Monday, October 18, 2010

Belajar tanpa Guru


Bolehkah Belajar Ilmu Tanpa Berguru


Sejak kebelakangan ini, kita sering kedengaran seruan dan juga saranan supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan para ulama.

Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain.

Maka muncullah golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.

Gejala ini mengundang pelbagai kesan negatif di antaranya kelemahan mereka memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan gambaran yang sebenarnya.

Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.

Tanpa bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi bahkan terus menyesatkan orang lain pula.

Disebabkan itulah muncul kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa kenyataan ini adalah hadis).

Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini.

Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

InsyaAllah.


Alim Ulama Adalah Pewaris Para Nabi

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.

Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji.

Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.

Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna.

Mereka juga bukan sahaja setakat memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada diantara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama.

Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah SAW. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. "- Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah

Oleh itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa ulama adalah golongan yang mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi agama Islam dengan mengiktiraf mereka sebagai pewaris para nabi.

Memandangkan ulama mendapat tempat yang istimewa juga di dalam masyarakat, maka ramailah pula golongan tertentu seolah-olah mendakwa diri mereka sama tarafnya dengan ulama sedangkan mereka baru sahaja mengecapi permulaan memahami ilmu-ilmu Islam.

Golongan seperti inilah yang akan merosakkan syariat agama sedikit demi sedikit daripada mengikut manhaj para ulama yang sebenarnya.


Kepentingan Mempelajari Ilmu Agama Daripada Ulama

Kita biasa mendengar suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang cuba sedaya-upaya untuk merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama bagi menutup kelemahan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Ada di antara mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum sepertimana Rasulullah SAW lantas menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada para ulama untuk memahami urusan agama Islam ini.

Mereka juga berkata bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri dengan hanya merujuk kepada buku-buku tertentu.

Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?

Firman Allah Taala bermaksud:

"Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. "- Surah al-Nahl: Ayat 43

Imam Syatibi di dalam karyanya al-Muwafaqat telah menjawab persoalan ini dengan beliau menimbulkan persoalan mengenai bolehkah seseorang itu memperolehi dan mempelajari ilmu agama dengan kefahaman sendiri tanpa guru.

Beliau mempertahankan hujjahnya yang mengatakan betapa perlunya guru di dalam mendalami dan memahami sesuatu ilmu itu.

Imam Syatibi juga mengatakan bahawa para ulama telah berkata:

"Sesungguhnya ilmu itu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan para guru."

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. "- Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi

Menurut Imam Syatibi lagi, hadis ini bertindak sebagai hujjah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu daripada dada-dada guru.

Selain itu juga, bagi pelajar yang tidak faham sesuatu perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada guru/ulama untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang semuanya.

Sedangkan bagi yang belajar tanpa guru, kefahaman mereka amat terbatas berdasarkan buku yang ada di hadapan mereka semata-mata.

Boleh jadi kefahaman mereka itu betul dan besar kemungkinan juga kefahaman mereka itu salah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka" - Riwayat Abu Nuaim


Kritikan Belajar Agama Tanpa Bimbingan Ulama/Guru

Sanggahan dan kritikan belajar tanpa bimbingan ulama/guru ini saya nukilkan daripada kata-kata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi. Kenyataan beliau ini diambil dari kitabnya al-Sahwah al-Islamiah Baina al-Jumud Wa al-Tatarruf, katanya:

"Kebanyakkan daripada mereka tidak bertalaqqi dengan ahli ilmu dan syeikh-syeikh yang mempunyai pengetahuan khusus di dalam bidang tersebut.

Sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung tanpa membuka peluang dan tempoh untuk merujuk dan berbincang apa yang akan diambil dan ditolak pendapatnya untuk membolehkan dikenalpasti kefahaman itu dan pengetahuan yang diletakkan di dalam mensyarahkan secara mendalam.

Ini akan dibentangkan dan diperbahaskan ketika tempoh pengkajian.

Akan tetapi, malangnya mereka hanya membaca sedikit sahaja dan berdasarkan kefahamannya (yang sedikit) itu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum-hakam.

Barangkali mereka melakukan kesalahan ketika membaca, salah kefahaman atau juga salah di dalam mengistinbatkan hukum, tetapi mereka masih tidak mengetahui kesalahan mereka itu."

Beliau menambah lagi kenyataan itu:

"Walaupun mereka ini ikhlas, namun hakikatnya mereka lupa bahawa ilmu syariat (agama Islam) dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai.

Sesungguhnya mereka tidak akan mampu merempuh lautan luas ini secara seorang diri tanpa pembimbing (ulama/guru) yang sentiasa memimpin tangan mereka.

Pembimbing inilah yang akan menerangkan kepada mereka apa yang tidak jelas dan istilah-istilah yang mempunyai kesamaran dan menerangkan dari cabang-cabang sehinggalah apa yang utama dan akan memperlihatkan segala kesamaran.

Pada akhir penerangannya mengenai perkara ini, beliau menegaskan lagi kenyataannya bahawa perlunya berguru untuk mempelajari ilmu agama, katanya:

Inilah (mempelajari ilmu agama dengan ulama/guru) merupakan apa yang telah dijadikan sebagai langkah berhati-hati oleh para ulama Salaf al-Soleh agar menjauhi dari mempelajari ilmu dengan cara seperti ini (tanpa berguru).

Mereka berkata: Janganlah mengambil al-Quran al-Karim hanya dengan mushafnya dan bukanlah ilmu itu diambil dengan hanya daripada mushaf (kitab).

Apa yang dimaksudkan dengan mengambil hanya daripada mushaf itu ialah menghafaz al-Quran al-Karim dari catatan-catatan pada mushaf tanpa bertalaqqi (mengambil dan belajar ilmu secara bersemuka dengan para ulama/guru) dengan mulut-mulut guru yang diyakini (keilmuannya).

Peringatan ini bermaksud mengambil ilmu daripada catatan-catatan semata-mata tanpa belajar daripada ahli ilmu."


Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya.

Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.

Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik.

Mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan.

Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik.

Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.


Tidak Boleh Langsung Belajar Dengan Buku?

Walaupun saya menyeru kepada belajar ilmu agama dengan para ulama/guru yang diyakini, ini bukanlah bermakna saya menolak secara mutlak belajar melalui buku.

Cumanya belajar dengan buku tanpa guru perlu diberikan penelitian dan perhatian tentang keharusannya pada beberapa ketika.

Bagi mereka yang berada di peringkat permulaan dan menengah, maka sudah pastilah tuntutan mempelajari ilmu itu secara berguru lebih diutamakan memandangkan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh tentang sesuatu ilmu itu.

Setelah mereka memahami dan mendalami segala asas-asas yang diperlukan dengan kukuh, barulah mereka harus membaca buku-buku yang berkaitan untuk menambahkan lagi pengetahuan.

Namun jika terdapat beberapa perkara yang kurang difahami atau wujud kesamaran ketika pembacaan, maka mereka dituntut semula untuk bertanya dengan ulama/guru.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan menuntut ilmu secara berguru, mereka juga diharuskan membaca buku-buku atau mendengar ceramah dan boleh juga membaca di internet untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.

Namun jika terdapat sebarang perkara yang kurang difahami, maka mereka mestilah merujuk juga kepada ulama/guru yang diyakini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Ini kerana seseorang ulama/guru lebih memahami sesuatu ilmu itu berbanding dengan orang yang hanya membaca buku semata-mata sebagai rujukan.

Oleh itu, keutamaan dan kelebihan sudah pastilah berada pada mereka yang mempelajari ilmu agama secara berguru jika hendak dibandingkan dengan golongan yang mempelajari ilmu agama tanpa berguru.

Ini kerana menuntut ilmu agama dengan berguru merupakan jalan yang ditempuhi oleh generasi Salaf al-Soleh dan para ulama lain.

Manakala bagi mereka yang telah mendalami dan menguasai segala asas-asas ilmu, mereka sudah boleh membaca sendiri kerana mereka mampu memahami isi kandungan buku berkenaan berpandukan apa yang telah mereka pelajari daripada ulama/guru sebelum itu.


Penutup

Andaikata Islam menggalakkan belajar tanpa guru, mengapakah para ulama terdahulu sanggup merantau dan berpindah-randah demi untuk menuntut dengan ulama yang diyakini?

Bahkan mereka mempunyai ratusan guru yang terdiri daripada alim ulama muktabar, bukankah ini menunjukkan kepentingan berguru di dalam menuntut ilmu agama?

Mungkin ada yang berpendapat, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi canggih sepertimana sekarang, disebabkan itulah mereka merantau untuk menuntut ilmu.

Jika benar kenyataan ini, mengapa pula Nabi SAW menyarankan umatnya untuk belajar (anak murid) dan mengajar (guru)?

Bukankah ini menunjukkan bahawa kepentingan menuntut ilmu agama secara berguru?

Tidak mungkin segala saranan Nabi SAW ini silap dan tidak mengikuti perkembangan zaman, bukan?

Berkata Muhammad bin Sirin (seorang alim di zaman tabien) sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim karangan Imam Muslim:

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah dari siapa engkau mengambil agamamu!"

wallahu'alam.

Berkenaan penulis :

Ustaz Muhammad Rashidi Wahab (Buluh) merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Hons) Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran al-Karim) dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau kini sedang menyambung pengajian Sarjana (MA) di Universiti Darul Imam Malaysia di dalam bidang Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam). - http://facebook.com/rashidi.buluh

No comments:

Post a Comment