Monday, October 18, 2010

Anak2 Yang Membesar Dalam keadaan 'YATIM '


SALAHkah...APABILA

SUDAH TAHU terus BUAT?

Jadi apa salahnya sudah tahu, kalian bertaubat? Mohon ampun kepada Allah kerana selama ini mengabaikan tanggungjawab menjaga amanah Allah. Setelah bertaubat, mohon hidayah dari Allah agar diberi petunjuk kepada diri dan anak-anak untuk menghentikan putaran ganas gejala sosial tersebut.



Ibu rasa terharu melihat anak-anak kecil dimarahi dengan penuh emosi. Terkulat-kulat mata anak melihatnya, mungkin tidak faham apa kehendak ibu bapa yang memarahinya.Kalau ada anak yang faham, dia akan tersinggung dan melawan melalui lisan atau tindakan, memprotes ibu bapa yang tidak faham bahawa hatinya terguris dan emosinya terganggu. Apa salahnya? Lebih sedih lagi apabila ibu bapa membiarkan anak-anaknya bagai anak yatim. Shauki bermadah :
"Bukanlah anak yatim itu anak yang tidak beribu atau berbapa tetapi anak yatim itu ialah anak yang ibubapanya terlalu sibuk"
Inilah sebahagian dari kata-kata penyair yang menggambarkan pada kita betapa ramainya anak-anak yang membesar dalam keadaan 'yatim' hari ini.Kemewahan mengelilingi mereka tetapi mereka amat dahagakan kasih ibu bapanya. Semasa menjadi guru kaunseling, ibu selalu mengendalikan program-program untuk 'pelajar berisiko' dan 'paling bermasalah' di sekolah. Biasanya memang kami akan bertanya serba sedikit latar belakang keluarganya. Anak lelaki bermasalah, biasanya akan ditanya kesibukan ayahnya.
"Ayah kerja apa?",
"Ayah berniaga".
"Ayah sibuk?"
"Sibuk sangat.",
"Selalu dapat jumpa ayah?"
"Jarang-jarang jumpa"

ada yang jawab "ayah tak pernah balik"

Itulah sedikit gambaran jawapan yang biasa saya terima. Kebanyakan pelajar memiliki latar belakang yang sama; ayah sibuk. ibu sibuk...mungkin kerjaya ibubapa mereka berbeza tetapi hakikatnya kedua ibubapa mereka memang sibuk. Inilah di antara rintihan anak-anak. Kadang kala ibu bapa sengaja balik lambat kerana rimas dengan rengekan anak-anaknya, mungkin kerana mereka tidak ada kemahiran untuk menangani masalah anak-anak. Anak sudah tidur barulah balik..mengelak tanggung jawab. Buruknya akhlak ibu bapa seperti ini. hendak kahwin, bila dapat anak diabaikan. Nauzubillah.



Saiyidina Ali Karramah Allahu Wajhah pernah berpesan:

“Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab”.
Punca ibu bapa gagal mendidik anak atau selalu mengelak bertembung dengan anak-anak kerana tidak ada ilmu dan tidak mengamalkan ilmu dan adab Islam. Kalau bertembung dengan anak, modalnya 'marah'..'marah..'marah'. Tidak ada kerja lain, anak jadi mangsa kemarahan mereka.


Ketika diadakan hari terbuka sekolah, ibu bapa malu hendak hadir kerana anaknya memang bermasalah. Inilah Putaran Ganas yang saya maksudkan semalam. Apa akan terjadi kepada generasi pewaris mereka? Wallahu alam. Bukan sedikit jumlahnya di sekolah...ramai!. Guru-guru tidak menang tangan hendak melayani kerenah anak-anak 'yatim' ini.


Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah:

“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Dari kes-kes di atas, sewajarnya ibu bapa sudah tahu punca anak-anak bermasalah. Sudah tahu kenapa anak tidak minat belajar, sudah tahu anak-anak memang perlukan perhatian dan kasih sayang. Jadi apa salahnya sudah tahu, kalian bertaubat? Mohon ampun kepada Allah kerana selama ini mengabaikan tanggungjawab menjaga amanah Allah. Setelah bertaubat, mohon hidayah dari Allah agar diberi petunjuk kepada diri dan anak-anak untuk menghentikan putaran ganas gejala sosial tersebut.

Apa salahnya pergi jumpa guru anak-anak, mohon maaf dan minta pandangan mereka apa nak buat dengan anaknya itu? Kebanyakan ibu bapa jumpa guru Disiplin kerana takut anaknya dibuang sekolah. Tanam dalam jiwa untuk belajar cara mendidik anak-anak. Mesti ada niat untuk berjiwa “ULUL ALBAB”. Setiap sekolah memang ada menganjurkan program Motivasi khusus untuk bekalkan ibu bapa kemahiran mendidik anak-anak. Tidak hina walau sedikitpun kalau ibu bapa turut sertai program tersebut. Tundukkan egomu demi masa depan anak-anakmu. yang saya perhatikan, selalu hanya ibu sahaja yang datang. Bapa buat apa di rumah hujung minggu?

Tugas mendidik adalah tugas ibu dan bapa . Dalam menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibubapa, masyarakat dan guru, seperti kata pepatah “BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING”.



Sebagaimana firman Allah yang berbunyi:

“…
dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya. (Surah al-Maidah : 2)


Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a:
“Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan”.

Dengan ilmu, seseorang itu dapat tingkatkan iman. Dengan iman mudahlah segala didikan berjalan. Sejahteralah rumah tangga bagai syurga dunia...

sumber: http://ibumusthofa.blogspot.com/2010/10/apa-salahnya-sudah-tahu-buat.html


No comments:

Post a Comment