat 108: "Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik (mensyirikkan Allah)."

Tanggungjawab untuk mendakwahkan umat manusia kepada mentauhidkan Allah dan mengutamakannya di atas segala-galanya juga merupakan perkara yang diwasiatkan sendiri oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi salah satu hadisnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari seperti berikut:

فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا للهَ تَعَالَى.

"Maka hendaklah hal pertama yang kamu serukan (dakwahkan) kepada mereka (manusia) adalah mentauhidkan (mengesakan) Allah Ta’ala."

Namun amat mendukacitakan apabila realiti menyaksikan kepada kita bahawa sebahagian golongan yang menjenamakan kumpulan mereka dengan ‘Gerakan Islam’ pada masa kini tidak lagi memberi prioriti (keutamaan) kepada tauhid. Sebaliknya lebih mendahulukan perkara lain dalam usaha dakwah dan tarbiyyah mereka berupa isu-isu politik, ekonomi dan sebagainya. Sehingga yang demikian masa generasi muda yang seharusnya diisi dengan tarbiyyah dan tashfiyyah kepada akidah, ibadah dan akhlak sahihah telah dibazirkan kepada hal-hal yang seumpama itu.

Akhirnya lahirlah golongan belia muda yang hanya memiliki semangat dalam melaungkan slogan penegakkan hukum dan daulah Islamiyyah, akan tetapi memiliki jiwa yang kosong daripada tauhid dan akidah sahihah.  Mungkin ada baik kiranya kita meluangkan sedikit masa untuk merungi sejenak perkataan salah seorang tokoh hadis yang unggul di abad ini, Syaikh al-Albani rahimahullah di mana beliau menuturkan: [4]

"Tidak diragukan lagi bahawa realiti Arab masa jahiliyyah sama dengan apa yang dialami oleh kebanyakan golongan muslim hari ini. Oleh itu kami katakan: Untuk jalan penyelesaiannya adalah sama dengan jalan penyelesaian yang Rasulullah tempuh dengan menggunakan ubat yang sama. Sebagaimana Rasulullah telah menyelesaikan realiti hidup (masyarakat Arab) jahiliyyah pertama, maka wajib bagi semua para pendakwah Islam sekarang untuk memperbaiki kesalahan kaum muslimin dalam memahami makna kalimah La Ilaha Illa Allah dan menangani kenyataan pahit mereka dengan ubat dan jalan yang telah Rasulullah tempuhi. Makna ini sangat jelas apabila kita mentadabur firman Allah:[5] "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah."

Rasul kita ialah teladan paling baik yang patut dijadikan contoh dalam menyelesaikan masalah-masalah kaum muslimin zaman moden ini, dalam keadaan apapun dan bilapun. Dengan demikian kita perlu memulakan dakwah ini dengan membetulkan aspek akidah terlebih dahulu sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah, kemudian membetulkan aspek ibadah dan akhlak. Turutan tersebut dilakukan dalam dakwah bukan bertujuan untuk memisahkan di antara satu perkara dengan perkara yang lainnya, atau dengan kata lain yang pertama ialah perkara yang paling penting kemudia kedua ialah perkara penting dan ketika ialah kurang penting. Akan tetapi, maksud saya dengan penyusunan tersebut ialah supaya kaum muslimin benar-benar mengambil berat tentang ketika-tiga perkara tersebut secara bersungguh-sungguh."

Syaikh al-Albani melanjutkan: [6]

"Kita tahu bahawa sekarang ini terdapat banyak jamaah-jamaah dakwah dengan jumlah yang sangat besar, mereka terdiri daripada jutaan umat Islam, yang apabila disebut perkataan al-Du’at (para pendakwah), maka semua mata akan memandang kepada mereka. Yang saya maksudkan dengan mereka ini ialah Jama’ah al-Dakwah atau Jama’ah al-Taghbligh. Namun demikian keadaan mereka adalah sepertimana dalam firman Allah:[7] Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Dilihat dari cara mereka berdakwah, diketahui bahawa mereka tidak mengambil berat perkara utama atau perkara yang paling penting dari ketiga perkara yang telah saya sebutkan sebentar tadi, iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Mereka enggan melakukan pemurnian (islah) akidah sebagaimana Rasul telah mulakan dengannya, bahkan seluruh para Nabi telah memulakannya. Allah telah menjelaskan dalam firman-Nya, surah al-Nahl, ayat 36: "Dan sungguh Kami telah mengutus seorang rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah thagut itu."

Rasul pertama yang telah menyeru kepada perkara utama ini ialah Nuh, lebih kurang ribuan tahun yang lalu. Semua orang tahu bahawa dalam syariat-syariat terdahulu, tidak ada pengkhususan hukum-hukum ibadah dan muamalah seperti yang kita kenal dalam agama kita ini (Islam), kerana agama kita ini sebagai penyempurna bagi syariat dan agama sebelumnya. Meskipun demikian, nabi Nuh telah bersama kaumnya selama 950 tahun, menghabiskan masanya dan menumpukan perhatiannya untuk mengajak mereka kepada tauhid, tetapi kaumnya telah berpaling daripada ajakannya. Sebagaimana telah Allah jelaskan dalam kitab-Nya:[8] Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan janganlah pula Suwa’, Yaghut, Ya’uq dan Nasr.

Maka jelas hal ini menunjukkan kepada kita bahawa perkara penting yang harus diperhatikan oleh para pendakwah Islam ialah dakwah kepada tauhid, iaitu makna dari firman Allah: [9]  .""Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sembahan, Tuhan) melainkan Allah Demikian juga sunnah Nabi secara amalan mahupun pengajaran!"

Apa yang diungkapkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah di atas mengingatkan kita kepada ucapan salah seorang tokoh imam mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, iaitu al-Imam Malik bin Anas rahimahullah di mana beliau pernah berkata: [10]

لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلاَّ مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا.

"Tidak akan dapat memperbaiki generasi akhir dari umat ini kecuali apa yang telah dapat memperbaiki generasi terdahulu."

Nota kaki:

[1]    Lihat Kitab At-Tauhid: Alladzi Huwa Haqqullah ‘Alal ‘Abid karya Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, ms. 17.
[2]    Surah al-An’am, ayat 151.
[3]    Surah Luqman, ayat 13.
[4]    Lihat at-Tauhid Awwala Ya Du’atal Islam karya Syeikh al-Albani, ms. 3-4.
[5]    Surah al-Ahzab, ayat 21.
[6]    Lihat at-Tauhid Awwala Ya Du’atal Islam karya Syeikh al-Albani, ms. 5-7.
[7]    Surah al-A’raf, ayat 187.
[8]    Surah Nuh, ayat 23.
[9]    Surah Muhammad, ayat 19.
[10]  Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr dalam at-Tamhid 15/292, tahqiq Usamah bin Ibrahim dan Ibnu al-Qayyim dalam Ighatsatul Lahfan min Mashayidhisy Syaithon 1/313, tahqiq Khalid ‘Abdul Lathif as-Sab’il


~‘Alami.


by Mohd Hairi Nonchi on Wednesday, December 12, 2012 at 11:10pm ·
Oleh: Mohd Hairi Nonchi @ Cikgu Arie

No comments:

Post a Comment