Tuesday, October 26, 2010

Optimis Pada UMNO..!!??



‘Saya masih berbaki optimis pada UMNO’.

Mungkin sebahagian manusia akan membaca kenyataan ini dengan nada yang sinis, sebahagian lagi akan membaca dengan nada harapan dan keyakinan. Biarkan permainan persepsi terus menghantui pemikiran kita, negara demokrasi tulen membenarkan ‘freedom of expression’. Hatta Namewee menikmati hak itu, dia membenarkan orang lain memanggilnya ‘babi’ seperti yang dilaporkan portal berita Malaysiakini.

Kata-kata ‘saya masih optimis pada UMNO’ ini lahir daripada pemerhatian suasana politik rencam Malaysia pasca PRU 12 dan persidangan UMNO yang baru sahaja selesai bersidang. Keseluruhan rencana ini pembaca akan menikmati sebab dan alasan kenapa kenyataan itu diungkapkan.


Orang Islam di Malaysia pada asasnya mempunyai dua parti politik pilihan semasa Pilihan Raya berlangsung, sama ada UMNO atau Pas. Kedua-dua parti menawarkan bentuk politik yang berbeza nada walaupun pada hakikatnya punyai kerangka yang sama.

Lupakan sebentar PKR, keadilan sosial yang diperjuangkan masih lagi samar. Sebuah parti yang lebih banyak bercakap daripada bertindak.

Mari kita berbincang soal Pas, sebuah Parti Islam yang suatu ketika dulu kelihatan sangat konservatif dan tertutup mula mengambil langkah transformasi dengan melakukan beberapa agenda perubahan terutamanya keterbukaan dalam perhubungan yang melibatkan hubungan antara kaum di Malaysia. Agenda perubahan yang dibawa mulai membawa kesan, sokongan kaum bukan Melayu mulai meningkat terhadap Pas.

Jika dulu Pas dilihat seakan ‘Taliban’ versi Malaysia oleh masyarakat bukan Melayu, kini persepsi itu seakan tidak lagi relevan. Dalam banyak hal, Pas kini lebih mendahului UMNO. Itu satu hakikat yang semua orang terpaksa terima.

Namun apabila berbicara soal Pas dalam kerangka Pakatan Rakyat, ada beberapa hal yang perlu kita ambil kira dalam membuat keputusan parti mana yang perlu dipangkah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.



Pakatan Rakyat dibentuk oleh tiga antara parti terbesar di Malaysia iaitu Pas, PKR dan DAP. Buat masa sekarang, Pakatan Rakyat dipimpin oleh Ketua Umumnya iaitu Anwar Ibrahim. Apa yang pasti, jika Pakatan Rakyat memenangi PRU akan datang, maka Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri (PM). Ini jelas dipersetujui oleh DAP dan juga Pas. Maka sebahagian daripada kita akan beranggapan, isu siapa akan menjadi PM selesai jika Pakatan yang memerintah kerana orang yang akan menduduki kerusi itu seorang Melayu yang beragama Islam.

Benar tanggapan itu, namun bagaimana pula dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM)? Apakah kerangka kabinet baru ala-ala Pakatan akan menggunakan formula baharu dengan meletakkan dua orang TPM? Mungkinkah kerusi ini akan diduduki oleh pemimpin DAP dan Pas, atau juga mungkin gandingan antara PKR dan juga Pas.

Apabila persoalan ini ditimbulkan, pastinya ada pembaca yang menganggap persoalan tipikal ini sengaja ditimbulkan oleh mereka yang pro-UMNO. Namun sehingga kini, belum ada kabinet bayangan secara jelas oleh Anwar Ibrahim. Mungkin masih mahu berteka-teki tentang survival agama dan bangsa sendiri. Kebanyakkan pengundi baru kini lebih matang dan bersifat analitikal menjadikan persoalan ini sebagai antara perkiraan selain faktor pembangunan.

Teori-teori politik ada menjelaskan bahawa ada persoalan yang sengaja dibiarkan untuk menjadi faktor tanda soal dan perbincangan, ada untung politik katanya. Persoalan tradisi kepimpinan dan survival agama bukan satu bentuk yang boleh dijadikan bahan politik untuk dibiarkan sengaja bertanda soal, penegasan secara terbuka perlu ada.

Duka cita, Pas seolah selesa mengikut rentak Anwar Ibrahim. Barangkali hujahan balas menyatakan ada kompromi rahsia antara Anwar Ibrahim dan Pas berhubung isu kabinet bayangan Pakatan. Ah, masih mahu berahsia dan berteka-teki pada umum.

Walaupun masih ada cacat cela, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya telah sedia maklum tentang kabinetnya. Siapa yang akan menjadi PM dan TPM juga semua sedia maklum. Tidak perlu berspekulasi dan berahsia sana-sini.



Baru-baru ini, ketika bersidangnya Perhimpunan Agong UMNO ke-62, ada beberapa hal yang menarik perhatian dan boleh dijadikan ukuran. Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak kelihatan begitu serius apabila menyatakan komitmen untuk melakukan transformasi UMNO. Sajak Pak Hamka yang dibaca Tan Sri Muhyidin Yasin pula menandakan sifat UMNO yang seolah sudah akur pada kesilapan dan mahu melihat ke hadapan. Ucapan yang penuh dengan keterbukaan oleh ketua Pemuda UMNO juga kelihatan meyakinkan.

Wakil UMNO Perlis, Fathul Bari pula memberi cadangan yang cukup bermakna dan releven kepada UMNO apabila mencadangkan supaya diwujudkan Majlis Ulama’ UMNO.

Walaupun belum terlaksana idea cadangan itu, tetapi sudah kedengaran cakap-cakap berbentuk hinaan terhadap sekelompok ulama’ muda yang menyertai UMNO baru-baru ini. Lumrah dalam dunia politik dan agama, kita lebih dipengaruhi dengan persepsi walaupun hakikatnya berlainan daripada realiti. Dahulu ketika Tun Dr Mahathir melaksanakan projek-projek berskala besar seperti KLIA, KLCC dan Putrajaya, ramai pengkritik yang memaki dan menghina Tun kerana projek ini dianggap suatu pembaziran kepada negara. Barangkali orang yang dahulunya menjadi pengkritik tegar Tun dalam projek ini mulai mengambil manfaat daripadanya. Mungkin kini mereka pada hujung minggu sibuk membawa anak isteri membeli belah di KLCC dan bekerja pula di Putrajaya.

Begitu juga dengan idea transformasi UMNO, mungkin ramai yang sinis memandangnya sekarang. Menganggap sebagai retorik politik dan sia-sia belaka. Seluruh kempimpinan UMNO pastinya mahu membuktikan sesuatu, transformasi politik yang dicanang melata itu pastinya tidak mahu dicop sebagai retorik. Jika ucapan sudah cukup untuk dijadikan ukuran, maka persidangan UMNO ini wajar dijadikan sandaran ke arah usaha pembaikan. Namun, hakikat memerlukan tindakan berbanding sekadar ucapan yang baik-baik sahaja. Permulaan itu telah ada dan kesinambungan itu mesti berterusan!


Selaku pengundi baru pada PRU akan datang menjadikan diri penuh dengan harapan dan penegasan. Berharap suasana politik akan lebih mendamaikan setelah bertahun disesakkan dengan cerita yang melemaskan. Bertegas pada pendirian prinsip Islami dan negara yang tidak mungkin sama sekali akan digadaikan. Ayuh politikus sekalian, binalah landasan politik yang menggembirakan rakyat, meringgankan pada beban-beban yang memenatkan pikulan, mendamaikan jiwa-jiwa yang penuh dengan kemarahan, dan menceriakan hati-hati yang pernah dikecewakan. Bukankah politik Islami itu sepatutnya begitu wahai kawan?

Monday, 25 October 2010
Oleh: Ajim (www.ajimtajdid.com)
Pengundi Baru PRU-13

No comments:

Post a Comment