Wednesday, October 27, 2010

Kepimpinan : Taklif atauTasyrif


"Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang."



Dalam kerancakan pemilihan kepimpinan dewasa ini , kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin.


Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang ketara antara tasyrif dan juga taklif:


1. Orang yang menganggap kepimpinan adalah kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.


2. Manakala orang yang faham bahawa ia adalah taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan. Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggujawab dan akan cuba melaksanakannya dengan besungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan perasaan takut dan merasai muraqabah Allah s.w.t.


Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.


Sesungguhnya Islam memuliakan seseorang pemimpin dan mengajarkan konsep taat selagi mana tidak menyalahi syariat, namun pemimpin perlu sedar kemuliaan yang diberikan ini hendaklah disalurkan kepada jalan yang hak, tanpa penyalahgunaan dan pengabaian terhadap amanah.


Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah SAW awal-awal lagi memperingatkan umatnya dengan amanah kepimpinan ini. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghiffari berkata kepada Rasulullah:


"Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi gabenor (pemimpin wilayah)?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."( Riwayat Mu
slim)

sumber :www.murabbi.net
by: khaulah

1 comment: