Saturday, October 23, 2010

MUTTAQIN - orang yang bertakwa...


Tercapaidan terpeliharakahtaqwa kita.....?

"ya Allah...berikanlah diriku ini TAQWAnya, dan sucikanlah ia ...Engkaulah sebaik2 yang menyucikannya , Engkaulah walinya dan Engkaulah Maulanya (sbenar2nya yang memberi pertolongan dan perlindungan kepadanya )"-maksud al Hadis

"Erti "Muttaqin" yang paling mudah ialah orang yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH....seperti yang dijelaskan dalam surah AnNisa 4 : 124 , ertinya :
"barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan soleh, dari kalangan lelaki maupun wanita dan dia BERIMAN maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya sedikitpun."
....Dan untuk mereka inilah Syurga itu disediakan.

Orang yang bertakwa atau muttaqin adalah segolongan hamba yang paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

“...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu,...”

(Al-Hujurat 49:13)


Orang yang bertakwa juga merupakan golongan yang diperakui berada di atas jalan yang benar dan termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kemenangan. Di permulaan surah al-Baqarah, setelah menyebut beberapa ciri yang ada pada mereka yang bertakwa, Allah taala mengakhiri dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Al-Baqarah:5)


Kejayaan dan keberuntungan yang diperoleh oleh mereka yang bertakwa bukan sahaja berupa kejayaan di akhirat. Sebaliknya Allah taala telah menjamin berbagai-bagai nikmat, ‘inayah dan ma’unah semasa hidup di dunia lagi.

Antaranya:

1. Disediakan jalan keluar daripada segala kesempitan dan permasalahan yang melanda dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak diduga. Firman-Nya bermaksud:

“...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya...”

(At-Talaq 65: (2-3)

2. Tidak mudah terpedaya hasutan syaitan. Allah ‘Azza wa Jalla akan sentiasa melindungi mereka daripada terjebak ke dalam kesesatan yang cuba diperdaya oleh syaitan durjana. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

(Al-A’raf 7: 201)

3. Allah akan menampakkan mereka perbezaan antara yang benar dan yang salah. Dengan yang demikian mereka akan terpelihara daripada tergelincir ke lembah dosa dan maksiat. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

(Al-Anfal 8: 29)


Selain mendapat anugerah yang begitu besar di dunia, mereka disediakan pula ganjaran yang tidak ternilai hebatnya di akhirat kelak. Ganjaran-ganjaran itu digambarkan dengan cukup indah dan mendamaikan dalam banyak ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Antaranya:

1. Diampuni dosa dan diberikan cahaya menerangi perjalanan di akhirat kelak sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Hadid 57: 28)

2. Disediakan syurga yang indah tidak terkata:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta sebagai balasan daripada Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).”

(An-Naba’78: 31-36)


Bagaimana memperoleh dan memelihara takwa?

Allah ‘Azza wa Jalla telah menunjukkan jalan bagaimana mencapai takwa dan bagaimana memeliharanya. Sebelum itu, perlu difahami terlebih dahulu apa maksud takwa yang sebenarnya.

Ibn Kathir meriwayatkan bahawa menurut Ibn ‘Abbas radiallahuanhu., orang yang bertakwa itu ialah orang beriman yang memelihara diri daripada syirik dan mentaati Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya.

Al-Hasan al-Basri pula berkata, orang yang bertakwa ialah mereka yang memelihara diri daripada perkara yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa yang difardhukannya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Seseorang hamba itu tidak sampai ke darjat muttaqin sehingga dia meninggalkan perkara yang tidak berdosa kerana takut terjerumus melakukan perkara yang ada dosa”.

Ubai bin Ka’ab r.a. telah membuat satu perumpamaan yang mudah ketika beliau ditanya oleh Umar bin al-Khattab tentang takwa. Beliau bertanya Sayidina Umar, “Pernahkah anda berjalan di suatu jalan yang penuh duri?”, Umar menjawab, “Ya, pernah?” “Lalu, apa yang anda lakukan?” Umar menjawab, “Saya menyinsing kain dan melangkah berhati-hati.” “Maka, itulah dia takwa!”

Maka takwa adalah langkah menjauhkan diri daripada larangan Allah dan berusaha sedaya mampu melaksanakan suruhan-Nya.


Antara jalan untuk mencapai takwa adalah:

1. Berpuasa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.

2. Menerima dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Firman Allah bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk serta memberi mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.”

(Muhammad 47:17)

3. Menghayati ciri-ciri orang yang bertakwa. Ciri-ciri mereka dinyatakan dalam beberapa ayat. Antaranya terkandung dalam surah az-Zariat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(Az-Zariat 51:15-19)

Mudah-mudahan peringatan yang serba ringkas ini dapat membantu kita mencapai takwa dan sentiasa memeliharanya.

sumber :Utzh Maznah Daud.

2 comments:

  1. ALhamdulillah..terima kasih atas perkongsian yg baik ini.

    ReplyDelete
  2. Insyaallah saya akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan solat Jumaat kami kepada anda semua selamat menyambut Maulidur rasul tahun kepada Allah SWT

    ReplyDelete