Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah diumumkan Khamis lepas, ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah selesai manakala ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berjalan.
Sewaktu membaca baris demi baris laporan ujian-ujian tersebut, khususnya kejayaan calon UPSR dan calon SPM yang terpaksa mengharungi banjir, teringat pula akan isi khutbah Jumaat di sebuah masjid di Kajang yang disampaikan oleh seorang ‘ustaz selebriti’ beberapa hari lalu. Ustaz ini sering muncul bersama isterinya dalam sebuah program terbitan syarikat televisyen swasta. Jadi, rasanya tidak salah kalau menggelarnya sebagai selebriti.
Intipati khutbah tersebut adalah berkaitan ujian juga, tetapi ujian hidup yang tidak kunjung padam di dunia ini. Setiap insan akan merasai warna-warni ujian dalam hidupnya. Sama ada ujian itu pahit atau manis, tindakbalas hatinya penting dalam melayani ujian tersebut, yang bakal mencorakkan kehidupan seterusnya.
Asal saja seseorang itu manusia atau hamba Allah, dia pasti diuji dengan berbagai-bagai perkara. Orang-orang yang beriman harus memahami tujuan ujian ini sama ada sebagai penghapus dosa atau pengangkat darjat, tetapi boleh jadi juga ia sebagai suatu penghinaan lantaran sikap kufur atau tidak bersyukur.
Reaksi manusia menerima ujian bergantung kepada hatinya. Hati ini pula perlu ditilik, sama ada sihat atau sakit.
Kekayaan, walaupun diburu begitu ramai orang, sebenarnya merupakan satu bentuk ujian.
Hati yang sakit mengaut segala kekayaan hanya untuk dirinya, menjadikan pemiliknya angkuh dan kedekut. Dia tidak pernah senang dengan orang susah, masjid atau pertubuhan kebajikan yang mendambakan sumbangannya.
Sebaliknya, hati yang sihat mampu membentuk jiwa pemiliknya yang kaya-raya menjadi seorang yang pemurah lagi dermawan.
Orang yang dilanda kemiskinan pula akan dirundung penyakit keluh kesah jika hatinya sendiri sakit, tetapi akan berasa bahagia andai hatinya sihat.
Nikmat kesihatan juga, di samping satu anugerah, adalah ujian daripada Allah.
Hati yang sakit merasakan kesihatan dirinya adalah disebabkan kebijaksanaannya menguruskan diri, mengamalkan pemakanan yang sihat, membuat pemeriksaan kesihatan berkala, melakukan aktiviti riadah dan sebagainya. Akhirnya dia menjadi sombong.
Tidak kita nafikan perkara-perkara tadi sememangnya penting, bahkan dituntut oleh agama, tetapi ia tidak selesai di situ sahaja. Ia berkait rapat dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah.
Hati yang sihat dengan penuh tawaduk mengakui hakikat ini, menjadikannya seorang yang bersyukur lalu menterjemahkan kesyukuran itu dengan amalan soleh.
Ujian kesakitan pula memaparkan wajah berbeza.
Hati yang sakit menjadi bertambah sakit kerana jiwa pemiliknya meronta tidak sabar dengan penyakit yang dialami. Bayangkanlah seorang yang lumpuh akibat penyakit angin ahmar sehingga berbelas-belas tahun lamanya. Hampir seluruh hidupnya hanya di atas kerusi roda atau di atas katil.
Namun, derita yang sama dihadapi dengan tabah dan sabar oleh hati yang pasrah dengan takdir Ilahi.
Contoh-contoh ujian di atas hanyalah sebahagian kecil ujian yang pernah kita jumpa di dunia ini. Banyak lagi ujian lain yang tidak terjangkau oleh akal fikiran. Bagaimanakah keadaan kita sekiranya ditakdirkan menjadi seorang daripada mangsa tsunami yang amat mengerikan pada tahun 2004 dahulu? Bagaimanakah kita jika ada antara ahli keluarga kita yang terkorban dalam gempa bumi di Padang baru-baru ini, atau harta benda kita ranap dalam runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, atau anak kita lemas dalam tragedi banjir yang sedang melanda sekarang?
Bagaimana pula jika orang yang paling kita sayangi disahkan menghidap virus selesema babi, A(H1N1) atau denggi berdarah, atau boleh jadi HIV? Semua ujian ini adalah perkara-perkara yang kita tidak suka. Setiap hari, terutama selepas solat, kita berdoa agar Allah menjauhkan diri kita dan keluarga daripada malapetaka, penyakit dan keburukan di dunia mahupun di akhirat.
Akhirnya, satu soalan yang mungkin membuat kita termenung sejenak, “Bagaimana kalau tiba-tiba sewaktu menyemak baki akaun di bank, kita dapati jumlahnya adalah RM7 juta, sah milik kita dan sedia untuk dibelanjakan?”
Kata orang-orang bijak pandai, ‘orang yang berwaspada adalah mereka yang merancang untuk melakukan perkara-perkara kebaikan dan tidak bertangguh-tangguh mengerjakan amal soleh.’
|
---|
No comments:
Post a Comment