Thursday, April 5, 2012

Jakim: Hadis palsu ibarat dusta terhadap Nabi






KUALA LUMPUR - Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis "palsu" dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Jika mereka ini berniat jahat, ia boleh menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap agama mereka," kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha kepada Bernama.

Sambil melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan hadis palsu yang kini menular di Internet, beliau berkata ia boleh menyebabkan umat Islam beramal dengan suatu syariat yang salah kerana hadis berkenaan tidak berlandaskan sumber rujukan yang diperakui kesahihannya.

Othman berkata mereka yang terlibat menggunakan hadis daif dan palsu disebarkan melalui blog atau laman sosial peribadi ini, kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai hadis.

"Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak (cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya," katanya.

Othman berkata hukum mengguna dan menyebarkan hadis palsu adalah haram di samping bererti suatu pengkhianatan kepada syariat Islam itu sendiri.

Beliau berkata jika hendak menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media cetak, media eletronik atau media baru, ia mestilah terlebih dahulu merujuk kepada mereka yang arif tentang hadis atau daripada sumber yang muktabar.

Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1).

Othman berkata tindakan boleh juga diambil mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Memandangkan kesalahan ini dilakukan di alam siber, pihak berkuasa agama negeri perlu mendapat kerjasama daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa dan kepakaran khususnya Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya.

Othman berkata penyebaran seumpama itu akan memberi kesan yang besar kerana ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja di serata tempat.

"Perbuatan ini seolah-olah menyebarkan fitnah dan pendustaan terhadap Rasulullah SAW kepada seluruh umat manusia dan merosakkan aqidah umat Islam dan kewibawaan nas-nas syarak itu sendiri," katanya.

Beliau berkata berdasarkan penelitian Jakim, masih banyak kes yang berbentuk menghina Islam dan Rasulullah SAW yang dibuat secara terang-terangan, namun ia sentiasa dipantau.- Bernama

sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/jakim-hadis-palsu-ibarat-dusta-terhadap-nabi-1.27540#.T0wYmInOv2A.facebook

No comments:

Post a Comment